Tuesday 27 December 2016

RAKYAT TIDAK BODOH - FGV RUGI MUTLAK, BUKAN LAGI ATAS KERTAS


Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd.  (FGV) disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 dengan menjadi projek penyenaraian kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

Seorang penting di bahagian komunikasi Kementerian Kewangan mengatakan kerugian yang dialami oleh FGV bukan kerugian mutlak, hanya atas kertas.

Sebelum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menarik diri,ada beberapa pemegang saham terbesar dalam FGV termasuklah:

1. Felda dengan pegangan kepentingan sebanyak 33.66 
     peratus;
2. Lembaga Tabung Haji pula dengan 7.79 peratus;
3. Koperasi Permodalan Felda dengan 5.8 peratus;
4.  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 5.28 peratus;
5. Kerajaan Negeri Pahang,
6. Kerajaan Negeri Sabah dan
7. National Association (Qatar)

Kebelakangan ini diperhatikan Felda Badan Berkanun dan Felda Asset Holdings Berhad telah memasuki pasaran dengan membolot hampir 44% daripada jumlah saham FGV di pasaran. 

Persoalannya, kenapa pelabur-pelabur dalam dan luar negara kurang berminat terhadap saham FGV ini?

Kenapa sebahagian besar saham FGV yang diapungkan di Bursa Malaysia dipegang oleh pelabur-pelabur institusi khasnya badan berkanun yang kaya tunai.?

Hakikatnya,  sekitar 80 peratus daripada jumlah saham FGV di dalam pasaran dibolot oleh pelabur-pelabur institusi.   Ini menimbulkan tanggapan bahawa sekiranya pelabur-pelabur institusi ini tidak memasuki pasaran, kebarangkaliannya amatlah tinggi bahawa harga saham FGV pastinya lebih rendah dari harga yang kita saksikan hari ini. 

Juga, wujud tanggapan bahawa badan-badan kaya tunai ini berkemungkinan telah dikerah oleh pihak tertentu (termasuk Perdana Menteri yang menjaga Felda) untuk masuk ke pasaran untuk menyokong harga.

Dalam  keadaan harga yang merudum, sudah pasti ada badan-badan berkenaan yang mengalami kerugian besar.

Apabila mengatakan kerugian atas kertas, jurucakap Kementerian Kewangan itu dengan sendirinya mahu pemegang saham, termasuk peneroka yang menyertainya supaya JANGAN RISAULAH, TUNGGU HARGA PULIH DAN UNTUNG...

Selain itu, beliau cuba memberitahu mengenai industri kelapa sawit, untuk makluman mereka yang TIDAK MEMAHAMI INDUSTRI berkenaan. Bagaimanapun beliau sendiri tidak menghuraikannya.

Realitinya seperti diakui Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad, yang dilaporkan Berita Harian, setakat semalam, (27 Disember 2016), harga saham perladangan sawit terbesar dunia itu susut lebih 60 peratus berbanding harga tawarannya apabila diniagakan dalam jajaran RM1.50 - RM1.70. Pada penutup kelmarin, ia naik satu sen kepada RM1.54.

Berasaskan kenyataan kerugian atas kertas, bagaimana pula dengan laporan ini?


FGV mencatatkan kerugian bersih RM98.19 juta atau 2.7 sen sesaham bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan semasa berakhir 30 September 2016.

Prestasi sedemikian berlaku walaupun perolehan kumpulan itu meningkat enam peratus kepada RM12.09 billion sepanjang sembilan bulan pertama itu berbanding tempoh yang sama tahun kewangan lalu.

Memetik laporan The Edge Markets, FGV mencatatkan kerugian itu walaupun berjaya menjana keuntungan bersih sebanyak RM15.74 juta atau 0.4 sen sesaham untuk tempoh yang sama tahun kewangan 2015.

Dalam tempoh suku ketiga tahun kewangan semasa, kerugian bersih FGV terus bertambah kepada RM94.87 juta atau 2.6 sen sesaham berbanding RM33.92 juta atau 0.9 sen sesaham setahun yang lalu.

