Showing posts with label BSI. Show all posts
Showing posts with label BSI. Show all posts

Thursday, 15 December 2016

MALAYSIA – HARIMAU YANG ‘TERCABUT TARING DAN PATAH PULA KUKUNYA’...


Di Singapura, sebut atau dengar saja nama Jho Low, akan terbayang oleh rakyatnya akan wajah kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di seberang yang membenar dan layu membantaeras rasuah dan penyelewengan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka turut marah kerana reputasi Singapura sebagai pusat kewangan antarabangsa terjejas apabila penyelewengan, pengubahan wang haram dan rasuah terbukti dilakukan oleh rakyat dari negara jirannya itu.

Pihak berkuasa dan bank dipersalahkan kerana membenarkan ia berlaku secara berleluasa apabila lagi membabitkan nilai berbilion dolar.

Berikutan itu berbagai langkah dilakukan oleh pihak berkuasa, khususnya pihak berkuasa kewangan untuk membersihkan Singapura daripada turut terbabit dengan kejahatan itu.

Ia  dengan harapan akan dapat menggembalikan maruah yang tercalar itu kepada kedudukan sebagai negara bebas rasuah dan pusat kewangan serantau yang dihormati seperti Switzerland.

Rakyat di republik itu kini melihat Malaysia sebagai negara kleptokrasi yang memalukan, apalagi terletak di tengah-tengah wilayah Asean yang sewaktu ketika dahulu menjadi kebanggaan kerana salah sebuah negara paling rancak pertumbuhan ekonominya.

Daripada ‘Asian Tigers’, Malaysia kini menjadi negara bak ‘harimau yang tercabut taringnnya dan patah pula kukunya’ selain dikutuk dengan teruk oleh banyak negara di dunia  kerana amalan pemimpinnya yang disahkan  terpalit dengan rasuah dan penyelewengan.

Mereka berjalan megah di negara sendiri tetapi ‘menikus’ di negara luar.

Malah ada yang takut untuk keluar negara, bimbang dikenakan tindakan gara-gara  tindakan mereka sendiri – menyokong penyelewengan dan rasuah.

Malaysia juga dilihat tidak berminat membersihkan rasuah besar dalam 1MDB, malah kerajaan dan pemimpin UMNO serta BN dilihat tiada usaha untuk ‘mensucikan  diri mereka’ daripada tuduhan sedemikian.

Sebaliknya, mereka yang menentang rasuah dalam 1MDB dikenakan berbagai tindakan.


Singapura memang tidak berdiam diri dan terbaru, seorang lagi bekas pekerja BSI disabitkan bersalah di mahkamah Singapura berkaitan dakwaan skandal 1MDB.

Pihak pendakwa meminta pegawai bank  BSI Bank (Singapore) Ltd, Yvonne Seah Yew Foong dipenjarakan selama dua minggu.

Kerajaan Singapura mengarahkan operasi BSI di Singapura itu  diberhentikan.

Menurut akhbar The Straits Times, Seah mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan membantu pemalsuan dokumen dan gagal melaporkan keraguan transaksi yang didakwa mempunyai kaitan dengan taikun kelahiran Pulau Pinang itu.

Jho Low lagi...

Selain Seah, penyelianya, pengurus kanan bank itu, Yak Yew Chee juga mengaku bersalah terhadap tuduhan sama. Yak sedang menjalani hukuman 18 minggu penjara.

Kisah Jho Low di Singapura bukan lagi sesuatu yang pelik kerana sudah dimaklumkan di mahkamah pada 14 November lalu bahawa  bahawa ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low adalah ‘gatekeeper’ dan juga penasihat kepada 1MDB.

Gatekeeper kepada siapa? Jawapan ini rasanya jelas dan boleh dijawab oleh semua mereka yang mengikuti isu penyelewengan 1MDB.

Mahkamah Singapura diberitahu pada hari tersebut oleh bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei yang memberi keterangan bahawa Jho Low membawa ‘urusan besar’ kepada BSI dan urusan itu berkaitan dengan 1MDB.


Antara urusan itu membabitkan AS$100 juta (RM4,000 juta) daripada SRC International pada tahun 2011 manakala satu lagi melibatkan AS$2 bilion (RM8,000 juta) daripada Brazen Sky Ltd pada tahun 2012.

