Sunday 29 January 2017

'POHON BENANG EMAS' DI KUALA NERUS ADA KAITAN DENGAN AHMAD RAZIF???


Menjawab sesuatu ISU MUDAH sehingga menggunakan ayat al-Quran bahawa perlu berhati-hati dengan  suatu berita atau perkhabaran dan percakapan bersifat fitnah, tidak akan membawa apa-apa makna.

Saman juga tidak akan mendatangkan kesan segera.

Terbaik ialah penafian dengan fakta jelas mengenai hadiah atau sumbangan atau apa sahaja berbentuk ‘percuma’ dengan menyatakan syarikat atau individu mana yang menghadiahkannya.

Juga sudah pasti berkaitan dengannya ialah untuk  apa dan kenapa pokok benang sutera dari Brazil itu jadi pilihan.

Yang lain ialah berapa kosnya dan siapa menanggungnya?

Sehari dua ini kecoh di Terengganu, khususnya di Kuala Terenganu dan sudah semestinya di Seberang Takir, apabila ada pihak membuat tuduhan kepada kerajaan negeri kononnya pokok Ceiba Speciosa yang kelihatan di Kuala Nerus dibeli oleh kerajaan negeri.

Berlagak sebagai jurucakap kerajaan negeri dan Menteri Besar, Terengganu Times mengatakan ia adalah sumbangan korporat untuk menjadikan bandar baru itu lebih ceria dan indah apabila di sulami dengan landskap yang berbeza apabila siap nanti.

Maknanya -  tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri serta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman atau sesiapa juga ‘walau yang hidup atau yang mati’ dalam isu pokok ini yang tiba-tiba muncul di Kuala Nerus.

Berita mengenai kehadiran pokok dari keluarga kekabu yang didatangkan khas dari Brazil dan berusia lebih 250 tahun itu, menarik perhatian orang ramai dan kini dikatakan akan dijadikan ikon bandar baharu Seberang Takir.

Pemilihan pokok itu yang dikenali sebagai pohon benang sutera atau nama saintifiknya Ceiba Speciosa yang hidup di Amerika Selatan, dianggap “sememangnya tepat”.

Itu kata Terengganu Times, namun belum ada sepatah perkataan pun keluar daripada  mulut Menteri Besar mengenai ikon bandar baru itu.

Portal milik kerajaan Terengganu itu melaporkan, selepas menghubungi pihak berkaitan (siapa?) didapati pokok itu bukan dibeli oleh kerajaan negeri sebaliknya adalah sumbangan korporat.

“Segala bukti pembelian serta pembayaran dengan jelas menunjukkan bahawa pokok itu bukan dibeli oleh kerajaan negeri dan sudah pasti Menteri Besar sendiri Datuk Seri Ahmad Razif langsung tidak tahu menahu dakwaan tersebut kerana bukan kerja MB hendak beli pokok hiasan.

Bagi menghilangkan keraguan serta tandatanya, adalah baik jika kerajaan negeri atau Menteri Besar sendiri membuat kenyataan, siapa atau badan korporat mana menghadiahkannya.

Juga berapakah jumlah atau harga bagi tiga pokok berkenaan.

Ini kerana diviralkan di laman FB seseorang mengenai tiga pokok yang dikatakan berharga RM180 ribu setiap satu yang kononnya dibeli oleh kerajaan negeri.

Terengganu Times menganggap viral itu sebagai serangan yang sengaja ditujukan terhadap Ahmad Razif yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus sedangkan tidak disertakan  sebarang bukti pembelian atau dokumen berkaitan.

“Hanya mengambil gambar dan tular di dalam media sosial sahaja untuk memberi persepsi negatif terhadap kerajaan BN yang ditadbirurus oleh Ahmad Razif ketika ini.

Dengan usia pokok serta dibawa dari Brazil sepatutnya harga pokok itu adalah lebih mahal dari RM180 ribu. Kayu balak tempatan yang berkualiti tinggi juga harganya amat mahal inikan pula pokok yang digelar antara pohon berbunga terindah di dunia,” tegas Terengganu Times.

Malah menurut portal milik kerajaan negeri itu, sepatutnya sebagai rakyat Terengganu mereka berbangga kerana pokok yang amat jarang wujud di Malaysia ada di Kuala Nerus.

Di negeri jiran kita pula pokok kurma yang ditanam pun menjadi daya tarikan inikan pula pokok yang bernilai tinggi seperti jenis Ceiba Speciosa.


Malah, Terengganu Times mencadangkan agar pemilik FB yang memviralkan isu ini disaman oleh Menteri Besar kerana  berani melakukan fitnah secara terbuka terhadap Menteri Besar.

Ahmad Razif, Ahmad Razif dan terus Ahmad Razif.

Tuesday 17 January 2017

SKIM CEPAT KAYA MERANAPKAN EKONOMI RAKYAT, NEGERI TERENGGANU....

Bahagian Pertama:

KENAPA PEMIMPIN ATASAN NEGERI BANTU SKIM HARAM DI TERENGGANU?

Jessy Lai, CEO Monspace yang datang ke Terengganu dalam berbagai 'ewajah'.
Selepas membaca dua artikel melalui blog ohsedapnya mengenai syarikat Skim Cepat Kaya yang ditaja oleh Monspace  Group, kini timbul pertanyaan, kenapa syarikat itu cepat sangat boleh masuk ke Terengganu.


Siapa membawa masuknya? Benarkah seorang EXCO kerajaan negeri terlibat?

Apakah ia tuduhan semata-mata? Kenapa Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman atau kerajaan negeri tidak menjelaskan perkara sebenar?

Atau apakah Menteri Besar atau pegawai tinggi kerajaan sendiri terbabit sama?

Malah, kegiatan syarikat berkenaan ‘berkembang’ di Terengganu dalam berbagai bidang bagaikan cendawan di musim hujan.

