Saturday 1 April 2017

1MDB - KENAPA MAHU MELINDUNGI PERDANA MENTERI???


Apakah perbuatan mencuri wang rakyat, menyeleweng dan melakukan penipuan bukan perbuatan jenayah?

Kenapa kerajaan tidak berusaha untuk melindungi harta dan khazanah rakyat Malaysia daripada kehilangan atau kerugian, sebaliknya menganggap perbuatan mencuri wang milik 1MDB sebagai perbuatan sivil?

Juga logikkah sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya menasihati rakyat Malaysia untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap penemuan oleh Peguam Negara dan pegawai tinggi Amerika Syarikat (AS) mengenai 1MDB?

Juga apakah tindakan perampasan aset milik mereka yang dinamakan hasil pemindahan wang haram yang dikatakan terbesar dalam sejarah AS, mungkin juga dunia diabaikan begitu sahaja?

Kenapa Najib mengatakan kes tersebut melibatkan mereka yang dinamakan sahaja dan proses perundangan masih berjalan?

Walaupun ia kes sivil yang bertujuan untuk merampas aset-aset, tetapi ia juga merupakan bukti penipuan oleh mereka yang dinamakan?

Berikutan itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mencabar Najib  sebagai Menteri Kewangan untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.


“Saya akan tetap berdiri teguh dengan pendirian saya dan tidak akan sekali-kali berundur daripada kepercayaan dan keyakinan saya dalam perjuangan mempertahankan hak dan maruah seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Apakah yang perlu Najib lakukan?

1.      Jika 1MDB dan Kerajaan Malaysia secara tegas mahu melindungi harta pendedahan yang amat mengejutkan ini seharusnya mendorong mereka mengambil tindakan segera mengikut undang-undang Malaysia ke atas MALAYSIAN OFFICIAL 1, Reza Aziz, Jho Low dan nama-nama lain yang disenaraikan dalam laporan Peguam Negara AS;

2.      Ambil serius keputusan pihak Peguam Negara Amerika Syarikat dengan menghantar delegasi tertinggi kerajaan untuk mendapatkan butiran terperinci dari Amerika Syarikat;

3.      Tubuh sebuah tribunal bebas untuk menyiasat dan memulakan proses pendakwaan jenayah dengan kadar segera terhadap mereka didapati terlibat atau bersubahat dalam pemindahan wang haram berjumlah puluhan bilion ringgit yang amat memalukan negara. Ini kerana wang rakyat Malaysia dalam jumlah yang amat besar didapati hilang dan dilesapkan oleh mereka yang dinamakan.

4.      Sepatutnya sudah menghantar Peguam Negara Malaysia dan Ketua Polis Negara ke Amerika Syarikat dengan segera untuk mendapatkan kerjasama negara itu supaya tindakan undang-undang Malaysia yang sesuai boleh diambil terhadap mereka yang terbabit.

5.      Sewajarnya telah mengarahkan Peguam Negara dan 1MDB segera menuntut wang yang dilapor dicuri daripada syarikat milik negara.

Muhyiddin  amat kecewa dengan sikap penafian yang teruk yang dinyatakan oleh Najib  dan konco-konconya berkenaan kes penipuan terbesar yang ditemui oleh pihak kerajaan Amerika itu.

Nampak benar semua ini tidak dilakukan oleh Najib sebaliknya hanya berkata kes ini bukan kes jenayah tetapi kes sivil dan orang-orang yang dinamakan dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhak mendapat pembelaan yang sewajarnya.


Adakah ini sepatutnya respon seorang Perdana Menteri terhadap kes penemuan sejumlah besar wang yang dicuri daripada sebuah syarikat pelaburan strategik negara?

Adakah pembelaan terhadap individu yang dituduh terlibat dalam perompakan harta negara lebih penting berbanding pembelaan terhadap seluruh rakyat yang terpaksa menanggung beban kehilangan puluhan bilion ringgit wang negara?

Peguam Negara Malaysia juga tidak menjalankan amanah! Logikkah apabila dia berkata tindakan sivil di Amerika Syarikat itu tidak membabitkan Najib?

Siapakah MALAYSIAN OFFICIAL 1 yang difahami oleh Peguam Negara seperti yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan AS?

Jika dia tidak tahu, tidak bolehkah dia bertanya dengan rakan sejawatnya di Amerika Syarikat siapakah dia MALAYSIAN OFFICIAL 1?

Disebut dengan terang dalam laporan Jabatan Keadilan AS, orang ini memiliki sejumlah AS681 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya di Ambank Malaysia.

Yang kita tahu, tiada orang lain yang dilaporkan mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun peribadi di AmBank selain Najib!


Selain itu bagaimana boleh terjadi pasukan penyiasat negara kita tidak menemui sebarang bukti kehilangan wang 1MDB, sedangkan pasukan penyiasat negara asing menemuinya?

Bukankah ini sepatutnya memeranjatkan Peguam Negara?

Bukankah perkara ini yang harus diutamakan, bukan melindungi Perdana Menteri! Nampak benar rakyat Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan dia untuk melindungi kepentingan negara!

Apakah harapan kita untuk terus percaya dengan Perdana Menteri Malaysia?

Jelas dan nyata tindakan Najib selama ini  adalah untuk melindungi diri sendiri, bukan melindungi kepentingan rakyat Malaysia!

Dengan pendedahan yang tidak dapat lagi diselindungi oleh sesiapapun ini, maka kerajaan Malaysia pimpinan Najib telah mengkhianati Rakyat Malaysia dan sepatutnya menanggung akibat daripada perbuatan salahlaku yang amat serius ini!

Bukan sahaja ia merupakan kes jenayah dan sivil yang cukup memalukan, malahan dari segi moral pun Najib sebenarnya tiada pilihan lain selain meletak jawatan dengan serta merta!

Berikutan itu Presiden PPBM itu berharap rakyat SEDAR dan BANGKIT bersuara dengan berani menuntut mereka yang merompak harta negara dihukum.

No comments:

Post a Comment