Saturday 22 October 2016

PEMBANGKANG KELUAR DEWAN UNTUK PULAU, TINGGALKAN NAJIB?


Semua Ahli Parlimen pembangkang dari DAP, PKR, AMANAH serta Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM-Pagoh) dan Datuk Mahfuz Omar (PAS -Pokok Sena) keluar Dewan Rakyat meninggalkan sesi pembentangan bajet Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ahli Parlimen PAS yang lain dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) dilihat berada dalam Dewan Rakyat selepas insiden itu berlaku.

Berikutan itu berbagai pendapat dan gelaran dilemparkan kepada anggota Parlimen pembangkang – kecuali PAS dan Parti warisan Sabah - apabila mereka bertindak demikian.

Ada kata tidak professional, memalukan,  mengaibkan dan sebagainya.

Pembentangan Bajet 2017 pada Jumaat  terganggu apabila ahli Parlimen pembangkang secara tiba-tiba berdiri untuk mencelah ucapan Perdana Menteri  ketika beliau menolak tuduhan pembangkang yang kerajaan tidak mempunyai dana mencukupi.

Ucapan Datuk Seri Najib Razak:

“Baru-baru ini kita mendengar ada pihak buat tuduhan bahawa Bajet 2017 satu sandiwara kononnya tanpa substance kerajaan tidak mempunyai wang mencukupi.

“Malah ada seorang pemimpin pembangkang menyebut pula Malaysia mengalami ribut ekonomi yang sukar pada kaumnya.

“Saudara saudari sekian saya nak tanya di sini… siapa yang main sandiwara…siapa yang tiada substance..di mana mulanya timbul ribut ini?,” tanya Najib sebelum pembangkang bangun membantah.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga cuba mengarahkan semua ahli Parlimen duduk di tempat masing-masing tidak berjaya, dengan ada antara mereka mula menayang plakad tertera “Who is MO1?”.

Ia merujuk kepada gelaran “Malaysian Official 1” yang digunakan Jabatan Kehakiman (DOJ)  Amerika Syarikat dalam tuntutan saman berhubung aset dikaitkan dengan dana 1MDB.

Tahun lalu, ahli Parlimen pembangkang melakukan tindakan sama, memegang plakad tertulis, “Di mana RM2.6 bilion” merujuk kepada wang yang didepositkan ke akan bank peribadi Najib.

Berikutan itu, Perdana Menteri menyifatkan tindakan pembangkang keluar dewan sebelum Bajet 2017 habis dibentangkan sebagai mengaibkan institusi Parlimen.

Najib yang  mengulas kejadian itu menegaskan,  proses  demokrasi yang diamalkan di negara ini sewajarnya dihormati melangkaui sempadan perbezaan pegangan politik dan ideologi.

Najib  meminta rakyat menilai sikap wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar itu.

Di kalangan penyokong kuat Najib pula, mereka berpendapat berikut:

Rahman Dahlan...mentah
1.    Wakil  Kota Belud yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan -   tidak menghormati parlimen kerana ucapan bajet adalah sebahagian dari prosiding institusi itu.  “Berjalan keluar adalah tingkah laku yang kasar dan mentah. Pembangkang tidak menghormati institusi berparlimen yang sudah lama terpakai. Pembentangan bajet adalah sebahagian daripada prosiding parlimen yang perlu dihormati,” katanya di Twitter.

2.    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak - mereka  mahu melayan Dewan Rakyat seperti sarkas. "Ia cukup buruk yang pembangkang tidak mempunyai kabinet bayangan dan Menteri Kewangan bayangan," katanya dalam posting blog terbaharu beliau di (http://sskeruak.blogspot.my/).

3.   Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said -  tidak matang.

4.    Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar - sangat biadap dan melanggar Peraturan Mesyuarat 41 (1). “Selama 21 tahun saya jadi ahli parlimen ini pertama kali berlaku dan itu adalah tindakan biadap dimana mereka keluar dan tidak menghormati institusi berparlimen.

5.    Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri - seoalah telah dirancang lebih awal.

6.    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamalauddin - memalukan dan tidak profesional.

7.    Ahli Parlimen Pontian,  yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan -  "drama politik murahan".

8.   Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor - 'kepanasan' dengan pelbagai pengumuman kerajaan yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat. Ia berikutan tindakan mereka sebelum ini yang mencanang dan menabur dakwaan bahawa Malaysia akan menjadi negara gagal atau bankrap.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut mengulas dengan mengatakan pembangkang tiada hak mengganggu ucapan penting Datuk Seri Najib Razak, walaupun beliau menyindir mereka.

