Tuesday 15 November 2016

DI MANA BOLEH DICARI SEPERTI ARUL KANDA YANG PEMURAH, TETAPI...


Baru-baru ini dikhabarkan Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy menggunakan duit sendiri untuk siri program di luar negara.

Ia merujuk kemuculan beliau di tiga kampus universiti  Australian — di Melbourne, Sydney dan  Brisbane — di mana buku kecil bertajuk Siapa Kata Tidak Dijawab (“DoJ’s summons is questionable”) turut diedarkan.

Malah mereka juga sudah ke New Zealand - Auckland dan Wellington. 

Arul Kanda dilaporkan tidak ditaja kerajaan termasuk oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang menganjurkan program itu.

Arul Kanda pergi atas peribadi, JASA tidak membayar kos. JASA hanya bayar hanya kos makan dan minum, dia pergi atas urusan perniagaannya sendiri.

Begitulah pengorbanan yang dibuat Arul Kanda yang sewajarnya diketahui rakyat Malaysia.

Seluruh rakyat Malaysia sewajarnya memuji keikhlasan beliau dan bukan dipersoalkan kejujurannya.

Bukan mudah mencari seseorang seperti Arul Kanda yang sanggup berkorban demi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di mana beliau sanggup melakukan apa sahaja.


Apakah orang lain, termasuk Menteri, Timbalan Menteri dan pemimpin kerajaan sedia berbuat demikian? Pakai duit sendiri untuk 1MDB?

Apakah anggota lain atau bekas pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah 1MDB sanggup berbuat seperti Arul Kanda?

Namun persoalan ialah, kenapa Arul Kanda bersedia melakukannya. Demi siapa?

Apa yang cuba dipertahankan Arul Kanda ketika banyak negara sudah menyifatkan !MDB sebagai syarikat yang bukan sahaja sarat hutang tetapi berlaku berbagai penyelewengan, penipuan, pencurian, pengubahan wang haram, rasuah dan segala bentuk tipu helah komersil berlaku kerananya?

Untuk apa Arul Kanda melakukan itu semua? Apakah untuk perniagaan atau kepentingan seseorang?

Apakah Arul Kanda kini menjadi jentera (misionari) kepada usaha membersihkan imej dan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Malaysia?

Juga, apakah Arul Kanda dan JASA merasakan rakyat Malaysia sudah jelas mengenai aktiviti 1MDB dan kenapa rakyat di negara sendiri dipinggirkan?

Apakah rakyat di Sememanjung, Sabah dan Sarawak tidak berhak mendengar penjelasan sambil menjawab soalan yang dikemukakan oleh orang ramai?

Malah, JASA sebelum ini menganjurkan program menjelaskan isu 1MDB menampilkan Arul kepada pelajar universiti tempatan. Namun dalam negara, beberapa pelajar Universiti Malaya mengangkat sepanduk membidas 1MDB.

Bagaimana dengan penjelasan kepada pelajar Malaysia di universiti tempatan? Apakah mereka patut dinafikan maklumat atau JASA dan Arul Kanda bimbang dengan bantahan?

Atau apakah JASA dan Arul Kanda takut dan tidak mempunyai keyakinan untuk menyatakannya dalam negeri, sebaliknya JASA dan Arul Kanda mengambil peluang untuk ‘membuat pelancongan 1MDB’ di luar negara?

Satu dunia sudah tahu, gara-gara 1MDB, Malaysia kini dikenali sebagai negara kleptokrasi di mana kleptokrasi kerajaannya menjadi ‘mencuri dan pencuri”.


Malah, The Guardian (United Kindom) turut membuat pendedahan besar-besaran mengenai 1 MDB dengan laporannya 1MDB: The inside story of the world’s biggest financial scandal
  
Malah perkembangan perbicaraan di Singapura mengenai kaitan 1MDB dengan beberapa pegawai tinggi bank yang sudah tutup – Bank BSI cawangan Singapura – kini mendedahkan banyak kepincangan yang berlaku dalam 1MDB.

Di mana mahu disorok fakta itu? Apakah Arul Kanda dan JASA memperkatakannya di hadapan pelajar Malaysia di Australia?