Tidak hairan jika di Terengganu MonSpace Group akan menggunakan anak syarikatnya dalam berbagai nama.

Syarikat ini turut terbabit dengan skim cepat kaya yang sebelum ini kegiatan itu lebih banyak berkisar di Pantai Barat Semenanjung, khususnya di Pulau Pinang mulai 2014.

Namun, untuk rekod, gerakan itu terbatas selepas tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun menggunakan, modus operandi serupa, skim cepat kaya itu berkembang cepat  di daerah berdekatan Kuala Terengganu.

Tidak pelik kalau dalam masa yang singkat, ia akan merebak ke Kemaman dan Seberang Takir kerana syarikat berkenaan juga dikatakan ada kepentingan di sana.

Sudah pasti ada ruang dan ‘lebuh raya’ disediakan untuk syarikat itu menjalankan aktiviti perniagaan mereka, terutamanya skim cepat kayanya di negeri ini.

Berlindung di sebalik program pelancongan yang ditaja oleh kerajaan Terengganu dan dipergunakan pula dengan dengan jenama Monspace Visit Beautiful Terengganu 2017 (VBT 2017), ia akan memudahkan syarikat itu mengembangkan sayapnya.

Persoalannya bukan orang biasa sahaja yang hairan bagaimana syarikat ini ‘boleh masukj Terengganu’ tetapi di kalangan pemimpin Cina Terengganu pun mereka hairan bagaimana mudahnya skim ini diperkembangan dengan begitu cepat.

Persoalan lain ialah, apakah ada orang besar atau orang penting di negeri ini yang terlibat atau diheret untuk memperkenalkan skim ini?

Jawapannya YA. MEMANG ADA!

Paling kurang dua atau tiga orang berkedudukan tinggi, kalaupun tidak sehingga empat atau lima orang  di negeri ini  - mereka yang mempunyai kuasa untuk menentukan arah perjalanan pentadbiran negeri serta berpengaruh  - kini dikatakan diberikan hak menjadi ahli istimewa kepada skim ini.

Seolah-olah mereka diberikan ‘pink form’ iaitu tawaran saham percuma daripada syarikat berkenaan. Malah mereka dikatakan tidak perlu mebayar atau membuat pelaburan. WANG PERCUMA!!!!

Mereka dihadiahkan dengan beberapa lot pada nilai maksimum sebagai balasan kepada ‘favour’ yang hanya mereka mengetahuinya.

Untuk mengetahui bagaimana skim ini beropersi, perhatikan rajah-rajah berikut:

1.      Menggunakan ‘kekayaan’ yang mereka ada, ditunjukkan kepada bakal pelabur bahawa syarikat mereka teguh, bukan sahaja dari segi kemampuan kewangan tetapi juga kakitangannya. Selain itu mereka akan mempamerkan kekayaan mereka melalui pakaian, jam tangan, beg tagan, aksesori atau apa yang yang boleh dipamerkan sebagai brand mahal;
  

Tidak hairan jika mereka berkempen tIdak perlu bekerja kuat untuk menjadi kaya. Ada pelabur yang goyang kaki sahaja mendapat untung besar. Skim sebegini kadangkala memupuk budaya ke arah menjadikan seseorang sebagai ‘pemalas’ dan mengharapkan kepada nasib sahaja;

2.      Mereka juga akan mempamerkan bagaimana  syarikat mereka menjalankan perniagaan dengan satu skim yang mampu mempengaruhi orang ramai. Pejabat yang indah serta personaliti yang dikenali ramai. Mereka akan menggunakan personaliti berpengaruh, termasuk menggunakan orang politik yang berpengaruh untuk memujuk pelanggan. Yang penting syarikat mampu mencipta berpuluh ribu orang kaya atau jutawan melalui skimnya. Dengan kata lain walaupun memberi atau menggunakan ‘harapan palsu’ yang penting dapat mengumpulkan pelabur yang ramai.


3.      Mereka akan  menunjukkan pelan perniagaan dan pelaburan dan bagaimana keuntungan akan dapat dirasai. Sudah pasti kumpulan pertama yang melabur akan mendapat faedah. Sementara kumpulan lain seterusnya mungkin mendapat untung atau menerima nasib malang apabila cukup waktunya mereka akan menutup syarikat dan berputih matalah pelanggan mereka.



4.     Akhirnya menggunakan iklan atau lebih berpengaruh ialah kempen ‘dari mulut ke mulut’ yang akhirnya membolehkan sesebuah syarikat seperti Monspace Group ini mengumpul pelabur.

5.  Selepas mengumpulkan wang dengan banyak, mereka sama ada menghilangkan diri atau mengisytiharkan syarikat mereka terpaksa ditutup. Akhirnya pelabur yang akan mengalami kerugian besar.

Sedangkan  syarikat ini pernah dkaitkan  dengan Zhang Jian dari China yang mendakwa dirinya sebagai 'bakal orang terkaya di dunia' sebenarnya sebuah syarikat kosong atau ‘shell company” yang pernah dikenakan berbagai denda dan tindakan oleh kerajaan.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengesahkan lima syarikat yang didaftarkan di bawah MonSpace Group adalah syarikat kosong yang tidak mempunyai sebarang aset mahupun modal.

Menurut China Press, lima syarikat itu adalah Mon Space (M) Sdn Bhd, Mon Space City Sdn Bhd, Mon Space Media Entertainment Sdn Bhd, Mon Space F&B Sdn Bhd dan Mon Space Synergy Power Sdn Bhd.

Perniagaan yang diceburi lima syarikat itu termasuk hartanah, bon dan sekuriti, jual beli produk, sektor pembinaan, import serta eksport pelbagai barangan.

Maklumat SSM menunjukkan kumpulan itu mendaftarkan pelbagai perniagaannya antara 2014 hingga 2015 dengan kesemua syarikat itu tidak mempunyai sebarang dana simpanan atau wang tunai.

