Showing posts with label UMNO. Show all posts
Showing posts with label UMNO. Show all posts

Tuesday, 28 March 2017

SUDIKAH PAS BEKERJASAMA DENGAN UMNO PADA PRU14?


Pemimpin UMNO Terengganu meloncat-loncat gembira apabila empat kawasan PAS Terengganu mencadangkan agar diputuskan kerjasama dengan PKR.

Mereka merasakan keputusan PAS itu sudah muktamad dan akan memberikan  kelebihan kepada UMNO tanpa melihat wujudnya Pakatan Harapan (PH) yang juga gagah serta mampu mencabar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar begitu gembira dan mengajak supaya PAS bersama-sama UMNO.

Pebuatan ‘menangguk di air keruh’ yang dilakukan oleh Iskandar itu menmggambarkan betapa BN dan UMNO kini begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan PAS bagi menjamin UMNO terus berkuasa di Terengganu.

Atau setidak-tidaknya, UMNO mahu PAS menjadi rakan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti bagi menjamin UMNO kekal memerintah.

Untuk membentuk kerajaan, sesebuah parti atau pakatan parti perlu memiliki 17 kerusi di DUN Terengganu daripada 32 kerusi dipertandingkan.

Ketika ini PAS  memiliki 14 kerusi, UMNO dengan 17 kerusi sementra PKR hanya satu kerusi.

Iskandar...ajak PAS bekerjasama.
Pada pilihan raya lalu, PKR bertanding di enam kerusi DUN dan hanya memenangi kerusi DUN Bandar.

Ketika ini PKR adalah rakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta AMANAH dalam PH yang baharu dibentuk, termasuk DAP. Bagaimanapun, DAP tetap tidak bertanding di Terengganu walaupun ada pengundi Cina di beberapa DUN yang disifatkan sebagai ‘bandar’.

Usul  untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR bukanlah sesuatu yang baharu. Ini kerana usul itu pernah dikemukakan oleh Dewan Muslimat PAS pada muktamar tahun lalu.

Namun usul itu tidak mendapat respons ketika itu.

Bagaimanapun, kali ini mungkin ada reaksi sekiranya banyak kawasan yang sepakat untuk membawa usul tersebut.

Selain Terengganu, semalam 12 daripada 13 kawasan PAS di Pulau Pinang turut meluluskan usul menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Kini sebanyak empat kawasan PAS di Terengganu yang telah selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan, sebulat suara meluluskan usul agar parti itu memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.

Iskandar ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan kelima, DUN ke-13, di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu semalam, secara rasmi  mempelawa PAS menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan parti itu.

Ini  memandangkan kedua-duanya selari dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan agama Islam.

Tidak diketahui pelawaan itu dibuat atas kaPASiti peribadi atau memang mendapat mandate daripada Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Usul batal kerjasama dengan PKR
Menurut Iskandar,   kerjasama antara dua parti yang mendominasi politik Terengganu itu amat diharapkan bagi mengukuhkan perpaduan dan mewujudkan kerjasama dalam kalangan pemimpin di negeri itu.

 “Kalau di Pulau Pinang, PAS telah mengusulkan untuk memutuskan hubungan politik dengan parti komponennya sebelum ini (PKR), kita harap di Terengganu lapan bahagian PAS pun akan melakukan perkara sama, marilah bersama-sama dengan kita. Insya-ALLAH,” katanya.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS negeri Satiful Bahri Mamat berkata semalam empat kawasan itu ialah Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Itu adalah suara di peringkat akar umbi. Mereka berhak mencadangkan usul itu untuk perhatian pemimpin tertinggi parti pada Muktamar PAS nanti, seterusnya keputusan akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura.

"Bagi PAS Terengganu, kita buka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk akar umbi menyuarakan pendapat mereka pada mesyuarat agung tahunan... seterusnya mengusulkan perkara itu ketika Muktamar PAS berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah pada 28 April depan," katanya kepada pemberita di luar persidangan DUN Terengganu semalam.

