Sunday 30 April 2017

RAMAI KECEWA, 4 ADUN PKR LOMPAT PARTI HANYA PROPAGANDA...


Namanya pun propaganda – berita propadganda.

Dan yang paling banyak bersuara dan viralkan berita malaysiapropagandanews ini adalah bekas orang kuat PKR tetapi sejak kesekian cari makan dalam UMNO tetapi tidak dilayan.

Namun kali ini mata kailnya mungkin mengena dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Apa lagi ‘melompat-lompat gilalah dia’.

Oleh kerana bekas PKR, seperti juga bekas Parti Semangat 46, maka kena tunjuklah ‘lebih kuat dari orang UMNO’.

Lagipun sudah pasti selepas meraung dan meminta dedak di mana-mana dan sudah ditolong, dia menjadi begitu taksub dengan propagandanya bahawa akan ada empat (4) Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Selangor akan lompat.

Selain menggunakan bahasa kesat dan bercita-cita sangat untuk mendapat jawatan di SUK Selangor, orang ini sanggup berbuat apa sahaja, walaupun fitnah dan propaganda jahat.

Yang nyatanya?

Yang nyatanya, “Dakwaan Empat Adun PKR Lompat Parti Hanya Propaganda” demikian lapor mStar hari ini.

mStar melaporkan, khabar angin tentang empat ADUN  PKR akan lompat parti bagi menubuhkan kerajaan campuran baru di Selangor disifatkan sebagai propaganda semata-mata.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, spekulasi tersebut mungkin berpunca daripada pihak yang ‘ingin kembali’.


“Itu hanya propaganda dan spekulasi semata-mata. Mungkin ada pihak yang kecewa kehilangan kedudukan satu ketika dahulu berharap untuk kembali.

"Sejak 2008 ramai Adun dikaitkan melompat sana sini namun ia tidak berlaku. Jika ada pun hanya satu kes terpencil di Selangor.

“Kita sedar ada sedikit usaha pihak tertentu ke arah itu sejak November 2014 lagi dan terbaru, mereka merisik khabar dengan beberapa Adun. Mungkin mereka terlibat dengan penyiaran propaganda itu,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah blog mengatakan empat Adun PKR akan meninggalkan parti itu dan menubuhkan kerajaan baharu.

Katanya, di sebalik khabar angin itu, kerjasama dengan semua Adun dari PAS, Amanah, DAP dan PKR berjalan dengan baik hingga kini.

“Malam ini pun beberapa Adun dari PKR dan PAS menyertai delegasi menteri besar ke Timur Tengah bagi meninjau keadaan pelajar-pelajar Selangor di sana.


“Maka tiada masalah besar atau apa-apa yang berlaku. Kerajaan negeri berjalan seperti biasa dan lancar. Pakatan Selangor akan teruskan pentadbiran seperti biasa dan kami kekal fokus dengan agenda Membangun Bangsa, Memakmur Negeri," katanya.

Tuesday 4 April 2017

MUNGKINKAH AKTA 164 TERUS GONCANGKAN ‘KEAKRABAN PAS-UMNO’?


"UMNO bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan Allah jika pindaan Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016, atau Akta 164 diluluskan."

Takut dan seram mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Katanya,  pindaan itu jelas mahu merosakkan akidah dan menyekat umat Islam mengamalkan hukum syariah.

“Umat Islam wajib bersatu menolak pindaan…” katanya.

Tidakkah ini membawa makna bahawa seluruh  umat Islam – tidak kira dalam PAS atau di luarnya, atas dasar Islam - berhak mempertahankan aqidah “tanpa gangguan daripada mana-mana pihak”?

Menariknya, kelmarin mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata cadangan pindaan itu akan menafikan hak seorang mualaf, serta mengkepikan kuasa mahkamah syariah.

Dengan pindaan Akta 164 ini, ia tidak akan membenarkan seseorang anak ditukar agamanya oleh salah seorang ibu bapa, seperti yang berlaku dalam beberapa kes merebut hak penjagaan di mana bapa yang memeluk Islam, menukar agama anak tanpa kebenaran ibunya.

Nik Abduh...umat Islam perlu bersatu menolaknya.
Pindaan termasuk Seksyen 88A yang baharu, iaitu “kedua-dua pihak” dalam perkahwinan sivil perlu bersetuju untuk menukarkan agama anak bawah umur kepada Islam.

Ia juga memberi kuasa kepada mahkamah sivil menentukan perkara membabitkan perkahwinan sivil, walaupun jika salah seorang daripada pasangan sudah memeluk Islam.

Rang undang-undang pindaan itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada November tahun lalu dan memasukkan klausa baru yang menyatakan bahawa agama kanak-kanak kekal sebagai agama bapa dan ibu semasa perkahwinan itu dan sebelum penukaran agama, sama ada oleh ibu mahupun bapa.

