Sunday 13 August 2017

BN/UMNO TERENGGANU PERJUANGKAN KEDUDUKAN MB, BUKAN RAKYAT...


Kenapa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO Terengganu sangat takut dengan isu petroleum?

Pada ketika ia menguar-uarkan penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC), kerajaan negeri menyekat perkara itu dibahaskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Usul  Tergempar ADUN Tepoh mengenai perkara itu tidak dibenarkan oleh Speaker DUN walaupun  jelas ia membabitkan kepentingan rakyat.

PAS menuntut persidangan DUN ditangguhkan mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN bagi membolehkan persidangan hari ini  menyokong Penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) selain  Menggesa Dua Keutamaan Yang Perlu Disegerakan Oleh Pihak TPC Iaitu Menuntut Kembali Royalti Minyak Negeri Terengganu dan Menuntut Kembali Hak Kawasan Minyak Di Blok PM 307 Bertam”.

Apakah dua perkara iaitu menuntut kembali royalti minyak Negeri Terengganu dan menuntut kembali hak kawasan minyak di Blok PM 307 Bertam sebagai  yang tidak penting demi rakyat Terengganu?

Jelas kerajaan BN yang dipimpin oleh UMNO Terengganu kini hilang fokus dan mementingkan kedudukan Menteri Besar semata-mata.

Isu mengenai dua perkara itu bukan sahaja disuarakan oleh PAS, malah oleh Prti AMANAH dan juga sekutunya dalam Pakatan Harapan, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Amat malang apabila sidang DUN yang sepatutnya memperkata dan membincang perkara yang penting untuk rakyat Terengganu digunakan untuk melindungi pemimpin BN/UMNO, khususnya Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.


Isu ini akan berterusan dan akan diulang-ulang pada majlis ceramah, forum, kenyataan media dana pa juga saluran demokrasi untuk memperjuangkan hak rakyat.

Yang jelas BN/UMNO tidak berminat untuk memperjuangkan kepentingan lebih sejuta rakyat Terengganu tetapi hanya mengekalkan Menteri Besar dan sekutu-sekutunya.

Baca usul penuh di bawah:

Usul Di Bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-Peraturan Dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu.
_______________________________________________________________

Dato’ Yang Di-Pertua,

Adalah saya Hishamuddin bin Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh mohon mencadangkan,

“Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguhkan mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini menyokong Penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) Dan Menggesa Dua Keutamaan Yang Perlu Disegerakan Oleh Pihak TPC Iaitu Menuntut Kembali Royalti Minyak Negeri Terengganu dan Menuntut Kembali Hak Kawasan Minyak Di Blok PM 307 Bertam”.

Dato’ Yang Di-Pertua,


Kedua-dua isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana telah melibatkan pencabulan hak rakyat negeri Terengganu melalui penarikan balik royalti minyak dengan melanggar perjanjian asal di bawah Fasal 2 Perjanjian Royalti yang telah ditandatangani di antara kerajaan negeri Terengganu, Kerajaan Persekutuan dan Petronas pada tahun 1975. 

Ia juga pencabulan hak pemilikan telaga minyak Blok PM 307 Bertam yang ditemui dan disahkan oleh pihak Syarikat Lundin Oil, sebuah syarikat carigali dari Swedan yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali. Secara jelas mereka memperakui Blok PM 307 Bertam adalah sah terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.

Kerajaan negeri Terengganu sebelum ini menerima pembayaran Wang Royalti secara tunai menurut perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974, ia telah dimansuhkan pada 5 September 2000 dan digantikan dengan Wang Ehsan atau sekarang Dana Khas Persekutuan yang dikendalikan terus oleh Kerajaan Pusat.

Negeri Terengganu telah menyumbangkan hasil minyak dan gas kepada Kerajaan Persekutuan lebih 40 tahun bermula pada 1975.

Apakah wajar Royalti sebanyak 5% yang diterima oleh kerajaan Terengganu semenjak dari tahun 1978 kini terbatal sepenuhnya dan hanya dianggap sebagai ‘ehsan’ dan ‘dana khas’ dari Kerajaan Persekutuan?

Kini, kerajaan Terengganu langsung tidak mempunyai sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak dan gas yang terletak di perairan negeri.