Sementara empat lagi kawasan iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu, kawasan itu sudah selesai mengadakan mesyuarat agung sebelum isu tahaluf siyasi dengan PKR kembali hangat diperkatakan.

Ditanya adakah PAS akan terjejas pada pilihan raya umum ke-14 akan datang sekiranya Majlis Syura bersetuju untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR, Satiful berkata PAS Terengganu dijangka tidak mempunyai masalah besar dalam hal itu.

"Terengganu tak ada masalah sangat, tapi tak tahu di negeri lain macam Selangor.

Tapi ini perkara yang berbeza kerana sekarang adalah hubungan antara parti dengan parti, bukan PAS dalam kerajaan," katanya.

Di sebalik ajakan UMNO, PAS Terengganu masih berminat untuk berunding dengan PPBM ke arah kerjasama dalam PRU14.

Difahamkan ada beberapa pertemuan tidak rasmi antara pemimpin PAS Terengganu dengan pemimpin PPBM bagi tujuan tersebut.


Sikap PAS sama ada akan berunding dengan PPBM juga dijangka akan diputuskan pada Muktamar PAS pada April nanti.

Tuesday, 21 March 2017

PAS TETAP 'COOL', HANYA YANG KURANG CERDIK PERCAYAKAN UMNO


Oleh Mohd Nor Hamzah  (Ketua Penerangan PAS Terengganu)

KUALA TERENGGANU (21 Mac 2017) : Kelmarin 20 Mac 2017, disiarkan di dalam akhbar bahawa Datuk Seri Ahmad Said, mantan Menteri Besar Terengganu yang telah diturunkan dengan cara yang menimbulkan kemarahan dan kesedihan beliau oleh Perdana Menteri, menyatakan bahawa beliau akan menyerahkan sendiri senarai nama calon dari Kemaman bagi semakan atau kelulusan UMNO pusat.

Secara mudah kefahaman rakyat ialah, beliau tidak mahu memberikan senarai nama calon dari Kemaman itu kepada Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang mana ketuanya sekarang ialah Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Ketika ini, DS Ahmad Said, masih memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Tidak kisahlah apa yang beliau, DS Razif, DS Najib mahu perbalahkan. Itu hal UMNO, tiada kaitan dengan kita kecuali dalam hal menyeleweng wang rakyat. Tetapi apa yang mahu dicoretkan di sini ialah keboleh percayaan kepada UMNO.

Saya yakin, tentu rakyat masih ingat bagaimana DS Ahmad Said yang dengan sedihnya, hampir menangis apabila ditemuramah oleh stesen TV sejurus selepas pemecatan beliau ketika sangat hampir dengan majlis pernikahan anak kesayangan beliau. Sebegitu rupa beliau dimalukan.

Selang tidak beberapa lama, beliau dengan tegas telah menyatakan beliau telah keluar UMNO dengan disertai oleh sekurang-kurangnya dua lagi Adun UMNO. Ketika itu, secara teknikalnya, UMNO sudah tidak mempunyai majoriti sebagai kerajaan di Dewn Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

PAS dilibatkan oleh sebuah parti lain atau boleh kita gelarkan parti mengada-ngada, dengan mengatakan PAS tidak mengambil peluang untuk menjatuhkan kerajaan UMNO di Terengganu. PAS tetap ‘cool’, tidak melayan sebarang provokasi musuh samada dari UMNO, musuh utama PAS, mahupun juga dari parti yang baru cuba menjadi musuh PAS.

Hasilnya, dalam masa dua hari, kedua-dua ADUN  yang berpaling tadah itu turut kembali ke sarang lama mereka. Mereka menekan brek secara mengejut, kemudian membuat ‘U-turn’.


Kembali semula kerajaan UMNO menjadi 16-15-1. PAS tetap ‘cool’ kerana PAS tahu, di DUN Terengganu, Speaker Dun diberikan kuasa mengundi. Jadi kedudukan 17-15-1. Ketika DS Ahmad Said keluar UMNO, ada juga maklumat yang dikatakan sebagai tawaran datang dari ‘orang besar’ UMNO untuk memujuk PAS bersama. PAS tetap ‘cool’ tidak melayan sebarang tawaran ‘gelap’ yang diberikan.