Pindaan juga menyebut penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Selain itu,  pindaan juga  untuk menangani isu-isu berkaitan penukaran agama secara unilateral bagi kanak-kanak bawah umur dalam situasi salah seorang ibu atau bapanya memeluk Islam selepas bercerai.

Di pihak kerajaan, semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa keputusan memminda Akta 164 adalah berdasarkan kepada kepentingan negara.

“Sebagai mana dimaklumkan (oleh) speaker Dewan Rakyat, kita akan melihat bahawa kepentingan negara mengatasi kepentingan lain. Kita harap apa juga keputusan yang dibuat kerajaan kita mesti berlapang dada. Kita menghormati semua agama, kita menghormati hak semua kaum.

“Dalam soal ini keputusan kerajaan adalah berdasarkan kepentingan negara keseluruhannya,” katanya.


Di sebalik menghormati pandangan mufti itu, Dr Ahmad Zahid mengesahkan bahawa dirinya akan membincangkan perkara berkenaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Said Othman yang ditugaskan untuk membentangkan pindaan tersebut.ngulas kenyataan yang mahu kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan Akta 164 itu.

Kerajaan dijangka membentangkan pindaan rang undang-undang itu pada sesi parlimen yang sedang bersidang ketika ini.

Berkaitan ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  mencadangkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula undang-undang menghalang salah satu daripada ibu bapa untuk menukar agama kanak-kanak bawah umur di bawah Akta 164  yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Katanya,  undang-undang tersebut, yang dilihat penyelesaian terhadap tuntutan hak penjagaan anak oleh bekas suami isteri yang berlainan agama, boleh memberikan kesan serius terhadap kebebasan umat Islam mengamalkan agama mereka.

Apakah perbahasan mengenai akta ini akan memperlihatkan ‘ketegangan’ antara ahli Dwan Rakyat PAS dan Barisan Nasional/UMNO serta sekutunya?

Saranan Hadi semalam selang seminggu selepas BN mengumumkan tidak akan mengambil alih rang undang-undang persendirian yang dibentangkan Hadi untuk memperkenalkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.

November lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan  meletakkan syarat tidak membantah pindaan Akta 164 dengan syarat ahli Parlimen bukan Islam tidak membantah RUU355 yang akan dibentangkan Hadi.

“Jika mereka (bukan Islam) mahu bantah undang-undang yang akan hanya memberi kesan kepada Muslim, maka kami (orang Islam) juga boleh menentang cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian),” katanya.

Wajarkah tawar menawar dilakukandi atas kepentingan Islam hanya kerana mahu menjamin RUU355 dibahas daan diluluskan?

Apakah permainan politik PAS dalam isu RUU355 dan Akta 164 ini?

Jika sebelum ini PAS boleh ‘bertolak ansur dalam Akta 164’ tetapi kenapa kini begitu bertegas mengenanya?

Menurut Hadi semalam  Akta 164  perlu “dikaji semula secara mendalam” oleh sebuah jawatankuasa untuk mencari “penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif”.

Jawatankuasa itu perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan sama ada daripada kalangan penganut Islam dan juga agama-agama lain.

Perlu sekali diaambil pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil, pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya yang merupakan pihak yang terkesan secara langsung dalam pindaan Akta 164 ini.

Melalui kenyataannya hari ini, Presiden PAS itu berkata umat Islam berhak mempertahankan aqidah “tanpa gangguan daripada mana-mana pihak”.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS pernah memberi isyarat parti itu tidak akan menyokong pindaan Akta 164.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan pernah berkata:  “Pindaan ini akan merobek aqidah anak kecil dan memberi kemenangan kepada perjuangan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) suatu masa dahulu yang kita sama-sama telah tolak dahulu secara keseluruhannya.”


Kenyataan pemimpin PAS ini menarik dan selepas ini kita saksikan pula ‘drama terbaru’ selepas Drama RUU355 yang menggoncangkan ‘hubungan akrab PAS-UMNO’ sebelum ini.

Saturday 1 April 2017

1MDB - KENAPA MAHU MELINDUNGI PERDANA MENTERI???


Apakah perbuatan mencuri wang rakyat, menyeleweng dan melakukan penipuan bukan perbuatan jenayah?

Kenapa kerajaan tidak berusaha untuk melindungi harta dan khazanah rakyat Malaysia daripada kehilangan atau kerugian, sebaliknya menganggap perbuatan mencuri wang milik 1MDB sebagai perbuatan sivil?

Juga logikkah sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya menasihati rakyat Malaysia untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap penemuan oleh Peguam Negara dan pegawai tinggi Amerika Syarikat (AS) mengenai 1MDB?

Juga apakah tindakan perampasan aset milik mereka yang dinamakan hasil pemindahan wang haram yang dikatakan terbesar dalam sejarah AS, mungkin juga dunia diabaikan begitu sahaja?

Kenapa Najib mengatakan kes tersebut melibatkan mereka yang dinamakan sahaja dan proses perundangan masih berjalan?

