Wednesday 29 March 2017

ISU BERTAM – BAIK BERDIAM DIRI DARIPADA KEDUDUKAN TERGUGAT?

Azan Ismail...lengah-lengahkan tuntutan Bertam.
Bersilatlah selagi boleh wahai Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman!

Rakyat Terengganu sudah jemu dan muak dengan jawapan mengenai status pemilikan mutlak telaga minyak Bertam.

Tiada bukti jelas bahawa kerajaan negeri membawa perkara ini kepada pihak berkaitan.

Walaupun isu ini sudah dipersoalkan sejak dua ahun lalu, namun statusnya tetap sama. TIDAK ADA KATA PUTUS!!!.

Masih ingat bagaimana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said memperkatakan mengenai isu ini pada sidang DUN dua tahun lalu?

Sehingga kini belum ada jawapan yang memuaskan daripada Menteri Besar Terengganu seperti:

(a)    sikap kerajaan negeri  mengenai penemuan minyak Bertam 307 yang terletak 120 km dari Pantai Geliga, yang mana Perdana Menteri telah menyebut bahawa Bertam 307 adalah ditemui di Pahang. (Ahmad Said menafikan dakwaan Perdana Menteri  itu sambil menegaskan ia adalah hak Terengganu. Pahang ada sedikit 307 A dan B, Bertam A, B tapi sedikit sahaja);

(b)    meminta agar Menteri Besar memikul amanah rakyat Terengganu dengan mendapatkan kepastian daripada perdana menteri berkenaan status Bertam 307 itu.  (Ahmad Said memaklumkan kepada Dewan, ketika dia menjadi Menteri Besar, beliau pernah menulis surat kepada Petronas dan Petronas hanya mendiamkan diri).

Malah, pertubuhan bukan kerajaan, Royalti Terengganu (R) pernah menyelar kenyataan Ahmad Razif bahawa telaga minyak Bertam tidak berada dalam lingkungan tiga batu nautika yang membolehkan ia menjadi hak milik penuh kerajaan negeri.

Pengerusi R Terengganu Mohamad Fauzi Abdul Samah berkata, hasil selidikan R mendapati telaga minyak itu berada pada jarak 86 batu nautika atau 160 km dari perairan Pahang. 

Sedangkan katanya, dari perairan Terengganu, telaga tersebut hanya berada jarak 74.5 batu nautika atau kira-kira 120 km sahaja menunjukkan jarak telaga tersebut lebih dekat dengan Terengganu berbanding Pahang.


“Perkara yang lebih besar dari itu, Razif telah meletakkan Terengganu dalam krisis kedaulatan. Isu kesempadanan bukanlah perkara yang enteng kerana setiap negeri mempunyai autoriti tersendiri terhadap tanah air mereka sebagaimana yang dijamin dalam perlembagaan persekutuan,” katanya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam,  Dewan diberitahu bahawa status pemilikan mutlak telaga minyak Bertam sama ada menjadi hak negeri ini atau Pahang masih belum diputuskan.

Ahmad Razif menjelaskan, soal itu masih da­lam perbincangan dan kerajaan akan meneruskan tuntutan ro­yalti setelah mendapat pe­nge­sahan soal persempadanan bagi menentukan kedudukan sebenar telaga minyak itu.

“Persempadanan ini masih d­i­teliti oleh Jabatan Ukur dan Pe­me­taan Malaysia, apabila sudah tahu keputusan barulah boleh diteruskan tuntutan (royalti),” ka­tanya pada sidang DUN itu.

Ahmad Razif turut menafikan kerajaan melengah-lengahkan so­­al tuntutan royalti menjelaskan keadaan tersebut ketika menjawab soalan tambahan anggota pembangkang, Azan Ismail (PKR-Bandar).

Beliau seterusnya mem­­be­ritahu, berdasarkan per­janjian asal, Te­rengganu se­patutnya akan tu­rut me­nerima ro­yalti daripada telaga minyak Bertam sebanyak lima peratus setahun atau antara RM9 juta hingga RM10 juta.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut, Menteri Besar mengubah kepada kenyataannya bahawa kera­ja­an negeri amat menghargai keprihatinan kerajaan Pusat yang menyalurkan wang royalti minyak daripada Petronas kepada kerajaan nege­ri me­lebihi daripada jumlah diminta.

“Sepatutnya tahun ini kita terima RM500 juta tetapi kerajaan Pusat telah bayar kepada kita sebanyak RM550 juta, terlebih RM50 juta.

“Inilah hasil perun­dingan ke­rajaan Pusat dengan kerajaan negeri (Terengganu) umpama hu­bungan anak dengan ayah, tidak ada masalah kerana darah yang mengalir adalah sama.

“Kalau tak sama, tentu payah dapat apatah lagi beri lebih daripada yang diminta,” katanya.

Ahmad Razif cuba mempengaruhi pendapat umum bahawa hanya dengan BN memerintah di negeri dan di Posit juga BN, maka semua urusan menjadi lebih mudah.

Namun jika demikian, kenapa isu status Bertam ini tetap payah dan kenapa pula mengambil masa begitu lama?

Atau apakah Ahmad Razif sebenarnya tidak berani memperkatakan perkara ini bimbang Najib berang dan beliau berdepan masalah dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Jawapan mengenai Bertam dan kedudukannya sebagai Menteri Besar ada pada beliau.

Namun rakyat Terengganu tahu apa keadaan dana pa sebenarnya yang berlaku pada Bertam!


No comments:

Post a Comment