Nyata betul tindakan PAS kerana apabila kembalinya DS Ahmad Said ke pangkuan UMNO, beliau tiba-tiba memaklumkan bahawa ada orang PAS yang datang menawarkan dia sesuatu. Cerita lucu yang direka beliau itu, tidak mendapat sambutan gelak tawa orang.

Mengamuk lagi DS Ahmad Said di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) membongkar segala perkara yang dikatakan sebagai penyelewengan UMNO di Terengganu. Namun, beliau sejuk beku kemudiannya setelah ‘dipujuk’.

Mengamuk juga beliau di perasmian Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Kemaman, sehinggakan bersumpah.
Kemuncak kepada amukan beliau ialah ketika membentangkan usul tidak percaya kepada MB Terengganu tahun lalu yang telah ditolak oleh Speaker DUN.

Ketika inilah PAS bangun mengusik bagi meminta Speaker menimbang kembali penolakan usul itu, atas alasan DS Razif, mungkin tidak mendapat sokongan sepenuhnya. PAS tidak boleh berbuat apa-apa selain itu kerana kuasa mutlak penolakan, terletak kepada Speaker Dun. Paling lucu, Speaker secara tergesa-gesa menangguhkan persidangan dan meninggalkan Dun bagaikan UMNO pula yang memboikot Sidang DUN,

Namun sebuah parti mengada-ngada mencanangkan bahawa PAS tidak bertindak ketika itu. Naifnya kritikan itu. Usul ditolak speaker, jadi macamana mahu mengundi?

Sebelum semua peritiwa itu, DS Ahmad Said pernah beriringan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ke satu program soal jawab dengan DS Najib dan dimaklumkan DS Najib yang berdarah Bugis itu secara tiba-tiba membatalkan majlis itu.


DS Ahmad Said juga suatu ketika dilihat agak rapat dengan Perkasa yang dinaungi oleh Ibrahim Ali.

Begitulah tegarnya DS Ahmad Said melawan parti asal beliau, UMNO. Untuk semua amukan DS Ahmad Said ini, PAS tetap ‘cool’ kecuali mengambil peluang pendedahan yang beliau buat berkenaan penyelewengan UMNO.

Kemudian, terbongkarlah sebuah cerita ketika program Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) ataupun yang dikenali sebagai Bersatu, yang dinaungi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu oleh Datuk Mukhriz Mahathir. Program yang berlangsung di Marang, Terengganu itu telah dilaporkan oleh orang yang dekat dengan Bersatu.

Ia berkenaan janji sokongan DS Ahmad Said kepada Tan Sri Muhyiddin.

Dikatakan DS Ahmad Said Telah berjanji akan menyertai Bersatu, dan dipastikan oleh Tan Sri akan janji itu benar. Namun janji tinggal janji, sehingga kini, DS Ahmad Said diam membisu kata orang yang mendengar cerita dari mulut Tan Sri sendiri.

Lagikan sesama sendiri dikhianati, berjanji pula dengan orang sendiripun mereka memungkiri, inikan pula berjanji dengan PAS berkaitan dengan kuasa. Bayangkan jika PAS mengambil jalan sebaliknya.

PAS bersama bekas ADUN UMNO menubuhkan kerajaan Terengganu ketika itu, kemudiannya mereka berpaling balik kepada UMNO? Kelihatan hodoh dan bodohlah PAS ketika itu. Sebab itulah PAS tidak melayan pelawaan UMNO.

PAS telah lama mengenali watak-watak UMNO ini.

Tidak hairanlah PAS tidak cepat melatah dengan segala tindakan UMNO ini. Jadi mungkin parti yang mengada-ngada itu cuba menggali lubang, mengajak PAS menghampiri lubang dan bercadang untuk menolak PAS masuk ke dalamnya. Maaf, mungkin dilain kali mereka boleh mencubanya. Sehingga sekarang, PAS tetap ‘cool’ melayan karenah UMNO.