Dato’ Yang Di-Pertua,

Perkara ini adalah melibatkan kepentingan orang ramai apabila hak yang secara berperundangan dinafikan sewenangnya iaitu perjanjian royalti minyak dengan pihak kerajaan negeri Terengganu dan menafikan hak milik rakyat Terengganu hasil penemuan Telaga Minyak Blok PM 307 Bertam.

Sikap tidak serius dalam kedua kes ini, menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kesungguhan kerajaan negeri untuk menuntut hak rakyat. Tindakan meletakkan royalti sebagai Dana Khas Persekutuan amat bertentangan dengan semangat federalisme.

Kes yang berlarutan ini melibatkan kepentingan lebih satu juta rakyat negeri Terengganu. Demi untuk masa depan anak cucu watan Terengganu dan mengelakkan Terengganu menjadi negeri yang terus ’dianak tirikan’ oleh kerajaan Persekutuan.

Dato’ Yang Dipertua,

Perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh pelanggaran hak, pelanggaran perjanjian dengan pihak kerajaan negeri dan penafian milik kerajaan negeri.

Apatah lagi dengan pengumuman kerajaan menubuhkan Majlis Petroleum Terengganu (TPC). Justeru, peranan segara perlu dikeluarkan oleh kata sepakat dewan undangan negeri agar TPC mengutamakan dua kes ini sebagai bukti komitmen memelihara kepentingan rakyat.

Penarikan balik sama kerajaan negeri terhadap Petronas dengan alasan ia telah diselesaikan perlu dibentangkan kepada pihak Dewan Undangan Negeri. Sifat pengembalian royalti masih di atas nama Dana Khas Persekutuan dan bukannya di atas nama royalti seperti yang terkandung di dalam perjanjian rasmi.

Kerajaan negeri Terengganu, Majlis Petroleum Terengganu (TPC), semua Ahli Yang Berhormat dan rakyat negeri Terengganu mesti bersatu hati menuntut agar pelanggaran perjanjian royalti minyak ini perlu ditebus segera dan penafian hak pemilikan Telaga Minyak Bertam perlu dituntut kembali.

Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan.

Yang mengusulkan,
YB HISHAMUDDIN BIN ABDUL KARIM
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh
Terengganu

14 Ogos 2017


Monday 7 August 2017

AMANAH 'PENERAJU PAKATAN HARAPAN' BERDEPAN BN/UMNO, PAS TERENGGANU


Tidak boleh disangkal dan sah sudah Parti AMANAH boleh menjadi peneraju dan dominan dalam Pakatan Harapan (PH) di Terengganu.

Sama ada melalui tinjauan pendapat umum atau juga menerusi kumpulan WhatsApp, AMANAH adalah segala-galanya dalam konteks pembangkang di Terengganu.

Ini kerana AMANAH mempunyai pemimpin jauh berkaliber daripada parti anggota PH yang lain, khususnya PKR.

Di mana-mana pun pemimpin AMANAH mengatakan mereka lebih baik daripada PKR dalam apa juga segi sekalipun.

Tidak perlu bandingkan Pengerusi PKR, Yang Berhormat Azan Ismail dengan Pengerusi AMANAH, Yang Berhormat Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (gambar kanan).

Bagai langit dengan bumi. Umpama sampan dengan bahtera.

Raja Bahrin keturunan Raja dan lebih dalam banyak segi. Walaupun beliau menang melalui kerusi PAS di Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya umum 2013 lalu, beliau semakin berpengaruh.

Biar digelar ‘PENGKHIANAT’, Raja Bahrin adalah tokoh yang disanjung oleh bekas ahli PAS dan sesetengah ahli PAS yang masih setia dengan parti Islam itu.

Di mana sahaja beliau pergi, termasuk ke majlis-majlis PAS, beliau tetap dihormati dan dipandang tinggi.

Berbanding dengan Azan, Raja Bahrin memperkatakan isu negeri dan nasional setiap minggu, malah bersifat ‘Anak Raja Berjiwa Rakyat’.

Kredibiliti Raja Bahrin terserlah, apa lagi ketika persidangan Parlimen, sedangkan Azan hanya wakil rakyat DUN Bandar yang tidak pun nampak kelebihannya, sama ada dalam berhujah, mahupun berceramah.

Kedudukan ini memberikan kelebihan kepada AMANAH yang disifatkan sebagai parti yang cepat berpengaruh di seluruh Terengganu.


