Showing posts with label 1mdb. Show all posts
Showing posts with label 1mdb. Show all posts

Saturday, 1 April 2017

1MDB - KENAPA MAHU MELINDUNGI PERDANA MENTERI???


Apakah perbuatan mencuri wang rakyat, menyeleweng dan melakukan penipuan bukan perbuatan jenayah?

Kenapa kerajaan tidak berusaha untuk melindungi harta dan khazanah rakyat Malaysia daripada kehilangan atau kerugian, sebaliknya menganggap perbuatan mencuri wang milik 1MDB sebagai perbuatan sivil?

Juga logikkah sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya menasihati rakyat Malaysia untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap penemuan oleh Peguam Negara dan pegawai tinggi Amerika Syarikat (AS) mengenai 1MDB?

Juga apakah tindakan perampasan aset milik mereka yang dinamakan hasil pemindahan wang haram yang dikatakan terbesar dalam sejarah AS, mungkin juga dunia diabaikan begitu sahaja?

Kenapa Najib mengatakan kes tersebut melibatkan mereka yang dinamakan sahaja dan proses perundangan masih berjalan?

Walaupun ia kes sivil yang bertujuan untuk merampas aset-aset, tetapi ia juga merupakan bukti penipuan oleh mereka yang dinamakan?

Berikutan itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mencabar Najib  sebagai Menteri Kewangan untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.


“Saya akan tetap berdiri teguh dengan pendirian saya dan tidak akan sekali-kali berundur daripada kepercayaan dan keyakinan saya dalam perjuangan mempertahankan hak dan maruah seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Apakah yang perlu Najib lakukan?

1.      Jika 1MDB dan Kerajaan Malaysia secara tegas mahu melindungi harta pendedahan yang amat mengejutkan ini seharusnya mendorong mereka mengambil tindakan segera mengikut undang-undang Malaysia ke atas MALAYSIAN OFFICIAL 1, Reza Aziz, Jho Low dan nama-nama lain yang disenaraikan dalam laporan Peguam Negara AS;

2.      Ambil serius keputusan pihak Peguam Negara Amerika Syarikat dengan menghantar delegasi tertinggi kerajaan untuk mendapatkan butiran terperinci dari Amerika Syarikat;

3.      Tubuh sebuah tribunal bebas untuk menyiasat dan memulakan proses pendakwaan jenayah dengan kadar segera terhadap mereka didapati terlibat atau bersubahat dalam pemindahan wang haram berjumlah puluhan bilion ringgit yang amat memalukan negara. Ini kerana wang rakyat Malaysia dalam jumlah yang amat besar didapati hilang dan dilesapkan oleh mereka yang dinamakan.

4.      Sepatutnya sudah menghantar Peguam Negara Malaysia dan Ketua Polis Negara ke Amerika Syarikat dengan segera untuk mendapatkan kerjasama negara itu supaya tindakan undang-undang Malaysia yang sesuai boleh diambil terhadap mereka yang terbabit.

5.      Sewajarnya telah mengarahkan Peguam Negara dan 1MDB segera menuntut wang yang dilapor dicuri daripada syarikat milik negara.

Muhyiddin  amat kecewa dengan sikap penafian yang teruk yang dinyatakan oleh Najib  dan konco-konconya berkenaan kes penipuan terbesar yang ditemui oleh pihak kerajaan Amerika itu.

Nampak benar semua ini tidak dilakukan oleh Najib sebaliknya hanya berkata kes ini bukan kes jenayah tetapi kes sivil dan orang-orang yang dinamakan dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhak mendapat pembelaan yang sewajarnya.


Adakah ini sepatutnya respon seorang Perdana Menteri terhadap kes penemuan sejumlah besar wang yang dicuri daripada sebuah syarikat pelaburan strategik negara?

Adakah pembelaan terhadap individu yang dituduh terlibat dalam perompakan harta negara lebih penting berbanding pembelaan terhadap seluruh rakyat yang terpaksa menanggung beban kehilangan puluhan bilion ringgit wang negara?

Peguam Negara Malaysia juga tidak menjalankan amanah! Logikkah apabila dia berkata tindakan sivil di Amerika Syarikat itu tidak membabitkan Najib?

Siapakah MALAYSIAN OFFICIAL 1 yang difahami oleh Peguam Negara seperti yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan AS?

Jika dia tidak tahu, tidak bolehkah dia bertanya dengan rakan sejawatnya di Amerika Syarikat siapakah dia MALAYSIAN OFFICIAL 1?

Disebut dengan terang dalam laporan Jabatan Keadilan AS, orang ini memiliki sejumlah AS681 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya di Ambank Malaysia.

Yang kita tahu, tiada orang lain yang dilaporkan mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun peribadi di AmBank selain Najib!


Selain itu bagaimana boleh terjadi pasukan penyiasat negara kita tidak menemui sebarang bukti kehilangan wang 1MDB, sedangkan pasukan penyiasat negara asing menemuinya?

