Tuesday 25 September 2018

LAPORAN SPRM - SOKONGAN KEPADA KEM AZMIN ALI TERJEJAS?



“Saya secara peribadi membaca laporan dan menonton video (pertemuan yang dikatakan itu) dan sudah pasti ia cukup mengganggu."

Demikian ditegaskan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai dakwaan rasuah terhadap setiausaha politik seorang menteri daripada PKR.

Sudah pasti Anwar terganggu kerana aduan ini melibatkan parti, pemimpin parti dan seorang yang berkedudukan penting di pejabat Menteri dari PKR.

Bagi Anwar, mudah. Kerana beliau ‘terganggu’, maka terserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat individu berkenaan yang dikenali sebagai ‘Z’.

Malah dikatakan Anwar akan bertemu Menteri Kerja Raya Baru Bian bagi mendapat penjelasan mengenai hal itu yang disifatkannya sebagai cukup menganggu.

Semalam  Penyelaras AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razak memfailkan laporan ke SPRM terhadap setiausaha politik Baru Bian yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Ahmad Syukri Che Ab Razab (tengah) menggesa SPRM menyiasat dakwaan salah laku setiausaha politik di sebuah kementerian berdasarkan bukti dikemukakannya.

‘Z’ didakwa  menawarkan kontrak pembinaan infrastruktur bernilai RM20,000 kepada beberapa pemimpin setempat di Pahang sebagai habuan untuk meraih sokongan dalam pemilihan parti itu.

Ahmad Syukri percaya tawaran itu ada kaitan dengan pemilihan PKR tahun ini.

;Z’ didakwa oleh Ahmad Syukri  terbabit bertanding untuk merebut jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat dan ketua cawangan di Pahang, selain berkempen untuk kem Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Perkara penting di sini ialah apakah  ‘politik wang’, janji projek dan banyak lagi digunakan untuk memenangkan diri dan kem yang disokong.

Juga, apa rangkaian kempen individu berkenaan dengan pengundi dan penyokong kem Azmin di negeri lain, khususnya Pantai Timur?

Apakah aduan ini jika disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjejaskan sokongan kepada kem Azmin Ali?


Malah ‘Z’ ini didakwa menjadi ‘funder’ kepada anggota kempen bagi kemenangan Azmin di Pahang selain di Kelantan dan Terengganu.

Ahmad Syukri mendakwa  menerima “pendrive” mengandungi maklumat mengenai tawaran setiausaha politik itu dalam sebuah mesyuarat di Pahang pada 1 September lalu, daripada seorang individu kelmarin.

Laporan sudah dibuat  di ibu pejabat SPRM Putrajaya semalam.

Syukri turut mendakwa satu rakaman audio selama 20 minit mengandungi kenyataan setiausaha politik terbabit memaklumkan beliau bakal mendapat peruntukan berjumlah RM300,000 daripada sebuah kementerian lain yang perlu dibelanjakan sebelum hujung tahun ini.

 “Saya amat berharap SPRM dapat menjalankan siasatan sewajarnya terhadap aduan saya ini, seterusnya mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan ketelusan tatakelola kerajaan sentiasa terpelihara.”

Syukri juga mendakwa, setiausaha politik itu juga memiliki hubungan dengan dua kementerian lain, yang membolehkannya mendapatkan peruntukan lebih lanjut.
Baru dalam kenyataannya kemudian berkata beliau mengalu-alukan sebarang siasatan pihak berkuasa terhadap kementeriannya.

"Buat saya, jika tindakan itu betul ia tak boleh tolak ansur sama sekali, khususnya selepas kami telah berjuang dengan kuat menentang amalan rasuah. Proses undang-undang patut berjalan," katanya.

Dengan kedudukan di mana Anwar dan Baru Bian berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya, aduan Ahmad Syukri perlu diberikan perhatian mendalam.

PKR tidak boleh membenarkan politik wang bermaharajalela dalam pemilihan parti kerana jika amalan ini dibenarkan, PKR akan berdepan dengan nasib seperti UMNO.

No comments:

Post a Comment