Bukan itu sahaja, kelima-lima syarikat itu juga mempunyai nama lain sebelum ini yang bermakna ia adalah syarikat lama yang diubah nama.

Mengejutkan apabila Pengasas Mon Space Group adalah Datuk Seri Jessy Lai yang merupakan bekas pembantu Zhang Jian yang mendakwa dirinya lelaki terkaya di dunia dan pengasas syarikat jualan langsung, YSLM, disahkan tidak berdaftar dengan SSM serta tidak mempunyai lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.


Kenyataan itu turut mengatakan syarikat di bawah Zhang juga tidak pernah berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat dan siasatan mendapati Zhang Jian datang ke Malaysia untuk membina syarikat skim piramid cepat kaya melalui YSLM.

Berikutan itu, kementerian melakukan tindakan penguatkuasaan di mana pada Julai  2014 dengan meramas semua aset dan menutup cawangan YSLM di negara ini.

Jika ia tidak berlesen, bagaimana ia menjalankan perniagaan dan sebarang kutipan wang melalui pelaburan daripada orang ramai itu dianggap HARAM.

Itu haram dalam konteks undang-undang dunia tetapi bagaimana pun dengan undang-undang melalui kaca mata Islam.

Apa sebenarnya HUKUM SKIM HUKUM SKIM CEPAT KAYA DAN SEUMPAMANYA dalam konteks agama kita – Islam:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 di Johor Bahru telah membincangkan Hukum Skim Cepat Kaya dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Hukum terhadap Skim Cepat Kaya adalah haram kerana ia mengandungi unsur-unsur judi, riba, gharar dan tadlis dan umat Islam dilarang daripada terlibat dengan skim ini.

Dengan kedudukan ini adalah sesuatu yang malang jika orang yang berkuasa di Terengganu ini menjadi ahli dan menyebarkan pula kepada skim ini kepada pihak lain dan rakyat.

Jika demikian, adalah tidak wajar bagi orang Melayu beragama Islam terbabit dalam skim ini, apa lagi kepada pemimpin atau pentadbir yang berkempen atau menggalak orang ramai menyertainya.

Lebih malang dia rela dirinya digunakan oleh Monspace Group sama ada melalui gambar atau dokumen digunakan untuk menarik pelanggan.

Jessy Lai dilaporkan menjaja gambarnya dengan pemimpin tertentu (YANG MUNGKIN PEMIMPIN BERKENAAN TIDAK TAHU PUN) untuk memberitahu bakal pelabur bahawa mereka mendapat sokongan pembesar negeri dan kerajaan.

Monspace menganugerahkan sijil pengiktirafannya kepada kerajaan negeri Terengganu.
Skim cepat kaya memang menarik tetapi jika faham modus operandinya, kita akan menjadi takut. Ia secara berikut:

Bank Negara mendefinisikan skim cepat kaya sebagai ‘satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak ­realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.’

Kalau dahulu, ‘bidang perniagaan’ skim ini kabur dan tidak jelas, sekarang dibuat berlandaskan pelbagai jenis perniagaan. Ladang cili, ternakan burung walet, ikan arowana, perniagaan mata wang asing, pembinaan lebuh raya, pembangunan bandar baharu, pajakan hotel dan terbaharu me­libatkan perniagaan yang ada kena mengena dengan hartanah, ibadah haji dan umrah di tanah suci.

Janganlah rakyat Terengganu sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas program ‘umrah guru’ gagal, kini datang pula skim cepat kaya ini .

Bertaubatlah wahai pemimpin. Jangan kerana kamu, rakyat Terengganu akan terpedaya bukan sahaja berdepan dengan kerugian tetapi juga menjaja skim yang diharamkan Islam yang sepatutnya boleh dihindarkan.

Jika diri kamu tidak bimbang dengan dosa, janganlah heret rakyat turut sama berdosa dan kemungkinan akan kerugian wang yang besar apabila syarikat itu ‘lari' dan membawa bersama wang pelaburan orang ramai’.

Monspace Group  menggunakan apa sahaja peluang melalui dua tiga orang penting ini bukan sahaja mencari pelabur untuk skim ini,  malah sudah mendapat beberapa projek penting di Terengganu.

Bermula dengan menjadi ‘penaja bersama’ Monspace VBT2017, syarikat yang penuh dengan kontoversi ini kini mendapat kepercayaan ‘orang penting di Terengganu’ sudah pasti akan mendatangkan banyak keburukan kepada rakyat dan negeri.

Bayangkan apabila skim ini sengaja diruntuhkan’ nanti selepas mereka sudah mendapat kutipan atau pelaburan yang  besar, siapa yang akan merana?

Pertama rakyat akan meratapi kerana  kehilangan wang mereka dan kedua, wang rakyat itu yang sepatutnya berlegar dan dibelanjakan dalam negeri ini dibawa lari entah ke mana. ‘Merompak di siang hari...”

Ketahuilah  - Zhang Jian - orang mendakwa dirinya sebagai  akan menjadi orang terkaya di dunia sudah dtahan pada Oktober 2014 kerana berjaya memperdaya pelabur Malaysia dan China berjumlah hampir RM1 bilion.

Jadi bolehkan kita percaya dengan syarikat yang sedang giat mengutip wang pelaburan di Terengganu ini yang mendapat pula sokongan dua atau tiga ‘orang besar’ di negeri ini?

Kerana itu, kepada 'pembesar negeri' yang terlibat dalam skim ini, elok berhenti berkempen pelaburan yang diharamkan oleh Islam ini demi mereka dan keluarga, selain rakyat Terengganu yang ramai sudahpun terpedaya.

Janganlah diri diperdaya dan dipergunakan kerana yang bersubahat dalam skim yang diharamkan oleh Islam ini kelak akan didatangkan bala untuk seluruh rakyat, gara-gara sifat tamak dan haloba pemimpin berkenaan.