Bukankah ini sepatutnya memeranjatkan Peguam Negara?

Bukankah perkara ini yang harus diutamakan, bukan melindungi Perdana Menteri! Nampak benar rakyat Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan dia untuk melindungi kepentingan negara!

Apakah harapan kita untuk terus percaya dengan Perdana Menteri Malaysia?

Jelas dan nyata tindakan Najib selama ini  adalah untuk melindungi diri sendiri, bukan melindungi kepentingan rakyat Malaysia!

Dengan pendedahan yang tidak dapat lagi diselindungi oleh sesiapapun ini, maka kerajaan Malaysia pimpinan Najib telah mengkhianati Rakyat Malaysia dan sepatutnya menanggung akibat daripada perbuatan salahlaku yang amat serius ini!

Bukan sahaja ia merupakan kes jenayah dan sivil yang cukup memalukan, malahan dari segi moral pun Najib sebenarnya tiada pilihan lain selain meletak jawatan dengan serta merta!

Berikutan itu Presiden PPBM itu berharap rakyat SEDAR dan BANGKIT bersuara dengan berani menuntut mereka yang merompak harta negara dihukum.

Monday, 9 January 2017

KESIPUAN NAJIB BERTERUSAN, AUSTRALIA DESTINASI TERBARU SIASATAN 1MDB...

"Ironinya, berita mengenai peranan Australia dalam siasatan 1MDB timbul hanya seminggu selepas Datuk Seri Najib Razak meninggalkan negara itu selepas beliau dan keluarganya bercuti,  di negara itu."

Nama dan imej buruk yang sedang melanda 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kesannya melimpah kepada negara Malaysia dan pemimpin kerajaannya,  kini menular pula ke Australia.

Dengan siasatan yang sudah berlaku di lebih lapan negara di dunia, kenyataan agensi berita dan akhbar utama negera itu  akan membawa berita buruk kepada 1MDB seterusnya.

Yang nyata, kesipuan pemimpin Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan bertambah-tambah, apa lagi Australia kini sudah menganggap dakwaan terhadap Najib sebagai sesuatu yang ‘serius’.

Sebelum ini The Australian turut membuat laporan mengenai skandal 1MDB dan kaitannya dengan isteri Perdana Menteri.

Apakah The Australian pula akan menjadi ‘punching bag’ dan akan  ‘dibelasah’ habis-habisan oleh penyokong Perdana Menteri Malaysia seperti yang terjadi kepada The Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini kerana pendedahan berkiatan 1MDB?

Polis Persekutuan Australia (AFP) dilaporkan sedang menyiasat sama ada dana yang diselewengkan dari 1MDB mempunyai kaitan dengan pihak-pihak tertentu negara itu.

Menurut The Australian hari ini, polis sedang menilai sama ada mana-mana rakyat, pemastautin atau firma Australia melanggar undang-undang negara itu.

"AFP sedang membantu rakan polis luar negara dalam siasatan mereka. Memandangkan perkara ini masih diteliti, maka tidak sesuai untuk mengulas lanjut," kata jurucakapnya kepada The Australian.

Isu 1MDB di Australia sebenarnya sudah menjadi pengetahuan umum rakyat negara itu apabila pada  4 April  2016, seorang eksekutif di salah sebuah bank terkemuka di Australia, Bank ANZ telah disoal oleh sebuah jawatankuasa siasatan parlimen di negara itu s, berhubung kaitannya dengan skandal 1MDB.

Timbalan Ketua Eksekutif bank berkenaan, Graham Hodges disoal berhubung dakwaan pengetahuan bank itu mengenai dakwaan lebih AS$1 bilion telah disalurkan melalui akaun AmBank Perdana Menteri Najib Razak.


ANZ memiliki 24 peratus AmBank, dan mempunyai tiga wakilnya sendiri dalam lembaga pengarah bank Malaysia itu. Hodges sendiri bakal menjadi ahli lembaga AmBank.

Sydney Morning Herald melaporkan Hodges sebagai  berkata, ANZ adalah terhad dalam apa yang ia boleh lakukan untuk menangani skandal tersebut kerana ia hanya pemegang saham minoriti.

Sehingga kini tiada berita susulan mengenai siasatan berkenaan.

Apapun, terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang datang ke Australia kononnya mahu memperjelaskan isu 1MDB kepada pelajar da masyarakat Malaysia pada November lalu tetapi ia mendatangkan kesan boomerang.

Kempen di  Melbourne, Sydney dan Brisbane, tidak diberikan laporan sewajarnya oleh media tempatan namun akhbar negara kangaroo itu, The Australian Business Review yang wartawan mereka dilarang memasuki majlis penerangan JASA itu hairan bagaimana penerangan oleh 1MDB termasuk oleh Ketua Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy tidak mahu dihebahkan.

Laporan meluas akhbar itu mendapat perhatian banyak pihak dan kesannya semakin buruk kepada 1MDB apabila ia menjadi satu syarikat kerajaan Malaysia yang dilihat dengan penuh curiga.


