Wednesday, 31 January 2018

KENAPA SAMPAI SERAH KEPADA PUSAT UNTUK PEMBAHAGIAN KERUSI DUN?



Muktamad sudah Mesyuarat Pakatan (HARAPAN)Terengganu gagal mencapai kata sepakat  dalam isu pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Muktamad juga walaupun dengan hanya 32 kerusi DUN, ada pihak yang tidak mahu menyelesaikan pembahagian kerusi melalui pemuafakatan di peringkat negeri.

Kegagalan HARAPAN Terengganu  memuktamadkan kerusi DUN untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyebabkan terpaksa diserahkan kepada peringkat PUSAT untuk membuat keputusan.

Pengerusi PKR, Azan Ismail tidak bersetuju ia diserahkan kepada peringkat pusat kerana sewajarnya dengan hanya 31 kerusi DUN (tidak termasuk DUN Bandar), ia dapat diselesaikan melalui semangat musyawarah.

Beliau memberi amaran kedudukan ini akan menyebabkan BN/UMNO dan PAS mudah menyerang PAKATAN sebagai 'gagal bermuafakat'.


Namun jelas AMANAH yang banyak bertindan kerusi dengan PKR enggan merundingkannya di peringkat negeri.

AMANAH mengharapkan ‘tuah berpihak kepada mereka’ jika ditetapkan oleh PUSAT.


Azan Ismail...patut diselesaikan di peringkat negeri.
PKR menuntut ‘Formula 12-10-10’ iaitu PKR mendapat 12 kerusi DUN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta AMANAH mendapat masing-masing 10 kerusi berdasarkan faktor PKR parti pembangkang yang lama bertapak di Terengganu.

PPBM bersetuju dengan formaula itu, malah sejak awal perundingan hanya meminta 10 kerusi DUN, walaupun kini hasil pembahagian itu PPBM mungkin mendapat satu lagi kerusi yang kedua-dua parti – AMANAH dan PKR – tidak menuntutnya.

Selain itu, PKR berhujah permintaannya itu berdasarkan kedudukan di mana ia  mendapat kerusi Parlimen paling sedikit iaitu hanya dua  berbanding PPBM dan AMANAH yang masing-masing mendapat tiga (ada lapan kawasan Parlimen di Terengganu).

Apa yang dituntut oleh PKR kebanyakannya di kawasan Parlimen yang mereka bertanding, iaitu di Parlimen Dungun dan Kemaman.

Walaupun sudah mendapat dua kerusi masing-masing di Parlimen yang mereka tandingi – Kuala Nerus dan Marang – AMANAH tetap mendesak dua kerusi di Dungun, Kuala Terengganu dan Kemaman.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan kegagalan berkenaan:

1.     1. Formula awal  yang dipersetujui  iaitu setiap parti mempunyai wakil mereka di DUN tidak dipatuhi dan sering dibuat U-Turn oleh AMANAH;

         2.  AMANAH berterusan mempertikaikan kerusi DUN Bandar yang dianggap sebagai kerusi INCUMBENT yang tidak boleh disentuh. Sebaliknya, pada satu mesyuarat dicadangkan supaya diserahkan kepada DAP;

3     3.  Formula setiap parti yang diperuntukkan untuk bertanding Parlimen diberikan  peluang untuk bertanding sekurang-kurangnnya dua kerusi DUN tIdak dipersetujui oleh AMANAH;dan

 

       4.  Pengerusi HARAPAN, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad yang mempengerusikan mesyuarat gagal membuat pendirian tetapi sering memihak kepada kepentingan partinya, AMANAH (beliau adalah Pengerusi AMANAH Terengganu).

Memandangkan wujudnya keadaan ini, HARAPAN di Terengganu dilihat tidak bersatu dan mudah untuk BN/UMNO dan PAS menyerang pakatan pembangkang ini. Ia kelak akan merugikan usaha HARAPAN menawan Terengganu daripada BN/UMNO.

Juga, akibat kedudukan ini, AMANAH menggunakan NGO dan tentera sibernya menyerang PKR dan Azan yang akan menyebabkan rakyat muak dengan permainan ini.