Ikuti Bahagian Kedua yang akan menyusul.

Monday 9 January 2017

KESIPUAN NAJIB BERTERUSAN, AUSTRALIA DESTINASI TERBARU SIASATAN 1MDB...

"Ironinya, berita mengenai peranan Australia dalam siasatan 1MDB timbul hanya seminggu selepas Datuk Seri Najib Razak meninggalkan negara itu selepas beliau dan keluarganya bercuti,  di negara itu."

Nama dan imej buruk yang sedang melanda 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kesannya melimpah kepada negara Malaysia dan pemimpin kerajaannya,  kini menular pula ke Australia.

Dengan siasatan yang sudah berlaku di lebih lapan negara di dunia, kenyataan agensi berita dan akhbar utama negera itu  akan membawa berita buruk kepada 1MDB seterusnya.

Yang nyata, kesipuan pemimpin Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan bertambah-tambah, apa lagi Australia kini sudah menganggap dakwaan terhadap Najib sebagai sesuatu yang ‘serius’.

Sebelum ini The Australian turut membuat laporan mengenai skandal 1MDB dan kaitannya dengan isteri Perdana Menteri.

Apakah The Australian pula akan menjadi ‘punching bag’ dan akan  ‘dibelasah’ habis-habisan oleh penyokong Perdana Menteri Malaysia seperti yang terjadi kepada The Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini kerana pendedahan berkiatan 1MDB?

Polis Persekutuan Australia (AFP) dilaporkan sedang menyiasat sama ada dana yang diselewengkan dari 1MDB mempunyai kaitan dengan pihak-pihak tertentu negara itu.

Menurut The Australian hari ini, polis sedang menilai sama ada mana-mana rakyat, pemastautin atau firma Australia melanggar undang-undang negara itu.

"AFP sedang membantu rakan polis luar negara dalam siasatan mereka. Memandangkan perkara ini masih diteliti, maka tidak sesuai untuk mengulas lanjut," kata jurucakapnya kepada The Australian.

Isu 1MDB di Australia sebenarnya sudah menjadi pengetahuan umum rakyat negara itu apabila pada  4 April  2016, seorang eksekutif di salah sebuah bank terkemuka di Australia, Bank ANZ telah disoal oleh sebuah jawatankuasa siasatan parlimen di negara itu s, berhubung kaitannya dengan skandal 1MDB.

Timbalan Ketua Eksekutif bank berkenaan, Graham Hodges disoal berhubung dakwaan pengetahuan bank itu mengenai dakwaan lebih AS$1 bilion telah disalurkan melalui akaun AmBank Perdana Menteri Najib Razak.


ANZ memiliki 24 peratus AmBank, dan mempunyai tiga wakilnya sendiri dalam lembaga pengarah bank Malaysia itu. Hodges sendiri bakal menjadi ahli lembaga AmBank.

Sydney Morning Herald melaporkan Hodges sebagai  berkata, ANZ adalah terhad dalam apa yang ia boleh lakukan untuk menangani skandal tersebut kerana ia hanya pemegang saham minoriti.

Sehingga kini tiada berita susulan mengenai siasatan berkenaan.

Apapun, terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang datang ke Australia kononnya mahu memperjelaskan isu 1MDB kepada pelajar da masyarakat Malaysia pada November lalu tetapi ia mendatangkan kesan boomerang.

Kempen di  Melbourne, Sydney dan Brisbane, tidak diberikan laporan sewajarnya oleh media tempatan namun akhbar negara kangaroo itu, The Australian Business Review yang wartawan mereka dilarang memasuki majlis penerangan JASA itu hairan bagaimana penerangan oleh 1MDB termasuk oleh Ketua Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy tidak mahu dihebahkan.

Laporan meluas akhbar itu mendapat perhatian banyak pihak dan kesannya semakin buruk kepada 1MDB apabila ia menjadi satu syarikat kerajaan Malaysia yang dilihat dengan penuh curiga.


Dalam laporan akhbar itu yang bertajuk “Malaysia’s 1MDB in university hard sell’ pada 15 November 2016, Arul turut ‘lari’ daripada wartawan Australia yang mahu mendapatkan penjelasan beliau.

Banyak sudah siasatan dan kaitan 1MDB dengan individu, bank dan institusi tertentu di negara itu tetapi ia tidak dihebahkan dengan begitu besar sebelum ini.

Namun dengan laporan bahawa polis Australia kini menyiasat bimbang isu 1MDB kini sudah merebak ke negara mereka membimbangkan pentadbiran negara itu.

Menurut laporan The Australian itu , AFP sedang membantu sama ada pihak berkuasa di Switzerland, Amerika atau Singapura dalam siasatan mereka berhubung dakwaan penyelewengan dana daripada 1MDB.

Ironinya, berita mengenai peranan Australia dalam siasatan 1MDB timbul hanya seminggu selepas Perdana Menteri meninggalkan negara itu selepas beliau dan keluarganya bercuti di negara itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia (ASIC) membubarkan syarikat, Avestra Asset Management, yang dituduh mengendalikan wang yang berasal daripada 1MDB.

Avestra dikatakan mempunyai hubungan dengan entiti yang didaftrakan di Kepulauan Cayman iaitu Bridge Global Absolute Returns Fund SPC.


Lebih merisaukan  1MDB, pada 22 November 2015 lalu, bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura atas tuduhan mengganggu saksi yang terlibat dalam penyiasatan Singapura ke atas 1MDB ada membeli harta di Australia.


Yeo yang dikenakan  hukuman penjara 30 bulan penjara berhubung tuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB mempunyai hubungan rapat dengan ahli perniagaan Malaysia Jho Low.

Yeo dikatakan mengumpulkan kira-kira S$23.9 juta (RM74 juta) dalam tempoh 15 bulan melalui "keuntungan rahsia" selepas beliau meninggalkan bank itu pada bulan Jun 2014 turut mendedahkan sesuatu yang ada kaitan dengan Australia.