Dalam laporan akhbar itu yang bertajuk “Malaysia’s 1MDB in university hard sell’ pada 15 November 2016, Arul turut ‘lari’ daripada wartawan Australia yang mahu mendapatkan penjelasan beliau.

Banyak sudah siasatan dan kaitan 1MDB dengan individu, bank dan institusi tertentu di negara itu tetapi ia tidak dihebahkan dengan begitu besar sebelum ini.

Namun dengan laporan bahawa polis Australia kini menyiasat bimbang isu 1MDB kini sudah merebak ke negara mereka membimbangkan pentadbiran negara itu.

Menurut laporan The Australian itu , AFP sedang membantu sama ada pihak berkuasa di Switzerland, Amerika atau Singapura dalam siasatan mereka berhubung dakwaan penyelewengan dana daripada 1MDB.

Ironinya, berita mengenai peranan Australia dalam siasatan 1MDB timbul hanya seminggu selepas Perdana Menteri meninggalkan negara itu selepas beliau dan keluarganya bercuti di negara itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia (ASIC) membubarkan syarikat, Avestra Asset Management, yang dituduh mengendalikan wang yang berasal daripada 1MDB.

Avestra dikatakan mempunyai hubungan dengan entiti yang didaftrakan di Kepulauan Cayman iaitu Bridge Global Absolute Returns Fund SPC.


Lebih merisaukan  1MDB, pada 22 November 2015 lalu, bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura atas tuduhan mengganggu saksi yang terlibat dalam penyiasatan Singapura ke atas 1MDB ada membeli harta di Australia.


Yeo yang dikenakan  hukuman penjara 30 bulan penjara berhubung tuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB mempunyai hubungan rapat dengan ahli perniagaan Malaysia Jho Low.

Yeo dikatakan mengumpulkan kira-kira S$23.9 juta (RM74 juta) dalam tempoh 15 bulan melalui "keuntungan rahsia" selepas beliau meninggalkan bank itu pada bulan Jun 2014 turut mendedahkan sesuatu yang ada kaitan dengan Australia.

Ini didedahkan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan Yeo di Singapura yang berdepan empat pertuduhan mengganggu saksi, menurut The Edge Markets. Dalam dokumen Yeo, 34, bertajuk 'kenyataan kekayaan' yang dijumpai di dalam iPad Yeo yang dirampas oleh pihak berkuasa, beliau mempunyai senarai asetnya.

Ini termasuk tiga harta tanah di Singapura dan dua lagi di Australia, serta wang tunai dalam pelbagai mata wang di beberapa bank-bank seperti HSBC dan OCBC, dengan jumlah nilai aset-aset ini pada S$25,988,735.

Yeo akan dibicara lagi atas beberapa kesalahan lain tahun depan - semua berkaitan dengan siasatan 1MDB, termasuk penipuan, pengubahan wang haram dan pemalsuan. Setakat ini, Yeo adalah pegawai bank ketiga BSI yang disabitkan kesalahan berhubung 1MDB.

Akhbar The Age bertarikh 25 Ogos 2016 mengatakan kerajaan negara itu sebelum ini cuba menyepi dan menjauhkan diri pada skandal dunia ini,  biarpun sebelum ini Menteri Luar Australia,  Julie Bishop kemudian secara terus terang mengatakan tuduhan terhadap Najib sesuatu yang ‘serius’.

Dengan kedudukan sedemikian dan dengan polis Australia sedang menyiasat kes ini dengan secara mendalam, mungkin apa yang berlaku di Singapura, seperti pendakwaan terhadap individu dan institusi kewangan akan menular pula ke sana.

Di mana mahu diletakkan maruah Malaysia di kaca mata dunia?


Siapa yang akan kesipuan kini, rakyat atau Perdana Menteri Malaysia?

Wednesday, 7 December 2016

CHINA ‘BERMURAH HATI’ BANTU 1MDB SELESAI HUTANG DENGAN IPIC?

 


Hari ini timbul cerita tiba-tiba sahaja China ‘bermurah hati’ untuk membantu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) emyelesaikan hutangnya.

Kenapa ya,  China begitu mengambil berat terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan sudi pula membantu 1MDB yang dikaitkan secara rapat dengan Perdana Menteri Malaysia itu?

Ia bukan sahaja diperkatakan di Malaysia tetapi juga di merata negera terutamanya di Amerika Syarikat.

Laporan media Amerika Syarikat seperti Financial Times menggambarkan betapa besarnya isu ini.

Setakat kenyataan akhbar Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dilaporkan Malaysiakini mengenai isu ini, rasanya tidak jadi hal.

Apapun, Rafizi ada bertanya kepada Perdana Menteri mengenai perkara ini.

Isunya ialah apabila akhbar berpengaruh, termasuk Financial Times dan The Straits Times di Singapura menjadikan berita ini sebagai tajuk utama, ia tidak boleh dipandang ringin.