Persoalannya, kenapa AMANAH merasakan dirinya begitu istimewa?

Apakah kerana Raja Bahrin menjadi Pengerusi HARAPAN  Terengganu maka secara automatik parti itu mesti bertanding paling banyak?

Persoalan di sebalik itu ialah mahu bertanding banyak kerusi atau mahu menumbangkang BN/UMNO, bukannya PAS semata-mata.

(Kedudukan kerusi DUN di Terengganu ketika ini ialah BN?UMNO sebanyak 17, PAS 15 dan 1 PKR).

Thursday, 11 January 2018

PKR PALING RUGI DALAM PEMBAHAGIAN KERUSI PARLIMEN DI TERENGGANU...


Parti mana paling kecewa dalam pembahagian kerusi Parlimen di kalangan Pakatan Harapan (PH) di Terengganu?

Parti PAN Negara (PAN), PKR, DAP atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Pengumuman pada Konvensyen PH di Shah Alam pada 7 Januari 2018 jelas tidak berpihak kepada PKR.

Parti pembangkang yang paling lama di kalangan anggota pembangkang di Terengganu itu hanya diperuntukkan dua kerusi – Dungun dan Kemaman.

Pada ketika PPBM mendapat tiga kerusi – Besut, Setiu dan Hulu Terengganu – dan PAN mendapat Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, jelas PKR yang paling sedikit.

DAP tidak berfungsi di Terengganu kerana orang Cina Terengganu sama ada sokong PKR atau MCA. DAP tidak pernah ‘wujud’ dalam politik orang Cina Terengganu.

Amatlah menghairankan apabila Ketua Pemuda PH, Hasbie Muda membuat kenyataan bahawa Pemuda PAN Terengganu menyifatkan parti itu menjadi korban untuk meletakkan calon bertanding di Marang.


Hasbi yang juga Ketua Pemuda PAN mempertikaikan keputusan PH Posit apabila mengatakan awalnya phaknya minta kerusi Kuala Nerus, Dungun dan Kuala Terengganu tetapi diberikan Marang bukan Dungun.

Bermakna dari awal lagi PKR enggan bertanding di Marang.

Sebaliknya kata Hasbi seperti dilaporkan portal rasmi PAN, Malaysia Dateline 8 Januari lalu menyalahkan  PPBM dan PKR kononnya mendesak PAN untuk bertanding di kerusi yang disandang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

“Ya. PAN jadi korban. Parti lain sama ada PPBM mahupun PKR menolak untuk meletakkan calon mereka di Marang,” tegasnya.

Pelik apabila PAN mengatakan ia dijadikan korban kerana antara persetujuan awal ialah PAN akan bertanding di mana PAS bertanding. Apalagi PAN mahu menggantikan PAS.

Alasan lain PAN kecewa menurut Hasni ialah PAN Terengganu saban minggu menggiatkan gerak kerja di Parlimen Dungun.

“Agak kecewa sebab PAN Dungun konsisten buat gerak kerja sejak awal lagi.PAN Dungun hampir setiap minggu buat kerja turun padang,” ujarnya.

Apakah suara Hasbi ini suara Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang selalunya bercakap berselindung di belakang pemimpin PAN lain?

Apakah Hasbi menyelami perasaan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail mengenai keputusan PKR Pusat merundingkan kerusi bagi negeri Terengganu?


Apakah Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar itu tidak kecewa?

PKR yang menggerakkan PH negeri sebelum PH Pusat ditubuhkan tiba-tiba mendapat dua kerusi sahaja berbanding PAN dan PPBM sudah pasti mengecewakan Azan.

Namun apakah beliau membuat kenyataan atau meluahkan perasaann ya di media?

Nampaknya PAN sangat tamak dan boleh main ‘tolak-tolak’ kerusi Marang dan meminta PPBM atau PKR bertanding di situ.

Mudah sahaja bagi PAN, jika tidak mahu kerusi Marang, bertanding sahaja di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Juga jangan buat pengumuman yang bersifat ‘bocor’ di media mengenai hasil perbincangan dalam mesyuarat PH Terengganu dalam soal perundingan kerusi Parlimen atau negeri untuk berdepan pilihan raya umum ke-14 ini.

