Tuesday 3 January 2017

KES SRC - MENUNGGU HARI BAHRI MENCERITAKAN WANG RM42 JUTA...


Bekas Pengarah Bahagian Siasatan Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Datuk Bahri Mohd Zin  semalam menggemparkan negara apabila mengesahkan beliau “kecewa” dan tidak mahu lagi berkhidmat dengan "undang-undang sarang labah-labah" yang hanya memerangkap pesalah kecil.

Beliau mengesahkan kenyataannya di FMT bahawa beliau kecewa dan berasa amat berdosa kepada rakyat Malaysia “kerana kes SRC International (SRC) tidak boleh dibawa ke mahkamah”.

Turut menggemparkan ialah jawapannya kepada ulasan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengaitkan persaraannya itu.

Bahri, yang memainkan peranan utama dalam siasatan SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu memilih bersara awal walaupun boleh terus bertugas tiga tahun lagi.

Beliau memainkan peranan penting menyiasat SRC dan menjadi perhatian apabila sejumlah RM42 juta dananya ditemui pada akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.

Ketika siasatan SPRM ke atas 1MDB dianggap kompleks dan membabitkan banyak aspek perundangan luar negara - dengan peguam negara enggan mengeluarkan persetujuan bantuan undang-undang kepada pihak berkuasa asing - kes SRC dilihat jelas melibatkan entiti dalam negara.

Wang SRC dimasukkan ke akaun perdana menteri melalui dua transaksi - iaitu pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 - selepas disalurkan melalui dua syarikat lain, iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Najib mendakwa tidak tahu menahu wang berkenaan adalah berasal dari SRC,  walaupun syarikat itu adalah milik kementerian kewangan. Perdana menteri juga menjawat tugas sebagai menteri kewangan pertama.


Dalam polimik Bahri-Rahman semalam, sewajarnya seseorang menteri mempunyai maklumat yang jelas kenapa pendakwaan kes SRC itu tidak ke mahkamah  dan ‘diam hingga sekarang’.

Apakah ia benar tiada kes atau kes itu ‘digelapkan’? Untuk apa tujuannya, menteri sewajarnya tidak mengulas daripada hanya membuka lebih besar pekong di dada.

Sebagai menteri, Rahman perlu melihat dulu ‘apa telatah Bahri seterusnya’ dan jangan terperangkap dengan kenyataannya.

Tetapi ini tidak berlaku dengan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN)  itu yang mungkin kerana mahu segera menjawab suatu perkara yang beliau sendiri tidak jelas, beliau pula yang  terperangkap dalam ‘tindakan terdesaknya’ untuk mempertahankan Kabinet atau Perdana Menteri.

Beliau terus sahaja membuat ulasan terhadap Bahri secara  tergopoh-gapah dan mahu menunjukkan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai ‘panglima utama BN’

Pertanyaan Rahman kepada Bahri sudah menggambarkan beliau memang hanya berniat mempertahankan Perdana Menteri apabila mengatakan: “Kenapa dalam kes-kes (yang disiasat oleh SPRM tidak dituduh di mahkamah oleh Peguam Negara atas berbagai sebab antaranya kerana tidak cukup bukti, penyiasatan yang gopoh dan ketiadaan merit untuk pendakwaan, Dato Bahri tidak bangkitkan ketidakpuasan hati beliau secara terbuka?

“Kenapa hanya dalam kes yang membabitkan Perdana Menteri yang diungkit?”

Lagipun, bukan taraf beliau untuk menjawab kenyataan seorang pegawai kanan kerajaan yang rasanya lebih mengetahui mengenai selok belok kerja atau tugas berkaitan dengan SPRM.

Ini bukan jenis jawapan politik dan boleh goring hingga hangit. Ini kes yang rahsia yang sudah menjadi pengetahuan rakyat.

Digoreng sampai berasap pun, rakyat akan tetap persoalkannya kerana tidak logic seorang Perdana Menteri, menteri Kewangan dan pemilik akaun tidak tahu wang sebanyak RM42 juta masuk ke akaunnya.