Kedua-dua firma berkenaan adalah anak syarikat 1MDB ketika masa kejadian. Sejak tahun 2012, Kementerian Kewangan diperbadanankan mengambil alih SRC International.

Yeo dibicarakan atas dakwaan mengganggu saksi dalam siasatan Singapura ke atas urus niaga berkaitan 1MDB. Antara lain, beliau dijadual dibicarakan pada April atas tuduhan pengubahan wang haram.

Urus niaga berkenaan diaturkan oleh Yak Chee Yew, yang kemudiannya memberi arahan kepada Yeo.

Yak pernah mengaku bersalah atas tuduhan pemalsuan dan kegagalan melaporkan urus niaga mencurigakan. Yak dihukum penjara 18 minggu dan denda S$ 24,000 (RM72,850).

Sebahagian besar daripada jutaan wang yang diperolehi oleh Yak daripada transaksi berkaitan 1MDB juga sudah dirampas.

Dengan perbuatan Jho Low yang semakin nyata didedahkan satu persatu di negara jiran, bolehkah pemimpin UMNO dan BN menutup mata dan telinga rakyat di negara ini supaya memejam dan memekakkan telinga mengenai perbuatan Jho Low?

Rakyat mungkin buat-buat tidak tahu tetapi hakikatnya mereka tahu apa bentuk hukuman kepada kerajaan kleptokrasi pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.


Masanya akan tiba, tunggulah!

Thursday, 10 November 2016

JHO LOW TAHU ‘PERANG DALAMAN’ KERAJAAN, APAKAH BELIAU DILINDUNGI?


Ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) yang sehingga ini gagal dikesan dan disoal siasat oleh pihak berkuasa Malaysia, khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memang hebat.

Sama ada beliau benar-benar tidak dapat  dikesan atau dilindungi pihak tertentu tidak diketahui.

Mungkin kerana sifatnya yang licik menyebabkan Ketua Polis Negara, sendiri mengakui sukar untuk mengesan di mana Jho Low berada.

Bukan sahaja PDRM ‘diperbodohkan oleh Jho Low’ malah institusi penguatkuasaan Malaysia seluruhnya, termasuk SPRM gagal menahan, menyiasat dan menghukum ahli perniagaan muda itu.

Walaupun Jho Low adalah individu yang sangat dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia, ternyata PDRM dan SPRM berada dalam kedudukan yang ‘lembab, tidak bermaya dan mudah ditipu’.

Jutawan ranggi berusia 35 tahun itu telah hampir setahun menjauhkan diri daripada  perhatian awam di Malaysia dan luar negara.

Malah, organisasi amalnya, Yayasan Jynwel, turut berdiam diri sejak 26 Jun tahun lepas. Itu hanya seminggu sebelum Wall Street Journal memecahkan berita bahawa RM2.6 bilion ditemui dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jynwel Capital - sebuah firma pelaburan yang berpangkalan di Hong Kong di mana Jho Low merupakan pengasas bersama dan juga menjadi ketua pegawai sksekutifnya - turut sama berdiam diri.


Pada 24 Jun 2016 lalu, KPN Tan Sri Khalid Abu Bakar pada satu sidang media di Ampang mengatakan polis  sedang menyiasat hubungan antara Good Star Ltd dan hartawan yang dikaitkan dengan 1MDB itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada polis akan membuat tindakan susulan berikutan laporan The Wall Street Journal bahawa Jho Low merupakan pemilik tunggal Good Star.

Dilaporkan sebahagian daripada AS$1.03 bilion daripada 1MDB telah dialihkan ke dalam Good Star pada tahun 2009, apabila syarikat dana pelaburan negara itu menjalankan perniagaan dengan PetroSaudi International.

Status pemilikan Good Star adalah penting kerana ia akan menentukan sama ada dana 1MDB telah disalurkan keluar atau digunakan untuk pelaburan.

Sebelum itu, pada  22 Ogos 2015, dilaporkan Jho Low adalah seorang daripada tiga individu dikehendaki SPRM supaya segera hadir membantu siasatan terhadap syarikat SRC International Sdn Bhd.

Menurut Pengarah Siasatan SPRM ketika itu, Datuk Azam Baki, mereka mengumumkan pencarian terhadap Jho Low serta Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil; serta Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin

Kata Azam, ketiga-tiga tokoh terbabit sepatutnya telah memberikan kenyataan tentang pelbagai transaksi dikaitkan dengan akaun persendirian milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan pihak berkuasa sudah mengeluarkan perintah larangan ke luar negara terhadap Nik Faisal dan Suboh yang dipercayai gagal dihubungi sejak Oktober tahun  lalu.