Bantuan apa yang mahu disumbangkan oleh China? Percuma tiada habuahnnya?

Saja-sajakan China mahu  membantu Najib kerana China berterima kasih kerana bapanya, Tun Razak Hussein membuka laluan kepada hubungan diplomatik kerana lawatan Perdana Menteri kedua itu ke China pada 1974 seperti ditegaskan Najib dalam Perhimpunan Agong UMNO 2016 baru-baru ini?

Atau kerana China percaya kepada Najib dan Najib menjadi sekutu penting China di Asia Tenggara melebihi Singapura?
  
Laporan menyebut China akan membantu 1MDB dalam membuat bayaran balik kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dalam pertikaian antara keduanya yang bernilai AS$6.5 bilion.

Menurut Financial Times, tiga individu yang rapat dengan hal tersebut berkata, China telah dilamar untuk menjadi sumber dana 1MDB. Sumber memberitahu, Malaysia akan menukar aset untuk pembiayaan.

Dakwaan berkenaan, bagaimanapun, tidak dapat disahkan namun The Straits Times Singapura ada cerita menarik mengenainya.
  
Apa kaitan 1MDB dengan IPIC?

Ia berlaku selepas sebuah konsortium bank yang diketuai oleh Deutsche Bank menuntut pembayaran balik awal dari 1MDB kerana "dokumen sekuriti yang tidak lengkap".

Sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelamat, IPIC pada Jun tahun lepas melanjutkan pinjaman AS$1 bilion kepada 1MDB bagi menyelesaikan pinjaman tertunggak kepada Deutsche Bank dan rakan kongsi konsortium.

Pada bulan Mei tahun lepas, IPIC berada pada kedudukan yang sama seperti China setelah muncul sebagai 'penyelamat' kepada 1MDB yang bergelut untuk membayar balik pinjaman berjumlah AS$975 juta.

Perjanjian tersebut adalah bertujuan memuktamadkan pertukaran berikutnya hutang-bagi-aset bagi menyelesaikan hutang 1MDB sekitar AS$3.5 bilion.

Menarik berkaitan dengan sikap ‘murah hati China’ hari ini ialah laporan oleh The Straits Times menyebut pada 6 Julai lalu, sebidangtanah bernilai tinggi dimiliki oleh 1MDB di pulau Pulau Pinang menarik minat sebuah syarikat yang dimiliki oleh China untuk mengembangkan perniagaanya di Malaysia.

Tanah selpas 94.7 hektar milik 1MDB di Daerah Air Itam menarik minat perbadanan China termasuk anak syarikat milik kerajaan China iaitu na Metallurgical Corp, yang bersedia membayar lebih tinggi daripada pembida tempatan.

Kenyataan ini dibuat oleh eksekutif kewangan yang terbabit dengan rundingan perniagaan itu, kata akhbar berkenaan.

Mereka menyatakan syarikat China mahu membeli tanah itu dengan harga RM2 billion (S$671 million) atau secara perjanjian pembangunan bersama dengan 1MDB yang akan menjanjikan keuntungan sebanyak RM3.5 billion.

Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy ditanya mengenai perundingan tanah di Air Itam itu enggan mengulas apabila ditanya oleh The Straits Times Julai lalu walaupun mengatakan bersetuju ada perundingan beberapa pihak secara serentak.



Laporan The Straits Times itu seterusnya menyebut: “The Penang land deal underscores Malaysian Prime Minister Najib Razak's increasing tilt towards China to help resolve the huge financial burden at 1MDB, which carried debts of more than US$12 billion (S$16 billion) at one point.

Malaysia last year twice brought in Chinese investments to pare back 1MDB's debts.

1MDB's Edra Global Energy was sold to China General Nuclear Power Corp for RM17 billion in November. A few weeks later, China Railway Engineering Corp bought a stake in the Bandar Malaysia development, which gave it a 24 per cent stake, for RM12.4 billion.

Apart from the Penang land deal, financial executives said China's state-owned entities are also exploring the prospect of putting together a financial lifeline for another distressed Malaysian state-owned entity, SRC International.”

Dalam jawapannya kepada laporan Financial Times hari ini, Arul Kanda memberitahu The Straits Times: "1MDB tiada apa lagi mahu tambah kepada kenyataan sebelum ini dalam pertikaian dengan IPIC."

Mengenai tanah di Air Itam itu, Arul Kanda berkata 1MDB akan keluarkan kenyataan dalam ‘tempoh yang sesuai’.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani, yang kementeriannya ada kaitan langsung dengan 1MDB dan bertanggungjawab mengenai hubungan dengan IPIC, menyebut: “Kami secara asasnya menyerahkan kepada 1MDB untuk selesaikan peringkat bisnes dengan bisnes” katanya kepada The Straits Times.