Pertambahan kerugian tersebut disebabkan oleh penurunan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO), kenaikan kos gula mentah selain perolehan lebih rendah daripada segmen hiliran, kata laporan itu.

1.      Apakah ini hanya kerugian atas kertas?

Menurut laporan pada 22 November lalu, dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, pendapatannya menurun sebanyak tujuh (7)  peratus kepada RM4.19 bilion daripada RM4.51 bilion pada suku ketiga 2016,  berbanding tempoh yang sama tahun kewangan lalu.

Kerugian memang atas kertas namun jika diterjemahkan kepada keuntungan sebenar  – Untuk tempoh suku ketiga tahun kewangan semasa, kerugian bersih FGV terus bertambah kepada RM94.87 juta atau 2.6 sen sesaham berbanding RM33.92 juta atau 0.9 sen sesaham setahun yang lalu.

Selain itu, pendapatan FGV  turut menurun sebanyak 7 peratus kepada RM4.19 bilion daripada RM4.51 bilion pada suku ketiga 2016 berbanding tempoh yang sama tahun kewangan lalu.

Apakah jika saham itu ditebus atau dijual, pemegangnya akan mendapat nilai lain atau nilai sebenar seperti tercatat di atas. Bagaimana mengatakannya sebagai kerugian atas kertas?

2.     Jika saham terus dipegang mungkin kerugian atas kertas akan bertukar menjadi keuntungan apabila harga saham FGV naik semula. Harga saham FGV berkait rapat dengan harga komodoti pasaran kelapa sawit, kini beberapa inisiatif dilaksanakan supaya harga pasaran kelapa sawit meningkat.

Menggunakan perkataan mungkin atau jika atau seandainya, semuanya bermakna andaian dengan harapan saham FGV naik semula.

Namun berdasarkan ramalan dan realiti semasa terhadap saham FGV ini, ia tidak akan melonjak atau naik mendadak.

Selalunya, masa depan direnungi atau dibuat andaian berdasarkan faktor semasa dan sejarah. Apa yang berlaku terhadap saham FGV sebelum ini.

Zakaria...akui penyusutan drastik
Diakui oleh FGV bahawa “...harga komoditi sawit dunia yang mula mencatatkan penurunan yang secara langsung mempengaruhi sentimen pelabur ke atas kaunter berasaskan komoditi itu, termasuk FGV. Penurunan ketara harga saham FGV bermula pada 2014 yang mana ketika itu berlaku penyusutan drastik harga minyak sawit mentah (MSM) dunia dan banjir besar.  Pada 2015 pula berlaku fenomena El-Nino terburuk dalam sejarah dan ini bukan saja memberi kesan kepada FGV malah kepada syarikat perladangan sawit lain. Faktor ini secara langsung memberi kesan kepada prestasi syarikat perladangan dan pada masa sama mempengaruhi sentimen pelabur ke atas saham kaunter berasaskan komoditi sawit,"

3.      Namun bagi institusi dana seperti EPF, Perkeso, Tabung Haji, LTAT, Kerajaan negeri dan ASB mereka mengambil pandangan jangka panjang - pergerakan turun naik saham dalam jangka pendek tidak menjadi isu kepada mereka. Institusi ini bukan pelabur spekulatif - beli hari ini jual esok. Mereka adalah pelabur jangka panjang. Nilai bukan dilihat pada harga saham di pasaran tetapi keupayaan syarikat berkembang pada masa depan, keupayaan syarikat memberi dividen yang baik.

Pergerakan turun naik saham dalam jangka pendek tidak menjadi isu kepada institusi dana? Benarkah demikian? Jika demikian, kenapa EPF menarik diri?

Ini sebagai satu contoh. Kesimpulan daripada  analisis pergerakan saham FGV dan untung/(rugi) yang dialami oleh Tabung Haji ialah, kerugian terkumpul yang ditanggung oleh Tabung Haji sebanyak  RM933 juta.


