Tuesday 29 November 2016

APABILA DEDAK SUDAH MENGUASAI 'OTAK DAN JIWA' PEMIMPIN UMNO...


Tiga soalan  untuk  Pemangku Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila menyamakan  strategi pembangkang dengan strategi Adolf Hitler dan pergerakan Nazi Jerman.

Pertama, apakah serangan pembangkang terhadap kerajaan pembohongan besar?

Kedua, pembankang manakah berbuat demikian dan siapa berkecuali?

Ketiga, bangkangan menyebabkan kebencian.

Semalam, ketika merasmikan perhimpunan sayap perwakilan UMNO, Pemuda, Wanita dan Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam,  Dr Ahmad Zahid berkata kejayaan Malaysia sebagai satu-satunya negara berbilang kaum dipimpin orang Islam di dunia menjadikannya objek iri hati, bukan sahaja kepada orang luar, tetapi juga pihak dalam negara.

Hasilnya, pelbagai “cerita” timbul untuk memusnahkan parti pemerintah UMNO.

Papan cerita

Hakikatnya, serangan pembangkng kini banyak ditujukan kepada pemimpin parti, bukan UMNO.

Sudah pasti yang paling diserang ialah Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan kini dikenali dengan ‘Malaysia Official 1’.

Andaian Dr Ahmad Zahid salah dalam perkara ini kerana pembangkang menuntut supaya penyelewengan, rasuah, perbuatan mencuri dan merompak wang negara dihentikan. Malah, jika Datuk Seri Mohd Najib Razak berhenti, akan tercabutlah satu daripada duri tajam di dada pembangkang.

Kata Dr Ahmad Zahid, “Mereka mencipta papan cerita untuk membentuk persepsi keganasan bagi menjadikan masyarakat awam hilang kepercayaan terhadap pemimpin dan institusi negara yang merupakan tulang belakang kepada keamanan dan keharmonian kita.”

Pembangkang  bukan mencipta papan cerita tetapi itulah cerita sebenar yang merebak ke seluruh dunia kini malah, Malaysia mula digelar sebagai negara kleptokrasi. Apakah maknanya itu? Ini bermakna pemimpin negara jenis mencuri dan menjadi pencuri.

Memalukan apabila yang menjadi sasaran dunia ialah Presiden UMNO, parti orang Melayu dan orang Islam.

Apakah Dr Ahmad Zahid berusaha membersihkan ketuanya yang memang dilihat ‘kotor dan penuh dengan perbuatan salah laku dan penipuan’?

Apakah UMNO sebagai parti keramat orang Melayu dan orang Islam mahu mempertahankan ketuanya yang kini dituduh korup, bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi banyak negara dunia?

Isu seperti hutang 1MDB - RM13.63 bilion iaitu RM5 bilion untuk bayaran pokok dan RM8.625 bilion lagi untuk bayaran keuntungan pada tahun 2039, kemasukan wang sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib kononnya derma dari Arab Saudi, kemasukan sebanyak RM42 juta ke akaun bank tempatan AmBank serta isu membabitkan wang 1MDB yang lain, pemilikan harta secara ‘haram’ oleh anak tirinya di Amerika Syarikat,  kini bukan lagi rahsia.

Kenapa Dr Ahmad Zahid mesti pertahankan pemimpin seperti ini dengan mengatakan ia sebagai ‘story board’ yang sengaja direka-reka?

Strategi Hitler

Hitler menurut Dr Ahmad Zahid pernah menulis: “Jika anda ingin berbohong, biarlah ia besar dan jika kamu katakanya berulang kali, orang akan mula mempercayainya.” Malah melalui radio dan filem kreatif, pergerakan Nazi berjaya “mengawal” minda lebih 80 juta orang.

Pembangkang terpaksa mengulangi kenyataan mereka mengenai kesalahan Najib kerana ia isu yang masih tidak selesai.

Perbicaraan di mahkamah di Singapura dan dakwaan Peguam Negara Switzerland (OAG) terhadap 1Malaysia Development Berhad yang ditubuhkan oleh Najib dan diketuai oleh beliau menjadi sasaran siasatan termasuk oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Apakah kenyataan pihak di luar negara itu bersifat strategi Hitler?

Apakah apa yang disebut oleh DOJ, OAG Switzerland dan perbicaraan serta hukuman oleh mahkamah Singapura itu sebagai strategi propaganda yang berkesan berasaskan pembohongan?

Menuduh plot pembangkang di negara ini kelihatan agak serupa adalah kenyataan yang begitu cetek oleh seorang Naib Presiden UMNO yang kini memangku jawatan kedua tertinggi dalam UMNO.

Memang kuasa Allah menyebabkan kejatuhan Hitler yang akhirnya membunuh diri. Dan kita tidak tahu apakah yang akan dibalas oleh Allah terhadap mereka yang menyeleweng, rasuah, berbohong dengan rakyat dan ‘mencuri serta merompak’ harta rakyat.