Berkaitan ini, Rafizi Rafizi, mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan sama ada bantuan kewangan dari kerajaan China akan menyebabkan salah satu konglomerat berkaitan kerajaan (GLC) di Singapura  dilibatkan di dalam urusniaga bagi tujuan ini.


Rafizi mendakwa beliau menerima maklumat salah akan disenaraikan di Singapura pada tahun hadapan sebagai tukar ganti akan bantuan kewangan mengejut oleh China.

"Berita yang disiarkan oleh Financial Times hari ini benar-benar merunsingkan saya kerana ia seolah-olah mengesahkan maklumat yang saya perolehi beberapa bulan lepas mengenai kemungkinan salah satu GLC akan disenaraikan di Singapura dalam tahun 2017.

"Penyenaraian tersebut bagi memberi ruang kepada syarikat yang dikawal kerajaan China (secara langsung atau tidak langsung) menguasai sebahagian besar dari sahamnya.

"Soalan saya ialah GLC manakah yang mempunyai pengaruh yang sebegitu besar untuk dijadikan pertukaran bagi bantuan kewangan mengejut sebanyak RM30 bilion mengikut laporan Financial Times hari ini?" tanya Rafizi.

Menurut Financial Times dalam laporanya hari ini, China akan membantu 1MDB dalam membuat bayaran balik kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) membabitkan sejumlah AS$6.5 bilion.

Tiga individu yang rapat dengan hal tersebut berkata, China telah dilamar untuk menjadi sumber dana 1MDB dengan Malaysia akan menukar aset untuk pembiayaan.

Berikutanya menurut Rafizi: "Jika beliau (Najib) berdiam diri, desas desus ini tidak akan berhenti dan saya akan terus menyiasat sehingga butiran aset yang ingin diurus niagakan diketahui umum," kata beliau yang juga naib presiden PKR.


Laporan akhbar asing menyebut Najib sejauh ini menolak  tanggapan bahawa beliau menggadai kedaulatan Malaysia kerana membuat perjanjian pelaburan dengan China sebanyak RM144 bilion ketika melawat Beijing baru-baru ini.

Tuesday, 15 November 2016

DI MANA BOLEH DICARI SEPERTI ARUL KANDA YANG PEMURAH, TETAPI...


Baru-baru ini dikhabarkan Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy menggunakan duit sendiri untuk siri program di luar negara.

Ia merujuk kemuculan beliau di tiga kampus universiti  Australian — di Melbourne, Sydney dan  Brisbane — di mana buku kecil bertajuk Siapa Kata Tidak Dijawab (“DoJ’s summons is questionable”) turut diedarkan.

Malah mereka juga sudah ke New Zealand - Auckland dan Wellington. 

Arul Kanda dilaporkan tidak ditaja kerajaan termasuk oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang menganjurkan program itu.

Arul Kanda pergi atas peribadi, JASA tidak membayar kos. JASA hanya bayar hanya kos makan dan minum, dia pergi atas urusan perniagaannya sendiri.

Begitulah pengorbanan yang dibuat Arul Kanda yang sewajarnya diketahui rakyat Malaysia.

Seluruh rakyat Malaysia sewajarnya memuji keikhlasan beliau dan bukan dipersoalkan kejujurannya.

Bukan mudah mencari seseorang seperti Arul Kanda yang sanggup berkorban demi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di mana beliau sanggup melakukan apa sahaja.


Apakah orang lain, termasuk Menteri, Timbalan Menteri dan pemimpin kerajaan sedia berbuat demikian? Pakai duit sendiri untuk 1MDB?

Apakah anggota lain atau bekas pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah 1MDB sanggup berbuat seperti Arul Kanda?

Namun persoalan ialah, kenapa Arul Kanda bersedia melakukannya. Demi siapa?

Apa yang cuba dipertahankan Arul Kanda ketika banyak negara sudah menyifatkan !MDB sebagai syarikat yang bukan sahaja sarat hutang tetapi berlaku berbagai penyelewengan, penipuan, pencurian, pengubahan wang haram, rasuah dan segala bentuk tipu helah komersil berlaku kerananya?

Untuk apa Arul Kanda melakukan itu semua? Apakah untuk perniagaan atau kepentingan seseorang?

Apakah Arul Kanda kini menjadi jentera (misionari) kepada usaha membersihkan imej dan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Malaysia?

Juga, apakah Arul Kanda dan JASA merasakan rakyat Malaysia sudah jelas mengenai aktiviti 1MDB dan kenapa rakyat di negara sendiri dipinggirkan?

Apakah rakyat di Sememanjung, Sabah dan Sarawak tidak berhak mendengar penjelasan sambil menjawab soalan yang dikemukakan oleh orang ramai?

Malah, JASA sebelum ini menganjurkan program menjelaskan isu 1MDB menampilkan Arul kepada pelajar universiti tempatan. Namun dalam negara, beberapa pelajar Universiti Malaya mengangkat sepanduk membidas 1MDB.

