Sunday, 29 January 2017

'POHON BENANG EMAS' DI KUALA NERUS ADA KAITAN DENGAN AHMAD RAZIF???


Menjawab sesuatu ISU MUDAH sehingga menggunakan ayat al-Quran bahawa perlu berhati-hati dengan  suatu berita atau perkhabaran dan percakapan bersifat fitnah, tidak akan membawa apa-apa makna.

Saman juga tidak akan mendatangkan kesan segera.

Terbaik ialah penafian dengan fakta jelas mengenai hadiah atau sumbangan atau apa sahaja berbentuk ‘percuma’ dengan menyatakan syarikat atau individu mana yang menghadiahkannya.

Juga sudah pasti berkaitan dengannya ialah untuk  apa dan kenapa pokok benang sutera dari Brazil itu jadi pilihan.

Yang lain ialah berapa kosnya dan siapa menanggungnya?

Sehari dua ini kecoh di Terengganu, khususnya di Kuala Terenganu dan sudah semestinya di Seberang Takir, apabila ada pihak membuat tuduhan kepada kerajaan negeri kononnya pokok Ceiba Speciosa yang kelihatan di Kuala Nerus dibeli oleh kerajaan negeri.

Berlagak sebagai jurucakap kerajaan negeri dan Menteri Besar, Terengganu Times mengatakan ia adalah sumbangan korporat untuk menjadikan bandar baru itu lebih ceria dan indah apabila di sulami dengan landskap yang berbeza apabila siap nanti.

Maknanya -  tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri serta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman atau sesiapa juga ‘walau yang hidup atau yang mati’ dalam isu pokok ini yang tiba-tiba muncul di Kuala Nerus.

Berita mengenai kehadiran pokok dari keluarga kekabu yang didatangkan khas dari Brazil dan berusia lebih 250 tahun itu, menarik perhatian orang ramai dan kini dikatakan akan dijadikan ikon bandar baharu Seberang Takir.

Pemilihan pokok itu yang dikenali sebagai pohon benang sutera atau nama saintifiknya Ceiba Speciosa yang hidup di Amerika Selatan, dianggap “sememangnya tepat”.

Itu kata Terengganu Times, namun belum ada sepatah perkataan pun keluar daripada  mulut Menteri Besar mengenai ikon bandar baru itu.

Portal milik kerajaan Terengganu itu melaporkan, selepas menghubungi pihak berkaitan (siapa?) didapati pokok itu bukan dibeli oleh kerajaan negeri sebaliknya adalah sumbangan korporat.

“Segala bukti pembelian serta pembayaran dengan jelas menunjukkan bahawa pokok itu bukan dibeli oleh kerajaan negeri dan sudah pasti Menteri Besar sendiri Datuk Seri Ahmad Razif langsung tidak tahu menahu dakwaan tersebut kerana bukan kerja MB hendak beli pokok hiasan.

Bagi menghilangkan keraguan serta tandatanya, adalah baik jika kerajaan negeri atau Menteri Besar sendiri membuat kenyataan, siapa atau badan korporat mana menghadiahkannya.

Juga berapakah jumlah atau harga bagi tiga pokok berkenaan.

Ini kerana diviralkan di laman FB seseorang mengenai tiga pokok yang dikatakan berharga RM180 ribu setiap satu yang kononnya dibeli oleh kerajaan negeri.

Terengganu Times menganggap viral itu sebagai serangan yang sengaja ditujukan terhadap Ahmad Razif yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus sedangkan tidak disertakan  sebarang bukti pembelian atau dokumen berkaitan.

“Hanya mengambil gambar dan tular di dalam media sosial sahaja untuk memberi persepsi negatif terhadap kerajaan BN yang ditadbirurus oleh Ahmad Razif ketika ini.

Dengan usia pokok serta dibawa dari Brazil sepatutnya harga pokok itu adalah lebih mahal dari RM180 ribu. Kayu balak tempatan yang berkualiti tinggi juga harganya amat mahal inikan pula pokok yang digelar antara pohon berbunga terindah di dunia,” tegas Terengganu Times.

Malah menurut portal milik kerajaan negeri itu, sepatutnya sebagai rakyat Terengganu mereka berbangga kerana pokok yang amat jarang wujud di Malaysia ada di Kuala Nerus.

Di negeri jiran kita pula pokok kurma yang ditanam pun menjadi daya tarikan inikan pula pokok yang bernilai tinggi seperti jenis Ceiba Speciosa.


Malah, Terengganu Times mencadangkan agar pemilik FB yang memviralkan isu ini disaman oleh Menteri Besar kerana  berani melakukan fitnah secara terbuka terhadap Menteri Besar.

Ahmad Razif, Ahmad Razif dan terus Ahmad Razif.

No comments:

Post a Comment