Masihkah PAN  tidak belajar daripada pengalaman ketika dalam PAS apabila hasil mesyuarat sering didedahkan kepada pihak luar atau membuat kenyataan media jika tidak berpuas hati?

PH adalah gabungan yang mementingkan semangat persefahaman dan menerima keputusan seperti ditunjukkan oleh PKR.

PAN wajib belajar sikap PKR kerana ia bukan sahaja berkorban di Terengganu tetapi juga di pusat.

PKR menerima keputusan dengan penuh semangat persefahaman apabila  mendapat kerusi lebih sedikit daripada PPBM walaupun hakikatnya PKR mempunyai kerusi jauh lebih banyak (28) di Semenanjung berbanding  PPBM hanya satu (1).

Friday, 15 December 2017

PROGRAM BANTUAN RUMAH DI TERENGGANU DISELEWENG?

Pembayaran Bagi Kerja Tidak Dilaksanakan di HULU TERENGGANU
Isu pembayaran diluluskan kepada kontraktor projek Program Bantuan Rumah Bina Baru (PBR) di tiga daerah di Terengganu, walaupun tidak menetapi spesifikasi kerja, sangat serius

Ini kerana kemungkinan ada berlaku salah laku dan penyelewengan, apa lagi pembayaran dibuat tanpa mematuhi aspek pentadbiran kontrak.

Malah, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 (Siri2), menyebut secara keseluruhannya, pelaksanaan PBR  di daerah Hulu Terengganu. Setiu dan Besut kurang memuaskan.

Berikutan itu LKAN mencadangkan ditubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman (JSD) bagi meningkatkan kawalan dalaman terhadap pelaksanaan PBR oleh semua pejabat daerah sekali gus mengelakkan berlakunya isu kecuaian dan penyelewengan.

Pembayaran Bagi Kerja Tidak Dilaksanakan di BESUT
Turut diberikan perhatian oleh LKAN 2016 ialah ialah memastikan pembinaan rumah mengikut pelan diluluskan dan sebarang perubahan pelan/komponen projek perlu mendapat kelulusan UPEN terlebih dahulu;

Namun isu pembayaran diluluskan kepada kontraktor walaupun kualiti kerja tidak menepati spesifikasi kerja sewajarnya diberikan perhatian serius kerana ia membabitkan wang rakyat.

Pembayaran Bagi Kerja Tidak Dilaksanakan di SETIU
Selain perkara tersebut, LKAN turut memandang serius perkara berikut:

1.    memastikan pemilihan penerima bantuan hanya kepada golongan yang layak         sebagaimana garis panduan yang ditetapkan
;
2.    penerima bantuan dapat mendiami rumah dengan kadar segera;

3.   memastikan pegawai yang bertanggungjawab melakukan pemantauan teliti terhadap projek pembinaan agar dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,

4.   memastikan pegawai bertanggungjawab memahami dan mematuhi aspek pentadbiran kontrak agar kepentingan Kerajaan terjamin sekali gus membolehkan matlamat PBR tercapai; dan .

5.   menjamin agar disediakan rumah yang selesa dan berkualiti serta siap dalam tempoh masa ditetapkan untuk diagihkan kepada penerima bantuan yang memerlukan dapat dicapai.

LKAN melihat peranan  Pejabat Daerah Besut penting untuk memastikan pegawai bertanggungjawab dalam  aspek pentadbiran kontrak agar kepentingan Kerajaan terjamin sekali gus membolehkan matlamat PBR tercapai.


Kes ini sewajarnya dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu kerana terang-terangan ada perbuatan salah laku, apa lagi LKAN sudah mengesahkannya.

Tuesday, 21 November 2017

BERTANDING DI MARANG & RHU RENDANG - PAS ISYTIHAR PERANG TERHADAP PAN?


Apa hal PAS marah sangat AMANAH mahu bertanding di kerusi Parlimen Marang dn Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang?

Ada apa-apa perjanjian atau larangan tidak boleh bertaning di dua kerusi itu?

Sebelum ini ramai yang marah apabila Pakatan Harapan (PH) Terenggnu melalui kenyataan Ketua Penerangannya, Hambali Abdul Latiff mengatakan AMANAH berssetuju untuk bertanding di kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang.

