Monday 31 October 2016

BEKAS PEGAWAI BSI ADA KAITAN DENGAN DANA 1MDB MULA DIBICARA


Yeo Jiawei dianggap sebagai pegawai bank berjaya kerana pada usia 32 tahun sudah memiliki harta bernilai S$26 juta (RM78.52 juta), termasuk seperti yang didakwa, daripada skim haram  dengan menipu bekas majikannya BSI Bank di  Singapura.

Penipuannya itu sangat berkait rapat dengan operasi pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Semalam (31 Oktober 2016) , di hadapan orang ramai yang penuh sesak memenuhi ruang mahkamah, beliau yang kini 33 tahun memakai pakaian yang di belakangnya tertera ‘prisoner’ di bawa ke muka pengadilan.

Peguamnya, Philip Fong dari syarikat  Harry Elias, meminta gari di kedua-dua pergelangan tangannya di buka, namun Hakim Daerah Ng Peng Hong hanya membenarkan dibuka untuk satu tangan sahaja.

Timbalan Pendakwaan Raya Singapura, Tan Kiat Pheng, dalam ucapan pembukaannya menganggap kes perbicaraan semalam sebagai yang paling kompleks, sukar dan kes pengubahan wang haram paling besar’ diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Komersil (CAD).

Apa peranan Yeo dan kaitannya dengan 1MDB?

Pihak berkuasa Singapura membuat pertuduhan terhadap Yeo adalah berkaitan SRC International di mana menurutlaporan Today Online yang berpangkalan di Singapura, Yeo didakwa membantu pemindahan AS$11.95 juta (RM48 juta) daripada SRC International ke Affinity Equity International Partners, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Tan Kim Loong.

The Wall Street Journal sebelum itu melaporkan bahawa Tan adalah pemilik benefisiari daripada Tanore Finance apabila ia mula-mula ditubuhkan, entiti di British Virgin Island yang sama memindahkan AS$681 juta ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dilaporkan, Tanore Finance adalah benefisiari sebahagian daripada wang AS$3.5 bilion 1MDB yang sepatutnya dibayar kepada Aabar Investments PJS tetapi dilencongkan ke sebuah syarikat di British Virgin Island yang mempunyai nama sama - Aabar Investments PJS Limited.

Wang dari Aabar Investments PJS Limited itu melalui beberapa perantara sebelum berakhir di Tanore Finance.

Siasatan di Singapura adalah penting kerana ia mendedahkan buat kali pertama kaitan antara SRC International dan mereka yang mempunyai hubungan dengan isu 1MDB.

Today Online melaporkan pendakwa raya Singapura sebagai berkata bahawa tuduhan terbaru terhadap Yeo yang ketujuh terhadapnya, hasil daripada penyiasatan republik itu ke atas 1MDB, membuka lembaran baru.

Timbalan Pendakwaan Raya Singapura itu berkata Yeo diwawancara oleh CAD pada Oktober 2015 dan ditangkap pada 17 Mac 2016.

Dua lagi bekas rakan sekerja Yeo – Yak Yew Chee and Yvonne Seah – juga berdepan pendakwaan jenayah.

Mereka didakwa atas salah laku terlibat dalam pemindahan wang kepada pelanggan-pelanggannya, termasuk hartawan kelahiran Pulau Pinang Low Teak Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Praperbicaraan untuk mereka berdua dijadual pada 24 November.

Seorang lagi pegawai bank Kelvin Ang, yang dilapor menjadi remisier untuk Maybank Kim Eng Securities, juga didakwa membayar penganalisis kajian untuk menghasilkan laporan penilaian yang memihak dalam sesetengah aset 1MDB.


Prosiding praperbicaraan untuk Ang ditetapkan pada 17 November.

Yeo menghadapi perbincaraan untuk empat pertuduhan menghalang keadilan sementara tujuh tuduhan lagi membabitkan penipuan, pengubahan wang haram serta kesalahan lain akan ditentukan kemudian.

Rakyat Singapura  itu diberikan jawatan sebagai perancang harta oleh bank Switzerland yang berpangkalan di republik itu antara Disember 2009 dan Julai 2014.

Dia dikatakan mengumpul sebanyak $26 juta daripada berbagai sumber, termasuk skim haram dengan niat menipu bank berkenaan ketika bekerja dengan bank berkenaan.

Yeo dituduh menyedia transaksi haram membabitkan 1MDB yang membawa kepada penutupan bank BSI di republik itu.

Satu pertuduhan menyebut, selepas beliau dibebaskan ketika jaminan polis, beliau mengatur satu perjumpaan pada 27 Mac tahun ini di Pergola Cafe di  Swiss Club, Swiss Club Road dengan rakan perniagaannya, Samuel Goh Sze-Wei, dan  Kevin Swampillai, iaitu Ketua Perkhidmatan Pengurusan Harta BSI.

Yeo didakwa meminta mereka berbohong kepada polis dengan mengatakan dana yang dipindahkan oleh Goh ke Bridgerock Investment dan GTB Investment, yang membawa keuntungan masing-masing kepada Yeo dan Swampillai adalah pelaburan Goh.

Selepas meninggalkan BSI. Yeo didakwa meneruskan kegiatan transaksi haramnya yang sesetengahnya dilakukan melalui Amicorp Group.

Pihak pendakwa akan memanggil sembilan saksi bagi tujuan perbicaraan  Yeo yang dilihat orang penting dalam operasi pengubahan wang haram berkaitan skandal dana 1MDB itu.


No comments:

Post a Comment