Monday 9 January 2017

KESIPUAN NAJIB BERTERUSAN, AUSTRALIA DESTINASI TERBARU SIASATAN 1MDB...

"Ironinya, berita mengenai peranan Australia dalam siasatan 1MDB timbul hanya seminggu selepas Datuk Seri Najib Razak meninggalkan negara itu selepas beliau dan keluarganya bercuti,  di negara itu."

Nama dan imej buruk yang sedang melanda 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kesannya melimpah kepada negara Malaysia dan pemimpin kerajaannya,  kini menular pula ke Australia.

Dengan siasatan yang sudah berlaku di lebih lapan negara di dunia, kenyataan agensi berita dan akhbar utama negera itu  akan membawa berita buruk kepada 1MDB seterusnya.

Yang nyata, kesipuan pemimpin Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan bertambah-tambah, apa lagi Australia kini sudah menganggap dakwaan terhadap Najib sebagai sesuatu yang ‘serius’.

Sebelum ini The Australian turut membuat laporan mengenai skandal 1MDB dan kaitannya dengan isteri Perdana Menteri.

Apakah The Australian pula akan menjadi ‘punching bag’ dan akan  ‘dibelasah’ habis-habisan oleh penyokong Perdana Menteri Malaysia seperti yang terjadi kepada The Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini kerana pendedahan berkiatan 1MDB?

Polis Persekutuan Australia (AFP) dilaporkan sedang menyiasat sama ada dana yang diselewengkan dari 1MDB mempunyai kaitan dengan pihak-pihak tertentu negara itu.

Menurut The Australian hari ini, polis sedang menilai sama ada mana-mana rakyat, pemastautin atau firma Australia melanggar undang-undang negara itu.

"AFP sedang membantu rakan polis luar negara dalam siasatan mereka. Memandangkan perkara ini masih diteliti, maka tidak sesuai untuk mengulas lanjut," kata jurucakapnya kepada The Australian.

Isu 1MDB di Australia sebenarnya sudah menjadi pengetahuan umum rakyat negara itu apabila pada  4 April  2016, seorang eksekutif di salah sebuah bank terkemuka di Australia, Bank ANZ telah disoal oleh sebuah jawatankuasa siasatan parlimen di negara itu s, berhubung kaitannya dengan skandal 1MDB.

Timbalan Ketua Eksekutif bank berkenaan, Graham Hodges disoal berhubung dakwaan pengetahuan bank itu mengenai dakwaan lebih AS$1 bilion telah disalurkan melalui akaun AmBank Perdana Menteri Najib Razak.


ANZ memiliki 24 peratus AmBank, dan mempunyai tiga wakilnya sendiri dalam lembaga pengarah bank Malaysia itu. Hodges sendiri bakal menjadi ahli lembaga AmBank.

Sydney Morning Herald melaporkan Hodges sebagai  berkata, ANZ adalah terhad dalam apa yang ia boleh lakukan untuk menangani skandal tersebut kerana ia hanya pemegang saham minoriti.

Sehingga kini tiada berita susulan mengenai siasatan berkenaan.

Apapun, terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang datang ke Australia kononnya mahu memperjelaskan isu 1MDB kepada pelajar da masyarakat Malaysia pada November lalu tetapi ia mendatangkan kesan boomerang.

Kempen di  Melbourne, Sydney dan Brisbane, tidak diberikan laporan sewajarnya oleh media tempatan namun akhbar negara kangaroo itu, The Australian Business Review yang wartawan mereka dilarang memasuki majlis penerangan JASA itu hairan bagaimana penerangan oleh 1MDB termasuk oleh Ketua Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy tidak mahu dihebahkan.

Laporan meluas akhbar itu mendapat perhatian banyak pihak dan kesannya semakin buruk kepada 1MDB apabila ia menjadi satu syarikat kerajaan Malaysia yang dilihat dengan penuh curiga.


Dalam laporan akhbar itu yang bertajuk “Malaysia’s 1MDB in university hard sell’ pada 15 November 2016, Arul turut ‘lari’ daripada wartawan Australia yang mahu mendapatkan penjelasan beliau.

Banyak sudah siasatan dan kaitan 1MDB dengan individu, bank dan institusi tertentu di negara itu tetapi ia tidak dihebahkan dengan begitu besar sebelum ini.

Namun dengan laporan bahawa polis Australia kini menyiasat bimbang isu 1MDB kini sudah merebak ke negara mereka membimbangkan pentadbiran negara itu.

Menurut laporan The Australian itu , AFP sedang membantu sama ada pihak berkuasa di Switzerland, Amerika atau Singapura dalam siasatan mereka berhubung dakwaan penyelewengan dana daripada 1MDB.

Ironinya, berita mengenai peranan Australia dalam siasatan 1MDB timbul hanya seminggu selepas Perdana Menteri meninggalkan negara itu selepas beliau dan keluarganya bercuti di negara itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia (ASIC) membubarkan syarikat, Avestra Asset Management, yang dituduh mengendalikan wang yang berasal daripada 1MDB.

Avestra dikatakan mempunyai hubungan dengan entiti yang didaftrakan di Kepulauan Cayman iaitu Bridge Global Absolute Returns Fund SPC.


Lebih merisaukan  1MDB, pada 22 November 2015 lalu, bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura atas tuduhan mengganggu saksi yang terlibat dalam penyiasatan Singapura ke atas 1MDB ada membeli harta di Australia.


Yeo yang dikenakan  hukuman penjara 30 bulan penjara berhubung tuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB mempunyai hubungan rapat dengan ahli perniagaan Malaysia Jho Low.

Yeo dikatakan mengumpulkan kira-kira S$23.9 juta (RM74 juta) dalam tempoh 15 bulan melalui "keuntungan rahsia" selepas beliau meninggalkan bank itu pada bulan Jun 2014 turut mendedahkan sesuatu yang ada kaitan dengan Australia.

Ini didedahkan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan Yeo di Singapura yang berdepan empat pertuduhan mengganggu saksi, menurut The Edge Markets. Dalam dokumen Yeo, 34, bertajuk 'kenyataan kekayaan' yang dijumpai di dalam iPad Yeo yang dirampas oleh pihak berkuasa, beliau mempunyai senarai asetnya.

Ini termasuk tiga harta tanah di Singapura dan dua lagi di Australia, serta wang tunai dalam pelbagai mata wang di beberapa bank-bank seperti HSBC dan OCBC, dengan jumlah nilai aset-aset ini pada S$25,988,735.

Yeo akan dibicara lagi atas beberapa kesalahan lain tahun depan - semua berkaitan dengan siasatan 1MDB, termasuk penipuan, pengubahan wang haram dan pemalsuan. Setakat ini, Yeo adalah pegawai bank ketiga BSI yang disabitkan kesalahan berhubung 1MDB.

Akhbar The Age bertarikh 25 Ogos 2016 mengatakan kerajaan negara itu sebelum ini cuba menyepi dan menjauhkan diri pada skandal dunia ini,  biarpun sebelum ini Menteri Luar Australia,  Julie Bishop kemudian secara terus terang mengatakan tuduhan terhadap Najib sesuatu yang ‘serius’.

Dengan kedudukan sedemikian dan dengan polis Australia sedang menyiasat kes ini dengan secara mendalam, mungkin apa yang berlaku di Singapura, seperti pendakwaan terhadap individu dan institusi kewangan akan menular pula ke sana.

Di mana mahu diletakkan maruah Malaysia di kaca mata dunia?


Siapa yang akan kesipuan kini, rakyat atau Perdana Menteri Malaysia?

No comments:

Post a Comment