Thursday 15 December 2016

MALAYSIA – HARIMAU YANG ‘TERCABUT TARING DAN PATAH PULA KUKUNYA’...


Di Singapura, sebut atau dengar saja nama Jho Low, akan terbayang oleh rakyatnya akan wajah kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di seberang yang membenar dan layu membantaeras rasuah dan penyelewengan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka turut marah kerana reputasi Singapura sebagai pusat kewangan antarabangsa terjejas apabila penyelewengan, pengubahan wang haram dan rasuah terbukti dilakukan oleh rakyat dari negara jirannya itu.

Pihak berkuasa dan bank dipersalahkan kerana membenarkan ia berlaku secara berleluasa apabila lagi membabitkan nilai berbilion dolar.

Berikutan itu berbagai langkah dilakukan oleh pihak berkuasa, khususnya pihak berkuasa kewangan untuk membersihkan Singapura daripada turut terbabit dengan kejahatan itu.

Ia  dengan harapan akan dapat menggembalikan maruah yang tercalar itu kepada kedudukan sebagai negara bebas rasuah dan pusat kewangan serantau yang dihormati seperti Switzerland.

Rakyat di republik itu kini melihat Malaysia sebagai negara kleptokrasi yang memalukan, apalagi terletak di tengah-tengah wilayah Asean yang sewaktu ketika dahulu menjadi kebanggaan kerana salah sebuah negara paling rancak pertumbuhan ekonominya.

Daripada ‘Asian Tigers’, Malaysia kini menjadi negara bak ‘harimau yang tercabut taringnnya dan patah pula kukunya’ selain dikutuk dengan teruk oleh banyak negara di dunia  kerana amalan pemimpinnya yang disahkan  terpalit dengan rasuah dan penyelewengan.

Mereka berjalan megah di negara sendiri tetapi ‘menikus’ di negara luar.

Malah ada yang takut untuk keluar negara, bimbang dikenakan tindakan gara-gara  tindakan mereka sendiri – menyokong penyelewengan dan rasuah.

Malaysia juga dilihat tidak berminat membersihkan rasuah besar dalam 1MDB, malah kerajaan dan pemimpin UMNO serta BN dilihat tiada usaha untuk ‘mensucikan  diri mereka’ daripada tuduhan sedemikian.

Sebaliknya, mereka yang menentang rasuah dalam 1MDB dikenakan berbagai tindakan.


Singapura memang tidak berdiam diri dan terbaru, seorang lagi bekas pekerja BSI disabitkan bersalah di mahkamah Singapura berkaitan dakwaan skandal 1MDB.

Pihak pendakwa meminta pegawai bank  BSI Bank (Singapore) Ltd, Yvonne Seah Yew Foong dipenjarakan selama dua minggu.

Kerajaan Singapura mengarahkan operasi BSI di Singapura itu  diberhentikan.

Menurut akhbar The Straits Times, Seah mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan membantu pemalsuan dokumen dan gagal melaporkan keraguan transaksi yang didakwa mempunyai kaitan dengan taikun kelahiran Pulau Pinang itu.

Jho Low lagi...

Selain Seah, penyelianya, pengurus kanan bank itu, Yak Yew Chee juga mengaku bersalah terhadap tuduhan sama. Yak sedang menjalani hukuman 18 minggu penjara.

Kisah Jho Low di Singapura bukan lagi sesuatu yang pelik kerana sudah dimaklumkan di mahkamah pada 14 November lalu bahawa  bahawa ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low adalah ‘gatekeeper’ dan juga penasihat kepada 1MDB.

Gatekeeper kepada siapa? Jawapan ini rasanya jelas dan boleh dijawab oleh semua mereka yang mengikuti isu penyelewengan 1MDB.

Mahkamah Singapura diberitahu pada hari tersebut oleh bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei yang memberi keterangan bahawa Jho Low membawa ‘urusan besar’ kepada BSI dan urusan itu berkaitan dengan 1MDB.


Antara urusan itu membabitkan AS$100 juta (RM4,000 juta) daripada SRC International pada tahun 2011 manakala satu lagi melibatkan AS$2 bilion (RM8,000 juta) daripada Brazen Sky Ltd pada tahun 2012.

Kedua-dua firma berkenaan adalah anak syarikat 1MDB ketika masa kejadian. Sejak tahun 2012, Kementerian Kewangan diperbadanankan mengambil alih SRC International.

Yeo dibicarakan atas dakwaan mengganggu saksi dalam siasatan Singapura ke atas urus niaga berkaitan 1MDB. Antara lain, beliau dijadual dibicarakan pada April atas tuduhan pengubahan wang haram.

Urus niaga berkenaan diaturkan oleh Yak Chee Yew, yang kemudiannya memberi arahan kepada Yeo.

Yak pernah mengaku bersalah atas tuduhan pemalsuan dan kegagalan melaporkan urus niaga mencurigakan. Yak dihukum penjara 18 minggu dan denda S$ 24,000 (RM72,850).

Sebahagian besar daripada jutaan wang yang diperolehi oleh Yak daripada transaksi berkaitan 1MDB juga sudah dirampas.

Dengan perbuatan Jho Low yang semakin nyata didedahkan satu persatu di negara jiran, bolehkah pemimpin UMNO dan BN menutup mata dan telinga rakyat di negara ini supaya memejam dan memekakkan telinga mengenai perbuatan Jho Low?

Rakyat mungkin buat-buat tidak tahu tetapi hakikatnya mereka tahu apa bentuk hukuman kepada kerajaan kleptokrasi pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.


Masanya akan tiba, tunggulah!

No comments:

Post a Comment