Showing posts with label Ringgit. Show all posts
Showing posts with label Ringgit. Show all posts

Friday, 18 November 2016

HANYA KOS SARA HIDUP, BARANGAN NAIK, YANG LAIN SEMUANYA TURUN?


Pada ketika Malaysia dilaporkan kekal sebagai destinasi yang baik untuk pelabur global, selain akan terus menjadi pilihan, ramalan ringgit terus susut dan Bursa Malaysia diniagakan rendah, bukanlah sesuatu yang boleh menggembirakan rakyat.

Banyak kesannya kepada kehidupan rakyat yang kini berdepan dengan kos  kehidupan yang semakin meningkat sementara kerajaan ‘dihentam’ oleh pelbagai persepsi luar dan dalam negara mengenai banyak perkara.

Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta tekanan rakyat terhadap kerajaan seperti yang dilakukan oleh BERSIH 0.5 hari ini dan desakan supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan akan terus menjadi cabaran kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Wakil Bank Dunia ke Malaysia/Pengurus Negara, Faris Hadad-Zervos semalam,  berkata iklim pelaburan yang baik dan kos yang kompetitif menyediakan pelabur global persekitaran yang kondusif untuk perniagaan di Malaysia.

Selain itu, dasar ekonominya yang terbuka, selain infrastruktur yang baik dan lokasinya yang strategik menjadikan Malaysia sentiasa berapa dalam kekedudukan 20 teratas, dalam pelbagai ranking antarabangsa, termasuk Menjalankan Perniagaan Bank Dunia.

Malaysia Ia juga mempunyai infrastruktur dan perhubungan yang sangat maju, ekonomi  pelbagai, dasar kerajaan yang proaktif dan tenaga kerja yang mahir dalam pelbagai bahasa.

"Semua ini menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang baik," katanya Faris di luar acara Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2016 di Kuala Lumpur.

BERSIH 5.0 hari ini.
Di sebalik itu, dilaporkan ringgit dijangka meneruskan trend menurun minggu depan dan kekal pada 4.4 berbanding dolar AS.

Ini berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada Disember.

Kesan segera yang dilaporkan ialah pelabur asing lari meninggalkan pasaran bon Malaysia. Terlalu awal untuk menyatakan sejauh mana besar kesannya, namun ia petanda tidak baik untuk ekonomi negara.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, dolar AS  mengukuh berikutan data ekonomi AS yang positif telah mencetuskan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi.

"Berikutan mesyuarat Fed semalam, adalah pasti sekarang yang dengan pengukuhan dolar, kadar faedah AS dijangka meningkat bulan depan. Ini akan menarik 'wang panas' daripada bon yang didenominasi ringgit ke dalam bon didenominasi dolar AS.

Selain wujud kebimbangan terhadap ringgit, Bursa Malaysia turut dijangka diniagakan rendah minggu depan, susulan penyusutan ringgit berikutan spekulasi yang kuat mengenai kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Disember.

Minggu depan dijangka akan menjadi sukar untuk bursa tempatan.

Antara faktor yang akan memberi tekanan kepada Bursa Malaysia termasuklah penyusutan ringgit, yang jatuh kepada paras terendah dalam tempoh 10 bulan pada Jumaat pada 4.40 berbanding dolar AS, selain harga komoditi yang rendah.

Yang pasti dengan harga komoditi yang rendah, akan memaksa pertumbuhan ekonomi Malaysia bergerak melambat.

Perkara lain yang terus menguji Malaysia ialah harga minyak. Namun ia terus jatuh berikutan pengukuhan dolar AS.

Niaga hadapan Brent jatuh 32 cents, atau 0.69 peratus, kepada AS$46.17 setong pada 0751 GMT. Niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) AS susut 47 cents, atau 1.06 peratus, pada AS$44.95 setong.

Pengukuhan dolar AS menjadikan minyak yang diniagakan dalam dolar, lebih mahal bagi pembelian menggunakan mata wang lain.


Dengan dolar yang terus bertahan tinggi, dagangan minyak mentah di Asia sepatutnya lebih banyak hari ini berikutan peniaga dijangka akan mengurangkan dagangan pada hujung minggu ini.

Kedudukan ini membuatkan AS memberi harapan semula bahawa OPEC mungkin akhirnya bersetuju untuk memotong pengeluaran.

Baru-baru ini kita gempar bahawa China mungkin mampu menyelamat ekonomi Malaysia berikutan persetujuannya untuk melabur dalam beberapa sektor.

Bagaimanapun, semalam mata wang yuan China turut jatuh ke paras terendah dalam tempoh lapan tahun berbanding AS.

Kejatuhan itu berikutan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Janet Yellen ,yang membayangkan kadar faedah AS akan dinaikkan dalam tempoh terdekat ini.

