Sunday 20 November 2016

MENTERI DALAM NEGERI ENGGAN PERTAHAN PENGGUNAAN SOSMA?

Kementerian Luar Negeri awal tahun ini cuba memberitahu masyarakat antarabangsa bahawa langkah kerajaan menggubal undang-undang berkaitan keselamatan adalah tepat dalam usaha mengekang kegiatan kumpulan militan IS di negara ini.

Langkah itu termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pada 17 Januari 2016 lalu, undang-undang berkenaan yang sebelum ini menerima kritikan daripada sesetengah pihak bertujuan menjaga masalah keselamatan negara secara keseluruhan.

Dengan kata lain, langkah yang diperkenalkan itu bertujuan membuktikan kesungguhan Malaysia menentang penularan fahaman radikal dan gerakan ekstremis di negara ini adalah kerana ia mengancam keselamatan dan tidak mencerminkan Islam yang sebenar.

Namun, bagaimana pula dengan penggunaan SOSMA terhadap Pengerusi BERSIH, Marina Chin Abdullah? Apakah ia tergolong seperti yang disebut oleh Reezal?

Sejauh ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengelak menjelaskan penahanan Maria Chin mengikut Akta SOSMA.

Amat malang apabila menteri yang ditugaskan menjaga keselamatan negara mengelak menjawab soalan mengenai penahanan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini kelmarin.

Apakah Dr Ahmad Zahid belum mendalami akta berkenaan atau tidak mahu terlibat dengan kontroversi ini dan berharap KPN dan Peguam Negara menguruskan isu ini?

Atau apakah beliau tidak mahu mempertahankan tindakan polis terhadap Maria Chin?


Menurut Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 ini, penangkapan dan penahanan mana-mana orang yang berkenaan dengannya boleh dilakukan oleh seorang polis tanpa waran, atas sebab untuk mempercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.

Orang tersebut boleh ditahan untuk tempoh selama 24 jam bagi maksud penyiasatan namun, tempoh siasatan boleh dilanjutkan tidak lebih dari tempoh 28 hari bagi membantu penyiasatan.

Berkaitan penahanan Maria Chin ini, Dr Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dianggap tidak bertanggungjawab kerana mengelak membuat penjelasan dengan mendakwa penahanan Maria China adalah hal ehwal operasi.

Sewajarnya beliau boleh menjelaskan mengapa polis menahan seorang pemimpin pertubuhan sivil seperti Maria Chin mengikut undang-undang yang digubal bagi menangani pengganas.

Sebaliknya Menteri berkenaan menyerahkan kepada polis dan AG memberi penjelasan pada ketika ramai yang  menyifatkan Maria Chin menjadi ancaman kepada masyarakat,  adalah sesuatu yang melucukan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata, penahanan Maria Chin di bawah SOSMA  adalah tidak betul dan keterlaluan.

Menurutnya, kerajaan pernah memberi jaminan bahawa tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Sosma dan undang-undang lain tidak akan disalah gunakan oleh kerajaan bagi tujuan politik dan yang tidak ada kena-mengena dengan keselamatan dalam negeri.

"PAS konsisten menentang sebarang bentuk kezaliman dan salah guna kuasa terhadap sesiapa pun," katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Semalam Zahid mengelak daripada menjawab pertanyaan mengenai penahanan pengerusi BERSIH mengikut SOSMA sebaliknya 'menghalakan' soalan tersebut kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara.

"Untuk itu, kami meminta Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk jawab. Saya tidak mahu sentuh hal ehwal operasi mereka," ujar beliau kepada pemberita semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Beliau dikecam oleh  Anggota Parlimen Padang Serai yang juga bekas naib presiden PKR, N Surendran berkata Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab atas segala tindakan polis, termasuk berkaitan hal-hal operasi.


Penahanan Maria Chin itu dilihat sebagai isu penting kepada negara dan menjadi perhatian antarabangsa. Berikutan itu beliau meminta peguam negara dan ketua polis negara untuk menjawab.

Maria Chin ditahan polis pada Jumaat - sehari sebelum perhimpunan BERSIH5 diadakan - di pejabatnya di Petaling Jaya. Sebelum ini BERSIH disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan menerima pembiayaan daripada Open Society Foundations yang dikaitkan dengan hartawan AS, George Soros.

Peruntukan itu menyalahkan percubaan untuk 'melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen' dan membawa kepada hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Maria ditahan di bawah Sosma yang antara lainnya membolehkan tempoh penahanan yang panjang sehingga 28 hari selepas mendapat kelulusan dari mahkamah bagi kesalahan keselamatan, termasuk Seksyen 124C.

SOSMA sebelum ini pernah menjadi kontroversi membabitkan kes penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 14 Oktober 2015 menentang penangkapan itu yang menyifatkan tindakan dua individu itu sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin.

Menurutnya, tindakan mereka membuat laporan mengenai dakwaan salah laku syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada pihak-pihak berkuasa di dalam dan luar negara tidaklah boleh dikatakan sebagai satu tindakan sabotaj di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, iaitu satu kesalahan keselamatan yang membolehkan penggunaan SOSMA.


Biarpun  menyokong SOSMA untuk menangani kesalahan-kesalahan keselamatan yang menggugat keamanan dan ketenteraman awam tetapi Muhyiddin menentang digunakan jika bercanggah dengan tujuan asal akta ini digubal.

No comments:

Post a Comment