Sunday 12 March 2017

SENJATA KOREA UTARA - SOLAT HAJAT TUTUP 'KEBEJATAN KERAJAAN'???


“Kita sendiri yang membuka ruang untuk orang memasang jebak atau perangkap yang hari ini rakyat dan pegawai kita di Pyongyang menjadi taruhan. Rakyat pula diminta bersembahyang hajat untuk menutup segalanya?”

Kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan kepada rakyat tempatan dan masyarakat antarabangsa bahawa terdapatnya syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara (KU) di negara ini.

Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya membuat penjelasan terperinci dengan segera mengenai dakwaan itu.

Selain isu penjualan senjata KU di negara ini, tanda tanya turut membabitkan kemudahan Imigresen tanpa visa oleh rakyat KU ke negara ini.
  
Dakwaan Malaysia terlibat menjual senjata dari KU  ini adalah susulan kepada berita bahawa ada pemimpin veteran UMNO yang berurusniaga dengan kerajaan KU melalui anak syarikat negara itu -  Global Communications Company (Golcom)

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, Kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan kepada rakyat tempatan dan juga masyarakat antarabangsa bahawa terdapatnya syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara di negara ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, beliau berkata, Najib seharusnya memberikan penjelasan tentang keterlibatan penjualan senjata dari KU oleh Global Communications Company (Golcom) yang kemudiannya menukar identiti kepada International Golden Services (IGS).

“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri mana mungkin Najib boleh menafikan bahawa Malaysia telah menjadi destinasi penjualan senjata haram oleh negara KU yang bertentangan dengan sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).”

Ketua Polis Negara...dalam proses batal dua syarikat.
Tegasnya, perkembangan terbaru ini telah membawa masalah dan reputasi Malaysia di mata badan dunia tersebut.

Dalam erti kata lain, kata Salahuddin, “kita sendiri yang membuka ruang untuk orang memasang jebak atau perangkap yang hari ini rakyat dan pegawai kita di Pyongyang yang menjadi taruhan.”

“Rakyat pula diminta bersembahyang hajat untuk menutup segalanya?” kata beliau seperti dilaporkan FMT.

Salahuddin menambah, masyarakat antarabangsa umumnya sedia maklum bahawa KU adalah di antara negara penyangak di mana hubungan diplomatik dan hubungan dagang harus ditangani dengan teliti dan cermat sesuai dengan beberapa konvensyen dan peraturan antarabangsa.

Tambahnya, apabila berlaku krisis Kuala Lumpur-Pyongyang ketika ini akibat pembunuhan politik abang tiri pemimpin Korea Utara, ada pihak termasuk Reuters telah dapat menimbulkan beberapa penemuan menarik yang semacam tersembunyi daripada pegetahuan umum sebelum ini seperti kemudahan Imigresen tanpa visa oleh rakyat KU ke negara ini.

“Terdapat syarikat yang beroperasi menjual senjata buatan KU yang juga dimiliki oleh orang kuat sebuah parti politik di negara ini.

“Dikatakan KU dapat mewujudkan pusat penjualan senjata mereka di Kuala Lumpur,” katanya sambila perdana menteri seharusnya memberikan penjelasan tentang isu ini.

Akhir bulan lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak berkuasa dalam proses membatalkan pendaftaran dua syarikat Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi risikan KU.

Katanya,  dua syarikat itu adalah International Global System Sdn Bhd dan International Golden Services Sdn Bhd yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan Glocom.

Glocom ialah singkatan untuk Global Communications Co yang dikawal Biro Umum Peninjauan – agensi perisikan KU ditugaskan untuk operasi luar negara dan perolehan senjata yang dikenakan sekatan oleh PBB.

Reuters melaporkan Glocom yang menjual peralatan perang beroperasi dari pejabatnya di Brickfields, dikatakan menutup kegiatan intipan bagi pihak KU.

Glocom pernah menyertai pameran senjata dua tahun sekali di Malaysia, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia sekurang-kurangnya 3 kali sejak 2006, menurut laman web Glocom.

Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang mempunyai hubungan baik dengan Pyongyang.

Bagaimanapun, hubungan itu menjadi tegang selepas Kim Jong Nam, abang sebapa kepada diktator KU, Kim Jong Un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment