Wednesday 16 November 2016

SANJEEVAN NAIK HELIKOPTER TINJAU BANGLO KPN BERNILAI RM5.5 JUTA?


Bisnes sewa helikopter dijangka akan meletup kerana ramai yang mahu menyewanya.

Ada mahu tinjau rumah pemimpin pembangkang dan ada juga yang mahu tinjau rumah menteri dan tidak kurang pula rumah-rumah pemimpin UMNO, di ibu negara dan di luar Kuala Lumpur..

Semuanya ini gara-gara Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos menaiki helikopter untuk meninjau “kekayaan” Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly, 28, yang didakwa memiliki banglo dan kereta mewah.

Tindakan Jamal itu turut mendapat perhatian ahli Parlimen Ampang yang juga Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin apabila mengajukan soalan kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sewaktu sesi perbahasan Dewan Rakyat, yang hairan bagaimana Jamal dapat kemudahan sewenang-wenangnya menggunakan helikopter komersil untuk tujuan yang tidak bermanfaat.

Namun, Liow  tidak memberikan  jawapan.

Kerenah  Jamal itu menyebabkan ramai yang mendapat ilham dan terkini serta  paling menarik hari ini ialah pengerusi MyWatch Datuk R Sri Sanjeevan sedang pertimbangkan untuk menjemput media menaiki helikopter meninjau mahligai didakwa milik ketua polis negara (KPN) di Mantin.


Istana Mantin ialah mahligai bernilai RM5.5 juta di Kampung Gebok in Mantin, Negeri Sembilan dan menurut Sanjeevan ia dimiliki ketua polis negara.

Khalid sebelum ini menafikan tuduhan itu, mendakwa ia dibuat susulan tindakan yang diambil pihak berkuasa terhadap Sanjeevan.

Khalid berkata beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara itu dan tidak akan respons terhadap “keterdesakan” Sanjeevan.

Sanjeevan berkata beliau pada mulanya menjangkakan jawapan daripada Khalid, tetapi menyerahkannya kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu.

Satu laporan menyebut, sebelum ini Ketua Polis Negara ampaknya tidak menafikan dakwaan berhubung sebuah rumah banglo bernilai RM5.5 juta yang dimiliknya sebaliknya menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat.

Khalid dikatakan jelas geram dan tidak menyembunyikan rasa marahnya susulan pendedahan pengerusi badan pemantau MyWatch itu yang juga membuat laporan kepada SPRM baru-baru ini.


Ditanya mengenai banglo tersebut, Khalid menjawab “Saya serahkan kepada mereka,” katanya dipetik dalam akhbar bahasa Inggeris, The Sun, merujuk kepada SPRM.


Malah, Khalid juga menuduh Sanjeevan sakit hati dengan beliau memandangkan polis mengambil tindakan terhadapnya yang terlibat dalam banyak kes jenayah.

7 November lalu, Sanjeevan dalam laporannya kepada SPRM mendakwa Khalid memiliki sebuah rumah mewah di Mantin, dan berkata beliau mempunyai dokumen membuktikan tuduhan itu.

Menurut laporan FMTpula hari ini, Sanjeevan berkata Jamal yang juga ketua Baju Merah memberikannya idea untuk turut menggunakan helikopter bagi meninjau rumah Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Terima kasih kepada Jamal, dia beri saya idea yang mungkin saya boleh bawa media naik helikopter tinjau Istana Mantin.


“Saya masih pertimbangkan naik helikopter itu, jadi tunggu dan lihat,” katanya dan menambah ada banyak lagi butiran akan didedahkan tidak lama lagi.

Sanjeevan berkata demikian kepada FMT selepas soal siasat polis di Bukit Aman hari ini susulan dakwaannya mengenai Istana Mantin dan beberapa tuduhan lain dibuat terhadap pasukan polis menerusi posting di blog.

“Saya harap dan mendesak SPRM menjalankan siasatan terhadap mahligai RM5.5 juta di Mantin,” katanya.

Beliau juga mengingatkan Khalid untuk memberi tumpuan kepada keutamaannya, bukan menangani pemberi maklumat saja.

“Anda sepatutnya membanteras jenayah, bukan berlawan dengan pencegah jenayah dan pemberi maklumat seperti saya.

“Ada banyak kes polis patut siasat dan mereka tidak menangani jenayah dalam negara,” katanya.


Sanjeevan berdepan sekurang-kurangnya 14 pertuduhan jenayah termasuk pemalsuan, penipuan, fitnah dan pengubahan wang haram.

Beliau ditahan kali pertama pada 22 Jun kerana memeras ugut RM25,000 “wang perlindungan” daripada pengendali kedai judi.

Bulan berikutnya dia ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959, yang kemudian diikuti beberapa siri tahanan atas pelbagai kesalahan.

Pada Ogos, Sanjeevan sekali lagi ditahan kerana memeras ugut pemilik pusat permainan.


Minggu lalu, polis merampas beberapa kereta dari rumah Sanjeevan sebagai sebahagian siasatan mereka yang masih berjalan.

No comments:

Post a Comment