Sedangkan bukan rahsia lagi bahawa mana-mana kerusi yang dimenangi oleh PAS, sewajarnya AMANAH yang bertanding. Ini ‘persetujuan asas PH”.

Sebelum kenyataan terbuka itu, PAS seperti terasa amat lega kerana mungkin mereka akan menang percuma.

Ini kerana ada juga ura-ura UMNO Terengganu akan memberikan laluan mudah kepada penyandangnya, Datuk Seri Abdul hadi Awang itu.

Berita itu disebarkan berikutan UMNO dan PAS semakin intim dan kemungkinan-kemungkinan tertentu yang kedua-duanya akan membuat persefahaman untuk berdepan pilihan raaya umum ke-14 (PRU14).

Kini, Presiden PAS itu sudah tidak boleh tidur nyenyak kerana setidak-tidaknya AMANAH akan bertanding di situ.

Dan apabila AMANAH bertanding, PAS terpaksa memujuk UMNO supaya meletakkan calon untuk menjadi tiga penjuru – kononnya akan memberikan kelebihan kepfaa PAS!

Menariknya berikutan kenyataan Hambali (gambar kanan) yang juga Pengarah Komunikasi PH Terengganu itu, PAS menyahutnya dengan mengatakan PAS tidak akan membiarkan DUN Rhu Rendang ditandingi kerana ia disandang presiden parti berteraskan Islam itu.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap pengumuman dibuat PH baru-baru ini sebagai pengisytiharan perang kepada parti itu.

“Baru-baru ini diumumkan PAN (AMANAH) akan bertanding di kerusi Parlimen Marang dan Rhu Rendang, jadi bagi kita pengisytiharan itu macam pengisytiharan perang.

“Jadi sepatutnya perkara itu tidak berlaku, sekarang ini kalau mereka dah sedia nak serang PAS maka kita akan bertanding di mana-mana tempat yang kita rasa boleh bertanding,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.

Kenapa menganggap sebagai ‘perang’?

Apakah sebelum ini ada perjanjian sulit antara PAS dan AMANAH agar tidak ‘menyerang kubu’ Presiden PAS?

Jika tidak ada apa salahnya dan kenapa Tuan Man begitu beremosi dengan dua kerusi berkenaan?

Untuk rekod Parlimen Marang dianggap kubu presiden PAS namun mengikut keputusan pilihan raya umum lalu ia bukanlah kerusi yang benar-benar selamat.

Abdul Hadi bertanding di Marang sejak pilihan raya umum ketujuh (1986) dan pernah tewas dua kali kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Bakar.

Kerusi yang paling kuat serta selamat untuk PAS ialah DUN Rhu Rendang yang diwakili Abdul Hadi sejak 1986.

Menyentuh saingan tiga penjuru pada PRU14, Tuan Ibrahim menganggap AMANAH merupakan penghalang bagi memastikan hanya pertandingan satu lawan satu berlaku pada PRU14.

“Isu besarnya PAN (AMANAH) nak tanding di mana? Jadi penghalang besar PAN isytihar bertanding di Kelantan di semua kerusi PAS, jangan salahkan PAS bila berlaku tiga penjuru.” katanya.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menimbulkan persoalan mengapa PAN bersungguh-sungguh mahu bertanding di Kelantan memandangkan BN tidak lagi berkuasa di negeri itu.

“Sebagai contoh saya sebut apa perlunya parti-parti pembangkang pergi ke Kelantan? Kalau kata nak tumbangkan Umno, Umno dah tumbang di Kelantan.

“Sepatutnya Kelantan itu tak diganggu, bila mereka pergi ke Kelantan ganggu kerusi PAS di Kelantan dan begitu juga kerusi PAS di Selangor yang dah menang dan juga kerusi-kerusi lain,” katanya.


Kerana itu,  Tuan Ibrahim menegaskan jangan sesekali menuding jari kepada PAS sekiranya PH terutamanya PAN gagal dalam saingan tiga penjuru itu.

Wednesday, 11 October 2017

RAJA BAHRIN, AMANAH 'KHIANATI' RAKANNYA DALAM PAKATAN HARAPAN?


