Wednesday 31 January 2018

KENAPA SAMPAI SERAH KEPADA PUSAT UNTUK PEMBAHAGIAN KERUSI DUN?



Muktamad sudah Mesyuarat Pakatan (HARAPAN)Terengganu gagal mencapai kata sepakat  dalam isu pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Muktamad juga walaupun dengan hanya 32 kerusi DUN, ada pihak yang tidak mahu menyelesaikan pembahagian kerusi melalui pemuafakatan di peringkat negeri.

Kegagalan HARAPAN Terengganu  memuktamadkan kerusi DUN untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyebabkan terpaksa diserahkan kepada peringkat PUSAT untuk membuat keputusan.

Pengerusi PKR, Azan Ismail tidak bersetuju ia diserahkan kepada peringkat pusat kerana sewajarnya dengan hanya 31 kerusi DUN (tidak termasuk DUN Bandar), ia dapat diselesaikan melalui semangat musyawarah.

Beliau memberi amaran kedudukan ini akan menyebabkan BN/UMNO dan PAS mudah menyerang PAKATAN sebagai 'gagal bermuafakat'.


Namun jelas AMANAH yang banyak bertindan kerusi dengan PKR enggan merundingkannya di peringkat negeri.

AMANAH mengharapkan ‘tuah berpihak kepada mereka’ jika ditetapkan oleh PUSAT.


Azan Ismail...patut diselesaikan di peringkat negeri.
PKR menuntut ‘Formula 12-10-10’ iaitu PKR mendapat 12 kerusi DUN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta AMANAH mendapat masing-masing 10 kerusi berdasarkan faktor PKR parti pembangkang yang lama bertapak di Terengganu.

PPBM bersetuju dengan formaula itu, malah sejak awal perundingan hanya meminta 10 kerusi DUN, walaupun kini hasil pembahagian itu PPBM mungkin mendapat satu lagi kerusi yang kedua-dua parti – AMANAH dan PKR – tidak menuntutnya.

Selain itu, PKR berhujah permintaannya itu berdasarkan kedudukan di mana ia  mendapat kerusi Parlimen paling sedikit iaitu hanya dua  berbanding PPBM dan AMANAH yang masing-masing mendapat tiga (ada lapan kawasan Parlimen di Terengganu).

Apa yang dituntut oleh PKR kebanyakannya di kawasan Parlimen yang mereka bertanding, iaitu di Parlimen Dungun dan Kemaman.

Walaupun sudah mendapat dua kerusi masing-masing di Parlimen yang mereka tandingi – Kuala Nerus dan Marang – AMANAH tetap mendesak dua kerusi di Dungun, Kuala Terengganu dan Kemaman.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan kegagalan berkenaan:

1.     1. Formula awal  yang dipersetujui  iaitu setiap parti mempunyai wakil mereka di DUN tidak dipatuhi dan sering dibuat U-Turn oleh AMANAH;

         2.  AMANAH berterusan mempertikaikan kerusi DUN Bandar yang dianggap sebagai kerusi INCUMBENT yang tidak boleh disentuh. Sebaliknya, pada satu mesyuarat dicadangkan supaya diserahkan kepada DAP;

3     3.  Formula setiap parti yang diperuntukkan untuk bertanding Parlimen diberikan  peluang untuk bertanding sekurang-kurangnnya dua kerusi DUN tIdak dipersetujui oleh AMANAH;dan

 

       4.  Pengerusi HARAPAN, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad yang mempengerusikan mesyuarat gagal membuat pendirian tetapi sering memihak kepada kepentingan partinya, AMANAH (beliau adalah Pengerusi AMANAH Terengganu).

Memandangkan wujudnya keadaan ini, HARAPAN di Terengganu dilihat tidak bersatu dan mudah untuk BN/UMNO dan PAS menyerang pakatan pembangkang ini. Ia kelak akan merugikan usaha HARAPAN menawan Terengganu daripada BN/UMNO.

Juga, akibat kedudukan ini, AMANAH menggunakan NGO dan tentera sibernya menyerang PKR dan Azan yang akan menyebabkan rakyat muak dengan permainan ini.

Persoalannya, kenapa AMANAH merasakan dirinya begitu istimewa?

Apakah kerana Raja Bahrin menjadi Pengerusi HARAPAN  Terengganu maka secara automatik parti itu mesti bertanding paling banyak?

Persoalan di sebalik itu ialah mahu bertanding banyak kerusi atau mahu menumbangkang BN/UMNO, bukannya PAS semata-mata.

