Thursday 11 January 2018

PKR PALING RUGI DALAM PEMBAHAGIAN KERUSI PARLIMEN DI TERENGGANU...


Parti mana paling kecewa dalam pembahagian kerusi Parlimen di kalangan Pakatan Harapan (PH) di Terengganu?

Parti PAN Negara (PAN), PKR, DAP atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Pengumuman pada Konvensyen PH di Shah Alam pada 7 Januari 2018 jelas tidak berpihak kepada PKR.

Parti pembangkang yang paling lama di kalangan anggota pembangkang di Terengganu itu hanya diperuntukkan dua kerusi – Dungun dan Kemaman.

Pada ketika PPBM mendapat tiga kerusi – Besut, Setiu dan Hulu Terengganu – dan PAN mendapat Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, jelas PKR yang paling sedikit.

DAP tidak berfungsi di Terengganu kerana orang Cina Terengganu sama ada sokong PKR atau MCA. DAP tidak pernah ‘wujud’ dalam politik orang Cina Terengganu.

Amatlah menghairankan apabila Ketua Pemuda PH, Hasbie Muda membuat kenyataan bahawa Pemuda PAN Terengganu menyifatkan parti itu menjadi korban untuk meletakkan calon bertanding di Marang.


Hasbi yang juga Ketua Pemuda PAN mempertikaikan keputusan PH Posit apabila mengatakan awalnya phaknya minta kerusi Kuala Nerus, Dungun dan Kuala Terengganu tetapi diberikan Marang bukan Dungun.

Bermakna dari awal lagi PKR enggan bertanding di Marang.

Sebaliknya kata Hasbi seperti dilaporkan portal rasmi PAN, Malaysia Dateline 8 Januari lalu menyalahkan  PPBM dan PKR kononnya mendesak PAN untuk bertanding di kerusi yang disandang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

“Ya. PAN jadi korban. Parti lain sama ada PPBM mahupun PKR menolak untuk meletakkan calon mereka di Marang,” tegasnya.

Pelik apabila PAN mengatakan ia dijadikan korban kerana antara persetujuan awal ialah PAN akan bertanding di mana PAS bertanding. Apalagi PAN mahu menggantikan PAS.

Alasan lain PAN kecewa menurut Hasni ialah PAN Terengganu saban minggu menggiatkan gerak kerja di Parlimen Dungun.

“Agak kecewa sebab PAN Dungun konsisten buat gerak kerja sejak awal lagi.PAN Dungun hampir setiap minggu buat kerja turun padang,” ujarnya.

Apakah suara Hasbi ini suara Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang selalunya bercakap berselindung di belakang pemimpin PAN lain?

Apakah Hasbi menyelami perasaan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail mengenai keputusan PKR Pusat merundingkan kerusi bagi negeri Terengganu?


Apakah Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar itu tidak kecewa?

PKR yang menggerakkan PH negeri sebelum PH Pusat ditubuhkan tiba-tiba mendapat dua kerusi sahaja berbanding PAN dan PPBM sudah pasti mengecewakan Azan.

Namun apakah beliau membuat kenyataan atau meluahkan perasaann ya di media?

Nampaknya PAN sangat tamak dan boleh main ‘tolak-tolak’ kerusi Marang dan meminta PPBM atau PKR bertanding di situ.

Mudah sahaja bagi PAN, jika tidak mahu kerusi Marang, bertanding sahaja di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Juga jangan buat pengumuman yang bersifat ‘bocor’ di media mengenai hasil perbincangan dalam mesyuarat PH Terengganu dalam soal perundingan kerusi Parlimen atau negeri untuk berdepan pilihan raya umum ke-14 ini.

Masihkah PAN  tidak belajar daripada pengalaman ketika dalam PAS apabila hasil mesyuarat sering didedahkan kepada pihak luar atau membuat kenyataan media jika tidak berpuas hati?

PH adalah gabungan yang mementingkan semangat persefahaman dan menerima keputusan seperti ditunjukkan oleh PKR.

PAN wajib belajar sikap PKR kerana ia bukan sahaja berkorban di Terengganu tetapi juga di pusat.

PKR menerima keputusan dengan penuh semangat persefahaman apabila  mendapat kerusi lebih sedikit daripada PPBM walaupun hakikatnya PKR mempunyai kerusi jauh lebih banyak (28) di Semenanjung berbanding  PPBM hanya satu (1).

No comments:

Post a Comment