Sunday 30 October 2016

POLIS PANGGIL AHMAD HUSNI KE BUKIT AMAN ESOK UNTUK SIASATAN...


Tahniah Polis DiRaja Malaysia kerana bertindak cepat di mana dalam beberapa hari sahaja bertindak untuk melakukan  siasatan  terhadap bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau  dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok dikatakan kerana ucapan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat,  Isnin lalu.

Ahmad Husni yang masih ahli UMNO kini adalah Ketua Bahagian UMNO Tambun dan Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Tindakan polis itu mungkin berikutan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata bekas menteri Kabinet itu mungkin telah melanggar sumpah kerahsiaan Kabinet ketika berucap di dalam Dewan.

Pada 27 Oktober lalu Pandikar Amin berkata bekas anggota Kabinet yang terlibat dalam perbahasan Bajet 2017 mungkin telah melanggar sumpah kerahsiaan.

“Pasal apa yang saya dengar kelmarin, keputusan Kabinet konon tidak dilaksanakan. Itu adalah informasi dalam Kabinet," kata Pandikar Amin pada sidang akhbar di bilik resepsi  parlimen.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Ahmad Husni didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Muhyiddin dalam ucapannya pada 26 Oktober lalu menegaskan bahawa kabinet tidak berunding mengenai pembentukan 1MDB dan merahsiakan kedudukan kewangannya sehingga skandal itu meletus.

Pandikar Amin kemudian mengingatkan semua ahli parlimen mematuhi undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan ketika berucap di dalam Dewan.


Setakat hari ini, hanya Ahmad Husni yang dipanggil dan belum diketahui apakah bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas menteri UMNO akan turut dipanggil Bukit Aman.

Juga tidak dapat dipastikan sama ada Ahmad Husni dipanggil polis kerana kenyataan Pandikar Amin semata-mata atau kerana ada repot polis terhadapnya.

Apa pun ini antara keputusan cepat pihak polis untuk menyiasat dan tindakan ini sangat dialu-alukan,

Ia mungkin akan menjadi suatu precedent kepada kes-kes seperti ini di masa hadapan.

Dengan kata lain, apabila mendapat laporan, polis akan membuat siasatan segera tanpa menunggu lebih lama.

Kecekapan dari segi tindakan siasatan akan menaikkan imej polis di mata rakyat yang mengharapkan laporan-laporan sebelum ini turut diambil tindakan segera.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis  akan mengambil keterangan tiga bekas anggota Kabinet dalam masa terdekat yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan baru-baru ini.

Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini dan kesemua individu terbabit akan dipanggil memberi keterangan dalam tempoh sehari dua lagi," katanya menurut laporan Bernama.

Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1MDB.

Dua badan bukan kerajaan iaitu Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan sebelum ini membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah dalam laporannya menyebut Muhyiddin berbuat demikian dalam dua kejadian - minggu ini di Parlimen, dan awal bulan ini dalam sebuah ceramah.

Bagaimanapun, dalam klip video yang dimuat naik oleh KiniTV, Azwanddin bagaimanapun mengakui bahawa tindakan mungkin tidak dapat diambil terhadap Muhyiddin kerana beliau mengeluarkan kenyataan berkenaan di Parlimen.
Azwanddin tidak pula menyebut Ahmad Husni mengenai laporannya.

Pembantu Husni memberitahu Malaysiakini bekas menteri itu dipanggil untuk disoal siasat pada pukul 2.30 petang esok.

Antara perkara yang disebut Ahmad Husni dalam ucapannya ialah meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sekiranya terdapat sebarang tindakan diambil kerana menyalurkan dana syarikat ke "tempat yang salah".

Beliau turut  kesal serangan cybertrooper UMNO  berikutan peletakan jawatannya.


Ahmad Husni meletak jawatan daripada Kabinet pada Julai lalu dan kritikannya terhadap 1MDB dikatakan turut menyebabkan timbulnya spekulasi bahawa beliau mungkin dipecat oleh UMNO.

No comments:

Post a Comment