(Kedudukan kerusi DUN di Terengganu ketika ini ialah BN?UMNO sebanyak 17, PAS 15 dan 1 PKR).

Thursday 11 January 2018

PKR PALING RUGI DALAM PEMBAHAGIAN KERUSI PARLIMEN DI TERENGGANU...


Parti mana paling kecewa dalam pembahagian kerusi Parlimen di kalangan Pakatan Harapan (PH) di Terengganu?

Parti PAN Negara (PAN), PKR, DAP atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Pengumuman pada Konvensyen PH di Shah Alam pada 7 Januari 2018 jelas tidak berpihak kepada PKR.

Parti pembangkang yang paling lama di kalangan anggota pembangkang di Terengganu itu hanya diperuntukkan dua kerusi – Dungun dan Kemaman.

Pada ketika PPBM mendapat tiga kerusi – Besut, Setiu dan Hulu Terengganu – dan PAN mendapat Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, jelas PKR yang paling sedikit.

DAP tidak berfungsi di Terengganu kerana orang Cina Terengganu sama ada sokong PKR atau MCA. DAP tidak pernah ‘wujud’ dalam politik orang Cina Terengganu.

Amatlah menghairankan apabila Ketua Pemuda PH, Hasbie Muda membuat kenyataan bahawa Pemuda PAN Terengganu menyifatkan parti itu menjadi korban untuk meletakkan calon bertanding di Marang.


Hasbi yang juga Ketua Pemuda PAN mempertikaikan keputusan PH Posit apabila mengatakan awalnya phaknya minta kerusi Kuala Nerus, Dungun dan Kuala Terengganu tetapi diberikan Marang bukan Dungun.

Bermakna dari awal lagi PKR enggan bertanding di Marang.

Sebaliknya kata Hasbi seperti dilaporkan portal rasmi PAN, Malaysia Dateline 8 Januari lalu menyalahkan  PPBM dan PKR kononnya mendesak PAN untuk bertanding di kerusi yang disandang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

“Ya. PAN jadi korban. Parti lain sama ada PPBM mahupun PKR menolak untuk meletakkan calon mereka di Marang,” tegasnya.

Pelik apabila PAN mengatakan ia dijadikan korban kerana antara persetujuan awal ialah PAN akan bertanding di mana PAS bertanding. Apalagi PAN mahu menggantikan PAS.

Alasan lain PAN kecewa menurut Hasni ialah PAN Terengganu saban minggu menggiatkan gerak kerja di Parlimen Dungun.

“Agak kecewa sebab PAN Dungun konsisten buat gerak kerja sejak awal lagi.PAN Dungun hampir setiap minggu buat kerja turun padang,” ujarnya.

Apakah suara Hasbi ini suara Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang selalunya bercakap berselindung di belakang pemimpin PAN lain?

Apakah Hasbi menyelami perasaan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail mengenai keputusan PKR Pusat merundingkan kerusi bagi negeri Terengganu?


Apakah Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar itu tidak kecewa?

PKR yang menggerakkan PH negeri sebelum PH Pusat ditubuhkan tiba-tiba mendapat dua kerusi sahaja berbanding PAN dan PPBM sudah pasti mengecewakan Azan.

Namun apakah beliau membuat kenyataan atau meluahkan perasaann ya di media?

Nampaknya PAN sangat tamak dan boleh main ‘tolak-tolak’ kerusi Marang dan meminta PPBM atau PKR bertanding di situ.

Mudah sahaja bagi PAN, jika tidak mahu kerusi Marang, bertanding sahaja di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Juga jangan buat pengumuman yang bersifat ‘bocor’ di media mengenai hasil perbincangan dalam mesyuarat PH Terengganu dalam soal perundingan kerusi Parlimen atau negeri untuk berdepan pilihan raya umum ke-14 ini.

Masihkah PAN  tidak belajar daripada pengalaman ketika dalam PAS apabila hasil mesyuarat sering didedahkan kepada pihak luar atau membuat kenyataan media jika tidak berpuas hati?

PH adalah gabungan yang mementingkan semangat persefahaman dan menerima keputusan seperti ditunjukkan oleh PKR.

PAN wajib belajar sikap PKR kerana ia bukan sahaja berkorban di Terengganu tetapi juga di pusat.

PKR menerima keputusan dengan penuh semangat persefahaman apabila  mendapat kerusi lebih sedikit daripada PPBM walaupun hakikatnya PKR mempunyai kerusi jauh lebih banyak (28) di Semenanjung berbanding  PPBM hanya satu (1).