Yuan bagaimanapun mencatatkan prestasi yang sedikit baik berbanding mata wang Asia lain, seperti Malaysia, walaupun penganalisis berkata, campur tangan Kerajaan China dapat mengurangkan kelemahan yuan.


Kemenangan mengejutkan Donald Trump pada pilihan raya presiden AS minggu lalu mencetuskan kenaikan menyeluruh dolar dengan jangkaan lebih banyak pakej rangsangan fiskal akan dibelanjakan bagi menyokong ekonomi negara itu.

Kenyataan terkini Fed pula menambah satu lagi pusingan baharu rali mata wang AS. Semalam, Yellen menyatakan Fed mungkin menaikkan kadar faedah 'tidak lama lagi' jika data ekonomi terus terarah kepada pasaran buruh yang bertambah baik dan inflasi meningkat.

"Kami percaya komen dan kenyataan Yellen menyokong dolar untuk beberapa bulan akan datang," kata ahli strategi tukaran asing Asia di ScotiaBank, Gao Qi dalam satu nota.

Cabaran-cabaran di atas terhadap Malaysia mungkin dapat diredakan sekiranya benar seperti kata Bank Dunia semalam bahawa dalam mana-mana negara di dunia, tumpuan perlu diberikan kepada gambaran yang lebih besar ke atas ekosistem tanpa prejudis ke atas kedudukan di Malaysia.

"Jika anda melihat nombor, ternyata terdapat jumlah pelaburan yang besar masuk ke Malaysia. Malah, tahun lepas, pelaburan bersih adalah positif," demikian kata Faris.


Malaysia telah menerima sejumlah besar pelaburan langsung asing (FDI) dan portfolio. Malaysia mencatatkan aliran masuk FDI bersih RM43.4 bilion pada 2015 Asia merupakan sumber utama FDI (64.7 peratus), diikuti Amerika (16.4 peratus) dan Eropah (14.1 peratus).


Sokongan itu menghapuskan persepsi salah yang terhadap  Malaysia, dan pada masa yang sama menunjukkan asas ekonomi negara ini yang semakin baik.

Thursday, 17 November 2016

RINGGIT OH RINGGIT – KENAPA BIARKAN PELABUR TINGGALKAN MALAYSIA?


Pada 11 November lalu, nilai mata wang ringgit Malaysia jatuh menghampiri RM4.50 berbanding AS1.

Ringgit dibuka pada RM4.267 berbanding dolar Amerika ketika dagangan bermula pagi berkenaan  berbanding RM4.270 berbanding dolar Amerika pada penutupan dagangan petang sbelumnya.

Ringgit susut lebih RM0.20, kira-kira 3.5% pada 2 jam pertama dagangan.

Laporan Bernama semalam pula menyebut ringgit meneruskan kejatuhan berbanding dolar AS berikutan sentimen serantau yang lebih lemah ketika mata wang sedang muncul terus menerima tekanan daripada kemungkinan kenaikan kadar faedah AS pada Disember.

Pada jam 6 petang, unit tempatan itu diniagakan pada 4.3900/3970 berbanding dolar AS daripada 4.3450/3550 pada Rabu. Ringgit jatuh 1.1 peratus kepada 4.3900 berbanding dolar, paling lemah sejak 20 Januari 2016.

Laporan dari luar menyebut, pelabur asing dilaporkan telah meninggalkan pasaran bon Malaysia susulan kemenangan Do­nald Trump sebagai Presiden baharu AS sekali gus menyebabkan dolar AS mengukuh berbanding mata wang pasaran baharu muncul.

Selain kesan kemenangan Donald Trump sebagai Presiden AS, kesan kejatuhan ringgit juga dikatakan ada kaitan dengan ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Janet Yellen mengenai prospek ekonomi negara itu yang dikatakan akan disampaikan lewat hari ini.

Profesor ekonomi di Pusat Pengajian Perniagaan Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, berkata peningkatan dalam ekonomi AS termasuk data pekerjaan dan sentimen perbelanjaan pengguna baru-baru ini membawa kepada permintaan tinggi bagi dolar AS,

Keadaan itu  mengheret turun ringgit dan mata wang pasaran pesat membangun lain. "Mata wang pasaran pesat membangun seperti Brazil, Korea Selatan, Indonesia, China dan Malaysia berkemungkinan mengalami kesan negatif disebabkan oleh perubahan arah dalam aliran modal," kata Yeah.


Apapun, sejak kejatuhan ringgit akhir-akhir ini, kita tidak mendengar apa rancangan Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berkata apa-apa untuk mengatasi kebimbangan rakyat.

Menteri yang sepatutnya menjaga hal ehwal ekonomi negara, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula lebih sibuk ‘menjaga kedudukan Najib’ daripada menjelaskan kepada rakyat mengenai langkah kerajaan menguruskan ekonomi negara.