Dalam Pakatan Harapan (PH), soal asas ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan bertanding di kerusi dimenangi UMNO, Parti Keadilan Rakyat di kerusi tradisi mereka sementara AMANAH akan bertanding di kerusi yang dimenangi oleh PAS.

Ini jelas dan tidak wajar dipersoalkan.

Persefahaman ini disebut berulang kali oleh AMANAH Terengganu sendiri sebelum pemimpinnya, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dilantik menjadi Pengerusi PH negeri berkenaan.

Namun sedikit aneh ialah pada 18 Mei 2017 lalu, Ketua AMANAH Marang, Miqdad Zakaria berkata, beliau tidak akan bertanding pada PRU14 kerana belum sampai masanya untuk berbuat demikian.

Miqdad, anak saudara kepada isteri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berkata, terlalu awal untuk memikul tanggungjawab itu lebih-lebih lagi jika Abdul Hadi bertanding.

Menurut Miqdad, jika beliau dipilih untuk bertanding menentang bapa saudaranya itu, beliau terpaksa menolak tawaran itu.

Kawasan Marang diketahui umum merupakan kubu kuat PAS. Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Parlimen Marang disandang sendiri oleh Presiden PAS.

Persoalan sekarang, bukan sekadar Miqdad tidak mahu bertanding di dua kawasan berkenaan, difahamkan dalam mesyuarat PH Terengganu, wakil AMANAH dalam mesyuarat berkenaan turut enggan meletakkan calon mereka di situ.

Amanah menuntut dua kerusi DUN lain, termasuk kerusi yang kini dimiliki UMNO.

Malah, Raja Bahrin sendiri membisu mengenai AMANAH akan bertanding di kerusi dimiliki PAS itu. sebaliknya sanggup meminta kerusi PKR dan PPBM yang sepatutnya bertanding.

Lantas, timbul tiga persoalan penting untuk dijawab oleh AMANAH:

1.   Dengan menolak kerusi DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang, apakah AMANAH mahu memberikan kemenangan percuma kepada PAS?

Jika demikian, untuk apa berteriak seluruh negara mengatakan AMANAH akan menggantikan PAS? Dengan memberikan kemenangan percuma, nyata sekali AMANAH ‘mengkhianati persefahaman dalam PH” dan dayus apabila berada di medan;

2.  Keengganan untuk bertanding turut membuktikan bahawa AMANAH enggan memikul tanggungjawab yang diAMANAHkan oleh PH untuk parti itu bertanding, walaupun berdepan PAS. Apakah AMANAH tidak AMANAH dalam menunaikan tanggungjawabnya?



3.   sifat  TAMAK jelas pada AMANAH yang dan memilih untuk kerusi yang mereka rasakan menang sahaja. Benarlah kata-kata bahawa AMANAH ini bagaikan TOYOL yang hanya kuat dan besar di kepala tetapi tiada penyokong dan sangat penakut kepada PAS. Benarlah juga jika PAS langsung tidak hairan dan bimbang dengan kehadiran AMANAH;

4.  Dengan enggan bertanding dan menawarkan kerusi berkenaan kepada PPBM membuktikan AMANAH enggan berdepan dengan PAS dan mengharapkan rakan lain ke hadapan dan mereka berlindung di belakang, sambil mereka menikam rakan mereka dari belakang. Apakah AMANAH sebenarnya akan jadi pembunuh parti rakan dalam PH?

5.  Tidak kurang penting ialah, jika Raja Bahrin begitu taksub dan melobi berbagai cara untuk menjadi Pengerusi PH tetapi partinya sendiri takut dan enggan bertanding di kubu PAS. Persoalannya, apa yang boleh diharapkan kepada Raja Bahrin oleh parti komponen lain seperti PKR dan PPBM pada pilihan raya akan datang?

Nyata sekali kepimpinan Raja Bahrin boleh dipersoal dan jati ditinya tidak ada langsung dengan hasratnya memberikan kemenangan percuma atau mengharapan PPBM atau UMNO/Barisan Nasional untuk melawan PAS di kawasan berkenaan.