Walaupun ia kes sivil yang bertujuan untuk merampas aset-aset, tetapi ia juga merupakan bukti penipuan oleh mereka yang dinamakan?

Berikutan itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mencabar Najib  sebagai Menteri Kewangan untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.


“Saya akan tetap berdiri teguh dengan pendirian saya dan tidak akan sekali-kali berundur daripada kepercayaan dan keyakinan saya dalam perjuangan mempertahankan hak dan maruah seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Apakah yang perlu Najib lakukan?

1.      Jika 1MDB dan Kerajaan Malaysia secara tegas mahu melindungi harta pendedahan yang amat mengejutkan ini seharusnya mendorong mereka mengambil tindakan segera mengikut undang-undang Malaysia ke atas MALAYSIAN OFFICIAL 1, Reza Aziz, Jho Low dan nama-nama lain yang disenaraikan dalam laporan Peguam Negara AS;

2.      Ambil serius keputusan pihak Peguam Negara Amerika Syarikat dengan menghantar delegasi tertinggi kerajaan untuk mendapatkan butiran terperinci dari Amerika Syarikat;

3.      Tubuh sebuah tribunal bebas untuk menyiasat dan memulakan proses pendakwaan jenayah dengan kadar segera terhadap mereka didapati terlibat atau bersubahat dalam pemindahan wang haram berjumlah puluhan bilion ringgit yang amat memalukan negara. Ini kerana wang rakyat Malaysia dalam jumlah yang amat besar didapati hilang dan dilesapkan oleh mereka yang dinamakan.

4.      Sepatutnya sudah menghantar Peguam Negara Malaysia dan Ketua Polis Negara ke Amerika Syarikat dengan segera untuk mendapatkan kerjasama negara itu supaya tindakan undang-undang Malaysia yang sesuai boleh diambil terhadap mereka yang terbabit.

5.      Sewajarnya telah mengarahkan Peguam Negara dan 1MDB segera menuntut wang yang dilapor dicuri daripada syarikat milik negara.

Muhyiddin  amat kecewa dengan sikap penafian yang teruk yang dinyatakan oleh Najib  dan konco-konconya berkenaan kes penipuan terbesar yang ditemui oleh pihak kerajaan Amerika itu.

Nampak benar semua ini tidak dilakukan oleh Najib sebaliknya hanya berkata kes ini bukan kes jenayah tetapi kes sivil dan orang-orang yang dinamakan dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhak mendapat pembelaan yang sewajarnya.


Adakah ini sepatutnya respon seorang Perdana Menteri terhadap kes penemuan sejumlah besar wang yang dicuri daripada sebuah syarikat pelaburan strategik negara?

Adakah pembelaan terhadap individu yang dituduh terlibat dalam perompakan harta negara lebih penting berbanding pembelaan terhadap seluruh rakyat yang terpaksa menanggung beban kehilangan puluhan bilion ringgit wang negara?

Peguam Negara Malaysia juga tidak menjalankan amanah! Logikkah apabila dia berkata tindakan sivil di Amerika Syarikat itu tidak membabitkan Najib?

Siapakah MALAYSIAN OFFICIAL 1 yang difahami oleh Peguam Negara seperti yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan AS?

Jika dia tidak tahu, tidak bolehkah dia bertanya dengan rakan sejawatnya di Amerika Syarikat siapakah dia MALAYSIAN OFFICIAL 1?

Disebut dengan terang dalam laporan Jabatan Keadilan AS, orang ini memiliki sejumlah AS681 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya di Ambank Malaysia.

Yang kita tahu, tiada orang lain yang dilaporkan mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun peribadi di AmBank selain Najib!


Selain itu bagaimana boleh terjadi pasukan penyiasat negara kita tidak menemui sebarang bukti kehilangan wang 1MDB, sedangkan pasukan penyiasat negara asing menemuinya?

Bukankah ini sepatutnya memeranjatkan Peguam Negara?

Bukankah perkara ini yang harus diutamakan, bukan melindungi Perdana Menteri! Nampak benar rakyat Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan dia untuk melindungi kepentingan negara!

Apakah harapan kita untuk terus percaya dengan Perdana Menteri Malaysia?

Jelas dan nyata tindakan Najib selama ini  adalah untuk melindungi diri sendiri, bukan melindungi kepentingan rakyat Malaysia!

Dengan pendedahan yang tidak dapat lagi diselindungi oleh sesiapapun ini, maka kerajaan Malaysia pimpinan Najib telah mengkhianati Rakyat Malaysia dan sepatutnya menanggung akibat daripada perbuatan salahlaku yang amat serius ini!

Bukan sahaja ia merupakan kes jenayah dan sivil yang cukup memalukan, malahan dari segi moral pun Najib sebenarnya tiada pilihan lain selain meletak jawatan dengan serta merta!

Berikutan itu Presiden PPBM itu berharap rakyat SEDAR dan BANGKIT bersuara dengan berani menuntut mereka yang merompak harta negara dihukum.