InsyaAllah, rakyat Terengganu terutamanya, tetap akan bersama PAS dalam perjuangan menentang penyelewengan UMNO. Janganlah dipercayai kepada parti yang kelihatan cara berpolitik mereka, menyamai UMNO.

Anda lihatlah sendiri bagaimana fitnah, makian, sengaja dicetuskan bagi memberikan gambaran buruk kepada PAS. InsyaAllah fitnah akan mati. Mati bersama mereka yang menciptakannya.

Maka tepatlah tindakan PAS dalam hal ini. PAS telah terbukti istiqamah menentang kezaliman UMNO dengan mengikut undang-undang negara. Maka sesiapa yang cuba menentang PAS, mereka adalah sebahagian daripada UMNO.

Cukup muda sifir ini.

(Daripada BuletinOnline)

Sunday, 23 October 2016

UMNO - TENGKU RAZALEIG CADANGAN 'PENGGAL LEPADA IKAN BUSUK'

 

Oleh TENGKU RAZALEIGH HAMZAH 
(Ahli Parlimen Gua Musang & bekas presiden Semangat 46)
  
Terima kasih tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Pertama sekali, izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada Profesor Bridget Welsh, tuan rumah yang baik budi, serta Pusat Pembangunan Penyelidikan dan Maklumat Strategik [Strategic Information and Research Development Centre] kerana sudi mengundang saya untuk melancarkan buku mereka, The End of Umno? Essays on Malaysia’s Dominant Party.

Saya yakin ia perlu dibaca memandangkan penyumbang rencana yang terkandung di dalamnya merupakan empat tokoh akademik terkenal dengan analisis dan komentar sosio-politik. Saya pasti ia harus dibaca oleh sesiapa yang berminat terhadap hal ehwal politik semasa dan juga perkembangan Umno dari zaman Datuk Onn Jaafar hinggalah ke hari ini.

Acara pada pagi ini memberi peluang untuk saya menjawab soalan mengenai kedudukan saya sebagai ahli Umno. Saya ini sememangnya ahli politik Umno . Pengkritik akan mengalih perhatian umum ke arah Semangat 46.

Mereka akan sengaja lupa untuk memberitahu bahawa pengikut dan rakan saya dari Umno tidak keluar dari Umno.

Sebenarnya kami disekat daripada kembali bersatu dengan rakan-rakan lain selepas Umno didapati menyalahi undang-undang pada 1987. Di antara yang terbabit ialah pemimpin seperti
Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn.

Umno Baru ditubuh selepas Umno diisytihar menyalahi undangundang pada 1987. Tetapi Umno Baru bukannya Umno . Budayanya berbeza daripada semangat perjuangan Umno 1946.

Seperti kita sedia maklum, Mahkamah Tinggi telah mengisytihar Umno sebagai sebuah persatuan yang menyalahi undang-undang akibat 30 atau lebih bahagian parti yang tidak
berdaftar telah menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agung Tahun 1987.

Mereka ini juga mengambil bahagian dalam pengundian untuk pemilihan ke Majlis Tertinggi Umno pada tahun tersebut. Dalam masa dua minggu selepas penghakiman itu dibuat, Umno Baru ditubuh.

Umno Baru bukannya Umno.

Ini diikuti dengan pemindahan aset Umno 1946 kepada Umno Baru. Apabila ditinjau kembali insiden ini, penyelesaian yang lebih sesuai mungkin tercapai kiranya Mahkamah Tinggi memerintah agar kedudukan bahagian terbabit diperbetulkan dan pemilihan baru diadakan.

Apabila diamati kembali, rasanya para pemimpin Umno pada waktu itu berperanan dalam menerima keputusan mahkamah tanpa membuat rayuan terhadapnya.

Tetapi barang diingat; Umno Baru bukannya Umno.