Apakah Raja Bahrin masih mempunyai ‘hati dengan PAS’ atau bersedia untuk membantu BN di dua kerusi berkenaan?

Amat malang jika Raja Bahrin dan AMANAH bersikap ‘tidak beramanah’, malah sanggup meminta 18 kerusi untuk bertanding sedangkan PAS hanya menang 14 kerusi sahaja.
UMNO pula menang di 17 kerusi DUN tetapi PPBM hanya meminta 10 kerusi DUN di atas semangat setiakawan.


Apakah ketamakan dan sikap pentingkan diri AMANAH akan menjahanamkan PH Terengganu?

Sunday, 13 August 2017

BN/UMNO TERENGGANU PERJUANGKAN KEDUDUKAN MB, BUKAN RAKYAT...


Kenapa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO Terengganu sangat takut dengan isu petroleum?

Pada ketika ia menguar-uarkan penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC), kerajaan negeri menyekat perkara itu dibahaskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Usul  Tergempar ADUN Tepoh mengenai perkara itu tidak dibenarkan oleh Speaker DUN walaupun  jelas ia membabitkan kepentingan rakyat.

PAS menuntut persidangan DUN ditangguhkan mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN bagi membolehkan persidangan hari ini  menyokong Penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) selain  Menggesa Dua Keutamaan Yang Perlu Disegerakan Oleh Pihak TPC Iaitu Menuntut Kembali Royalti Minyak Negeri Terengganu dan Menuntut Kembali Hak Kawasan Minyak Di Blok PM 307 Bertam”.

Apakah dua perkara iaitu menuntut kembali royalti minyak Negeri Terengganu dan menuntut kembali hak kawasan minyak di Blok PM 307 Bertam sebagai  yang tidak penting demi rakyat Terengganu?

Jelas kerajaan BN yang dipimpin oleh UMNO Terengganu kini hilang fokus dan mementingkan kedudukan Menteri Besar semata-mata.

Isu mengenai dua perkara itu bukan sahaja disuarakan oleh PAS, malah oleh Prti AMANAH dan juga sekutunya dalam Pakatan Harapan, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Amat malang apabila sidang DUN yang sepatutnya memperkata dan membincang perkara yang penting untuk rakyat Terengganu digunakan untuk melindungi pemimpin BN/UMNO, khususnya Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.


Isu ini akan berterusan dan akan diulang-ulang pada majlis ceramah, forum, kenyataan media dana pa juga saluran demokrasi untuk memperjuangkan hak rakyat.

Yang jelas BN/UMNO tidak berminat untuk memperjuangkan kepentingan lebih sejuta rakyat Terengganu tetapi hanya mengekalkan Menteri Besar dan sekutu-sekutunya.

Baca usul penuh di bawah:

Usul Di Bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-Peraturan Dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu.
_______________________________________________________________

Dato’ Yang Di-Pertua,

Adalah saya Hishamuddin bin Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh mohon mencadangkan,

“Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguhkan mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini menyokong Penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) Dan Menggesa Dua Keutamaan Yang Perlu Disegerakan Oleh Pihak TPC Iaitu Menuntut Kembali Royalti Minyak Negeri Terengganu dan Menuntut Kembali Hak Kawasan Minyak Di Blok PM 307 Bertam”.

Dato’ Yang Di-Pertua,


Kedua-dua isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana telah melibatkan pencabulan hak rakyat negeri Terengganu melalui penarikan balik royalti minyak dengan melanggar perjanjian asal di bawah Fasal 2 Perjanjian Royalti yang telah ditandatangani di antara kerajaan negeri Terengganu, Kerajaan Persekutuan dan Petronas pada tahun 1975. 

Ia juga pencabulan hak pemilikan telaga minyak Blok PM 307 Bertam yang ditemui dan disahkan oleh pihak Syarikat Lundin Oil, sebuah syarikat carigali dari Swedan yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali. Secara jelas mereka memperakui Blok PM 307 Bertam adalah sah terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.

Kerajaan negeri Terengganu sebelum ini menerima pembayaran Wang Royalti secara tunai menurut perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974, ia telah dimansuhkan pada 5 September 2000 dan digantikan dengan Wang Ehsan atau sekarang Dana Khas Persekutuan yang dikendalikan terus oleh Kerajaan Pusat.