Bagaimana dengan penjelasan kepada pelajar Malaysia di universiti tempatan? Apakah mereka patut dinafikan maklumat atau JASA dan Arul Kanda bimbang dengan bantahan?

Atau apakah JASA dan Arul Kanda takut dan tidak mempunyai keyakinan untuk menyatakannya dalam negeri, sebaliknya JASA dan Arul Kanda mengambil peluang untuk ‘membuat pelancongan 1MDB’ di luar negara?

Satu dunia sudah tahu, gara-gara 1MDB, Malaysia kini dikenali sebagai negara kleptokrasi di mana kleptokrasi kerajaannya menjadi ‘mencuri dan pencuri”.


Malah, The Guardian (United Kindom) turut membuat pendedahan besar-besaran mengenai 1 MDB dengan laporannya 1MDB: The inside story of the world’s biggest financial scandal
  
Malah perkembangan perbicaraan di Singapura mengenai kaitan 1MDB dengan beberapa pegawai tinggi bank yang sudah tutup – Bank BSI cawangan Singapura – kini mendedahkan banyak kepincangan yang berlaku dalam 1MDB.

Di mana mahu disorok fakta itu? Apakah Arul Kanda dan JASA memperkatakannya di hadapan pelajar Malaysia di Australia?

1MD turut berhadapan tindakan menyita aset oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat  (DOJ) selepas siasatan mendakwa berbilion ringgit dicuri daripada akaunnya.

Selain menyampaikan ceramah, sebuah buku kecil turut  diedarkan di program penjelasan isu 1MDB anjuran JASA itu termasuk di Australia baru-baru ini yang menuduh Peguam Negara Amerika Syarikat, di samping membuat ramalan syarikat itu bakal menerima lebihan tunai hampir RM3 bilion dalam tempoh 20 tahun lagi.

1MDB dilaporkan akan membuat  keuntungan RM2.96 bilion selepas ia ditutup pada 2039, menyandarkan ramalan itu kepada aliran tunai RM12.29 bilion daripada projek utamanya, Tun Razak Exchange.

Menurut laporkan akhbar The Australian hari ini bertajuk Malaysia's 1MDB in university hard sell, buku kecil itu menuduh Loretta Lynch sengaja membangkitkan saman menyita aset syarikat berkenaan atas kepentingan peribadi. (baca di sini – jika tidak di sini).

Buku  20 muka surat itu turut mendakwa saman DOJ untuk menyita aset yang didakwa dicuri daripada dana 1MDB di negara itu sebenarnya usaha Lynch mengalihkan perhatian umum terhadap skandal email Hillary Clinton, calon pilihan raya presiden yang tewas kepada Donald Trump pada 9 November lalu.

Besarkah isu 1MDB di Amerika Syarikat sehingga saman itu boleh mempengaruhi pilihan raya Presiden?

Ini sesuatu yang langsung tidak lojik kerana 1MDB yang cuba dikaitkan dengan skandal email itu langsung tidak ada kena mengena.

Yang nyata, cubaan JASA itu semata-mata untuk mengalih pandangan buruk rakyat Malaysia terhadap 1MDB.

The Australian melaporkan buku kecil yang diedarkan itu turut mempersoalkan dakwaan yang “Malaysian Official 1” (M01) yang disebut dalam saman DoJ pada Julai itu merujuk Perdana Menteri.

Menurut buku itu, DOJ tidak menamakan MO1 sebagai Datuk Seri Najib Razak kerana tidak mempunyai bukti dan maklumat bagi mengaitkannya dengan kesalahan yang diperincikan dalam permohonan menyita aset 1MDB.

JASA  baru-baru ini menganjurkan program di Sydney, Australia, sebagai usaha kerajaan menyasarkan pelajar Malaysia di luar negara untuk menjelaskan tuduhan ke atas syarikat milik Kementerian Kewangan itu.


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari pada 11 November lalu dipetik Bernama menjawab soalan di Dewan Rakyat, mempertahankan Arul Kanda, dengan berkata beliau juga berhak menjawab tuduhan pembangkang di Parlimen.

 Arul Kanda juga berhak  menjelaskan masalah yang dihadapi syarikat milik Kementerian Kewangan itu, kata Johari.

“Kenapa perlu panik, Arul Kanda beri penerangan tentang 1MDB sedangkan anggota Parlimen pembangkang senang-senang buat fitnah (tentang 1MDB), kenapa Arul Kanda tidak boleh diberi peluang menjelaskan mengenai 1MDB?” kata Jailani.

Beliau menjawab soalan beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan yang mahu tahu sama ada JASA menaja kos membawa Arul untuk ke program di Sydney baru-baru ini.

Berkaitan acara ini, The Australian turut melaporkan wartawannya diusir keluar daripada program itu.

Sebelum ini, wartawan Rachel Pannett dari The Wall Street Journal, akhbar yang kerap melaporkan kepincangan syarikat 1MDB, turut diusir keluar, selepas penganjur menetapkan hanya mereka yang dijemput dibenarkan masuk.