Maka itu Semangat 46 dipilih sebagai nama apabila saya tubuh sebuah parti politik baru atas gesaan Tunku untuk merapatkan saf apabila keadaan kembali seperti sedia kala.
Nama ini merangkumi semangat parti yang ditubuhkan oleh Datuk Onn pada 1946 dan ketabahan Tunku memimpin wakil parti Perikatan dan Raja-Raja di perundingan kemerdekaan.

Nama ini juga mencerminkan kesetiaan tidak berbelah bagi saya terhadap Umno semenjak saya mula menjadi ahli pada 1962 ketika berumur 25 tahun.

Sejak itu saya dipilih menjadi ketua bahagian, iaitu jawatan yang saya masih sandang sehingga hari ini.

Di samping itu, saya juga pernah menyandang jawatan bendahari dan salah satu daripada tiga naib presiden yang dipilih. Di bidang penggubalan undang-undang, saya pernah menjadi
Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri saya.

Kini saya masih lagi bertugas sebagai Ahli Dewan Rakyat, jawatan yang saya masih sandang sejak pertama kali dipilih ke Parlimen pada 1974.

Selepas berkhidmat dengan penuh taat kepada Umno selama 54 tahun, saya rasa lebih baik saya teruskan sahaja amalan ini untuk berbakti kepada Malaysia.

Sebagai Ahli Parlimen, saya mewakili para pengundi dan saya telah bersumpah untuk mempertahankan kepentingan mereka melalui sumpah jawatan Ahli Parlimen.

Di samping itu, saya juga berkewajipan kepada negara untuk terus menatang keluhuran perlembagaan. Inilah maksud sebenarnya mengapa sumpah jawatan di Dewan Rakyat diwajibkan.

'Humpty Dumpty'

Nyatalah kewajipan utama saya ialah mendokong perlembagaan. Ia juga semestinya menjadi
kewajipan utama Umno . Sekiranya ia mahu kedudukannya terus relevan, Umno haruslah menerima kenyataan ini dan terus menjunjung keluhuran perlembagaan.

Maka itu, umpamanya, sesuatu dasar negara yang dicadang mestilah didebat dan keputusan dibuat di Dewan Rakyat dan tidak terlebih dahulu oleh majlis tertinggi parti tersebut.

Barang diingat bahawa kita dan negara tidak wujud tanpa perlembagaan. Begitu juga dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang termaktub di bawah Perkara 32; Ketua Negara Utama bagi Persekutuan, dan Isterinya.

Keluhuran perlembagaan dengan sendirinya menolak ke tepi konsep kesetiaan kepada wilayah sendiri mengatasi segalanya seperti yang dicanang akhir-akhir ini.

Nampaknya konsep kewilayahan ini semakin menular kerana kerajaan pusat semakin tidak dihormati kerana kedudukannya seolah-olah tidak sah lagi.

Pihak yang menonjol konsep ini tidak mengambil kira peranan perlembagaan yang menyatukan kita sebagai suatu negara. Kita tidak harus lupa akan kebenaran ini.

Sekiranya kita lupa, tidak mungkin Humpty Dumpty [dua watak nyanyian kanak-kanak Barat yang pecah berkecai apabila jatuh ke tanah dari tempat mereka bertenggek di atas pagar] dapat dicantum kembali.
Saya ingin menyingkap kembali kedudukan Majlis Raja-Raja. Walaupun terdapat peruntukan mengenainya di dalam perlembagaan, rakyat jelata cuma merasai kehadirannya dalam bentuk semangat. Ini disebabkan Majlis Raja-Raja tidak mempunyai badan berstruktur; umpamanya ia tidak mempunyai belanjawan sendiri dan terpaksa bergantung kepada kuasa lain untuk
kewujudannya.

Ia juga tidak mempunyai kerangka petadbiran sendiri yang menyeluruh. Ini menyedihkan. Sebenarnya Raja-Raja merupakan salah satu pihak terlibat secara langsung dalam rundingan kemerdekaan.