Nik Faisal, 44, dipercayai menghilangkan diri ekoran laporan The Wall Street Journal dan Sarawak Report yang mendakwa wang bernilai RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun persendirian Najib dari luar negara.

Transaksi itu dibuat melalui dua anak syarikat SRC International - Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana. 

Kemudian pada 19 November 2015, SPRM mengatakan pihaknya tidak memerlukan bantuan daripada pihak polis dan Interpol untuk mengesan mereka yang dikaitkan siasatan ke atas SRC International dan isu RM2.6 bilion.

Dalam satu kenyataan media SPRM memaklumkan bahawa ia telah pun mengambil keterangan daripada Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Berkenaan dengan dua individu lain yang diperlukan oleh SPRM, pihak terbabit telah pun dihubungi dan usaha sedang diambil untuk bertemu dengan mereka bagi tujuan diambil keterangan.

Selain Jho Low dan Nik Faisal, tiga yang lain itu, Suboh Md Yassin, Casey Tang dari Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dinamakan sebagai 1MDB dan beklas pengarah eksekutif di UBG, Jasmine Loo.

Kegagalan mengesan dan menahan Jho Low meletakkan PDRM dan SPRM ditahap memalukan institusi yang selama ini dihormati rakyat Malaysia dan seluruh dunia.

“Kegagalan PDRM dan SPRM ’ ini juga meletakkan imej KPN dan pengurusan tinggi SPRM di tahap paling rendah berbanding semua Ketua Polis Negara sebelum ini yang mendapat pujian dalam dan luar negara.

Apa istimewanya Jho Low sehingga mampu memperdaya dan ‘menghina PDRM’ sebegitu rupa?

Dengan kedudukan di mana isu 1MDB dan SRC International kini sedang dibicarakan  di mahkamah Republik Singapura, jelas Jho Low tidak dinafikan lagi perlu dan wajar disiasat segera.

Beliau jelas memiliki kelebihan berikut yang menyebabkan tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa Malaysia:

1.    Jho Low mendapat maklumat semasa daripada pegawai tinggi Malaysia secara langsung;

2.    Jho Low berada dalam pasukan penstruktur pelaburan 1MDB dan SRC International yang diletakkan di bawah penelitian pada masa itu;

3.    Jho Low turut dimaklumkan mengenai 'perang dalaman' dalam kerajaan Malaysia; dan 

4.    Jho Low membayar bekas pegawai Bank BSI Singapura, Yeo Jiawei sebanyak S$500,000 (RM1.5 juta) setahun.

Laporan media mengenai perbicaraan di Mahkamah Singapura berkaitan bekas pegawai BSI cawangan Singapura semalam menunjukkan Jho Low menerima maklumat terus daripada individu dan pegawai tinggi Malaysia secara langsung dalam kegiatan perniagaan pengubahan wang haram dan salah laku yang lain’.

Seperti disebutkan oleh Pengurus Perhubungan Amicorp, Jose Renato Carvalho Pinto di mahkamah semalam, bekas perancang kewangan bank BSI, Yeo Jiawei menerima maklumat mengenai pegawai tertinggi Malaysia secara langsung daripada ahli perniagaan Jho Low.

Bercakap pada  perbicaraan kes Yeo di mahkamah Singapura, Pinto berkata, Yeo turut serta untuk mendapatkan maklumat berkenaan kerana beliau berada dalam pasukan penstruktur pelaburan 1MDB dan SRC International yang diletakkan di bawah penelitian pada masa itu.

Yeo Jiawei...bekas perancang kewangan BSI
 Malah, dalam tindakan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jho Low mengetahuinya lebih awal mengenai keputusan itu.

Menurut Pinto,  Yeo memberitahunya untuk terus bertenang dalam masa beberapa hari sebelum Muhyiddin dipecat daripada Kabinet, kata Pinto, seperti yang dilaporkan oleh The Edge Markets.

Jho Low dimaklumkan mengenai apa yang berlaku dalam Kabinet dan juga ‘perang dalaman kerajaan Malaysia’.

Siapa pegawai tinggi Malaysia yang memaklumkan perkara ini? Apakah dia mendapat restu pemimpin tertinggi Malaysia?