Ini didedahkan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan Yeo di Singapura yang berdepan empat pertuduhan mengganggu saksi, menurut The Edge Markets. Dalam dokumen Yeo, 34, bertajuk 'kenyataan kekayaan' yang dijumpai di dalam iPad Yeo yang dirampas oleh pihak berkuasa, beliau mempunyai senarai asetnya.

Ini termasuk tiga harta tanah di Singapura dan dua lagi di Australia, serta wang tunai dalam pelbagai mata wang di beberapa bank-bank seperti HSBC dan OCBC, dengan jumlah nilai aset-aset ini pada S$25,988,735.

Yeo akan dibicara lagi atas beberapa kesalahan lain tahun depan - semua berkaitan dengan siasatan 1MDB, termasuk penipuan, pengubahan wang haram dan pemalsuan. Setakat ini, Yeo adalah pegawai bank ketiga BSI yang disabitkan kesalahan berhubung 1MDB.

Akhbar The Age bertarikh 25 Ogos 2016 mengatakan kerajaan negara itu sebelum ini cuba menyepi dan menjauhkan diri pada skandal dunia ini,  biarpun sebelum ini Menteri Luar Australia,  Julie Bishop kemudian secara terus terang mengatakan tuduhan terhadap Najib sesuatu yang ‘serius’.

Dengan kedudukan sedemikian dan dengan polis Australia sedang menyiasat kes ini dengan secara mendalam, mungkin apa yang berlaku di Singapura, seperti pendakwaan terhadap individu dan institusi kewangan akan menular pula ke sana.

Di mana mahu diletakkan maruah Malaysia di kaca mata dunia?


Siapa yang akan kesipuan kini, rakyat atau Perdana Menteri Malaysia?

Thursday 5 January 2017

KSU, KUASA DAN KECUAIAN BESAR YANG BOLEH DIMAAFKAN???..


Apabila kes Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka timbul persoalan, sejauh mana atau sebesar mana kuasa seseorang KSU?

Ia lebih berkaitan dalam isu meluluskan sesuatu projek sesebuah kementerian.

Perintah reman yang dikenakan ke atas Mohd Ariff dan dua anak lelakinya selama tujuh hari dalam kes penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penggubahan wang haram turut mempersoalkan kuasa menteri dalam kaitan ini.

Benarkah menteri tiada kuasa dan KSU lebih 'hebat' di sesebuah kementerian dalam banyak perkara dan menteri terpaksa tunduk kepada mereka.

Sudah dimaklumkan bahawa  setiap kementerian hanya dibenarkan KSU menandatangani kontrak bernilai sehingga RM100 juta sahaja (sahaja?).

Sebaliknya, jika nilai kontrak melebihi jumlah tersebut, hanya menteri sahaja dibenarkan untuk memberi kelulusan.

Selain itu, pegawai kerajaan yang terlibat dalam kontrak boleh memastikan KSU tidak membuat keputusan sendiri bagi menentukan pihak yang ditawarkan kontrak.

Apa tindakan jika mereka menandatangani kontrak melebihi had itu?

Pertanyaan ini dikemukakan kerana ada kes berkaitan berkenaan tetapi kemudian senyap begitu sahaja.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada 23 Jun 2015, pernah menyatakan kecewanya dengan sikap segelintir penjawat awam yang cuai dalam melakukan tugas terutama mereka yang diberi tanggungjawab sebagai pegawai pengawal kementerian.

Kecuaian dimaksudkan adalah berkaitan salahguna kuasa terutama melibatkan kontrak perbendaharaan sukar untuk dimaafkan sekaligus perlu dikenakan hukuman tatatertib.

Beliau mengulas pertanyaan pada satu majlis berkaitan sikap cuai KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang menandatangani kontrak bernilai lebih RM268 juta pada Disember 2012 sebagai bayaran insentif kerajaan kepada sebuah syarikat.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 mendapati kontrak yang ditandatangani itu tidak menurut pemberikuasaan yang ditetapkan.

Ini kerana, di bawah Seksyen 2, Akta Kontrak Kerajaan 1949 (Akta 120) KSU MOA  hanya dibenarkan menandatangani kontrak bernilai antara RM20 juta hingga RM100 juta berdasarkan surat pemberikuasaan bertarikh 10 April 2009.

Pada Sesi Bersama Media: Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 di Putrajaya itu beliau menegaskan: "Ini kategori kecuaian...yang melebihi had (kontrak) secara automatik perlu untuk mendapatkan kuasa daripada menteri...Jadi sini, itu merupakan kecuaian. Dia (pesalah) boleh dijatuhkan hukuman tatatertib.

"KSU adalah pegawai pengawal kementerian, memang susah dimaafkan. Mereka perlu faham tanggungjawab masing-masing. Saya harap perkara ini tidak berulang," tegas Ali pada 

Ujar beliau lagi, pegawai pengawal kementerian seperti KSU seharusnya mengetahui serta faham tanggungjawab masing-masing.


Bagaimanapun, sehingga kini ternyata KSU berkenaan – daripada semakan ia menunjukkan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah – yang terus kekal sebagai KSU di kementerian berkenaan hingga bersara.

Beliau mula menjawat KSU kementerian itu mulai 11 November 2010 dan bersara 5 Julai 2014.

Lebih mengejutkan beliau kemudian diumumkan sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia antara 5 September hingga 23 Januari 2016 yang kemudian sejak 24 Januari 2016 menjadi Pengerusi SPR.


Pertanyaan ialah, apakah tindakan tata tertib terhadap beliau?

Apakah tindakannya meluluskan pembayaran RM268 juta (lebihan RM168 juta) itu mengandungi unsur rasuah?

Untuk rekod, ia  bayaran insentif kerajaan kepada Sunlight Inno Seafood Sdn Bhd. Apakah menteri turut terbabit?

