Sunday 18 February 2018

'PAK AJI' SUDAH TIDAK SIBUK MENENTANG ‘PARTI SARKAS’



Nampaknya pertelingkahan PAS dan Parti AMANAH  Negara (PAN) tidak akan sampai ke penghujung.

Selepas  melabelkan pemimpin PAN sebagai ;pengkhianat’ kini PAS mengatakan PAN parti ditubuhkan  untuk memecah-belahkan umat Islam, undi Melayu.

Paling mustahak, PAN didakwa  memberi talian hayat kepada UMNO.

Bagi pemimpin PAN pula, tindakan partinya meletakkan calon di kerusi yang sebelum ini ditandingi PAS kerana pada masa ini, PAS  tidak lagi sibuk menentang ‘parti sarkas’.

‘Parti sarkas’ dipercayai merujuk pada UMNO.

Ahli Jawatankuasa PAN Nasional, Hanipa Maidin berkata semuanya ini ekoran pendirian parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang – PAS - sudah berubah daripada perjuangan asalnya.


“Kami (AMANAH) sibuk di situ sebab parti Pak Aji (Abdul Hadi) dah tak sibuk nak lawan parti sarkas lagi kat situ.

“Hingga ada rakyat yang dah tak nampak lagi beza parti suci dan parti sarkas,” sindirnya dengan menggelar PAS sebagai ‘parti suci’.

Menurut Pengerusi Biro Undang-undang PAN (Kanun) berkenaan,  “Lihat saja wawancara Pak Aji. Mana ada cuit parti sarkas macam mana Pak Aji cuit AMANAH (PAN)  dan DAP.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan pertanyaan berikut:

1.     “Kalau PAN (PAN) mahu masuk lawan UMNO, kenapa sibuk masuk kerusi PAS yang menjadi tradisi pertandingan UMNO-PAS sejak puluhan tahun?”

2.     “PAN adalah hasil ijtihad yang salah daripada campur tangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tetapi sekarang laksana melukut di tepi gantang sahaja.

Dalam  wawancara bersama Mingguan Malaysia kelmarin  mengenai sejauh mana kehadiran PAN memberi kesan kepada PAS,  Abdul Hadi mengakui PAS beberapa kali berdepan perpecahan ahlinya, yang kemudian membentuk parti serpihan sejak 1960-an lagi.

“Parti Imam, parti Islah, [pada] 1970-an, Parti Berjasa, (pada)] 1980-an, parti Hamim, itu pecahan PAS, yang semuanya ditenggelam zaman.


“Sebahagian besar daripada mereka kembali semula kepada PAS. Sepatutnya mereka mengambil iktibar sejarah lama ini. 

“Mungkin mereka ini orang baru, tidak tahu cerita lama,” kata naib ketua Kesatuan Ulama Sedunia.

Hanifa menyatakan rasa pelik dan menyelar pendapat Abdul Hadi apabaila mengatakan, “Parti sarkas dan MO1 (Malaysian Official 1) tak tercuit. Kalau cuit sikit-sikit tu sajalah nak ‘berlakon’, konon kami juga lawan parti sarkas.”

Beliau berpendapat, pertikaian Abdul Hadi yang dipanggil sebagai ‘wirid’ tersebut akan sama disebut ulang penyokong tegar parti yang bermusuhan dengan Pakatan Harapan itu.


“Wirid beliau (Abdul Hadi) yang akan selepas ini dibasahi di bibir ahli bawah seperti mana burung belatuk ber’wirid’.

“Betul, ke salah, tak penting dalam tradisi orang berwalak (setia). Itu yang pemimpin macam dia seronok,” bidasnya.

Sebaliknya menurut Abdul Hadi, PAS bertanding untuk membuat perubahan dasar dan sistem kepada penyelesaian Islam.

“Sama ada PAS menjadi kerajaan memerintah atau pembangkang yang menasihat. PAS berhasrat menjadikan Malaysia negara yang sejahtera dengan mengubah dasar negara, dan urus tadbir yang sesuai dengan penuh berhikmah dan matang.

“Selain itu PAS sedang bekerja bersungguh-sungguh untuk menang paling kurang 40 kerusi. Dengan kemenangan itu PAS ada pengaruh untuk menentukan kerajaan dan mencapai matlamat perjuangan Islam,” kata beliau sebagaimana dilaporkan.

Hanifa menepis pendapat itu dengan menyifatkan PAS sudah banyak kali membantu UMNO melalui kenyataan dan sikap pimpinan parti tersebut ketika kononnya mengamalkan politik matang dan sejahtera.