Jika benar bermakna rahsia kerajaan disebarkan sebebas-bebasnya kepada orang luar yang Menteri, pemimpin Barisan Nasional dan UMNO pada ketika itu tetap tertanya-tanya apa yang sedang berlaku kerana hanya diketahui oleh beberapa kerap.

Apakah mereka yang memecahkan rahsia ini ‘turut dibayar oleh Jho Low’ seperti yang dilakukan oleh taikun itu kepada salah seorang wakilnya di Singapura? (baca di bawah).

Dalam tulisan Yeo kepada Pinto pada 22 Julai 2015, pinto diminta bertenang. "Bertenang buat masa ini. Saya difahamkan masa telah tiba untuk 'perang dalaman' Malaysia dan negara lain sedang menunggu kesudahannya sebelum mengambil tindakan selanjutnya. Sementara itu, kita tidak harus membuat apa-apa kesimpulan sehingga penghakiman akhir."

Kenyataan Yeo itu turut dijadikan bukti yang dikemukakan di mahkamah Singapura semalam.
.
Apabila disiasat selanjutnya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiang Ke Yue, Pinto yang merupakan saksi pendakwaan penting dalam kes itu, Yeo menegaskan beliau mendapat  apa jua maklumat secara terus daripada  Low.

Pinto menerangkan, beliau  sangat pasti mengenai kedudukan itu, kerana pada masa yang sama, Yeo telah meminta beliau untuk mendapatkan dokumen bagi pihak Jho Low.


Berkaitan dengan tugasnya, Yeo dibayar S$500,000 (RM1.5 juta) setahun dan diakui oleh bekas ketua Yeo, Kevin Swampillai dalam keterangannya di mahkamah.

Swampillai  berkata beliau mendapat jawapan daripada Yeo  mengenai bayaran diterimanya daripada Jho Low  selepas Yeo meninggalkan bank berkenaan pada Jun 2014 untuk bekerja dengan Jho Low.

Swampillai berkata jumlah bayaran berkenaan adalah lebih tinggi daripada apa yang diperolehi Yeo di Bank BSI Singapura.

Yeo kini dibicarakan atas empat tuduhan mengganggu saksi - termasuk Swampillai yang bekerja dengan Bank BSI Singapura sebelum dia menganggur kerana bank berkenaan digantung.

Yeo kini berdepan 11 tuduhan, termasuk penggubahan wang haram dan penipuan di mana tuduhan lain akan dibicarakan secara berasingan pada April tahun depan.

Yeo adalah warganegara Singapura manakala Swampillai rakyat Malaysia.

Peguam Yeo, Philip Fong, dilaporkan cuba menggambarkan Swampillai sebagai ahli bank yang lebih berpengalaman berusia 52 tahun sambil menegaskan Yeo adalah pihak yang serta-merta mengiktiraf potensi "kerjasama" mereka.

Antaranya termasuk mengenai pengurusan akaun milik Brazen Sky bernilai AS$2.3 bilion daripada dana berkaitan 1MDB.


Swampillai juga dilaporkan memberi keterangan bagaimana dia dan Yeo bertemu selepas mereka menjadi perhatian Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD) yang menyiasat skandal 1MDB.

Perbicaraan masih berjalan...

Monday, 31 October 2016

BEKAS PEGAWAI BSI ADA KAITAN DENGAN DANA 1MDB MULA DIBICARA


Yeo Jiawei dianggap sebagai pegawai bank berjaya kerana pada usia 32 tahun sudah memiliki harta bernilai S$26 juta (RM78.52 juta), termasuk seperti yang didakwa, daripada skim haram  dengan menipu bekas majikannya BSI Bank di  Singapura.

Penipuannya itu sangat berkait rapat dengan operasi pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Semalam (31 Oktober 2016) , di hadapan orang ramai yang penuh sesak memenuhi ruang mahkamah, beliau yang kini 33 tahun memakai pakaian yang di belakangnya tertera ‘prisoner’ di bawa ke muka pengadilan.

Peguamnya, Philip Fong dari syarikat  Harry Elias, meminta gari di kedua-dua pergelangan tangannya di buka, namun Hakim Daerah Ng Peng Hong hanya membenarkan dibuka untuk satu tangan sahaja.