Selain tiada tindakan diumumkan, beliau diberikan pula jawatan penting dalam satu suruhanjaya yang begitu penting kepada rakyat dan negara.

Laporan mStar Online hari ini menyebut, KSU Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan telah menetapkan setiap ketua setiausaha memiliki had sehingga RM100 juta untuk menurunkan tandatangan.

"Jika mana-mana kementerian yang mahu melepasi had itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kewangan," kata beliau.

Berasaskan kepada Laporan Ketua Audit 2014,  itu bermakna Mohd Hashim melakukan tindakan bertentangan dengan pekeliling yang diedarkan pada 2009 yang menjelaskan bahawa KSU kementerian tersebut hanya boleh menandatangani kontrak bernilai antara RM20 juta dan RM100 juta sepert tertakluk pada Akta yang ditetapkan.

Apakah walaupun disebut sebagai ‘susah dimaafkan’ tetapi kerana precendent sudah ada, iaitu dimaafkan dan diakui sebagai kecuaian dan 'tidak sengaja', seseorang itu terlepas begitu sahaja?

Maka kerana itu mungkin ada kalangan KSU yang berani melakukan ‘sesuatu di luar bidang kuasa mereka’.

Bukan bermaksud menuduh dalam kes Mohd Ariff yang sedang disiasat sekarang beliau sudah bersalah walaupun SPRM kini menemui lagi beberapa kilogram emas dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM2.6 juta susulan penahanan itu.

Juga bukan mahu menuduh beliau mempunyai kekayaan melampau selepas SPRM membuka peti simpanan deposit di sebuah bank pada hari Khamis serta merampas kira-kira 8 kilogram emas bernilai RM1.6 juta selain ada beberapa buah peti simpanan deposit wang tunai bernilai RM1 juta termasuk dolar Australia 80,000 yang turut dirampas.

Cumanya, dalam kes Mohd Hashimitu, apakah cukup dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hanya mengakui tentang kesilapan itu dan menjelaskan perkara tersebut dilakukan secara tidak sengaja?

Malah, jika menurut satu sumber, KSU tidak memiliki kuasa untuk meluluskan projek atas keputusan sendiri. Kesemua projek perlu dibentangkan kepada lembaga tender yang melibatkan pelbagai jawatankuasa termasuk kewangan dan teknikal.

Pegawai kerajaan yang terlibat dalam proses tender juga perlu tampil daripada kementerian lain seperti Kementerian Kewangan. Kelulusan daripada Kementerian Kewangan diperlukan sebelum sebarang projek dilaksanakan sama ada menerusi rundingan secara langsung atau tender yang disekat.

Dalam kes Mohd Hashim itu, apakah ada ‘rantaian kelulusan di peringkat lebih tinggi’ untuk meluluskan pembayaran berkenaan?

Apakah Mohd Hashim 'terpaksa' atau dipaksa' menandatanganinya?


Apakah melibatkan  menteri dan kementerian lain, termasuk Kementerian Kewangan?

Sepatutnya siasatan dilakukan dengan rapi dan menghukum mereka yang cuai walaupun melakukannya 'secara tidak sengaja' kerana sudah melanggar peraturan kerajaan.

Namun semuanya bagai dimaafkan dan jangan salahkan sesiapa jika ada kalangan penjawat awam, termasuk KSU terus 'menggila mengumpul kekayaan' kerana tiada ketegasan di pihak kerajaan sendiri.

Wednesday 4 January 2017

ARIF OH ARIF, WALAUPUN DIPILIH MENTERI, KENAPA SAMPAI BEGINI?


“Jangan kes Mohd Arif ini bersifat selective apprehending dan hanyalah smokescreen semata-mata sedangkan yang lain failnya masih terperosok di dalam laci atau almari Jabatan Peguam Negara.”

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan seorang lagi akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya pada pukul 8.30 pagi ini untuk mendapatkan perintah reman.

Mereka yang  ditahan awal pagi  semalam atas dakwaan rasuah adalah dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki mengesahkan identiti suspek berkenaan.

Mohd Arif ditangkap di rumahnya di USJ Subang Jaya pada pukul 8 pagi bersama seorang suspek lelaki berusia 29 tahun itu.

Azam Baki...golf dan perempuan simpanan.
Mohd Arif adalah bekas  KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dilantik menjadi  Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang baharu berkuat kuasa Jumaat.16 Oktober lalu.

Menurut sumber Mohd Arif adalah pilihan Menteri Kemajuan Luar dan Wilayah yang sebelum itu juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Beliau menggantikan Datuk Seri Ibrahim Muhamad yang tamat tempoh perkhidmatan kontrak.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan pada 16 Oktober lalu berkata, kelayakan, pengalaman dan kredibiliti yang dimilik Mohd Arif akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

Ia  selaras dengan misi kementerian dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan.

Menurut kenyataan SPRM semalam, pihaknya menahan Mohd Arif di kediamannya di USJ, Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.



Menurut Azam SPRM turut merampas jongkong emas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai kita-kira RM3 juta.

Juga ditahan, seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit.

Mohd Arif, 59, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya dan menyertai perkhidmatan awam selama lebih 33 tahun bermula dengan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1981.

Antara  jawatan yang pernah disandang termasuk Timbalan KSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Pegawai Kewangan Negeri Selangor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Negeri Subang Jaya dan Pegawai Daerah Sepang.

Kes Mohd Ariff ini mungkin salah satu daripada yang  dapat dihidu SPRM dan didakwa dengan kadar yang agak segera dan beliau tidak bernasib baik.

Mungkin banyak lagi kes hampir serupa namun mungkin masih ‘terperosok’ dalam almari di Pejabat Peguam Negara?