Walaupun digelar sebagai ‘Parti Anak Budu’ atau ‘Parti Toyol’ apabila besar di kepala dan kecil di bahagian badan eakor, AMANAH kini sudah mempunyai lebih 300 cawangannya di seluruh negeri.

Sebagai rekod, ada 366 Posit Daerah Mengundi (PDM) di Terengganu.

Malah AMANAH layak untuk bertanding  di 32 kerusi negeri dan semua lapan kerusi Parlimen, termasuk mempertahankan kerusi Kuala Terengganu.

Awas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif kerana badai dan bahtera AMANAH ini terlalu kuat dan akan menenggelamkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO Negeri.

Kekuatannya diserlahkan apabila dua kali terakhir Presiden AMANAH, , Mohd Sabu turun ke Terengganu, lebih 5,000 orang hadir pada ceramahnya di Seberang Takir dan pada majlis Invoke anjuran PKR di Dungun baru-baru ini.

Menurut khabar, ia suatu kehadiran yang di luar jangkaan.

Mohamad Sabu sedang berceramah di Kuala Nerus.
Berdasarkan kedudukan ini, amat jelas AMANAH berpeluang besar menang di Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman selain di Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

Malah dikatakan juga, Terengganu akan mendapat menteri besar dari AMANAH selepas pilihan raya umum ke-14 nanti.

Wakil AMANAH  yang akan bertanding pula hebat semuanya apabila dikatakan akan mengetengahkan Dr Syed Azman Syed Nawawi (yang ketika ini masih ahli PAS) di DUN Batu Burok, Dr Sulaiman Abdullah di DUN Ladang dan juga Zubir Mohamed di Wakaf Mempelam.

Untuk rekod, Dr Sulaiman pernah menjadi ADUN Ladang mewakili PAS antara 1999-2004 dan pernah terpalit dengan isu tanah di Dungun.

Dr Syed Azman
Ini belum lagi di tiga DUN di Seberang Takir dan tiga DUN di Dungun, termasuk Ketua Pemudanya Hasbie Muda di Rantau Abang.

Dengan kedudukan ini bermakna akan ‘berputih matalah’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh Datuk Razali Idris.

Malah, AMANAH yang melihat PKR sebagai pesaing mereka dikatakan tidak akan membiarkan parti pembangkang paling lama dalam PH itu mendapat banyak kerusi.

Mereka mungkin hanya mengekalkan enam kerusi tradisi mereka di DUN Bandar serta lima DUN lain termasuk Seberang Takir, Kota Putera, Permaisuri dan dua yang lain.

Sementara PPBM akan hanya diberikan kerusi yang selebihnya selepas dicaturkan oleh AMANAH dan PKR dan tidak ada harapan untuk parti itu berkembang dengan cepat di Terengganu.

Hasbie...calon di Rantau Abang.
Berikutan kedudukan ini, PH Terengganu sewajarnya mempunyai Pengerusi daripada AMANAH – Raja Bahrin - bukan sekadar mempengerusikan  mesyuarat mesyuarat PH.

Dengan kedudukan ini pastinya PAS dan UMNO Terengganu tidak ‘senang duduk’ kerana kekuatan AMANAH ‘amat luar biasa’ dan pemimpin serta calonnya adalah ‘tokoh politik hebat’ yang memang sukar ditandingi oleh PKR dan AMANAH.

Malah AMANAH juga dikatakan sedang berusaha memperjuangan dua kerusi DUN untuk rakan DAP di Terengganu, iaitu DUN Bandar dan Chukai.

Dengan kedudukan AMANAH yang sangat berpengaruh menentukan pembahagian kerusi, calon yang bertanding serta manifestonya, tidaklah pelik jika AMANAH akan menjadi peneraju PH seperti juga di Kelantan.

Jika Kelantan hebat dengan Datuk Husam Musa, Terengganu juga hebat dengan Raja Bahrin dan Dr Syed Azman.

Jadi kepada rakyat Terengganu, berilah sokongan kepada AMANAH kerana ia memang parti sangat berpengaruh di negeri yang berjiran dengan Kelantan itu.

Yakinlah, AMANAH akan berjaya tumpaskan BN dan UMNO, selain memberikan saingan sengit kepada PAS, pada ketika PPBM dan PKR hanya sebagai penumpang!!!