Sepanjang Tabung Haji terlibat di dalam FGV, keuntungan hasil dari penjualan saham FGV hanyalah RM7.6 juta iaitu terlalu sedikit berbanding jumlah terkumpul yang dibayar oleh Tabung Haji untuk membeli saham-saham FGV iaitu RM1.3 bilion. Kali terakhir Tabung Haji menjual saham FGV ialah pada 12 Julai 2012 iaitu pada awal penyenaraian sebanyak 750,000 saham. Semua penjualan saham FGV yang direkodkan selepas itu dibuat oleh pengurus dana Tabung Haji sama ada Maybank, AmInvest atau CIMB yang melibatkan jumlah saham yang sangat kecil dan tidak menjejaskan pegangan keseluruhan Tabung Haji di dalam FGV.

Dilaporkan juga Kerajaan Pahang mungkin menanggung kerugian hampir RM500 juta akibat kejatuhan harga saham Felda Global Venture (FGV) ke paras terendah RM1.92 seunit. Pada Mei 2015,  nilai saham yang dimiliki Kerajaan Pahang hanya bernilai RM349,440,000 susulan kejatuhan itu.  Dengan ini ia  menangung kerugian sebanyak RM478,660,000, ataupun 2.5 kali ganda Anggaran Perbelanjaan Mengurus (RM185.09 juta) Negeri Pahang untuk tahun 2015 (Tidak ditehaui keadaan sekarang apabila saham FGV semakin menjunam. Untuk rekod, Kerajaan Pahang memiliki lima peratus saham dalam FGV atau menyamai 182 juta unit saham.  Kerajaan Pahang membeli saham itu pada 2013 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM829,954,466.25 dan ketika itu harga saham RM4.55 seunit.)
  
4.      Seorang pelabur spekulator hanya berminat turun naik harga saham, bila naik mereka akan jual untuk kaut untung.

Bila agaknya akan untung? Pada 30 April 2015, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad pernah menyebut bahawa peneroka sebenarnya tidak rugi sebab sebahagian besar saham yang mereka miliki, Felda telah bayarkan dahulu sebelum ini.

Pe­neroka akan bayar secara beransur-ansur kepada Felda. Mereka juga masih mendapat dividen daripada 800 unit saham milik mereka yang sebelum ini dibayar dahulu oleh Felda.

Selain itu, mereka juga pernah diberi ‘durian runtuh’ berjumlah RM15,000.  Peneroka juga turut diberi saham amanah sebanyak 20 peratus secara percuma kepada semua peneroka dan mereka menerima dividen setiap tahun.

Namun di sebalik itu, Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang mencarum RM800 juta dalam FGV, diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga  ekoran ekuiti 51 peratus milik mereka dalam Felda Holding telah diambilalih oleh FGV dengan nilai RM2.2 bilion. Sejumlah RM800 juta dari RM 2.2 bilion tersebut di jadikan pegangan saham dalam FGV dan ia terus alami kerugian teruk.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad sendiri tidak dapat menjangkakan bila sekadar mengatakan, "...sebagai sebuah syarikat perladangan, prestasi FGV perlu dinilai untuk tempoh jangka masa lebih panjang.
Apa yang penting ialah kita perlu melihat bahawa asas Kumpulan FGV masih lagi kukuh dan seharusnya menjadi perkara yang dipertimbangkan bagi meyakinkan pelaburan.”

Perkataan ‘seharusnya’ dipertimbangkan pelabur menggambarkan bahawa pelabur sejauh ini menolak pendapat bahawa FGV berada dalam kedudukan yang kukuh.

5.      Memegang saham dalam syarikat berpaksi kelapa sawit seperti FGV merupakan suatu pelaburan strategik jangka panjang, perlu di ingatkan juga 'FGV adalah sebuah syarikat yang bertanggungjawab dan tidak pernah gagal membayar dividen kepada pemegang sahamnya', walau dalam keadaan harga pasaran kelapa sawit yang rendah.