Program anjuran JASA untuk pelajar Malaysia di Sydney, empat  hari sebelum itu  menyaksikan seorang wartawan The Wall Street Journal, Rachel Pannett diusir keluar.

Pengerusi program, Tun Faisal Ismail Aziz kemudian dilaporkan membidas Pannett “tidak bertamadun” kerana hadir walaupun tidak dijemput.

Monday, 31 October 2016

BEKAS PEGAWAI BSI ADA KAITAN DENGAN DANA 1MDB MULA DIBICARA


Yeo Jiawei dianggap sebagai pegawai bank berjaya kerana pada usia 32 tahun sudah memiliki harta bernilai S$26 juta (RM78.52 juta), termasuk seperti yang didakwa, daripada skim haram  dengan menipu bekas majikannya BSI Bank di  Singapura.

Penipuannya itu sangat berkait rapat dengan operasi pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Semalam (31 Oktober 2016) , di hadapan orang ramai yang penuh sesak memenuhi ruang mahkamah, beliau yang kini 33 tahun memakai pakaian yang di belakangnya tertera ‘prisoner’ di bawa ke muka pengadilan.

Peguamnya, Philip Fong dari syarikat  Harry Elias, meminta gari di kedua-dua pergelangan tangannya di buka, namun Hakim Daerah Ng Peng Hong hanya membenarkan dibuka untuk satu tangan sahaja.

Timbalan Pendakwaan Raya Singapura, Tan Kiat Pheng, dalam ucapan pembukaannya menganggap kes perbicaraan semalam sebagai yang paling kompleks, sukar dan kes pengubahan wang haram paling besar’ diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Komersil (CAD).

Apa peranan Yeo dan kaitannya dengan 1MDB?

Pihak berkuasa Singapura membuat pertuduhan terhadap Yeo adalah berkaitan SRC International di mana menurutlaporan Today Online yang berpangkalan di Singapura, Yeo didakwa membantu pemindahan AS$11.95 juta (RM48 juta) daripada SRC International ke Affinity Equity International Partners, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Tan Kim Loong.

The Wall Street Journal sebelum itu melaporkan bahawa Tan adalah pemilik benefisiari daripada Tanore Finance apabila ia mula-mula ditubuhkan, entiti di British Virgin Island yang sama memindahkan AS$681 juta ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dilaporkan, Tanore Finance adalah benefisiari sebahagian daripada wang AS$3.5 bilion 1MDB yang sepatutnya dibayar kepada Aabar Investments PJS tetapi dilencongkan ke sebuah syarikat di British Virgin Island yang mempunyai nama sama - Aabar Investments PJS Limited.

Wang dari Aabar Investments PJS Limited itu melalui beberapa perantara sebelum berakhir di Tanore Finance.

Siasatan di Singapura adalah penting kerana ia mendedahkan buat kali pertama kaitan antara SRC International dan mereka yang mempunyai hubungan dengan isu 1MDB.

Today Online melaporkan pendakwa raya Singapura sebagai berkata bahawa tuduhan terbaru terhadap Yeo yang ketujuh terhadapnya, hasil daripada penyiasatan republik itu ke atas 1MDB, membuka lembaran baru.

Timbalan Pendakwaan Raya Singapura itu berkata Yeo diwawancara oleh CAD pada Oktober 2015 dan ditangkap pada 17 Mac 2016.

Dua lagi bekas rakan sekerja Yeo – Yak Yew Chee and Yvonne Seah – juga berdepan pendakwaan jenayah.

Mereka didakwa atas salah laku terlibat dalam pemindahan wang kepada pelanggan-pelanggannya, termasuk hartawan kelahiran Pulau Pinang Low Teak Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Praperbicaraan untuk mereka berdua dijadual pada 24 November.

Seorang lagi pegawai bank Kelvin Ang, yang dilapor menjadi remisier untuk Maybank Kim Eng Securities, juga didakwa membayar penganalisis kajian untuk menghasilkan laporan penilaian yang memihak dalam sesetengah aset 1MDB.


Prosiding praperbicaraan untuk Ang ditetapkan pada 17 November.

Yeo menghadapi perbincaraan untuk empat pertuduhan menghalang keadilan sementara tujuh tuduhan lagi membabitkan penipuan, pengubahan wang haram serta kesalahan lain akan ditentukan kemudian.

Rakyat Singapura  itu diberikan jawatan sebagai perancang harta oleh bank Switzerland yang berpangkalan di republik itu antara Disember 2009 dan Julai 2014.

Dia dikatakan mengumpul sebanyak $26 juta daripada berbagai sumber, termasuk skim haram dengan niat menipu bank berkenaan ketika bekerja dengan bank berkenaan.

Yeo dituduh menyedia transaksi haram membabitkan 1MDB yang membawa kepada penutupan bank BSI di republik itu.

