Tuesday 25 September 2018

LAPORAN SPRM - SOKONGAN KEPADA KEM AZMIN ALI TERJEJAS?



“Saya secara peribadi membaca laporan dan menonton video (pertemuan yang dikatakan itu) dan sudah pasti ia cukup mengganggu."

Demikian ditegaskan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai dakwaan rasuah terhadap setiausaha politik seorang menteri daripada PKR.

Sudah pasti Anwar terganggu kerana aduan ini melibatkan parti, pemimpin parti dan seorang yang berkedudukan penting di pejabat Menteri dari PKR.

Bagi Anwar, mudah. Kerana beliau ‘terganggu’, maka terserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat individu berkenaan yang dikenali sebagai ‘Z’.

Malah dikatakan Anwar akan bertemu Menteri Kerja Raya Baru Bian bagi mendapat penjelasan mengenai hal itu yang disifatkannya sebagai cukup menganggu.

Semalam  Penyelaras AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razak memfailkan laporan ke SPRM terhadap setiausaha politik Baru Bian yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Ahmad Syukri Che Ab Razab (tengah) menggesa SPRM menyiasat dakwaan salah laku setiausaha politik di sebuah kementerian berdasarkan bukti dikemukakannya.

‘Z’ didakwa  menawarkan kontrak pembinaan infrastruktur bernilai RM20,000 kepada beberapa pemimpin setempat di Pahang sebagai habuan untuk meraih sokongan dalam pemilihan parti itu.

Ahmad Syukri percaya tawaran itu ada kaitan dengan pemilihan PKR tahun ini.

;Z’ didakwa oleh Ahmad Syukri  terbabit bertanding untuk merebut jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat dan ketua cawangan di Pahang, selain berkempen untuk kem Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Perkara penting di sini ialah apakah  ‘politik wang’, janji projek dan banyak lagi digunakan untuk memenangkan diri dan kem yang disokong.

Juga, apa rangkaian kempen individu berkenaan dengan pengundi dan penyokong kem Azmin di negeri lain, khususnya Pantai Timur?

Apakah aduan ini jika disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjejaskan sokongan kepada kem Azmin Ali?


Malah ‘Z’ ini didakwa menjadi ‘funder’ kepada anggota kempen bagi kemenangan Azmin di Pahang selain di Kelantan dan Terengganu.

Ahmad Syukri mendakwa  menerima “pendrive” mengandungi maklumat mengenai tawaran setiausaha politik itu dalam sebuah mesyuarat di Pahang pada 1 September lalu, daripada seorang individu kelmarin.

Laporan sudah dibuat  di ibu pejabat SPRM Putrajaya semalam.

Syukri turut mendakwa satu rakaman audio selama 20 minit mengandungi kenyataan setiausaha politik terbabit memaklumkan beliau bakal mendapat peruntukan berjumlah RM300,000 daripada sebuah kementerian lain yang perlu dibelanjakan sebelum hujung tahun ini.

 “Saya amat berharap SPRM dapat menjalankan siasatan sewajarnya terhadap aduan saya ini, seterusnya mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan ketelusan tatakelola kerajaan sentiasa terpelihara.”

Syukri juga mendakwa, setiausaha politik itu juga memiliki hubungan dengan dua kementerian lain, yang membolehkannya mendapatkan peruntukan lebih lanjut.
Baru dalam kenyataannya kemudian berkata beliau mengalu-alukan sebarang siasatan pihak berkuasa terhadap kementeriannya.

"Buat saya, jika tindakan itu betul ia tak boleh tolak ansur sama sekali, khususnya selepas kami telah berjuang dengan kuat menentang amalan rasuah. Proses undang-undang patut berjalan," katanya.

Dengan kedudukan di mana Anwar dan Baru Bian berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya, aduan Ahmad Syukri perlu diberikan perhatian mendalam.

PKR tidak boleh membenarkan politik wang bermaharajalela dalam pemilihan parti kerana jika amalan ini dibenarkan, PKR akan berdepan dengan nasib seperti UMNO.

Friday 7 September 2018

KETUA CABANG PKR KT - AZAN BERDEPAN LALUAN BERDURI...



Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berdepan cabaran besar untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu.

Cabaran ini bukan sekadar datang daripada adanya pertandingan tiga penjuru untuk jawatan itu tetapi juga ‘gangguan’ daripada luar.

Ia tidak ada kena mengena dengan UMNO atau PAS. Namun ia ada kaitan dengan pemimpin parti rakan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) sendiri.