Isa Samad...beri dividen
Kata-kata ini mengulangi apa yang sudah disebut oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad pada April 2015 untuk menangkis isu yang dibangkitkan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin. “Peneroka juga turut diberi saham amanah sebanyak 20 peratus yang kita bagi secara percuma kepada semua peneroka dan mereka menerima dividen setiap tahun,” kata Isa.

Namun di sebalik itu, apakah kesannya kepada peneroka?

Menurut  satu sumber pada April 2015 – seorang peneroka yang telah membeli 800 unit saham membayar RM3,560 dan jika ia masih memegang saham itu, maka nilai pasaran saham berkenaan hanya tinggal RM1,672 pada (April 2015)  bermakna, pemegangnya  sudah rugi RM1,888 (atas kertas, kalau ikut analisis pegawai Kementerian Kewangan masih belum rugi). 

Itu kerugian seorang peneroka. Ada 112,635 orang peneroka Felda di seluruh negara. Sekiranya setiap peneroka membeli 800 unit saham, maka jumlah saham FGV yang mereka pegang ialah 90,108,00 unit. Bermakna, kerugian yang mereka tanggung ialah RM212,654,880. 

Ini kerugian yang amat besar memandangkan masih ramai peneroka berpendapatan rendah. Kalau harga sebuah rumah RM150,000, jumlah ini mampu membiayai 1,418 buah rumah untuk generasi kedua.

6.      Keputusan untuk membeli atau menjual saham FGV oleh institusi seperti EPF adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti aliran-tunai (cash flow) institusi, iklim harga pasaran kelapa sawit kini (current palm oil prices), pengkhususan pelaburan semasa dalam institusi lain (focusing on different asset class).  Namun FGV mempunyai strategi tersendiri bagi menambah baik nilai sahamnya untuk jangka panjang.

Diakaui bahawa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad FGV ketika ini sedang dalam proses transformasi perniagaan dan operasi di bawah penerajuan beliau.

Diakui FGV sedang membangunkan pelan strategik 2017-2020 bagi memastikan kumpulan kembali bangkit dan memberikan pulangan baik kepada pemegang saham serta pihak berkepentingan lain. Katanya, pada tahun ini saja kumpulan meletakkan sasaran penjimatan kos pentadbiran sebanyak RM100 juta dan ketika ini berada di landasan betul untuk mencapainya.

Selain itu, FGV juga sedang giat menambah baik operasi perniagaan teras, menstruktur semula operasi, mengoptimumkan aset sedia ada dan mengukuhkan kewangan kumpulan.

Untuk berlaku adil, laporan menyebut pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) kumpulan meningkat sebanyak 19 peratus kepada 783,000 MT selari dengan peningkatan hasil tandan buah segar (TBS) daripada 3.97 MT/Ha pada suku sebelum ini kepada 4.14 MT/Ha. Kadar perahan minyak (OER) juga meningkat kepada 20.95 peratus berbanding 20.40 peratus pada suku sebelumnya. Peningkatan kukuh TBS dan OER adalah hasil daripada pelan pemulihan profil umur pokok FGV,” tambahnya.

Soalnya apakah kita mengawal pasaran dan apakah faktor luaran tidak akan menjejaskan prestasi FGV?

Juga apakah FGV boleh memberikan keyakinan ia akan kembali pulih dan untung kembali dalam tempoh yang segera melalui pelan strategik itu?

yang nyata, kebimbangan semakin memuncak apabila harga saham FGV yang pada awalnya berharga RM4.45, jatuh merudum, harganya kini hanya tinggal sekitar RM1.54, naik sedikit daripada paras RM1.45 sebelum ini.

Malah peneroka sendiri merungut kerana  menanggung hutang ribuan ringgit akibat saham FGV yang jatuh merudum teruk melebihi 66 peratus. Juga ramai yang mengadu wang Khairat Kematian peneroka yang meninggal dunia dipotong sebanyak RM3,200 untuk melangsaikan hutang saham FGV yang rugi teruk akibat penyusutan nilainya.