Bayangan kepada penangkapan Mohd Ariff mungkin boleh dirujuk kepada kenyataan Azam kelmarin (3 Januari 2017) dan pada 1 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM,Datuk Dzulkifli Ahmad Ahad lalu, apabila mengaitkan rasuah dengan golf dan menyimpan perempuan.

Azam pada  wawancara di radio Internet SPRM, MACC.fm. menyebut: “Apa antara ciri-ciri orang yang melakukan rasuah?

"Hidup mewah, main golf, ada teman wanita, perempuan simpanan dan sebagainya,” katanya.
  
Dzulkifli turut membangkitkan kecenderungan penjawat awam, khususnya pengurusan tertinggi, bermain golf di luar negara.

Tidak diketahui sama ada Mohd Arif ada menyimpan perempuan, namun dia memang diketahui gemar bermain golf sejak menjadi Pegawai Daerah Sepang sekitar awal tahun 2000.

Tanpa menyebut nama, Dzulkifli menambah, selain bermain golf, perbelanjaan penjawat awam terbabit termasuk untuk membeli-belah turut dibiayai pihak tertentu.

Azam berkata, walaupun mungkin ada yang tidak setuju dengan mereka, banyak makluman SPRM mendapati terdapat pegawai tinggi kerajaan bermain golf di luar negara.
“Yang turut serta mereka main golf tak salah. Saya pun main golf.... Di luar negara itu permainan rakyat.

“Tetapi setakat ini di Malaysia, banyak melibatkan orang-orang kenamaan, pegawai kerajaan ada kelas tertinggi dan sebagainya,” katanya.

Justeru, katanya, pihak yang terlibat sama termasuklah golongan seperti kontraktor dan pembekal – dua pihak yang sering dikaitkan dengan kontrak kerajaan.

Kes sebegini bukan saja pegawai pusat tapi juga pegawai negeri-negeri yang bertugas pejabat daerah, pejabat tanah, bertugas sebagai pegawai-pegawai majlis daerah dan sebagainya.

Azam berharap kegiatan itu diberhentikan kerana ia menjejaskan imej perkhidmatan awam di negara ini.

Beliau berjanji  SPRM akan meneliti punca pendapatan penjawat awam yang hidup mewah.

 Dzulkifli pula mengingatkan penjawat awam di negara ini supaya berhenti bermain golf di luar negara dan SPRM sentiasa melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh penjawat awam.


“Saya ingin menasihatkan golongan penjawat awam ini agar menghentikan serta merta aktiviti mereka dan tidak perlulah mereka keluar negara untuk bermain golf khususnya di Indonesia dan Thailand.

“Di Malaysia sudah terdapat begitu banyak padang golf yang serba indah dan lengkap dengan prasarananya. Adalah lebih baik bagi mereka memakmurkan sahaja padang golf tempatan sambil membantu menjana hasil pendapatan pengusaha padang golf di negara ini.

They are not professionals golfers dan tidak ada keperluan untuk mereka ke luar negara semata-mata untuk bermain golf,” kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Dzulkifli turut berkata rasuah yang berlaku di kalangan penjawat awam dilihat semakin membimbangkan dan beliau mengingatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan terhadap rakyat dan negara.

Sepatutnya mereka berkhidmat untuk rakyat dan menjadi pelindung kepada hasil dan kepentingan negara.

Kerana itu sekiranya jenayah rasuah dan penyelewengan ini tidak dibendung dan dibiarkan berleluasa ia bukan sahaja boleh menghakis keyakinan rakyat tetapi juga akan mengakibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat terjejas.

Kita tungguperkembangan selanjutnya mengenai Mohd Arif dan apa tuduhan sebenar terhadapnya.


Cumanya jangan kes ini bersifat selective apprehending dan hanyalah smokescreen semata-mata!!! 

Tuesday 3 January 2017

KES SRC - MENUNGGU HARI BAHRI MENCERITAKAN WANG RM42 JUTA...


Bekas Pengarah Bahagian Siasatan Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Datuk Bahri Mohd Zin  semalam menggemparkan negara apabila mengesahkan beliau “kecewa” dan tidak mahu lagi berkhidmat dengan "undang-undang sarang labah-labah" yang hanya memerangkap pesalah kecil.

Beliau mengesahkan kenyataannya di FMT bahawa beliau kecewa dan berasa amat berdosa kepada rakyat Malaysia “kerana kes SRC International (SRC) tidak boleh dibawa ke mahkamah”.

Turut menggemparkan ialah jawapannya kepada ulasan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengaitkan persaraannya itu.

Bahri, yang memainkan peranan utama dalam siasatan SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu memilih bersara awal walaupun boleh terus bertugas tiga tahun lagi.

Beliau memainkan peranan penting menyiasat SRC dan menjadi perhatian apabila sejumlah RM42 juta dananya ditemui pada akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.

Ketika siasatan SPRM ke atas 1MDB dianggap kompleks dan membabitkan banyak aspek perundangan luar negara - dengan peguam negara enggan mengeluarkan persetujuan bantuan undang-undang kepada pihak berkuasa asing - kes SRC dilihat jelas melibatkan entiti dalam negara.

Wang SRC dimasukkan ke akaun perdana menteri melalui dua transaksi - iaitu pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 - selepas disalurkan melalui dua syarikat lain, iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Najib mendakwa tidak tahu menahu wang berkenaan adalah berasal dari SRC,  walaupun syarikat itu adalah milik kementerian kewangan. Perdana menteri juga menjawat tugas sebagai menteri kewangan pertama.


Dalam polimik Bahri-Rahman semalam, sewajarnya seseorang menteri mempunyai maklumat yang jelas kenapa pendakwaan kes SRC itu tidak ke mahkamah  dan ‘diam hingga sekarang’.

Apakah ia benar tiada kes atau kes itu ‘digelapkan’? Untuk apa tujuannya, menteri sewajarnya tidak mengulas daripada hanya membuka lebih besar pekong di dada.