Merosakkan negara

Ini bermakna Raja-Raja juga terlibat dalam mewujudkan perlembagaan negara, yang pada
waktu itu ialah Persekutuan Tanah Melayu.

Majlis Raja-Raja seharusnya dapat bertindak sebagai kuasa perlembagaan berkumpulan selain daripada tiga cabang kerajaan yang sedia ada.

Keadaan sebegini pasti memberi faedah kepada rakyat dan negara. Majlis Raja-Raja boleh membantu sekiranya sistem pemerintahan terbantut dan ketiga-tiga cabang kerajaan tidak berfungsi sebagai dijangka.

Barang diingat semuanya ini, kiranya berlaku, ialah untuk kebaikan rakyat. Sesungguhnya ini
dapat dilakukan kerana dari segi sejarah, institusi Raja-Raja merupakan salah satu sumber pengwujudan perlembagaan.

Maka itu tepat sekali sekiranya negara merujuk kembali kepada Majlis Raja-Raja jikalau perlembagaan diketepikan, sama ada secara sengaja atau tidak.

Sememangnya tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa keluhuran perlembagaan dan demokrasi berperlembagan telah diperlekeh apabila konsep penswastaan diberi keutamaan dan Malaysia Inc dilancar.

Langkah ini telah merosakkan negara dan akibatnya terasa hinggalah ke hari ini.

Kuasa korporat yang diswastakan itu menjadi faktor utama dalam usaha memacu negara ke hadapan. Ini seolah-olah mempersenda akan kekudusan dan keluhuran perlembagaan.

Kita harus ingat bahawa negara kita bukannya sebuah perbadanan. Kita tidak boleh samakan negara dengan badan korporat.

Sekiranya kedua-duanya dicantum, tidak mustahil bagi kuasa korporat mengatasi perlembagaan dan rakyat. Masalah serta kontroversi yang menghantui 1MDB adalah kesan percantuman ini.

Konsep Malaysia Inc menyentuh kehidupan rakyat jelata secara negatif pada peringkat paling asas. Kemampuan rakyat mendapat keperluan asas semakin terjejas. Keadaan ini meluaskan lagi jurang ketidakimbangan lapisan sosial.

Kekurangan doktor
Soal peningkatan pendapatan tidak diberi perhatian. Begitu juga dengan isu pendapatan minimum. Akibatnya, antara lain, orang ramai tidak dapat mengecapi kemudahan kesihatan baik dengan kos berpatutan.

Tempat di hospital awam pula sentiasa tidak mencukupi di samping kekurangan doktor dan kakitangan sokongan. Ubat-ubatan semakin mahal.

Di bidang pendidikan pula, rakyat tidak mendapat pendidikan bermutu kerana mutu pendidikan awam semakin menjunam.

Negara terlalu bergantung kepada pendidikan swasta yang tidak termampu oleh rakyat biasa. Inilah di antara bahana perlaksanaan Malaysia Inc.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, izinkan saya mengalih perhatian kita kepada tajuk buku yang akan dilancarkan. Sama ada jawapan kepada tajuknya yang berbentuk soalan ini ia atau tidak bergantung kepada sama ada kepimpinan parti tersebut berprinsip, beretika, jujur dan beramanah, dan berintegriti atau tidak.

Sayugia diingat bahawa adalah menjadi suatu kelaziman bagi sesebuah parti politik untuk mengamali keunggulan yang baru disebut. Dengan itu, sesebuah parti politik akan lebih diminati ramai, diterima baik oleh rakyat.

Ini membolehnya memenangi kuasa politik. Begitulah seharusnya kerana tujuan berpolitik ialah untuk berkuasa dan terus berkuasa selama mungkin.

Sayangnya, kadangkala terdapat parti politik yang terlupa akan matlamat perjuangannya kerana berkuasa terus menerus. Ini boleh meyebabkan parti tersebut menyalah guna kuasa yang diamanahkan oleh pengundi.

