Monday 26 June 2017

ISUNYA ADALAH WANG RM90 JUTA, BUKAN ‘MENENTANG ISLAM’


Kesian dengan parti PAS. Pemimpinnya sering 'ketinggalan bas dan kereta api' malah ada yang memasuki lorong salah dalam menangani isu yang dihadapi parti mereka.

Semalam seorang pemimpinnya menganggap ‘kes mahkamah Sarawak Report dengan PAS’ sebagai pakatan moden peringkat antarabangsa mahu melawan PAS.

Ia berikutan kejayaan Sarawak Report berjaya mengumpul dana  sebagai biaya melawan saman PAS terhadapnya.

Malah PAS menganggap usaha itu sebagai usaha kumpulan yang bersatu mahu ‘memadam cahaya perjuangan PAS’.

Malah, dituduhnya apa yang dilakukan oleh Sarawak Report itu sebagai ‘dendam dan benci kepada PAS kerana PAS parti tegar dengan prinsip Islam.’

Amat jauh tersasar apa yang disebutkan oleh Naib Presiden PAS  Idris Ahmad mengenai perkara ini.

Isu sebenar apa?

Isu sebenar ialah Sarawak Report mahu mempertahankan drirnya kerana artikelnya yang ‘mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalurkan RM90 juta kepada PAS’

PAS menafikannya dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  pada 21 April lalu memfailkan saman fitnah terhadap Sarawak Report di Mahkamah Tinggi di London.


Apakah isu ini isu agama atau semata-mata  isu berkaitan ‘sumbangan wang oleh Perdana Menteri kepada PAS’ ?

Kerana sampai jauh sekali telahan pemimpin PAS yang seolah-oleh menganggap isu ini sebagai isu bencikan PAS kerana perjuangkan Islam.

Laporan FMT semalam menyebut, sehari selepas portal Sarawak Report mengutip £30,000 (RM160,000) hasil sumbangan orang ramai untuk membantu membela diri dari saman Presiden PAS itu, PAS juga meminta ahlinya supaya menyumbang kepada yuran guaman mereka.

Idris dipetik sebagai  berkata,  dalam masa tiga  hari sahaja Sarawak Report berjaya mengutip jumlah itu daripada 615 penyumbang.

“Mungkin akan dapat banyak lagi,” katanya dalam kenyataan di Harakahdaily semalam.

Tegasnya: “Pakatan moden peringkat antarabangsa akan melawan PAS.”

“Mereka akan bersatu untuk memadam cahaya perjuangan PAS. Mereka cukup dendam dan benci pada PAS kerana PAS parti tegar dengan prinsip Islam.”

Malah beliau menuduh mereka yang menyokong Sarawak Report akan berlumba-lumba untuk menderma kepada portal itu, dan PAS akan menghadap semua cabaran ini “dengan kekuatan ahli PAS”.

“PAS tidak tunduk kepada sesiapa. PAS tidak ada tuan yang memberi dedak sama ada tuan luar negara atau dalam negara. PAS adalah PAS.”

Dilaporkan kelamrin  Sarawak Report berjaya mengutp dana dalam masa sesingkat 3 hari sahaja melalui platform dana terbuka Crowd Justice. Setakat ini mereka berjaya mengutip £30,452 hasil sumbangan 615 penyumbang.

Sarawak Report berkata ia berdepan yuran guaman yang mahal apabila memfailkan pembelaan terhadap saman Hadi.

Sarawak Report pada 6 Ogos tahun lalu yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Datuk Seri Najib Razak “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan UMNO.


Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan PADA 27 April lau berkata, PAS menuntut ganti rugi “besar”, tetapi enggan mendedahkan jumlahnya.

Parti itu turut memohon injunksi terhadap artikel bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections – COMMENT”.

Takiyuddin berkata, artikel itu boleh membayangkan Hadi secara peribadi menerima suapan besar daripada perdana menteri sebagai pertukaran untuk PAS berkompromi dari segi pendirian politiknya. “Ini tuduhan tidak benar sama sekali.

“Dakwaan rasuah seperti ini jelas merosakkan reputasi presiden PAS yang menunjukkan komitmen kepada proses demokrasi untuk tempoh lama, di mana falsafah politik dan tindakannya jelas mencerminkan beliau berpegang teguh kepada prinsip serta ajaran Islam.”

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta setiap ahli menyumbang RM5.00 sementara setiap pemimpin RM100.00 untuk biaya tindakan undang-undang itu.

Di muktamar PAS baru-baru ini, parti itu menubuhkan tabung khas untuk mengutip dana bagi membiayai perbelanjaan undang-undang yang mahal.