“Pembentangan bajet adalah hari besar untuk negara dan rakyat. Ia adalah hari dan masa khas untuk perdana menteri berucap membentangkan bajet,” katanya dalam satu kenyataan.

Di pihak pembangkang khususnya Pakatan Harapan dan netizen, banyak sebab diberikan kenapa tindakan memulaukan Najib wajar dibuat.


Ada menyebut Perdana Menteri menghentam  Tun Dr Mahathir Mohamad di medan di mana bekas Perdana Menteri itu tidak dapat membelasnya.

Najib dengan megah kononnya dilihat sebagai ‘pahlawan’ dalam kedudukan Dr Mahathir tidak dapat melawan hujahnya.

Dr Mahathir juga tidak dapat mempertahankan diri sedangkan Perdana Menteri dengan bangganya berucap melalui siaran langsung televisyen dan melalui laman web yang menggambarkan serangan berat sebelah.

Dr Mahathir tidak mempunyai peluang serupa dan Najib serta pemimpin BN merasakan mereka mendapat laba politik daripadanya.

Benarkah begitu? Bagaimana jika Dr Mahathir masih menjadi Ahli Dewan Rakyat dan berada di situ, apakah beliau mempunyai keberanian berbuat demikian?

Hakikatnya, penonton juga melihat bagaimana Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Najib kemudian ‘menghalau pembangkang’ supaya keluar  apabila tidak dapat mengawal keadaan dan desakan supaya dinyatakan siapa ‘Malaysia Offial 1’.

Kesan daripada keceman itu, DAP mengakui tindakan meninggalkan Najib membentangkan Bajet 2017 itu  selepas Perdana Menteri menggunakan ucapan bajet untuk terus-terusan menyerang pembangkang, bekas perdana menteri dan dua bekas timbalan perdana menteri.

Bercakap di George Town semalam, Setiausaha agungnya, Lim Guan Eng menegaskan, “mereka (ahli Parlimen pembangkang) keluar kerana diserang tidak henti-henti.”

Ini sesuatu yang menarik kerana untuk kali pertamanya, DAP secara terbuka membela bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa kepada rakyat pada ketika bekas anak didik Dr Mahathir yang ‘dibimbing dan diletakkan mereka di persada politik dan kuasa’ memperkecil dan menghinanya di khalayak ramai.

DAP jelas memperjuangkan maruah Dr Mahathir yang diaibkan di hadapan rakyat yang dapat menonton dan mendegar dengan jelas apa yang diperkatakan Najib secara ‘live’,  sementara bekas Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional itu tidak berpeluang mempertahankan kecaman itu.

Walaupun tidak berada dalam Dewan pada masa kejadian kerana beliau pulang ke Pulau Pinang pada jam 5 petang untuk menyambut ketibaan Sultan Perlis dan rombongannya yang melawat negeri itu sempena sambutan 200 tahun Sekolah Penang Free, Guan Eng berkata  Najib menggunakan ucapan Bajet sebagai “serangan berterusan” kepada pembangkang dan bekas pemimpin kerajaan.

Tindakan meninggalkan Najib yang sedang membentangkan Bajet 2017 itu menggambarkan betapa mereka kesal dengan tindakan Perdana Menteri  yang mengambil peluang di Dewan Rakyat - menggunakan ucapan bajet - untuk terus-terusan menyerang pembangkang, bekas perdana menteri dan 2 bekas timbalan perdana menteri.

Persoalannya, tindakan keluar Dewan itu apakah perbuatan mengalah atau sengaja memulaukan Najib dan Bajet 2017nya?

Dengan membiarkan Perdana Menteri membentangkan Bajet kepada mereka yang hanya ‘sealiran’ dengannya menggambarkan betapa Perdana Menteri  hanya ‘syok sendiri’ atau ‘bermonolog’ demi menghibur dan menyedapkan dirinya sahaja.

Dan bagaimana jika  orang biasa bercakap dengan dirinya  sendiri atau ‘mengangkat dirinya sendiri’  di kalangan kawan-kawannya sahaja, jenis apakah boleh dikategorikan orang sedemikian?


No comments:

Post a Comment