"PAS kini melihat peluang untuknya membentuk kerajaan semakin cerah, apa lagi dengan kehadiran PPBM yang menjadi saingan kepada UMNO...tidak kiralah ia bekerjasama atau bertanding berapa penjuru sekali pun."
Kini di Terengganu, di pihak pembangkang ada PAS, PKR,
AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kira-kira dua minggu lalu
menghadirkan diri dengan jelas di negeri itu, dijangka akan turut bertanding dalam pilihan raya.
Untuk rekod di DUN Terengganu kini UMNO ada 17 kerusi,
PAS 14 dan PKR satu.
PAS kini melihat peluang untuknya membentuk kerajaan
semakin cerah. Apa lagi dengan kehadiran
PPBM, tidak kiralah ia bekerjasama atau bertanding berapa penjuru sekali pun.
Keadaan ini memudahkan usaha PAS menakluki DUN Terengganu.
PPBM akan mendapat sokongan pengundi sama ada yang keluar
atau masih dalam UMNO. Dengan kata lain, ia berpeluang untuk bertanding di
mana-mana sahaja 17 kerusi dimiliki UMNO dan empat (4) kerusi Parlimen.
Untuk menjatuhkan UMNO/BN, PPBM dijangka akan hanya
bertanding dikerusi yang dimenangi UMNO. Ini akan memberikan kelebihan kepada
PAS, apalagi jika kedua-duanya bekerjasama.
Proses perundingan kerusi dijangka akan bermula tidak
lama lagi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
![]() |
Azan...satu-satunya ADUN PKR |
Sementara PKR pula tidak menunjukkan tanda-tanda akan
bertanding banyak kerusi. Matlamat utama mereka pastinya mempertahankan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Bandar yang dimenangi Azan Ismail sebelum ini.
Mungkin kawasan lain untuk PKR ialah di Bukit Besi, Kota
Putera, Permaisuri, Seberang Takir dan mungkin Ajil.
Jika wujud pun pakatan pembangkang, PKR tahu kekuatan dan
kelemahannya yang tidak memungkinkan mereka bertanding lebih daripada lapan
kerusi DUN.
Bagi PAS, ‘inilah masa’ untuk merampas Terengganu kerana
faktor UMNO yang lemah dibawah kepimpinan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri,
Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Pemimpin PAS di negeri ini semakin bernafsu memikirkan
siapa menteri besar serta anggota Exco mereka, malah walaupun ada 17 kerusi
UMNO dan jika PPBM bekerjasama dengan PAS, PPBM mungkin hanya diberikan paling
banyak 10 kerusi sahaja.
Maknanya PAS akan bertanding dilebih 18 kerusi.
Selebihnya mungkin untuk PKR.
PAS sangat yakin Menteri Besar baharu selepas pilihan raya
umum nanti adalah daripada PAS dan yang disebut-sebut ialah Pesuruhjaya PAS
Negeri, Satiful Bahri Mamat.
![]() |
Satiful...disebut-sebut Menteri Besar Terengganu selepas PRU14. |
Tidak pernah seteruk ini krisis dalaman yang melanda UMNO
Terengganu, apa lagi ada khabar angin mengatakan Ahmad Razif tidak akan
dilantik semula menjadi Menteri Besar selepas pilihan raya umum nanti.
Apapun, beliau akan tetap menjamin bahawa tiada saingan
untuknya selepas pilihan raya nanti jika beliau masih menang bertanding di
Seberang Takir.
Berikutan itu ‘panglima UMNO’ di bahagian UMNO melihat
inilah peluang untuk mereka menonjolkan diri, sementara yang dijangka akan memberikan
saingan kepada Ahmad Razif – jika diberi peluang bertanding akan ke kerusi
Parlimen.
Ahmad Razif akan menjamin beberapa Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) yang menjadi saingannya akan ke Parlimen, termasuk Datuk Mohd
Jidin Shafie (Permaisuri) , kembali ke Parlimen Setiu sekali lagi, Wan Hakim
Wan Mokhtar (Air Putih) ke Parlimen Kemaman, A Latiff Awang (Pengkalan
Berangan) ke Parlimen Marang dan Datuk Din Adam (bekas ADUN Bukit Besi) ke
Parlimen Dungun.
Ahmad Razif tidak bimbang dengan beberapa ADUN lain yang
dilihatnya ‘masih mentah’, malah dikatakan beberapa ADUN seperti Nawi Mohamad
(Hulu Besut), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang) dan Ir Rosli
Othman (Kemasik) akan digugurkan.
Ahmad Razif cuma bimbang sekiranya Datuk Jailani Johari (Ahli Parlimen Hulu Terengganu) turun ke DUN Kuala Berang, yang akan
memungkinkan Johari dilantik menggantikan beliau.
Jailani Johari...bakal ganti Ahmad Razif?
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 17
Februari lalu mengulangi ketegasan bahawa Pas tidak akan sekali-kali menjalin
kerjasama dengan mana-mana parti politik yang mempunyai hubungan dengan DAP
dan juga AMANAH.
Jika kedudukan ini berlaku, PAS yang akan disaingi oleh
AMANAH dan UMNO disaingi oleh PPBM
mungkin perlu bekerjasama, walaupun PAS sedikit cuak untuk melakukannya.
Namun bimbang tidak cukup majoriti mudah, PAS yang
dijangka akan hanya memang 12 kerusi sementara UMNO hanya 10 kerusi boleh
bergabung untuk membentuk kerajaan.
Atau PAS boleh pilih untuk bergabung dengan PPBM dan PKR
– tanpa AMANAH – untuk membentuk kerajaan negeri bagi mencukupkan 17 atau 18
kerusi bertujuan membolehkan ia memerintah dengan rakan pembangkangnya, kecuali
AMANAH.
Dalam kedudukan politik Terengganu yang tidak menentu –
membimbangkan PAS dan UMNO – dengan kehadiran PPBM yang kini mengukuhkan
jenteranya di seluruh negeri, apa-apa sahaja boleh berlaku.
![]() |
Ahmad Razif...kesayangan Datuk Seri Najib Razak |
Seperti PPBM, PKR dan AMANAH, PAS juga mahu menumbangkan
UMNO/Barisan Nasional untuk membolehkan pemimpinnya mendapat kedudukan yang
selesa.
Berbanding UMNO yang menjadi musuh tradisinya, bergabung
dengan PPBM dan PKR lebih selesa, malah di Selangor pun PAS turut bergabung
dengan PKR.