Wednesday, 14 March 2018

PERANG DINGIN PAN MARANG & PAN NEGERI TERENGGANU BERMULA?



Mungkinkan sikap dingin antara pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) Bahagian Marang dan kepimpinan PAN negeri Terengganu akan menjadi semakin ‘hangat’?

Suasana  akan menjadi semakin panas apabila hampir kepada tarikh penamaan calon selepas pemimpin PAN Terengganu memaklumkan akan ada  saingan kepada Miqdad Zakaria sebagai calon PAN bagi Parlimen Marang?

Siapa Miqdad?  Miqdad, 34 tahun, adalah ketua PAN  Marang tetapi  tidak pernah bertanding pilihan raya.

Parlimen Marang menjadi tumpuan bukan sahaja kerana ia kerusi yang dijangka akan dipertahankan oleh Presidan PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi pemimpin PAN tempatan, Miqdad dikatakan berminat menentang bapa saudaranya pada pilihan raya kali ini.

Isu mengenai siapa akan menentang Hadi diperkatakan sejak akhir Januari lalu apabila akhbar melaporkan Hadi mungkin dicabar anak saudaranya sendiri di parlimen Marang itu.

Sinar Harian melaporkan pada 24 Januari lalu memetik  Timbalan Ketua PAN  Marang, Suhaimi Sulaiman bahawa pertandingan di Parlimen Marang sudah ditetapkan Miqdad sebagai calon untuk berdepan dengan siapa sahaja calon PAS.

Bagaimanapun beberapa hari lalu Pengarah Komunikasi PAN Terengganu, Zubir Mohamad mengatakan PAN akan turut menyenaraikan seorang pemegang doktor falsafah yang sebelum ini aktif dalam UMNO,  iaitu Dr Zarawi Sulong.

Walaupun demikian, Zubir menegaskan kata putusnya terletak kepada Majlis Presiden.

Sejak kenyataan itu dikeluarkan, banyak perbincangan berunsur tidak puas hati di timbulkan oleh penyokong Miqdad. Ini  kerana mereka beranggapan Miqdad yang menjalankan kerja parti di Marang sejak hampir setahun lalu.

Zarawi pula yang sebelum ini disebut- sebut bercita-cita mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahagian Marang tetapi tidak menjadi.

Selepas Aidi Ahmad dilantik secra rasmi sebagai Ketua Bahagian PPBM Marang, Zarawi yang tidak  mempunyai  pengaruh dan gagal mengetuai PPBM di parlimen berkenaan terus menyepi.

Tiba-tiba sahaja Zubir membuat kenyataan melalui The Malaysian Insight dua hari lalu bahawa  Zarawi kini menyertai PAN.

Apakah PAN Negeri Terengganu begitu ketandusan calon hingga memujuk Zarawi menyertai parti itu untuk dijadikan calon menentang Hadi?

Sejauh manakah kekuatan politik  Zarawi di Marang berbanding Miqdad?

Difahamkan, Pakatan Harapan (HARAPAN) Marang lebih berminat dengan Miqdad yang ramah bergaul dan sama-sama menjalankan kerja parti sama ada untuk PAN atau juga HARAPAN.
Miqdad juga aktif di peringkat bahagian dan turut serta dalam banyak acara HARAPAN, malah begitu bersefahaman dengan pemimpin PPBM dan PKR di Parlimen berkenaan.

Dengan memetik nama Zarawi, PAN Negeri nampaknya sengaja mahu meminggirkan Miqdad yang dilihat sangat berpotensi karier politiknya berbanding Zarawi.

Belum diketahui sikap HARAPAN Marang mengenai cadangan PAN Negeri itu.

Yang pasti Miqdad adalah ‘pemimpin PAN’  yang diiktiraf di Marang.