Parti itu dilaporkan berjaya mengutip RM200,000.

Saturday 3 June 2017

KEBARANGKALIAN DALAM ISU ‘RM9.5 JUTA KEPADA 'PEGUAM NAJIB'...


Kerajaan pernah memberitahu Parlimen bahawa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah – peguam kerajaan dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim  dibayar hanya RM1,000.

Bayaran itu untuk tugasnya bertindak sebagai pendakwa utama dalam kes berkenaan.

Hakikatnya, seperti ditegaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini bahawa beliau sedniri tidak tahu jumlah bayaran kepada Shafee.

Bagaimanapun, selepas Sarawak Report  membuat dakwaan bahawa menerima RM9.5 juta daripada Najib dalam dua bayaran - pada 11 September 2013 dan pada 17 Februari 2014, banyak kebarangkalian timbul.

Kerana itu tidak hairanlah apabila Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara mahu Shafee Abdullah disiasat.

Shafie  adalah peguam kanan yang mengetuai pihak pendakwaan dalam kes liwat Anwar dan  berjaya mensabitkan tuduhan liwat terhadap bekas Ketua Pembangkang itu.

Pertanyaan asas ialah apakah tujuan dana besar ini disalur oleh Perdana Menteri  kepada akaun peribadi seorang peguam swasta yang dilantik oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak untuk mengendalikan pendakwaan terhadap beliau?

Jelas dan nyata perbuatan itu menggambarkan keberangkalian lain apakah ada lagi mereka yang turut menerima duit dari SRC International melalui akaun peribadi Najib berkaitan kes ini?


Keterlauankah kalau ditanya apakah Mohd Saiful Bukhari Azlan serta ayahnya juga turut menerima ‘habuan Najib’?

Ini bukan tuduhan, sekadar pertanyaan.

Yang nyata Putrajaya, dalam satu keputusan yang mengejutkan pada 22 Julai 2013, melantik Shafee untuk mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Anwar di Mahkamah Rayuan.

Tindakan ini bertentangan dengan amalan konvensional yang bergantung kepada khidmat pendakwa raya.

Bagi Anwar, dakwaan yang dibuat Sarawak Report bahawa dana berjumlah RM 9.5 juta dari syarikat SRC International telah disalur Perdana Menteri dari akaun peribadi beliau ke dalam akaun peribadi peguam UMNO itu sangat berat.

Kerana itu isu ini perlu disiasat dengan segera, apa lagi sudah ada asas kepada siasatan itu apabila Ketua ARMADA  Parti Bersatu Pribumi Malaysia (ppbm) Syed Saddiq Abdul Rahman awal pagi semalam sudah  membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.


Syed Saddiq dalam laporan itu dengan jelas menamakan Shafee Abdullah sebagai peguam yang menerima dana daripada Najib.

Tindakan Ketua ARMADA PPBM ini yang mendahului kumpulan lain membuat laporan polis membuktikan bahawa PPBM serius menentang amalan menggunakan wang untuk menjatuhkan musuh politik, apa lagi menyalahgunakan sistem kehakiman.

Syed Saddiq berkata walaupun kerajaan mempunyai kuasa untuk melantik seorang pendakwa raya luaran, namun bayaran hendaklah dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan bukan perdana menteri.

Susulan tindakan Syed Saddiq itu, peguam mantan Ketua Pembangkang itu N Surendran berkata pihaknya  akan membincangkan tindakan undang-undang seterusnya.

"Kami akan bertemu dengan Anwar dan segera melihat langkah seterusnya susulan dakwaan itu. Kami akan umumkan tindakan yang akan diambil tidak lama lagi," kata Surendran hari ini.

Perkara ini akan dibincangkan dengan Anwar awal minggu depan kerana perkara ini memberi kesan kepada ank gaumanya.

Nazri yang merupakan bekas menteri undang-undang hari ini menepis dakwaan yang berkisar mengenai bayaran sejumlah RM9.5 juta daripada Perdana Menteri  kepada Shafie itu.

"Saya tidak percaya. Mengapa Najib kena bayar? Kerajaan perlu bayar (Shafee) bukan Najib. Sarawak Report tiada kredibiliti," kata Nazri.

Apa yang akan terus berlaku selain perdebatan mengenai kebarangkalian ialah aka nada  lebih bandak desakan  melalui laporan polis.

Esok dilaporkan akan ada laporan polis daripada PKR umpamanya di Kangar dengan semangat kata-kata Anwar bahawa ‘Kalau Mahkamah bebas, Saya Bebas”.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Anwar dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas bekas timbalan perdana menteri itu.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan tuduhan liwat terhadap Anwar.