Apa maknanya ini?

Membaca situasi kedudukan negara yang mengalami berbagai persepsi buruk dan ramalan harga komoditi yang tidak akan pulih segera dan kebimbangan yang ditunjukkan oleh pelabur institusi sendiri, apakah saham FGV akan pulih segera?

Pertanyaan ialah:

1, Kenapa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menarik diri? Kenapa tidak diumumkan jumlah kerugian sebenar yang ditanggung daripada  pegangan tabung persaraan itu dalam saham FGV? KWSP yang baru-baru ini  melupuskan pegangannya sekitar 7% sejak 2013 pastinya mengalami kerugian besar dan bimbang kesannya ke atas pencarum mereka.

Selain itu, apa pendirian  institusi lain seperti KWAP, Tabung Haji, Felda Asset Holding Company Sdn Bhd, Felda Badan Berkanun dan Kerajaan Negeri Pahang?

Umumkan kedudukan status pegangan saham mereka dalam FGV. Jika mereka melakukan mungkin saham FGV akan menjunam.

2. Kenapa sehingga kini  Tabung Haji tidak mengambil apa-apa langkah melindungi dana pendeposit sebanyak RM1.3 bilion yang telah dilaburkan di dalam FGV?

Ini berbeza dengan institusi pelaburan kerajaan yang lain seperti KWSP dan KWAP yang dilihat cuba untuk mengurangkan kerugian mereka dan mengambil langkah mengurangkan pegangan di antara 2012 hingga 2015.

3. Institusi yang melabur dalam FGV perlu ingat dan berwaspada bahawa mereka memegang amanah yang besar kerana pencarum, pemegang deposit, peneroka, kakitangan Felda dan sebahagian besar rakyat terlibat secara langsung sebagai pencarum/pendeposit dalam KWSP, KWAP dan Tabung Haji.

Menurut satu sumber, jangkaan kerugian semasa yang di alami dana awam dan pelabur institusi ini dalam FGV mencecah RM5 bilion atau RM5,000 juta.

Apakah Perdana Menteri, UMNO dan kerajaan merasakan rakyat bodoh dengan mengatakan kerugian melalui FGV ini hanya di atas kertas?

4. Apa jadi jika ada institusi lain turut melupuskan saham mereka dalam FGV? Pada 23 Disember lalu, harga saham saham FGV jatuh 4.94 peratus ketika rehat tengah hari, berikutan pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ia tidak lagi mempunyai sebarang pegangan dalam syarikat tersebut.

Pada jam 12.30 tengah hari, saham FGV susut lapan sen kepada RM1.54 dengan 6.98 juta saham bertukar tangan. Saham berkenaan bergerak di antara RM1.54 dan RM1.60 sepanjang sesi pagi.


Apakah ini tidak menggambarkan kebimbangan?

Apakah rakyat, khususnya pelabur dan peneroka  tidak mengambil berat sekadar memerhati perkara ini?

Jangan gadaikan masa depan institusi dan tabungan rakyat kerana kepentingan satu atau dua individu sahaja. Pelan penyelamat ke atas penabungan semua pihak perlu diwujudkan.

Jika tidak,  bertindak segera untuk menyeolamatkan wang rakyat, termasuk kemungkinan menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak atau juga mungkin melalui Suruhanjaya Di Raja menyiasat secara terperinci skandal terbesar membabitkan Felda dan FGV ini.

Kerajaan dan pemerintah (termasuk institusi Diraja) tidak boleh berdiam diri dengan skandal ini.

Jangan jadikan kepercayaan rakyat sebagai sesuatu yang boleh digadai akibat perbuatan tamak seseorang atau kumpulan tertentu.


Selamatkan FGV, Felda, peneroka, pelabur dan pendeposit dalam institusi kerajaan yang digunakan untuk ‘menutup rakyat’ melalui skanda FGV yang semakin ‘membarahkan’ kini!!!!

No comments:

Post a Comment