Kenyataan-kenyataan lebih banyak berkisar politik dan serangan kepada pembangkang dan Tun Dr Mahathir Mohamad, sedangkan yang dinantikan rakyat ialah apa rancangan dan nasihat kerajaan dalam keadaan kritikal seperti ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani seperti sudah sesat jalan.

Yang kerajaan jelaskan kepada rkayat ialah dengan mengatakan nilai matawang ringgit yang kian merosot adalah baik untuk urusan eksport negara dan juga industri pelancongan, selain kejatuhan nilai matawang Malaysia disebabkan oleh faktor global dan AS. 

Sebelum ini Johari yang ketika itu Timbalan Menteri Kewangan menyatakan bahawa rakyat tidak perlu panik manakala Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz pula mengatakan nilai ringgit yang lemah adalah baik untuk industri pelancongan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Jusoh mengatakan bahawa nilai ringgit yang lemah sekarang ini mampu membawa masuk lebih ramai pelajar asing menyambung pengajian di Malaysia. Dakwaan sebegini tidak akan membawa kita ke mana-mana!

Najib sendiri jelas menyerahkan bulat-bulat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) mengawal dan menguruskannya.

Apakah yang dilakukan oleh BNM?

Kelmarin (16 November 2016) BNM meminta bank-bank asing membuat komitmen bertulis bagi mengelak dagangan ringgit di pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) luar pesisir dalam usaha melindungi nilai mata wang berkenaan yang semakin lemah.


Surat ke bank-bank terlibat yang meminta komitmen tanpa syarat untuk menghentikan dagangan ringgit di luar pesisir atau mana-mana pasaran derivatif luar pesisir, sudah dihantar.

Reuters memetik sumber perbankan, BNM meminta institusi kewangan memberi pelan lengkap kepada bank pusat mengenai keperluan membuat urus niaga ringgit di pesisir serta untuk mendapatkan bantuan daripada institusi kewangan Malaysia terhadap sebarang urus niaga tukaran mata wang asing yang diperlukan.

Ke­tua Penganalisis Nordea Market Singapura, Amy Yuan berpendapat langkah yang diambil bank pusat ber­kenaan bukanlah sesuatu yang mengejutkan. “Ia tidak menghairankan memandangkan ringgit telah jatuh dengan mendadak. Ia juga dilihat sebagai campur tangan terdesak,” katanya.

“Rizab luar negara BNM agak kecil berbanding negara-negara Asia lain dan ini menjadikan bank pusat mempunyai pilihan yang agak sedikit.

Pada 40 peratus jumlah pasaran bon, pegangan asing Malaysia merupakan antara yang terbesar di Asia,” menurut laporan Reuters.

Pelabur biasanya menggunakan pasaran NDF di Singapura dan Hong Kong untuk kecairan serta lindung nilai di­sebabkan banyak sekatan dalam pasaran domestiK.

Walaupun Malaysia membenar akses terbuka warga asing kepada bon dan pasaran saham domestik, ia melarang sebarang dagangan mata wang luar pesisir atau mana terbitan yang berkaitan.

Apa kesannya dalam konteks surat BNM itu?

Surat berkenaan dilihat sebagai perubahan ketara daripada pengumuman yang dibuat Sabtu lalu di mana pengurus dana dan aset asing diminta untuk menghubungi bank berlesen Malaysia bagi melaksanakan sebarang urus niaga pertukaran asing.

Beberapa bank asing sudah  diberitahu bahawa pelaburan mereka tidak boleh dikeluarkan dari Malaysia jika tidak menandatangani surat tersebut.

Ketua Perdagangan Western Bank Hong Kong menyifatkan ia sebagai ‘berada dalam keadaan yang tidak tentu arah’ kerana ketidaktentuan kawal selia.
“Kami diberitahu tidak boleh menghantar pulang wang dan pelaburan kami kekal di Malaysia jika tidak menandatangani surat berkenaan,” katanya.

Sebanyak 40 peratus daripada pasaran bon di Malaysia dimiliki oleh pegangan asing dan merupakan satu daripada pemilikan asing terbesar di Asia.

Kini bank-bank asing di Malaysia berusaha memahami untuk bagaimana mematuhi sekatan BNM mengenai perdagangan ringgit di pesisir luar - langkah yang dilihat sebagai satu bentuk kawalan modal.

Walaupun bank-bank asing di Malaysia dilaporkan sedang berusaha mematuhi arahan BNM  untuk menghentikan dagangan ringgit di luar pesisir, tetapi sudah ada suara mengatakan langkah itu jelas satu bentuk kawalan modal.

Seorang pegawai bank asing di Malaysia yang berurusan dalam transaksi mata wang asing emyebut:
“Situasi ini disifatkan sebagai langkah kawalan modal secara tidak langsung dan saya melihat pelabur keluar dari Malaysia.”

Diulangi, pelabur keluar dari Malaysia. Full Stop!