Kelalaian ini boleh menyebabkan parti politik mengalami apa yang saya sifatkan sebagai keangkuhan memegang kuasa politik berpanjangan. Kealpaan ini boleh mencetuskan penyinkirannya daripada tampuk kuasa.

Ikan mulai busuk dari kepala

Di dunia sebelah sini, terdapat dua parti politik yang menerajui kerajaan masing-masing
mengalami kekalahan begini. Pun begitu, mereka mengambil iktibar daripada pengelaman tersebut dan kemudiannya kembali berkuasa.

Umno seharusnya prihatin terhadap apa yang berlaku kepada LDP di Jepun dan Parti Congress di India demi mengelakkan apa yang berlaku terhadap kedua-dua gergasi politik Asia ini.

Untuk itu, Umno hendaklah sentiasa relevan. Umno hendaklah bertindak seperti negara yang mengamali demokrasi dengan cara sebenarnya.

Perjuangan Umno mestilah telus, mengikut undang-undang dan lunas-lunas sah. Ketepikan politik kotor dan hindarilah amalan politik tipu helah.

Pada hemat saya, sebagai proses pemerintahan, politik tidak kotor ataupun bersih. Tetapi pengamalnya lain sedikit, kerana terdapat berbagai jenis di kalangan mereka.

Seperti juga kumpulan lain, ada pengamal politik yang korup dan tidak beretika. Sekiranya kita hendak menuding jari ke arah yang kotor, maka kita hendaklah tujukannya kepada pengamal politik dan tidak sebaliknya.

Ini tidak bermakna bahawa tidak terdapat pemimpin dan pengamal politik bersih yang amanah lagi jujur.

Ahli sesebuah parti hendaklah berhati-hati terhadap pemimpin politik mereka. Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian mereka kepada pepatah yang menyatakan bahawa ikan mulai busuk dari kepala dalam memperihalkan pemimpin dan kepimpinan.

Lazimnya keadaan beginilah mencetus akan amalan pilih kasih yang melibatkan saudara mara dan konco-konco, ataupun apa yang sering disebut sebagai amalan nepotisma dan kronisma.

Keadaan begini akhirnya akan menjunamann pengamalnya ke curang rasuah. Jika tidak
diatasi ia boleh merebak menjadi cara pengendalian sesebuah parti politik.

Inilah – iaitu cara kita melakukan sesuatu – takrif budaya. Lambat laun budaya rasuah politik ini akan ditiru menjadi budaya masyarakat am.

Kita seharusnya menghindari perkara ini. Maka itu para ahli hendaklah memulakan langkah pembersihan parti. Sejarah kita telah menunjukkan bahawa kekuatan kuasa terpendam ahli pernah menyemarakkan semangat para pemimpin sewaktu untuk menentang Malayan Union.

Kekuatan inilah kemudiannya dijana untuk menyatukan tiga parti politik berasaskan keturunan dan Raja-Raja Melayu, melalui wakil-wakil baginda, demi mendapatkan kata sepakat ketika berlangsungnya Rundingan Kemerdekaan 1956 di London.

Penggal kepala ikan busuk

Kini tibalah masanya para ahli membuat keputusan mendorong pemimpin-pemimpin parti menggerakkan negara ke arah yang diimpikan oleh bapa kemerdekaan kita.

Pencetusan oleh para ahli ini penting kerana masa depan Umno bergantung pada para mereka. Mereka perlu mengawal dan mendisiplin para pemimpin.

Sekiranya perlu, mereka hendaklah hentikan perlakuan pemimpin yang tidak disenangi rakyat. Barang diingat, rakyatlah yang mempunyai kata pemutus ketika mereka mengundi di pilihan raya umum.

Apa pun, kita haruslah menerima kenyataan bahawa Umno telah banyak berbakti kepada kerajaan dan proses pemerintahan. Begitu juga di bidang pembangunan ekonomi dan sosial., di samping meneggakkan keharmonian dan kestabilan.