Beliau kemudian berkata pengajaran yang boleh diambil rakyat Malaysia adalah keadaan yang sama nampaknya berlaku di negara ini dan perlu dibimbangi.

“Perubahan ini tidak hanya melibatkan perubahan dalam strata sosial, tetapi lebih membimbangkan ialah pemikiran orang ramai yang membawa kepada kebangkitan politik kebencian,” kata Zahid yang juga timbalan perdana menteri.

Pembangkang Yang Mana?


Dr Ahmad Zaid tidak menyatakan dengan jelas siapa mengamalkan strategi Hitler. Apakah PAS berkecuali kerana tindakannya tidak mengecam Najib dan tidak berhasrat menurunkan Najib?

Maknya PAS bebas daripada ‘politik propaganda Hitler’ sementara yang lain semuanya menggunakan strategi Hitler.
  


Tidak kisahlah jika Dr Ahmad Zahid berpendirian sedemikian. Namun, jika satu pihak pembangkang mengatakan demikian, ia bolehlah dianggap sebagai pihak yang sakit hati dengan UMNO.

Tetapi apabila semua parti pembangkang termasuk PKR, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sepakat mengatakan Najib memang korup dan MO1, ia menjadi sesuatu yang  sewajarnya diambil perhatian oleh kepimpinan UMNO.

Namun kerana mahu melindungi pemimpin mereka yang diketahui sudah mengagihkan wang kepada pemimpin UMNO Bahagian, tidak pasti tidak aka nada bantahan terhadap Najib.

Bukan sahaja ‘Cash Is King’ tetapi ‘Dedak Menguasai Otak dan Jiwa’ pemimpin UMNO untuk tidak menentang Najib. Mengetahui dan memahami salah laku tetapi perlu ditutup demi kedudukan, pangkat dan habuan!

Pembangkang Menyebabkan Kebencian

Apakah rakyat membangkang kerana kebencian? Apakah pembangkang mewujudkan suasana kebencian?

Siapa yang menuduh rakyat yang menuntut keadilan, pembenterasan rasuah dan membawa ke muka pengadilan mereka yang salah guna kuasa, menyeleweng dan rasuah sebagai penghasut dan menyebabkan wujud kebencian?

Hakikatnya UMNO dan Barisan Nasional yang memupuk perasaan benci terhadap pemimpin dan rakyat yang mentang salah guna kuasa dan rasuah.

Demi mempertahankan Najib, kerajaan menyalahkan pembangkang kononnya cuba menukar kerajaan melalui kekerasan serta bekerjsama dengan pihak asing untuk menumbangkan kerajaan.

Sedangkan serangan media dan pemimpin asing terhadap Najib tidak ada kena mengena dengan pembangkang negara ini.


Kejahatan dan kebejatan pemimpin yang rasuah, menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa memang tidak boleh diterima dan dibiarkan oleh pemimpin dunia yang menentang gejala itu.

Apakah penentangan terhadap pemimpin rasuah dunia kerana pemimpin dunia berusaha mewujudkan kebencian di kalangan masyarakat dunia?

Apakah serangan terahadap kleptokrasi pemimpin tertentu dunia kerana pemimpin dunia cemburu, irihati dan benci terhadap pemimpin berkenaan? Benci secara peribadi atau kerana kelakukan dan kerenah mereka?

Dr Ahmad Zahid yang terpaksa mempertahankan bosnya kini mencipta analoginya namun yang pasti beliau juga terdedah kepada analisis yang bersifat ‘keliru dan terdesak’.

Keliru kerana menyifatkan pembangkang gunakan strategi Hitler kononnya melakukan pembohongan untuk mengawal minda dan mereka papan cerita.

Sedangkan apa yang sedang melanda negara adalah isu sebenar dan ‘diakui’ oleh banyak pemimpin dan negara di dunia.

Sementara terdesak pula, Dr Ahmad Zahid terpaksa melindungi dan mempertahankan bosnya kerana dia berada di dua jawatan – Timbalan Perdana Menteri dan pemangku Timbalan Presiden UMNO – kerana lantikan Najib.

Mahu tidak mahu Dr Ahmad Zahid perlu mempertahankan dan memuji Najib sedangkan hakikat sebenar ialah Najib juga terdesak untuk mempertahankan diri kerana rakyat sudah tahu pembohongan dan penyelewengan yang dilakukannya.

Malang kerana UMNO adalah parti orang Islam tetapi ada pemimpin parti yang tidak Islamik dan terpaksa ditentang oleh rakyat.


Cumanya kini seperti kata Dr Ahmad Zahid bahawa jika Hitler dihukum kerana kekejamannya. maka begitulah Najib yang dituduh ‘mencuri dan merompak wang rakyat’ hanya menunggu apakah perbuatannya terlepas atau akan menerima hukuman Allah!

No comments:

Post a Comment