Tuesday 4 April 2017

MUNGKINKAH AKTA 164 TERUS GONCANGKAN ‘KEAKRABAN PAS-UMNO’?


"UMNO bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan Allah jika pindaan Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016, atau Akta 164 diluluskan."

Takut dan seram mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Katanya,  pindaan itu jelas mahu merosakkan akidah dan menyekat umat Islam mengamalkan hukum syariah.

“Umat Islam wajib bersatu menolak pindaan…” katanya.

Tidakkah ini membawa makna bahawa seluruh  umat Islam – tidak kira dalam PAS atau di luarnya, atas dasar Islam - berhak mempertahankan aqidah “tanpa gangguan daripada mana-mana pihak”?

Menariknya, kelmarin mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata cadangan pindaan itu akan menafikan hak seorang mualaf, serta mengkepikan kuasa mahkamah syariah.

Dengan pindaan Akta 164 ini, ia tidak akan membenarkan seseorang anak ditukar agamanya oleh salah seorang ibu bapa, seperti yang berlaku dalam beberapa kes merebut hak penjagaan di mana bapa yang memeluk Islam, menukar agama anak tanpa kebenaran ibunya.

Nik Abduh...umat Islam perlu bersatu menolaknya.
Pindaan termasuk Seksyen 88A yang baharu, iaitu “kedua-dua pihak” dalam perkahwinan sivil perlu bersetuju untuk menukarkan agama anak bawah umur kepada Islam.

Ia juga memberi kuasa kepada mahkamah sivil menentukan perkara membabitkan perkahwinan sivil, walaupun jika salah seorang daripada pasangan sudah memeluk Islam.

Rang undang-undang pindaan itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada November tahun lalu dan memasukkan klausa baru yang menyatakan bahawa agama kanak-kanak kekal sebagai agama bapa dan ibu semasa perkahwinan itu dan sebelum penukaran agama, sama ada oleh ibu mahupun bapa.

Pindaan juga menyebut penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Selain itu,  pindaan juga  untuk menangani isu-isu berkaitan penukaran agama secara unilateral bagi kanak-kanak bawah umur dalam situasi salah seorang ibu atau bapanya memeluk Islam selepas bercerai.

Di pihak kerajaan, semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa keputusan memminda Akta 164 adalah berdasarkan kepada kepentingan negara.

“Sebagai mana dimaklumkan (oleh) speaker Dewan Rakyat, kita akan melihat bahawa kepentingan negara mengatasi kepentingan lain. Kita harap apa juga keputusan yang dibuat kerajaan kita mesti berlapang dada. Kita menghormati semua agama, kita menghormati hak semua kaum.

“Dalam soal ini keputusan kerajaan adalah berdasarkan kepentingan negara keseluruhannya,” katanya.


Di sebalik menghormati pandangan mufti itu, Dr Ahmad Zahid mengesahkan bahawa dirinya akan membincangkan perkara berkenaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Said Othman yang ditugaskan untuk membentangkan pindaan tersebut.ngulas kenyataan yang mahu kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan Akta 164 itu.

Kerajaan dijangka membentangkan pindaan rang undang-undang itu pada sesi parlimen yang sedang bersidang ketika ini.

Berkaitan ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  mencadangkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula undang-undang menghalang salah satu daripada ibu bapa untuk menukar agama kanak-kanak bawah umur di bawah Akta 164  yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Katanya,  undang-undang tersebut, yang dilihat penyelesaian terhadap tuntutan hak penjagaan anak oleh bekas suami isteri yang berlainan agama, boleh memberikan kesan serius terhadap kebebasan umat Islam mengamalkan agama mereka.

Apakah perbahasan mengenai akta ini akan memperlihatkan ‘ketegangan’ antara ahli Dwan Rakyat PAS dan Barisan Nasional/UMNO serta sekutunya?

Saranan Hadi semalam selang seminggu selepas BN mengumumkan tidak akan mengambil alih rang undang-undang persendirian yang dibentangkan Hadi untuk memperkenalkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.

November lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan  meletakkan syarat tidak membantah pindaan Akta 164 dengan syarat ahli Parlimen bukan Islam tidak membantah RUU355 yang akan dibentangkan Hadi.

“Jika mereka (bukan Islam) mahu bantah undang-undang yang akan hanya memberi kesan kepada Muslim, maka kami (orang Islam) juga boleh menentang cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian),” katanya.

Wajarkah tawar menawar dilakukandi atas kepentingan Islam hanya kerana mahu menjamin RUU355 dibahas daan diluluskan?

Apakah permainan politik PAS dalam isu RUU355 dan Akta 164 ini?

Jika sebelum ini PAS boleh ‘bertolak ansur dalam Akta 164’ tetapi kenapa kini begitu bertegas mengenanya?

Menurut Hadi semalam  Akta 164  perlu “dikaji semula secara mendalam” oleh sebuah jawatankuasa untuk mencari “penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif”.

Jawatankuasa itu perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan sama ada daripada kalangan penganut Islam dan juga agama-agama lain.

Perlu sekali diaambil pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil, pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya yang merupakan pihak yang terkesan secara langsung dalam pindaan Akta 164 ini.

Melalui kenyataannya hari ini, Presiden PAS itu berkata umat Islam berhak mempertahankan aqidah “tanpa gangguan daripada mana-mana pihak”.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS pernah memberi isyarat parti itu tidak akan menyokong pindaan Akta 164.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan pernah berkata:  “Pindaan ini akan merobek aqidah anak kecil dan memberi kemenangan kepada perjuangan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) suatu masa dahulu yang kita sama-sama telah tolak dahulu secara keseluruhannya.”


Kenyataan pemimpin PAS ini menarik dan selepas ini kita saksikan pula ‘drama terbaru’ selepas Drama RUU355 yang menggoncangkan ‘hubungan akrab PAS-UMNO’ sebelum ini.

No comments:

Post a Comment