Sebagai sebuah parti, Umno menjunjung keunggulan demokrasi, keadilan dan kesaksamaan. Sekiranya kenyataan ini tidak lagi benar, maka para ahli hendaklah selidiki sebab musababnya.
Untuk itu mereka perlu mula dari atas dan selidiki para pemimpin. Seperti yang telah diperkatakan, ikan membusuk dari kepalanya. Begitu pun, keadaan ini masih boleh diselamat kerana sekurang-kurangnya kita boleh memenggal kepala ikan yang sudah busuk.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, saya ingin menyingkap kembali bahagian pertama tajuk buku yang akan dilancarkan; iaitu The End of Umno?

Di dalam sesebuah demokrasi, kegiatan berpolitik memerlukan dua pihak berinteraksi antara satu sama lain. Berkaitan dengan tajuk ini, jika pihak Pembangkang terus bercakaran sesama sendiri, ia akan binasa dari dalam.

Soalnya, bagaimana pula dengan Umno  Ada yang berpendapat bahawa Umno telah menghampakan rakyat dan tidak lagi bertindak untuk kepentingan negara.

Kini ada yang menuduh ia melindungi kepentingan para pemimpin parti.

Pada suatu ketika ia merupakan kuasa politik handalan yang bertindak sebagai pusat kepada masyarakat majmuk kita dan membendungnya menjadi unit padu. Kini Umno tidak lagi bertindak demikian.

Inilah sebenarnya intipati krisis yang kita hadapi sekarang. Sekarang ini kita berada di dalam keadaan genting. Ini kerana kita ketiadaan budaya Malaysia dalam erti kata sebenarnya untuk menjadi kuasa penyatuan negara.

Umno bukan lagi pusat penyatuan

Umno pula tidak lagi dirasai bertindak sebagai pusat penyatuan seperti yang pernah dilakukannya dahulu.

Keadaan ini menjadi bertambah rumit disebabkan tanggapan umum terhadap dua cabang kerajaan yang dikatakan menjadi semakin lemah. Badan Kehakiman menjadi lemah kerana urusannya dicampur tangan oleh Badan Eksekutif. Badan Perundangan pula, iaitu Parlimen, tidak berfungsi seperti parlimen sesebuah negara demokrasi berperlembagaan.

Kini Umno , bersama-sama rakan-rakan politiknya, haruslah menerima pakai strategi tertentu untuk terus relevan. Antara lain strategi tersebut termasuklah:

·        Menyokong demokrasi berpelembagaan dan pemisahan kuasa sebagai prinsip asas;

·        Kesamarataan kerakyatan seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai salah satu matlamat perjuangannya;

·        Dasar ekonomi dan politik yang tidak membeza-bezakan warganegara;

·        Akur kepada matlamat perkhidmatan awam dan tidak melibat diri dalam perniagaan, dan memastikan pengasingan perniagaan daripada politik;

·        menghormati kebebasan Badan Kehakiman dan proses penghakiman;
·        Mematuhi kepada ukuran perlakuan tertinggi terhadap sistem pemilihan parti dan memastikan ia bebas daripada amalan rasuah;

·        Memastikan dialog dan kenyataan politik tidak mencetus sengketa perkauman atau agama;
·        Tidak mengguna hasutan berkaitan kaum dan berbau perkauman bagi matlamat politik;

·        Mengenepi dan membenteras sekatan dalam parti yang menghalang perpaduan nasional dan perkembangan identiti Malaysia; dan

·        Menjunjung Perlembagaan Persekutian dan Negeri termasuklah maksud serta semangat di sebalik penegakan demokrasi, kedaulatan undang-undang, kebebasan asasi seperti termaktub di Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan Pemasyhuran Hak Asasi Manusia Sejagat.

Saya amat berterima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian kerana sudi mengamati ucapan yang tidak sepertinya ini. Kepada Profesor Welsh, terimalah tahniah dari hati kecil saya.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya memperkenal dan melancarkan buku The End of Umno? Essays on Malaysia’s Dominant Party. Terima kasih dan salam bahagia.

Ucapan pada pelancaran buku ‘The End of Umno?’