Wednesday 22 February 2017

PAS LEBIH SELESA BEKERJASAMA DENGAN PPBM, PKR BERBANDING UMNO/BN?


"PAS kini melihat peluang untuknya membentuk kerajaan semakin cerah, apa lagi dengan  kehadiran PPBM yang menjadi saingan kepada UMNO...tidak kiralah ia bekerjasama atau bertanding berapa penjuru sekali pun."

Politik Terengganu akan kembali hangat dalam tempoh beberapa bulan terakhir sebelum pilihan raya kerana dua parti dominan – UMNO dan PAS – terpaksa memikirkan satu pelan untuk menjamin kedua-duanya terus berkuasa.

Kini di Terengganu, di pihak pembangkang ada PAS, PKR, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kira-kira dua minggu lalu menghadirkan diri dengan jelas di negeri itu,  dijangka akan turut bertanding dalam pilihan raya.

Untuk rekod di DUN Terengganu kini UMNO ada 17 kerusi, PAS 14 dan PKR satu.

PAS kini melihat peluang untuknya membentuk kerajaan semakin cerah. Apa lagi dengan  kehadiran PPBM, tidak kiralah ia bekerjasama atau bertanding berapa penjuru sekali pun. Keadaan ini memudahkan usaha PAS menakluki DUN Terengganu.

PPBM akan mendapat sokongan pengundi sama ada yang keluar atau masih dalam UMNO. Dengan kata lain, ia berpeluang untuk bertanding di mana-mana sahaja 17 kerusi dimiliki UMNO dan empat (4) kerusi Parlimen.

Untuk menjatuhkan UMNO/BN, PPBM dijangka akan hanya bertanding dikerusi yang dimenangi UMNO. Ini akan memberikan kelebihan kepada PAS, apalagi jika kedua-duanya bekerjasama.

Proses perundingan kerusi dijangka akan bermula tidak lama lagi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Azan...satu-satunya ADUN PKR
Sejauh ini PAS Terengganu tidak nampak bahawa AMANAH akan menjadi saingan kepadanya – kecuali mungkin dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu sahaja.

Sementara PKR pula tidak menunjukkan tanda-tanda akan bertanding banyak kerusi. Matlamat utama mereka pastinya mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang dimenangi Azan Ismail sebelum ini.

Mungkin kawasan lain untuk PKR ialah di Bukit Besi, Kota Putera, Permaisuri, Seberang Takir dan mungkin Ajil.

Jika wujud pun pakatan pembangkang, PKR tahu kekuatan dan kelemahannya yang tidak memungkinkan mereka bertanding lebih daripada lapan kerusi DUN.

Bagi PAS, ‘inilah masa’ untuk merampas Terengganu kerana faktor UMNO yang lemah dibawah kepimpinan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pemimpin PAS di negeri ini semakin bernafsu memikirkan siapa menteri besar serta anggota Exco mereka, malah walaupun ada 17 kerusi UMNO dan jika PPBM bekerjasama dengan PAS, PPBM mungkin hanya diberikan paling banyak 10 kerusi sahaja.

Maknanya PAS akan bertanding dilebih 18 kerusi. Selebihnya mungkin untuk PKR.

PAS sangat yakin Menteri Besar baharu selepas pilihan raya umum nanti adalah daripada PAS dan yang disebut-sebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, Satiful Bahri Mamat.

Satiful...disebut-sebut Menteri Besar Terengganu selepas PRU14.
Tidak pernah seteruk ini krisis dalaman yang melanda UMNO Terengganu, apa lagi ada khabar angin mengatakan Ahmad Razif tidak akan dilantik semula menjadi Menteri Besar selepas pilihan raya umum nanti.

Apapun, beliau akan tetap menjamin bahawa tiada saingan untuknya selepas pilihan raya nanti jika beliau masih menang bertanding di Seberang Takir.

Berikutan itu ‘panglima UMNO’ di bahagian UMNO melihat inilah peluang untuk mereka menonjolkan diri, sementara yang dijangka akan memberikan saingan kepada Ahmad Razif – jika diberi peluang bertanding akan ke kerusi Parlimen.

Ahmad Razif akan menjamin beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjadi saingannya akan ke Parlimen, termasuk Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri) , kembali ke Parlimen Setiu sekali lagi, Wan Hakim Wan Mokhtar (Air Putih) ke Parlimen Kemaman, A Latiff Awang (Pengkalan Berangan) ke Parlimen Marang dan Datuk Din Adam (bekas ADUN Bukit Besi) ke Parlimen Dungun.

Ahmad Razif tidak bimbang dengan beberapa ADUN lain yang dilihatnya ‘masih mentah’, malah dikatakan beberapa ADUN seperti Nawi Mohamad (Hulu Besut), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang) dan Ir Rosli Othman (Kemasik) akan digugurkan.

Ahmad Razif cuma bimbang sekiranya Datuk Jailani Johari (Ahli Parlimen Hulu Terengganu) turun ke DUN Kuala Berang, yang akan memungkinkan Johari dilantik menggantikan beliau.

Jailani Johari...bakal ganti Ahmad Razif?

Di pihak PAS sejauh ini nampaknya ia akan bertanding secara solo apabila parti itu sudah memuktamadkan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PPBM kerana parti yang baru ditubuhkan itu dengan jelas bersekongkol dengan DAP.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 17 Februari lalu mengulangi ketegasan bahawa Pas tidak akan sekali-kali menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik yang mempunyai hubungan de­ngan DAP dan juga AMANAH.

Jika kedudukan ini berlaku, PAS yang akan disaingi oleh AMANAH dan UMNO disaingi oleh  PPBM mungkin perlu bekerjasama, walaupun PAS sedikit cuak untuk melakukannya.

Namun bimbang tidak cukup majoriti mudah, PAS yang dijangka akan hanya memang 12 kerusi sementara UMNO hanya 10 kerusi boleh bergabung untuk membentuk kerajaan.

Atau PAS boleh pilih untuk bergabung dengan PPBM dan PKR – tanpa AMANAH – untuk membentuk kerajaan negeri bagi mencukupkan 17 atau 18 kerusi bertujuan membolehkan ia memerintah dengan rakan pembangkangnya, kecuali AMANAH.

Dalam kedudukan politik Terengganu yang tidak menentu – membimbangkan PAS dan UMNO – dengan kehadiran PPBM yang kini mengukuhkan jenteranya di seluruh negeri, apa-apa sahaja boleh berlaku.

Ahmad Razif...kesayangan Datuk Seri Najib Razak
Malah ada di sebut bahawa walaupun di peringkat atas ada menyebut kerjasama PAS dan PPBM tidak akan pernah berlaku, namun pemimpin PAS negeri dikatakan lebih selesa bekerjasama dengan PPBM berbanding UMNO.

Seperti PPBM, PKR dan AMANAH, PAS juga mahu menumbangkan UMNO/Barisan Nasional untuk membolehkan pemimpinnya mendapat kedudukan yang selesa.

Berbanding UMNO yang menjadi musuh tradisinya, bergabung dengan PPBM dan PKR lebih selesa, malah di Selangor pun PAS turut bergabung dengan PKR.

Cuma persoalannya jika ada ADUN AMANAH yang menang, di manakah kedudukan mereka dalam kerajaan campuran pembangkang nanti?

No comments:

Post a Comment