Tuesday 28 March 2017

SUDIKAH PAS BEKERJASAMA DENGAN UMNO PADA PRU14?


Pemimpin UMNO Terengganu meloncat-loncat gembira apabila empat kawasan PAS Terengganu mencadangkan agar diputuskan kerjasama dengan PKR.

Mereka merasakan keputusan PAS itu sudah muktamad dan akan memberikan  kelebihan kepada UMNO tanpa melihat wujudnya Pakatan Harapan (PH) yang juga gagah serta mampu mencabar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar begitu gembira dan mengajak supaya PAS bersama-sama UMNO.

Pebuatan ‘menangguk di air keruh’ yang dilakukan oleh Iskandar itu menmggambarkan betapa BN dan UMNO kini begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan PAS bagi menjamin UMNO terus berkuasa di Terengganu.

Atau setidak-tidaknya, UMNO mahu PAS menjadi rakan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti bagi menjamin UMNO kekal memerintah.

Untuk membentuk kerajaan, sesebuah parti atau pakatan parti perlu memiliki 17 kerusi di DUN Terengganu daripada 32 kerusi dipertandingkan.

Ketika ini PAS  memiliki 14 kerusi, UMNO dengan 17 kerusi sementra PKR hanya satu kerusi.

Iskandar...ajak PAS bekerjasama.
Pada pilihan raya lalu, PKR bertanding di enam kerusi DUN dan hanya memenangi kerusi DUN Bandar.

Ketika ini PKR adalah rakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta AMANAH dalam PH yang baharu dibentuk, termasuk DAP. Bagaimanapun, DAP tetap tidak bertanding di Terengganu walaupun ada pengundi Cina di beberapa DUN yang disifatkan sebagai ‘bandar’.

Usul  untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR bukanlah sesuatu yang baharu. Ini kerana usul itu pernah dikemukakan oleh Dewan Muslimat PAS pada muktamar tahun lalu.

Namun usul itu tidak mendapat respons ketika itu.

Bagaimanapun, kali ini mungkin ada reaksi sekiranya banyak kawasan yang sepakat untuk membawa usul tersebut.

Selain Terengganu, semalam 12 daripada 13 kawasan PAS di Pulau Pinang turut meluluskan usul menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Kini sebanyak empat kawasan PAS di Terengganu yang telah selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan, sebulat suara meluluskan usul agar parti itu memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.

Iskandar ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan kelima, DUN ke-13, di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu semalam, secara rasmi  mempelawa PAS menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan parti itu.

Ini  memandangkan kedua-duanya selari dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan agama Islam.

Tidak diketahui pelawaan itu dibuat atas kaPASiti peribadi atau memang mendapat mandate daripada Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Usul batal kerjasama dengan PKR
Menurut Iskandar,   kerjasama antara dua parti yang mendominasi politik Terengganu itu amat diharapkan bagi mengukuhkan perpaduan dan mewujudkan kerjasama dalam kalangan pemimpin di negeri itu.

 “Kalau di Pulau Pinang, PAS telah mengusulkan untuk memutuskan hubungan politik dengan parti komponennya sebelum ini (PKR), kita harap di Terengganu lapan bahagian PAS pun akan melakukan perkara sama, marilah bersama-sama dengan kita. Insya-ALLAH,” katanya.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS negeri Satiful Bahri Mamat berkata semalam empat kawasan itu ialah Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Itu adalah suara di peringkat akar umbi. Mereka berhak mencadangkan usul itu untuk perhatian pemimpin tertinggi parti pada Muktamar PAS nanti, seterusnya keputusan akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura.

"Bagi PAS Terengganu, kita buka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk akar umbi menyuarakan pendapat mereka pada mesyuarat agung tahunan... seterusnya mengusulkan perkara itu ketika Muktamar PAS berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah pada 28 April depan," katanya kepada pemberita di luar persidangan DUN Terengganu semalam.

Sementara empat lagi kawasan iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu, kawasan itu sudah selesai mengadakan mesyuarat agung sebelum isu tahaluf siyasi dengan PKR kembali hangat diperkatakan.

Ditanya adakah PAS akan terjejas pada pilihan raya umum ke-14 akan datang sekiranya Majlis Syura bersetuju untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR, Satiful berkata PAS Terengganu dijangka tidak mempunyai masalah besar dalam hal itu.

"Terengganu tak ada masalah sangat, tapi tak tahu di negeri lain macam Selangor.

Tapi ini perkara yang berbeza kerana sekarang adalah hubungan antara parti dengan parti, bukan PAS dalam kerajaan," katanya.

Di sebalik ajakan UMNO, PAS Terengganu masih berminat untuk berunding dengan PPBM ke arah kerjasama dalam PRU14.

Difahamkan ada beberapa pertemuan tidak rasmi antara pemimpin PAS Terengganu dengan pemimpin PPBM bagi tujuan tersebut.


Sikap PAS sama ada akan berunding dengan PPBM juga dijangka akan diputuskan pada Muktamar PAS pada April nanti.

No comments:

Post a Comment