Friday 28 October 2016

SPRM TERENGGANU BUKA 51 KES JENAYAH KOLAR PUTIH TAHUN INI


Kejadian rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa atau yang berkaitan dengannya berleluasa di Terengganu.

Namun, akibat kurangnya laporan kepada pihak berkuasa dibuat kerana bimbang dikenakan tindakan balas, ia berlalu begitu sahaja.

Lagipun ramai yang mahu membuat laporan bimbang mereka tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk melaporkan kepada pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini  menyebabkan ramai terlepas daripada tindakan setakat ini.

Cakap-cakap, sama ada secara terbuka atau di kalangan kumpulan, termasuk melalui media sosial banyak diperkatakan. Namun sejauh ini tangkapan yang dibuat tidak sebanyak yang diperkatakan.

Rasuah dikatakan berleluasa melalui projek, kontrak dan perniagaan yang ditawarkan oleh orang politik dan penjawat awam kepada kenalan, rakan, penyokong parti dan juga sebagai ‘hadiah’ kepada individu kerana sebab-sebab tertentu.

Di Terengganu tidak sukar untuk mengesan mereka yang melakukan penyelewengan khususnya di kalangan penjawat awam kerana ramai yang hidup di luar keupayaan, khususnya yang tidakpun berpangkat tinggi dan di kalangan orang politik yang baru terlibat.

Malah, ada kalangan pegawai kerajaan yang jelas hidup mewah walaupun berpendapatan tidak sampai RM10,000 sebulan.

Malah sejak kebelakangan ini, ada kalangan  ‘orang kaya baru’ tidak segan-segan untuk menunjukkan kemewahan mereka dalam berbagai cara.

Mereka dikaitkan kerana rapat dengan orang penting Tingkat 15 dan Tingkat 16 Wisma Darul Iman selain di bangunan Wisma Negeri.

Banyak pihak mempertikaikan pembahagian kontrak yang dikatakan tertumpu di kalangan beberapa kerat individu sahaja.

Ada pendapat rasuah dan penyelewengan ini berlaku di peringkat sebut harga lagi.

Jabatan yang disebut sebagai sering berlaku penyelewengan ialah Ketengah, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, pihak berkuasa tempatan dan banyak lagi.

Bagaimanapun, kepada penjawat awam, jangan ingat SPRM Terengganu berdiam diri dan tidak melakukan siasatan berkaitan jenayah kolar putih di di Terengganu.

Ia kini hanya menunggu masa didedahkan dan sambil itu siasatan benar-benar lengap untuk mendakwa mereka yang terbabit sedang dijalankan.

Apabila sebut kolar putih, ia memang ditujukan kepada jabatan kerajaan dan agensi berkaitan dengannya.

Dua atau tiga siasatan sahaja? Tidak, ia melibatkan 51 kes jenayah kolar putih.

Memang Terengganu agak ‘tenang’ tetapi sejauh ini  namun dengan SPRM Terengganu sudah membuka 51 kertas siasatan berhubung kes  kes rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa tahun ini sahaja, pastinya akan berita mengenainya selepas ini.

Daripada jumlah itu sebanyak 14 tangkapan telah dilakukan. Ini membabitkan 19 individu sudah dituduh di mahkamah.

Dengan itu berita mengenai rasuah, penyelewengan dan salah guna guna kuasa oleh penjawat awam akan meletup tidak lama lagi dan kini menunggu sahaja siapa yang terlibat.

Sejauh ini rasuah dilaporkan hanya membabitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan ia bukan kali pertama tahun ini.

Kelmarin adalah kali kedua SPRM mendedahkan rasuah yang ada kaitan dengan JHEAT apabila SPRM Terengganu membuka 35 kertas siasatan berhubung penyelewengan pembekalan pemasangan karpet di beberapa masjid dan surau di negeri ini.

Kertas siasatan itu kini di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya SPRM.

Malah, kira-kira 30 saksi terdiri daripada kakitangan JHEAT, orang awam dan kontraktor telah dipanggil bagi membantu siasatan sejak SPRM mendapat maklumat mengenai kes itu awal tahun ini.

SPRM  menerima aduan ini pada April lalu yang mana ia membabitkan pemasangan karpet di 35 masjid dan surau pada tahun lalu.

SPRM belum dapat menyatakan jumlah penyelewangan itu kerana ia masih dalam siasatan lagi.

Pada pertengahan Jun lalu, tiga individu ditahan SPRM berhubung menerima rasuah bagi memudahkan pendaftaran nikah sempadan khususnya di Thailand.

Seorang daripadanya adalah pegawai Jabatan Agama Islam dan dua lagi adalah pegawai kerajaan berlainan agensi.

Ketiga-tiga suspek lelaki itu berusia antara 30 hingga 43 itu ditahan di sekitar Kuala Terengganu untuk diambil keterangan.

Berikutan itu,  Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pasangan yang mendapatkan sijil nikah palsu diminta menyerahkannya kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan memohon dokumen sah.

Selain membabitkan JHEAT, tahanan oleh SPRM juga membabitkan bekas pemain bolasepak T-Team di mana tiga bekas pemain mereka  dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada

Mereka dikenakan hukuman kerana kesalahan memberikan keterangan palsu berhubung kes mengatur perlawanan antara pasukan itu dengan pasukan Pahang, Terengganu dan Selangor pada tahun 2014.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan berkenaan selepas ketiga-tiga tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah ketika perbicaraan dijalankan.

28 Ogos lalu, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan reman lima hari di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan wang berjumlah RM500,000 dalam urusan pe­ngeluaran kayu balak di Terengganu.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membenarkan Datuk Syed Mudzaffar Syed Zainal Abidin, 64, ditahan reman bagi membantu siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM).


Semalam, laporan media menyebut, seorang pegawai polis berpangkat inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, kerana dituduh menerima dan meminta rasuah berjumlah RM25,000, tahun lalu.

Tertuduh berusia 33 tahun, berdepan dua pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut. Tertuduh didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada seorang lelaki, bertujuan untuk tidak melakukan tangkapan terhadap individu berkenaan yang disyaki terlibat dengan kesalahan dadah iaitu di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama, di Kuala Berang, kira-kira jam 6.25 petang, pada 20 Ogos 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminta rasuah RM20,000 daripada individu sama sebagai tujuan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang dan tidak menangkap individu terbabit yang disyaki terlibat dengan kesalahan kes dadah.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama di sebuah rumah di Ajil, Hulu Terengganu kira-kira jam 8 malam, pada 15 Ogos 2015.

Kelmarin, Pengarah SPRM Terengganu P Ganason berkata dengan  SPRM Terengganu membuka 51 kertas siasatan tahun ini, ia membuktikan bahawa suruhanjaya itu serius untuk membenterasnya di negeri berkenaan.

Bagi yang sudah melakukan penyelewengan walau setinggi mana pangkat mereka, sama ada di daerah-daerah tertentu atau di tingkat tinggi Wisma Darul Iman dan Wisma Negeri, tunggulah sahaja kerana pegawai SPRM akan datang menjenguk mereka.

No comments:

Post a Comment