Sebagai menteri, Rahman perlu melihat dulu ‘apa telatah Bahri seterusnya’ dan jangan terperangkap dengan kenyataannya.

Tetapi ini tidak berlaku dengan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN)  itu yang mungkin kerana mahu segera menjawab suatu perkara yang beliau sendiri tidak jelas, beliau pula yang  terperangkap dalam ‘tindakan terdesaknya’ untuk mempertahankan Kabinet atau Perdana Menteri.

Beliau terus sahaja membuat ulasan terhadap Bahri secara  tergopoh-gapah dan mahu menunjukkan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai ‘panglima utama BN’

Pertanyaan Rahman kepada Bahri sudah menggambarkan beliau memang hanya berniat mempertahankan Perdana Menteri apabila mengatakan: “Kenapa dalam kes-kes (yang disiasat oleh SPRM tidak dituduh di mahkamah oleh Peguam Negara atas berbagai sebab antaranya kerana tidak cukup bukti, penyiasatan yang gopoh dan ketiadaan merit untuk pendakwaan, Dato Bahri tidak bangkitkan ketidakpuasan hati beliau secara terbuka?

“Kenapa hanya dalam kes yang membabitkan Perdana Menteri yang diungkit?”

Lagipun, bukan taraf beliau untuk menjawab kenyataan seorang pegawai kanan kerajaan yang rasanya lebih mengetahui mengenai selok belok kerja atau tugas berkaitan dengan SPRM.

Ini bukan jenis jawapan politik dan boleh goring hingga hangit. Ini kes yang rahsia yang sudah menjadi pengetahuan rakyat.

Digoreng sampai berasap pun, rakyat akan tetap persoalkannya kerana tidak logic seorang Perdana Menteri, menteri Kewangan dan pemilik akaun tidak tahu wang sebanyak RM42 juta masuk ke akaunnya.


Bahri bukan kakitangan biasa. Kerana itu apabila beliau mengumumkan persaraan awalnya, ada reaksi berbagai daripada banyak pihak. Ada sesuatu yang tidak kena, pastinya!

Rahman mungkin terpedaya dengan kenyataan SPRM yang mengulas berita mengenai persaraan Bahri itu apabila kenyataan SPRM mengatakan Bahri  memilih untuk bersara awal bukan kerana kecewa dengan kes SRC seperti yang dilaporkan.

Dalam satu kenyataan media petang semalam, suruhanjaya itu berkata Bahri menafikan mengeluarkan kenyataan itu.

Sebaliknya, reaksi kepada kenyataan SPRM itu, Bahri menegaskan akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi. “Menggunakan sumber belum masak orang ketiga dan buat ‘judgement syok’ sendiri. Tunggulah kenyataan dari mulut saya sendiri,” katanya.

Beliau turut mengulas  laporan berita yang mengaitkan persaraannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga komen oleh Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Dalam laporan berita itu, portal FMT yang memetik sumber yang rapat dengan siasatan 1MDB mempersoalkan masa persaraannya.

Menurut sumber itu, jika kes SRC adalah alasan Bahri berasa bersalah, beliau sepatutnya meletak jawatan tahun lalu atau pada 2015.

Bagaimanapun bekas pegawai kanan SPRM itu hanya tersenyum mendengar hujah itu.

“Pemakan dedak ada di mana-mana, di luar sana mahu pun dalam jabatan-jabatan kerajaan,” katanya.

Beliau lantas membidas Rahman kerana mengadilinya tanpa fakta yang tepat dan tidak merujuk kepada sumber asal iaitu beliau sendiri.

"Maka berkewajipan bagi saya lepas pulih dari sakit nanti saya akan jawab satu persatu apa yang Pak Menteri itu tulis mengenai saya. Biar rakyat pula yang menjadi pengadilnya,” katanya.

Bahri memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak mencabarnya.

“Saya cukup pantang kalau orang pukul curi saya, dulu masa kes SRC Internation tengah memuncak ada sorang bekas ketua menteri membantai saya secara tidak adil...Jangan cabar saya. Saya tahu semua pemberi rasuah dan pengambil rasuah.

“Ya, pengamal rasuah dan jangan cuba nak jadi juara kepada rakyat di luar sana,” tegasnya.

Episod ini Rahman menonjolkan dirinya ‘dangkal dan bodoh’. Soal layak atau tidak layak menjadi menteri itu soal lain.


Kini Rahman terkesipuan sendiri apabila ‘tuan punya badan yang lebih tahu’ menjawab balik kenyataannya yang tidak cermat.

Bukan mahu merendahkan seorang Menteri. Tetapi gunakanlah kedudukan itu sebagai tempat untuk berkhidmat dan membela rakyat. Membuat kenyataan biarkah cerdik dan berpijak di alam nyata, bukan suatu bentuk ‘cerita rekaan’.

Jika menjadi menteri hanya untuk mempertahankan ‘bos’ semata-mata dan menjadikan kedudukan untuk ‘mengherdik orang lain’ atau menunjukkan ‘aku sahaja yang pandai’, ia sudah melencong jauh daripada matlamat asal.

Hakikatnya bukan susah untuk menjadi menjadi Menteri, berbanding menjadi Pengarah Urusan atau Ketua Pegawai Eksekutif sesebuah entiti perniagaan.

Ada menteri dilantik kerana kuota parti, ada yang kerana memang kroni, membalas jasa, akibat ugutan,  dan tidak kurang pula yang kaki bodek. Malah yang memang diketahui ‘tidak cerdik’ pun ada jadi menteri.

Hanya kerana mereka kebetulan menjadi ahli parlimen atau dilantik Senator kerana sebab-sebab di atas atau kerana pilihan raya atau kalah pilihan raya, mereka dilantik jadi menteri dan timbalan menteri.

Rahman bukan tidak cerdik tetapi kali ini terlalu gopoh dan silap tidak menggunakan kecerdikannya!