Timbalan Pendakwaan Raya Singapura, Tan Kiat Pheng, dalam ucapan pembukaannya menganggap kes perbicaraan semalam sebagai yang paling kompleks, sukar dan kes pengubahan wang haram paling besar’ diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Komersil (CAD).

Apa peranan Yeo dan kaitannya dengan 1MDB?

Pihak berkuasa Singapura membuat pertuduhan terhadap Yeo adalah berkaitan SRC International di mana menurutlaporan Today Online yang berpangkalan di Singapura, Yeo didakwa membantu pemindahan AS$11.95 juta (RM48 juta) daripada SRC International ke Affinity Equity International Partners, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Tan Kim Loong.

The Wall Street Journal sebelum itu melaporkan bahawa Tan adalah pemilik benefisiari daripada Tanore Finance apabila ia mula-mula ditubuhkan, entiti di British Virgin Island yang sama memindahkan AS$681 juta ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dilaporkan, Tanore Finance adalah benefisiari sebahagian daripada wang AS$3.5 bilion 1MDB yang sepatutnya dibayar kepada Aabar Investments PJS tetapi dilencongkan ke sebuah syarikat di British Virgin Island yang mempunyai nama sama - Aabar Investments PJS Limited.

Wang dari Aabar Investments PJS Limited itu melalui beberapa perantara sebelum berakhir di Tanore Finance.

Siasatan di Singapura adalah penting kerana ia mendedahkan buat kali pertama kaitan antara SRC International dan mereka yang mempunyai hubungan dengan isu 1MDB.

Today Online melaporkan pendakwa raya Singapura sebagai berkata bahawa tuduhan terbaru terhadap Yeo yang ketujuh terhadapnya, hasil daripada penyiasatan republik itu ke atas 1MDB, membuka lembaran baru.

Timbalan Pendakwaan Raya Singapura itu berkata Yeo diwawancara oleh CAD pada Oktober 2015 dan ditangkap pada 17 Mac 2016.

Dua lagi bekas rakan sekerja Yeo – Yak Yew Chee and Yvonne Seah – juga berdepan pendakwaan jenayah.

Mereka didakwa atas salah laku terlibat dalam pemindahan wang kepada pelanggan-pelanggannya, termasuk hartawan kelahiran Pulau Pinang Low Teak Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Praperbicaraan untuk mereka berdua dijadual pada 24 November.

Seorang lagi pegawai bank Kelvin Ang, yang dilapor menjadi remisier untuk Maybank Kim Eng Securities, juga didakwa membayar penganalisis kajian untuk menghasilkan laporan penilaian yang memihak dalam sesetengah aset 1MDB.


Prosiding praperbicaraan untuk Ang ditetapkan pada 17 November.

Yeo menghadapi perbincaraan untuk empat pertuduhan menghalang keadilan sementara tujuh tuduhan lagi membabitkan penipuan, pengubahan wang haram serta kesalahan lain akan ditentukan kemudian.

Rakyat Singapura  itu diberikan jawatan sebagai perancang harta oleh bank Switzerland yang berpangkalan di republik itu antara Disember 2009 dan Julai 2014.

Dia dikatakan mengumpul sebanyak $26 juta daripada berbagai sumber, termasuk skim haram dengan niat menipu bank berkenaan ketika bekerja dengan bank berkenaan.

Yeo dituduh menyedia transaksi haram membabitkan 1MDB yang membawa kepada penutupan bank BSI di republik itu.

Satu pertuduhan menyebut, selepas beliau dibebaskan ketika jaminan polis, beliau mengatur satu perjumpaan pada 27 Mac tahun ini di Pergola Cafe di  Swiss Club, Swiss Club Road dengan rakan perniagaannya, Samuel Goh Sze-Wei, dan  Kevin Swampillai, iaitu Ketua Perkhidmatan Pengurusan Harta BSI.

Yeo didakwa meminta mereka berbohong kepada polis dengan mengatakan dana yang dipindahkan oleh Goh ke Bridgerock Investment dan GTB Investment, yang membawa keuntungan masing-masing kepada Yeo dan Swampillai adalah pelaburan Goh.

Selepas meninggalkan BSI. Yeo didakwa meneruskan kegiatan transaksi haramnya yang sesetengahnya dilakukan melalui Amicorp Group.

Pihak pendakwa akan memanggil sembilan saksi bagi tujuan perbicaraan  Yeo yang dilihat orang penting dalam operasi pengubahan wang haram berkaitan skandal dana 1MDB itu.