Thursday 5 January 2017

KSU, KUASA DAN KECUAIAN BESAR YANG BOLEH DIMAAFKAN???..


Apabila kes Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka timbul persoalan, sejauh mana atau sebesar mana kuasa seseorang KSU?

Ia lebih berkaitan dalam isu meluluskan sesuatu projek sesebuah kementerian.

Perintah reman yang dikenakan ke atas Mohd Ariff dan dua anak lelakinya selama tujuh hari dalam kes penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penggubahan wang haram turut mempersoalkan kuasa menteri dalam kaitan ini.

Benarkah menteri tiada kuasa dan KSU lebih 'hebat' di sesebuah kementerian dalam banyak perkara dan menteri terpaksa tunduk kepada mereka.

Sudah dimaklumkan bahawa  setiap kementerian hanya dibenarkan KSU menandatangani kontrak bernilai sehingga RM100 juta sahaja (sahaja?).

Sebaliknya, jika nilai kontrak melebihi jumlah tersebut, hanya menteri sahaja dibenarkan untuk memberi kelulusan.

Selain itu, pegawai kerajaan yang terlibat dalam kontrak boleh memastikan KSU tidak membuat keputusan sendiri bagi menentukan pihak yang ditawarkan kontrak.

Apa tindakan jika mereka menandatangani kontrak melebihi had itu?

Pertanyaan ini dikemukakan kerana ada kes berkaitan berkenaan tetapi kemudian senyap begitu sahaja.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada 23 Jun 2015, pernah menyatakan kecewanya dengan sikap segelintir penjawat awam yang cuai dalam melakukan tugas terutama mereka yang diberi tanggungjawab sebagai pegawai pengawal kementerian.

Kecuaian dimaksudkan adalah berkaitan salahguna kuasa terutama melibatkan kontrak perbendaharaan sukar untuk dimaafkan sekaligus perlu dikenakan hukuman tatatertib.

Beliau mengulas pertanyaan pada satu majlis berkaitan sikap cuai KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang menandatangani kontrak bernilai lebih RM268 juta pada Disember 2012 sebagai bayaran insentif kerajaan kepada sebuah syarikat.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 mendapati kontrak yang ditandatangani itu tidak menurut pemberikuasaan yang ditetapkan.

Ini kerana, di bawah Seksyen 2, Akta Kontrak Kerajaan 1949 (Akta 120) KSU MOA  hanya dibenarkan menandatangani kontrak bernilai antara RM20 juta hingga RM100 juta berdasarkan surat pemberikuasaan bertarikh 10 April 2009.

Pada Sesi Bersama Media: Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 di Putrajaya itu beliau menegaskan: "Ini kategori kecuaian...yang melebihi had (kontrak) secara automatik perlu untuk mendapatkan kuasa daripada menteri...Jadi sini, itu merupakan kecuaian. Dia (pesalah) boleh dijatuhkan hukuman tatatertib.

"KSU adalah pegawai pengawal kementerian, memang susah dimaafkan. Mereka perlu faham tanggungjawab masing-masing. Saya harap perkara ini tidak berulang," tegas Ali pada 

Ujar beliau lagi, pegawai pengawal kementerian seperti KSU seharusnya mengetahui serta faham tanggungjawab masing-masing.


Bagaimanapun, sehingga kini ternyata KSU berkenaan – daripada semakan ia menunjukkan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah – yang terus kekal sebagai KSU di kementerian berkenaan hingga bersara.

Beliau mula menjawat KSU kementerian itu mulai 11 November 2010 dan bersara 5 Julai 2014.

Lebih mengejutkan beliau kemudian diumumkan sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia antara 5 September hingga 23 Januari 2016 yang kemudian sejak 24 Januari 2016 menjadi Pengerusi SPR.


Pertanyaan ialah, apakah tindakan tata tertib terhadap beliau?

Apakah tindakannya meluluskan pembayaran RM268 juta (lebihan RM168 juta) itu mengandungi unsur rasuah?

Untuk rekod, ia  bayaran insentif kerajaan kepada Sunlight Inno Seafood Sdn Bhd. Apakah menteri turut terbabit?

Selain tiada tindakan diumumkan, beliau diberikan pula jawatan penting dalam satu suruhanjaya yang begitu penting kepada rakyat dan negara.

Laporan mStar Online hari ini menyebut, KSU Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan telah menetapkan setiap ketua setiausaha memiliki had sehingga RM100 juta untuk menurunkan tandatangan.

"Jika mana-mana kementerian yang mahu melepasi had itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kewangan," kata beliau.

Berasaskan kepada Laporan Ketua Audit 2014,  itu bermakna Mohd Hashim melakukan tindakan bertentangan dengan pekeliling yang diedarkan pada 2009 yang menjelaskan bahawa KSU kementerian tersebut hanya boleh menandatangani kontrak bernilai antara RM20 juta dan RM100 juta sepert tertakluk pada Akta yang ditetapkan.

Apakah walaupun disebut sebagai ‘susah dimaafkan’ tetapi kerana precendent sudah ada, iaitu dimaafkan dan diakui sebagai kecuaian dan 'tidak sengaja', seseorang itu terlepas begitu sahaja?

Maka kerana itu mungkin ada kalangan KSU yang berani melakukan ‘sesuatu di luar bidang kuasa mereka’.

Bukan bermaksud menuduh dalam kes Mohd Ariff yang sedang disiasat sekarang beliau sudah bersalah walaupun SPRM kini menemui lagi beberapa kilogram emas dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM2.6 juta susulan penahanan itu.

Juga bukan mahu menuduh beliau mempunyai kekayaan melampau selepas SPRM membuka peti simpanan deposit di sebuah bank pada hari Khamis serta merampas kira-kira 8 kilogram emas bernilai RM1.6 juta selain ada beberapa buah peti simpanan deposit wang tunai bernilai RM1 juta termasuk dolar Australia 80,000 yang turut dirampas.

Cumanya, dalam kes Mohd Hashimitu, apakah cukup dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hanya mengakui tentang kesilapan itu dan menjelaskan perkara tersebut dilakukan secara tidak sengaja?

Malah, jika menurut satu sumber, KSU tidak memiliki kuasa untuk meluluskan projek atas keputusan sendiri. Kesemua projek perlu dibentangkan kepada lembaga tender yang melibatkan pelbagai jawatankuasa termasuk kewangan dan teknikal.

Pegawai kerajaan yang terlibat dalam proses tender juga perlu tampil daripada kementerian lain seperti Kementerian Kewangan. Kelulusan daripada Kementerian Kewangan diperlukan sebelum sebarang projek dilaksanakan sama ada menerusi rundingan secara langsung atau tender yang disekat.

Dalam kes Mohd Hashim itu, apakah ada ‘rantaian kelulusan di peringkat lebih tinggi’ untuk meluluskan pembayaran berkenaan?

Apakah Mohd Hashim 'terpaksa' atau dipaksa' menandatanganinya?


Apakah melibatkan  menteri dan kementerian lain, termasuk Kementerian Kewangan?

Sepatutnya siasatan dilakukan dengan rapi dan menghukum mereka yang cuai walaupun melakukannya 'secara tidak sengaja' kerana sudah melanggar peraturan kerajaan.

Namun semuanya bagai dimaafkan dan jangan salahkan sesiapa jika ada kalangan penjawat awam, termasuk KSU terus 'menggila mengumpul kekayaan' kerana tiada ketegasan di pihak kerajaan sendiri.

No comments:

Post a Comment