Bahri bukan kakitangan biasa. Kerana itu apabila beliau mengumumkan persaraan awalnya, ada reaksi berbagai daripada banyak pihak. Ada sesuatu yang tidak kena, pastinya!

Rahman mungkin terpedaya dengan kenyataan SPRM yang mengulas berita mengenai persaraan Bahri itu apabila kenyataan SPRM mengatakan Bahri  memilih untuk bersara awal bukan kerana kecewa dengan kes SRC seperti yang dilaporkan.

Dalam satu kenyataan media petang semalam, suruhanjaya itu berkata Bahri menafikan mengeluarkan kenyataan itu.

Sebaliknya, reaksi kepada kenyataan SPRM itu, Bahri menegaskan akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi. “Menggunakan sumber belum masak orang ketiga dan buat ‘judgement syok’ sendiri. Tunggulah kenyataan dari mulut saya sendiri,” katanya.

Beliau turut mengulas  laporan berita yang mengaitkan persaraannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga komen oleh Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Dalam laporan berita itu, portal FMT yang memetik sumber yang rapat dengan siasatan 1MDB mempersoalkan masa persaraannya.

Menurut sumber itu, jika kes SRC adalah alasan Bahri berasa bersalah, beliau sepatutnya meletak jawatan tahun lalu atau pada 2015.

Bagaimanapun bekas pegawai kanan SPRM itu hanya tersenyum mendengar hujah itu.

“Pemakan dedak ada di mana-mana, di luar sana mahu pun dalam jabatan-jabatan kerajaan,” katanya.

Beliau lantas membidas Rahman kerana mengadilinya tanpa fakta yang tepat dan tidak merujuk kepada sumber asal iaitu beliau sendiri.

"Maka berkewajipan bagi saya lepas pulih dari sakit nanti saya akan jawab satu persatu apa yang Pak Menteri itu tulis mengenai saya. Biar rakyat pula yang menjadi pengadilnya,” katanya.

Bahri memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak mencabarnya.

“Saya cukup pantang kalau orang pukul curi saya, dulu masa kes SRC Internation tengah memuncak ada sorang bekas ketua menteri membantai saya secara tidak adil...Jangan cabar saya. Saya tahu semua pemberi rasuah dan pengambil rasuah.

“Ya, pengamal rasuah dan jangan cuba nak jadi juara kepada rakyat di luar sana,” tegasnya.

Episod ini Rahman menonjolkan dirinya ‘dangkal dan bodoh’. Soal layak atau tidak layak menjadi menteri itu soal lain.


Kini Rahman terkesipuan sendiri apabila ‘tuan punya badan yang lebih tahu’ menjawab balik kenyataannya yang tidak cermat.

Bukan mahu merendahkan seorang Menteri. Tetapi gunakanlah kedudukan itu sebagai tempat untuk berkhidmat dan membela rakyat. Membuat kenyataan biarkah cerdik dan berpijak di alam nyata, bukan suatu bentuk ‘cerita rekaan’.

Jika menjadi menteri hanya untuk mempertahankan ‘bos’ semata-mata dan menjadikan kedudukan untuk ‘mengherdik orang lain’ atau menunjukkan ‘aku sahaja yang pandai’, ia sudah melencong jauh daripada matlamat asal.

Hakikatnya bukan susah untuk menjadi menjadi Menteri, berbanding menjadi Pengarah Urusan atau Ketua Pegawai Eksekutif sesebuah entiti perniagaan.

Ada menteri dilantik kerana kuota parti, ada yang kerana memang kroni, membalas jasa, akibat ugutan,  dan tidak kurang pula yang kaki bodek. Malah yang memang diketahui ‘tidak cerdik’ pun ada jadi menteri.

Hanya kerana mereka kebetulan menjadi ahli parlimen atau dilantik Senator kerana sebab-sebab di atas atau kerana pilihan raya atau kalah pilihan raya, mereka dilantik jadi menteri dan timbalan menteri.

Rahman bukan tidak cerdik tetapi kali ini terlalu gopoh dan silap tidak menggunakan kecerdikannya!

No comments:

Post a Comment