Friday 18 November 2016

HANYA KOS SARA HIDUP, BARANGAN NAIK, YANG LAIN SEMUANYA TURUN?


Pada ketika Malaysia dilaporkan kekal sebagai destinasi yang baik untuk pelabur global, selain akan terus menjadi pilihan, ramalan ringgit terus susut dan Bursa Malaysia diniagakan rendah, bukanlah sesuatu yang boleh menggembirakan rakyat.

Banyak kesannya kepada kehidupan rakyat yang kini berdepan dengan kos  kehidupan yang semakin meningkat sementara kerajaan ‘dihentam’ oleh pelbagai persepsi luar dan dalam negara mengenai banyak perkara.

Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta tekanan rakyat terhadap kerajaan seperti yang dilakukan oleh BERSIH 0.5 hari ini dan desakan supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan akan terus menjadi cabaran kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Wakil Bank Dunia ke Malaysia/Pengurus Negara, Faris Hadad-Zervos semalam,  berkata iklim pelaburan yang baik dan kos yang kompetitif menyediakan pelabur global persekitaran yang kondusif untuk perniagaan di Malaysia.

Selain itu, dasar ekonominya yang terbuka, selain infrastruktur yang baik dan lokasinya yang strategik menjadikan Malaysia sentiasa berapa dalam kekedudukan 20 teratas, dalam pelbagai ranking antarabangsa, termasuk Menjalankan Perniagaan Bank Dunia.

Malaysia Ia juga mempunyai infrastruktur dan perhubungan yang sangat maju, ekonomi  pelbagai, dasar kerajaan yang proaktif dan tenaga kerja yang mahir dalam pelbagai bahasa.

"Semua ini menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang baik," katanya Faris di luar acara Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2016 di Kuala Lumpur.

BERSIH 5.0 hari ini.
Di sebalik itu, dilaporkan ringgit dijangka meneruskan trend menurun minggu depan dan kekal pada 4.4 berbanding dolar AS.

Ini berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada Disember.

Kesan segera yang dilaporkan ialah pelabur asing lari meninggalkan pasaran bon Malaysia. Terlalu awal untuk menyatakan sejauh mana besar kesannya, namun ia petanda tidak baik untuk ekonomi negara.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, dolar AS  mengukuh berikutan data ekonomi AS yang positif telah mencetuskan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi.

"Berikutan mesyuarat Fed semalam, adalah pasti sekarang yang dengan pengukuhan dolar, kadar faedah AS dijangka meningkat bulan depan. Ini akan menarik 'wang panas' daripada bon yang didenominasi ringgit ke dalam bon didenominasi dolar AS.

Selain wujud kebimbangan terhadap ringgit, Bursa Malaysia turut dijangka diniagakan rendah minggu depan, susulan penyusutan ringgit berikutan spekulasi yang kuat mengenai kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Disember.

Minggu depan dijangka akan menjadi sukar untuk bursa tempatan.

Antara faktor yang akan memberi tekanan kepada Bursa Malaysia termasuklah penyusutan ringgit, yang jatuh kepada paras terendah dalam tempoh 10 bulan pada Jumaat pada 4.40 berbanding dolar AS, selain harga komoditi yang rendah.

Yang pasti dengan harga komoditi yang rendah, akan memaksa pertumbuhan ekonomi Malaysia bergerak melambat.

Perkara lain yang terus menguji Malaysia ialah harga minyak. Namun ia terus jatuh berikutan pengukuhan dolar AS.

Niaga hadapan Brent jatuh 32 cents, atau 0.69 peratus, kepada AS$46.17 setong pada 0751 GMT. Niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) AS susut 47 cents, atau 1.06 peratus, pada AS$44.95 setong.

Pengukuhan dolar AS menjadikan minyak yang diniagakan dalam dolar, lebih mahal bagi pembelian menggunakan mata wang lain.


Dengan dolar yang terus bertahan tinggi, dagangan minyak mentah di Asia sepatutnya lebih banyak hari ini berikutan peniaga dijangka akan mengurangkan dagangan pada hujung minggu ini.

Kedudukan ini membuatkan AS memberi harapan semula bahawa OPEC mungkin akhirnya bersetuju untuk memotong pengeluaran.

Baru-baru ini kita gempar bahawa China mungkin mampu menyelamat ekonomi Malaysia berikutan persetujuannya untuk melabur dalam beberapa sektor.

Bagaimanapun, semalam mata wang yuan China turut jatuh ke paras terendah dalam tempoh lapan tahun berbanding AS.

Kejatuhan itu berikutan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Janet Yellen ,yang membayangkan kadar faedah AS akan dinaikkan dalam tempoh terdekat ini.

Yuan bagaimanapun mencatatkan prestasi yang sedikit baik berbanding mata wang Asia lain, seperti Malaysia, walaupun penganalisis berkata, campur tangan Kerajaan China dapat mengurangkan kelemahan yuan.


Kemenangan mengejutkan Donald Trump pada pilihan raya presiden AS minggu lalu mencetuskan kenaikan menyeluruh dolar dengan jangkaan lebih banyak pakej rangsangan fiskal akan dibelanjakan bagi menyokong ekonomi negara itu.

Kenyataan terkini Fed pula menambah satu lagi pusingan baharu rali mata wang AS. Semalam, Yellen menyatakan Fed mungkin menaikkan kadar faedah 'tidak lama lagi' jika data ekonomi terus terarah kepada pasaran buruh yang bertambah baik dan inflasi meningkat.

"Kami percaya komen dan kenyataan Yellen menyokong dolar untuk beberapa bulan akan datang," kata ahli strategi tukaran asing Asia di ScotiaBank, Gao Qi dalam satu nota.

Cabaran-cabaran di atas terhadap Malaysia mungkin dapat diredakan sekiranya benar seperti kata Bank Dunia semalam bahawa dalam mana-mana negara di dunia, tumpuan perlu diberikan kepada gambaran yang lebih besar ke atas ekosistem tanpa prejudis ke atas kedudukan di Malaysia.

"Jika anda melihat nombor, ternyata terdapat jumlah pelaburan yang besar masuk ke Malaysia. Malah, tahun lepas, pelaburan bersih adalah positif," demikian kata Faris.


Malaysia telah menerima sejumlah besar pelaburan langsung asing (FDI) dan portfolio. Malaysia mencatatkan aliran masuk FDI bersih RM43.4 bilion pada 2015 Asia merupakan sumber utama FDI (64.7 peratus), diikuti Amerika (16.4 peratus) dan Eropah (14.1 peratus).


Sokongan itu menghapuskan persepsi salah yang terhadap  Malaysia, dan pada masa yang sama menunjukkan asas ekonomi negara ini yang semakin baik.

No comments:

Post a Comment