1MD turut berhadapan tindakan menyita aset oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat  (DOJ) selepas siasatan mendakwa berbilion ringgit dicuri daripada akaunnya.

Selain menyampaikan ceramah, sebuah buku kecil turut  diedarkan di program penjelasan isu 1MDB anjuran JASA itu termasuk di Australia baru-baru ini yang menuduh Peguam Negara Amerika Syarikat, di samping membuat ramalan syarikat itu bakal menerima lebihan tunai hampir RM3 bilion dalam tempoh 20 tahun lagi.

1MDB dilaporkan akan membuat  keuntungan RM2.96 bilion selepas ia ditutup pada 2039, menyandarkan ramalan itu kepada aliran tunai RM12.29 bilion daripada projek utamanya, Tun Razak Exchange.

Menurut laporkan akhbar The Australian hari ini bertajuk Malaysia's 1MDB in university hard sell, buku kecil itu menuduh Loretta Lynch sengaja membangkitkan saman menyita aset syarikat berkenaan atas kepentingan peribadi. (baca di sini – jika tidak di sini).

Buku  20 muka surat itu turut mendakwa saman DOJ untuk menyita aset yang didakwa dicuri daripada dana 1MDB di negara itu sebenarnya usaha Lynch mengalihkan perhatian umum terhadap skandal email Hillary Clinton, calon pilihan raya presiden yang tewas kepada Donald Trump pada 9 November lalu.

Besarkah isu 1MDB di Amerika Syarikat sehingga saman itu boleh mempengaruhi pilihan raya Presiden?

Ini sesuatu yang langsung tidak lojik kerana 1MDB yang cuba dikaitkan dengan skandal email itu langsung tidak ada kena mengena.

Yang nyata, cubaan JASA itu semata-mata untuk mengalih pandangan buruk rakyat Malaysia terhadap 1MDB.

The Australian melaporkan buku kecil yang diedarkan itu turut mempersoalkan dakwaan yang “Malaysian Official 1” (M01) yang disebut dalam saman DoJ pada Julai itu merujuk Perdana Menteri.

Menurut buku itu, DOJ tidak menamakan MO1 sebagai Datuk Seri Najib Razak kerana tidak mempunyai bukti dan maklumat bagi mengaitkannya dengan kesalahan yang diperincikan dalam permohonan menyita aset 1MDB.

JASA  baru-baru ini menganjurkan program di Sydney, Australia, sebagai usaha kerajaan menyasarkan pelajar Malaysia di luar negara untuk menjelaskan tuduhan ke atas syarikat milik Kementerian Kewangan itu.


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari pada 11 November lalu dipetik Bernama menjawab soalan di Dewan Rakyat, mempertahankan Arul Kanda, dengan berkata beliau juga berhak menjawab tuduhan pembangkang di Parlimen.

 Arul Kanda juga berhak  menjelaskan masalah yang dihadapi syarikat milik Kementerian Kewangan itu, kata Johari.

“Kenapa perlu panik, Arul Kanda beri penerangan tentang 1MDB sedangkan anggota Parlimen pembangkang senang-senang buat fitnah (tentang 1MDB), kenapa Arul Kanda tidak boleh diberi peluang menjelaskan mengenai 1MDB?” kata Jailani.

Beliau menjawab soalan beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan yang mahu tahu sama ada JASA menaja kos membawa Arul untuk ke program di Sydney baru-baru ini.

Berkaitan acara ini, The Australian turut melaporkan wartawannya diusir keluar daripada program itu.

Sebelum ini, wartawan Rachel Pannett dari The Wall Street Journal, akhbar yang kerap melaporkan kepincangan syarikat 1MDB, turut diusir keluar, selepas penganjur menetapkan hanya mereka yang dijemput dibenarkan masuk.

Program anjuran JASA untuk pelajar Malaysia di Sydney, empat  hari sebelum itu  menyaksikan seorang wartawan The Wall Street Journal, Rachel Pannett diusir keluar.

Pengerusi program, Tun Faisal Ismail Aziz kemudian dilaporkan membidas Pannett “tidak bertamadun” kerana hadir walaupun tidak dijemput.

No comments:

Post a Comment