Satu pertuduhan menyebut, selepas beliau dibebaskan ketika jaminan polis, beliau mengatur satu perjumpaan pada 27 Mac tahun ini di Pergola Cafe di  Swiss Club, Swiss Club Road dengan rakan perniagaannya, Samuel Goh Sze-Wei, dan  Kevin Swampillai, iaitu Ketua Perkhidmatan Pengurusan Harta BSI.

Yeo didakwa meminta mereka berbohong kepada polis dengan mengatakan dana yang dipindahkan oleh Goh ke Bridgerock Investment dan GTB Investment, yang membawa keuntungan masing-masing kepada Yeo dan Swampillai adalah pelaburan Goh.

Selepas meninggalkan BSI. Yeo didakwa meneruskan kegiatan transaksi haramnya yang sesetengahnya dilakukan melalui Amicorp Group.

Pihak pendakwa akan memanggil sembilan saksi bagi tujuan perbicaraan  Yeo yang dilihat orang penting dalam operasi pengubahan wang haram berkaitan skandal dana 1MDB itu.


Sunday, 30 October 2016

POLIS PANGGIL AHMAD HUSNI KE BUKIT AMAN ESOK UNTUK SIASATAN...


Tahniah Polis DiRaja Malaysia kerana bertindak cepat di mana dalam beberapa hari sahaja bertindak untuk melakukan  siasatan  terhadap bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau  dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok dikatakan kerana ucapan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat,  Isnin lalu.

Ahmad Husni yang masih ahli UMNO kini adalah Ketua Bahagian UMNO Tambun dan Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Tindakan polis itu mungkin berikutan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata bekas menteri Kabinet itu mungkin telah melanggar sumpah kerahsiaan Kabinet ketika berucap di dalam Dewan.

Pada 27 Oktober lalu Pandikar Amin berkata bekas anggota Kabinet yang terlibat dalam perbahasan Bajet 2017 mungkin telah melanggar sumpah kerahsiaan.

“Pasal apa yang saya dengar kelmarin, keputusan Kabinet konon tidak dilaksanakan. Itu adalah informasi dalam Kabinet," kata Pandikar Amin pada sidang akhbar di bilik resepsi  parlimen.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Ahmad Husni didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Muhyiddin dalam ucapannya pada 26 Oktober lalu menegaskan bahawa kabinet tidak berunding mengenai pembentukan 1MDB dan merahsiakan kedudukan kewangannya sehingga skandal itu meletus.

Pandikar Amin kemudian mengingatkan semua ahli parlimen mematuhi undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan ketika berucap di dalam Dewan.


Setakat hari ini, hanya Ahmad Husni yang dipanggil dan belum diketahui apakah bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas menteri UMNO akan turut dipanggil Bukit Aman.

Juga tidak dapat dipastikan sama ada Ahmad Husni dipanggil polis kerana kenyataan Pandikar Amin semata-mata atau kerana ada repot polis terhadapnya.

Apa pun ini antara keputusan cepat pihak polis untuk menyiasat dan tindakan ini sangat dialu-alukan,

Ia mungkin akan menjadi suatu precedent kepada kes-kes seperti ini di masa hadapan.

Dengan kata lain, apabila mendapat laporan, polis akan membuat siasatan segera tanpa menunggu lebih lama.

Kecekapan dari segi tindakan siasatan akan menaikkan imej polis di mata rakyat yang mengharapkan laporan-laporan sebelum ini turut diambil tindakan segera.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis  akan mengambil keterangan tiga bekas anggota Kabinet dalam masa terdekat yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan baru-baru ini.

Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini dan kesemua individu terbabit akan dipanggil memberi keterangan dalam tempoh sehari dua lagi," katanya menurut laporan Bernama.

Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1MDB.

Dua badan bukan kerajaan iaitu Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan sebelum ini membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah dalam laporannya menyebut Muhyiddin berbuat demikian dalam dua kejadian - minggu ini di Parlimen, dan awal bulan ini dalam sebuah ceramah.

Bagaimanapun, dalam klip video yang dimuat naik oleh KiniTV, Azwanddin bagaimanapun mengakui bahawa tindakan mungkin tidak dapat diambil terhadap Muhyiddin kerana beliau mengeluarkan kenyataan berkenaan di Parlimen.
Azwanddin tidak pula menyebut Ahmad Husni mengenai laporannya.

Pembantu Husni memberitahu Malaysiakini bekas menteri itu dipanggil untuk disoal siasat pada pukul 2.30 petang esok.

Antara perkara yang disebut Ahmad Husni dalam ucapannya ialah meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sekiranya terdapat sebarang tindakan diambil kerana menyalurkan dana syarikat ke "tempat yang salah".

Beliau turut  kesal serangan cybertrooper UMNO  berikutan peletakan jawatannya.


Ahmad Husni meletak jawatan daripada Kabinet pada Julai lalu dan kritikannya terhadap 1MDB dikatakan turut menyebabkan timbulnya spekulasi bahawa beliau mungkin dipecat oleh UMNO.