Tuesday 25 October 2016

SEMAKIN HAMPIR LAPORAN PAC AKAN DEDAHKAN ‘RAHSIA RASMI BESAR’ 1MDB...


Tahniah Mohamed Azmin Ali.

Walau apa keputusannya nanti, anda sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat mengetahui apa sebenarnya ‘rahsia rasmi’ yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (PAC) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Laporan itu yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi kerajaan perlu dilucutan statusnya.

Laporan itu membabitkan tiga pihak iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan kerajaan dalam isu 1MDB.

Banyak pihak sebelum ini mengkritik kerajaan yang disifatkan sebagai ‘melindungi dan cuba merahsiakan’ perkara tertentu dalam laporan itu.

Ia susulan laporan Jawatankuasa PAC  berhubung kelemahan pentadbiran serta pengurusan 1 MDB sepertimana yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 April 2016 yang lalu.

Pembentangan laporan PAC itu menimbulkan pelbagai persoalan daripada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap isu yang begitu banyak membabitkan 1MDB.

Perkembangan selepas pembentangan laporan PAC 7 April itu turut menyebabkan rakyat semakin terdesak untuk mengetahui apa sebenarnya punca 1MDB menjadi masalah.

Ia membabitkan peristiwa berikut:

1.     24 Mei 2016 - Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) mengarahkan bank swasta Switzerland di republic itu, BSI Bank, yang sedang disiasat berhubung urusannya dengan 1MDB ditutup. Alasan-alasan yang diberikan termasuk "pelanggaran serius atas keperluan anti pengubahan wang haram, pengawasan operasi pengurusan bank yang lemah dan salah laku keterlaluan oleh beberapa kakitangan bank”. Tindakan seumpama itu belum pernah diambil oleh pihak berkuasa Singapura sejak tempoh 32 tahun.

2.    20 Julai 2016 - Saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang mendakwa AS$3.5 bilion dana 1MDB telah dicuri dan AS$ 1 bilion digunakan bagi membeli aset menggunakan wang berkenaan. DOJ berkata sekurang-kurangnya AS$ 731 juta wang tersebut masuk ke akaun bank "Malaysian Official 1" termasuk AS$ 681 juta deposit seperti diperkatakan tahun lalu.Jumlah ini adalah sama seperti dilaporkan WSJ di mana wang berkenaan dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib.

3.   1 September 2016 - Kerajaan secara rasmi mengesahkan bahawa Malaysia Official 1 (MO1) adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dirujuk sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan penyelewengan dana 1MDB. "Saya telah kata secara terbuka. Jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah perdana menteri," kata Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dipetik BBC.

4.   11 Oktober 2016 - Pihak berkuasa kewangan Singapura (MAS) menarik balik status bank perdagangan Falcon Private Bank Ltd cawangan negara itu susulan kaitannya dengan aliran dana berkaitan 1MDB. Ia susulan “kegagalan serius kawalan antipengubahan wang haram (AML) dan pengurusan tidak betul oleh pengurusan kanan” di ibu pejabat di Switzerland, dan juta cawangan Singapura”. MAS juga mengenakan denda kewangan pada DBS Bank Ltd (DBS) dan UBS AG, cawangan Singapura (UBS) kerana melanggar keperluan AML MAS.Tindakan itu diambil susulan pemeriksaan terhadap aliran dana berkaitan 1MDB melalui ketiga-tiga bank itu antara Mac 2013 dan Mei 2015.



 5.   11 Oktober 2016 - Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland atau Swiss Financial Market Supervisory Authority (Finma) mengumumkan sejumlah  kira-kira AS$3.8 bilion (RM15.2 bilion) dana berkaitan 1MDB disalurkan melalui Falcon Private Bank. Ia terkandung dalam siasatan pengubahan wang haram.yang menyiasat aktiviti Falcon dengan 1MDB sepanjang tempoh 2012-2015.

6.   12 Oktober 2016 - Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland memulakan prosiding jenayah terhadap Falcon Private Bank kerana gagal menghalang kesalahan berkaitan dengan penyelewengan dana 1MDB. Keputusan memulakan prosiding adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh siasatan dalam kes 1MDB dan isu-isu yang dibangkitkan dalam keputusan Finma dari awal Oktober 2016. OAG mengesyaki kekurangan seliaan dalam organisasi dalaman Falcon Private Bank.

Peristiwa sepanjang lima bulan itu menyebabkan Najib diserang pihak pembangkang dan orang awam bertalu-talu mengenai tuduhan rasuah berkait dengan 1MDB yang sarat menanggung hutang dan deposit wang dimasukkan ke bank akaun peribadinya bernilai kira-kira AS$680 juta.

Beliau menafikan sebarang salah laku dan tetap bertegas sumber wang itu bukan daripada 1MDB. Beliau juga berkata wang itu bukan untuk kegunaan peribadi.

Katanya, isu 1MDB ialah isu perniagaan tetapi dipolitikkan oleh “musuh tertentu”.