Pemimpin PKR Terengganu tahu apa mainan pemimpin HARAPAN khususnya pemimpin AMANAH dan DAP Terengganu.

Amat nyata pemimpin AMANAH menggunakan peluang ini untuk ‘menghentam’ Azan selepas gagal berbuat demikian sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Tidak terkecuali, pemimpin BERSATU turut terlibat, khususnya dari Kuala Terengganu yang cuba menggagalkan Azan daripada mengekalkan kedudukannya.

Mereka tahu, jika Azan gagal mempertahankan dirinya sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, kedudukannya sebagai Pengerusi PKR negeri juga akan melayang.


Kenapa ada gerakan bersepadu ini?

1.     Mereka mahu Azan dinyahkan dari Terengganu dan kumpulan ini terlibat dalam usaha mensabotaj Azan untuk menang kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bandar (N-14) yang menyebabkan Azan kini tidak berjawatan – jelas mereka berjaya dengan strategi ini;

2.     Mereka mahu memalukan Azan melalui usaha kedua – menyekat dipilih semula sebagai Ketua Cabang Kuala Terengganu supaya Azan tidak berjawatan langsung dan mudah untuk ‘menghalau beliau keluar Terengganu’ – strategi yang sedang dijalankan sekarang;

3.     Pemimpin BERSATU Kuala Terengganu terang-terangan ‘menyerang’ Azan dan bersekongkok dengan pemimpin AMANAH Kuala Terengganu berkempen agar menolak Azan dengan berbagai fitnahl dan

4.     Bersekongkol dengan pemimpin PKR Pusat yang menyediakan bantuan kewangan menggunakan cabang Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Dungun untuk menjatuhkan Azan yang dilihat rapat dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim – strategi yang sedang dijalankan secara terang sekarang.

Azan diketahui umum tidak disenangi oleh Pengerusi AMANAH negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dan Pengerusi DAP, Ng Chai Heng.

Malah Pengerusi BERSATU, Datuk Razali idris juga ‘kurang senang’ dengan Azan berakitan tiga ahli BERSATU menyertai PKR untuk bertanding pada PRU-14 di DUN Alor Limbat (Parlimen Marang), DUN Bukit Tunggal dan DUN Seberang Takir (Parlimen Kuala Nerus).

Namun sejauh mana krisis Azan-Razali tidak diketahui tetapi ‘pakatan Raja Bahrin- Chai Heng’ memang jelas sejak sebelum PRU-14 lagi.

Amat menghairankan apabila serangan melalui kumpulan WhatsApp dilakukan oleh penyokong parti AMANAH sementara di kalangan orang Cina dalam DUN Bandar pula ‘dihasut’ oleh penyokong DAP sama ada tidak mengundi Azan (pada PRU-14) dan kini menhasut penyokong PKR agar menolak Azan.

Perbuatan sabotaj terhadap Azan dan PKR ini dilakukan secara terang-terangan dan sejauh ini tiada cara bagi Azan untuk membendungnya.

Malang bagi Azan kerana sebahagian penyokongnya sebelum ini di DUN Bandar dan dalam Parlimen Kuala Terengganu kini ‘menjauhkan diri’ daripada beliau.

Malah, ada program tertentu melibatkan pemimpin pusat PKR kini tidak dimaklumkan kepada Azan dan yang hadir hanya kumpulan yang menentang beliau.

Antara perkara yang diratib kini ialah kononnya Azan sudah ditolak oleh kepimpinan HARAPAN, termasuk oleh Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau tidak dilantik ke jawatan, termasuk Senator.

Raja Bahrin dilantik sebagai Senator dan Timbalan Menteri sementara Razali juga kini Senator dan dijangka akan memegang jawatan penting di Terengganu.

Kesemua senario dan perkembangan ini menyebabkan Azan menghadapi ‘jalan berduri’ walaupun beliau jelas nampak bersemangat dan tidak gentar dengan usaha-usaha seperti disebutkan di atas.

Persoalannya, SELEPAS HARAPAN KALAH HABIS (SIFAR KERUSI DUN DAN PARLIMEN), APAKAH PERKEMBANGAN DI TERENGGANU INI BERGUNA ATAU MENYUMBANG KEPADA PERKEMBANGAN HARAPAN?

ATAU APAKAH INI TANDA-TANDA KEMUSNAHAN KEPADA HARAPAN DI ATAS KEPUTUSAN HARAPAN PUSAT YANG KHILAF MEMILIH DAN MELANTIK PEMIMPIN HARAPAN TERENGGANU?