Yang pasti, sekiranya dokumen laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan semula sebagai dokumen awam, ia membolehkan ahli parlimen (di Dewan Rakyat), badan-badan kerajaan yang berkenaan, di samping rakyat menjadikannya sebagai sumber rujukan serta perbandingan bagi mengesahkan dengan laporan PAC.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini memberitahu laporan Ketua Audit Negara tidak boleh dibentangkan lagi kerana ia masih diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Malah ada pihak menggesa agar badan-badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penyiasatan diberikan ruang sepenuhnya untuk menyiasat dengan lebih lanjut Lembaga Pengarah dan Lembaga Penasihat 1MDB.


Selain pembangkang, pemimpin veteran UMNO, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut membuat gesaan agar laporan tersebut dijadikan sebagai dokumen awam.

Sementara antara pertubuhan bukan kerajaan yang membuat gesaan  agar Dewan Rakyat menarik balik klasifikasi rahsia yang dikenakan ke atas laporan 1MDB ialah Angkatan Belia Islam Malaysia.

Dengan Laporan PAC itu diklasifikasikan sebagai  dokumen di bawah OSA, persepsi rakyat ialah ada rahsia besar yang cuba dilindungi oleh Ketua Audit Negara?

Mahkamah dijadualkan mendengar permohonan menteri besar Selangor itu hari ini.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai 1MDB, kepada 18 Nov.

Mohamed Azmin mencabar keputusan Ketua Audit Negara itu dan Hakim Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya berikutan pihak responden baru menerima dokumen berkaitan permohonan itu Isnin lepas.

Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak dan Timbalan Presiden PKR, memfailkan permohonan itu pada 15 Ogos lalu.

Beliau menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan kerajaan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Pada 13 September lalu dilaporkan permohonan Azmin bagi kebenaran untuk mencabar status sulit laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dijangka  didengar pada 26 Oktober (hari ini).

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norazlin Othman menetapkan tarikh itu apabila perkara itu dikemukakan untuk pengurusan kes pada hari tersebut.

Peguam Azmin, Michelle Sunita Kummar dari firma Tommy Thomas & Co memberitahu pemberita bahawa pendengaran itu akan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Hanipah Farikullah.

Permohonan semakan kehakiman perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu bagi memastikan permohonan itu bukannya remeh atau menyusahkan.

Muhammad Zahid (lima dari kanan) selepas memfailkan cabaran.
Ini adalah cabaran kedua ke atas status sulit audit akhir 1MDB selepas pemimpin sebuah NGO,  Muhammad Zahid Arip memfailkan cabaran sama sebelum ini.

Muhammad Zahid 5 Ogos lalu berkata laporan PAC berhubung kertas siasatan 1MDB  Berhad (1MDB) oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah hak umum.

Oleh itu, katanya, keputusan siasatan itu harus dijelaskan kepada rakyat kerana kes 1MDB telah diletakkan sebagai kepentingan umum, bukan menjadi rahsia kerajaan.

Menurutnya, tindakan meletakkan dokumen berkenaan di bawah OSA sebagai pelik dan meragukan berikutan sebelum ini Perdana Menteri memberi jaminan rakyat akan diberitahu hasil siasatan itu.

Bagaimanapun, jelas beliau, apabila PAC mengumumkan siasatan sudah selesai dan keputusan sudah diperolehi, tiba-tiba kerajaan meletakkan dokumen berkenaan bawah OSA.

"Sehingga sekarang rakyat tidak tahu apa berlaku dalam siasatan 1MDB dan sekadar mendengar jawapan daripada sebelah kerajaan pihak yang cuba menyembunyikan jawapan sebenar," katanya. 

Permohonan Zahid ditetapkan untuk pendengaran pada 10 November nanti.

Permohonan Azmin itu dibuat bawah Aturan 53, Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 untuk mencabar pengelasan laporan audit berkenaan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Azmin juga memohon pengisytiharan bahawa pengelasan itu tidak mengikut undang-undang dan ultra vires kepada perlembagaan.

Timbalan presiden PKR itu juga memohon perintah mendamus untuk memaksa responden, agen dan pegawai mereka untuk mengubah pengelasan itu menurut Seksyen 2C OSA dan kemudian mendedahkannya kepada umum.

Jabatan Audit Negara salah satu pihak berkuasa tempatan yang menyiasat isu berkaitan 1MDB.

Najib berulang kali menafikan salah laku manakala Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali pula telah membersihkan namanya.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang ditemui pemberita hari ini berkata mahkamah juga menetapkan 3 Nov ini untuk pengurusan kes.

Apa yang diharapkan oleh rakyat Malaysia ialah Laporan PAC ini tidak akan menjadi ‘rahsia rasmi’ lagi demi untuk mengetahui apa ‘rahsia rasmi besar’ 1MDB yang selama ini cuba dilindungi oleh pihak berkepentingan.

No comments:

Post a Comment