Negeri Terengganu telah menyumbangkan hasil minyak dan gas kepada Kerajaan Persekutuan lebih 40 tahun bermula pada 1975.

Apakah wajar Royalti sebanyak 5% yang diterima oleh kerajaan Terengganu semenjak dari tahun 1978 kini terbatal sepenuhnya dan hanya dianggap sebagai ‘ehsan’ dan ‘dana khas’ dari Kerajaan Persekutuan?

Kini, kerajaan Terengganu langsung tidak mempunyai sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak dan gas yang terletak di perairan negeri.

Dato’ Yang Di-Pertua,

Perkara ini adalah melibatkan kepentingan orang ramai apabila hak yang secara berperundangan dinafikan sewenangnya iaitu perjanjian royalti minyak dengan pihak kerajaan negeri Terengganu dan menafikan hak milik rakyat Terengganu hasil penemuan Telaga Minyak Blok PM 307 Bertam.

Sikap tidak serius dalam kedua kes ini, menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kesungguhan kerajaan negeri untuk menuntut hak rakyat. Tindakan meletakkan royalti sebagai Dana Khas Persekutuan amat bertentangan dengan semangat federalisme.

Kes yang berlarutan ini melibatkan kepentingan lebih satu juta rakyat negeri Terengganu. Demi untuk masa depan anak cucu watan Terengganu dan mengelakkan Terengganu menjadi negeri yang terus ’dianak tirikan’ oleh kerajaan Persekutuan.

Dato’ Yang Dipertua,

Perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh pelanggaran hak, pelanggaran perjanjian dengan pihak kerajaan negeri dan penafian milik kerajaan negeri.

Apatah lagi dengan pengumuman kerajaan menubuhkan Majlis Petroleum Terengganu (TPC). Justeru, peranan segara perlu dikeluarkan oleh kata sepakat dewan undangan negeri agar TPC mengutamakan dua kes ini sebagai bukti komitmen memelihara kepentingan rakyat.

Penarikan balik sama kerajaan negeri terhadap Petronas dengan alasan ia telah diselesaikan perlu dibentangkan kepada pihak Dewan Undangan Negeri. Sifat pengembalian royalti masih di atas nama Dana Khas Persekutuan dan bukannya di atas nama royalti seperti yang terkandung di dalam perjanjian rasmi.

Kerajaan negeri Terengganu, Majlis Petroleum Terengganu (TPC), semua Ahli Yang Berhormat dan rakyat negeri Terengganu mesti bersatu hati menuntut agar pelanggaran perjanjian royalti minyak ini perlu ditebus segera dan penafian hak pemilikan Telaga Minyak Bertam perlu dituntut kembali.

Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan.

Yang mengusulkan,
YB HISHAMUDDIN BIN ABDUL KARIM
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh
Terengganu

14 Ogos 2017


Monday, 7 August 2017

AMANAH 'PENERAJU PAKATAN HARAPAN' BERDEPAN BN/UMNO, PAS TERENGGANU


Tidak boleh disangkal dan sah sudah Parti AMANAH boleh menjadi peneraju dan dominan dalam Pakatan Harapan (PH) di Terengganu.

Sama ada melalui tinjauan pendapat umum atau juga menerusi kumpulan WhatsApp, AMANAH adalah segala-galanya dalam konteks pembangkang di Terengganu.

Ini kerana AMANAH mempunyai pemimpin jauh berkaliber daripada parti anggota PH yang lain, khususnya PKR.

Di mana-mana pun pemimpin AMANAH mengatakan mereka lebih baik daripada PKR dalam apa juga segi sekalipun.

Tidak perlu bandingkan Pengerusi PKR, Yang Berhormat Azan Ismail dengan Pengerusi AMANAH, Yang Berhormat Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (gambar kanan).

Bagai langit dengan bumi. Umpama sampan dengan bahtera.

Raja Bahrin keturunan Raja dan lebih dalam banyak segi. Walaupun beliau menang melalui kerusi PAS di Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya umum 2013 lalu, beliau semakin berpengaruh.

Biar digelar ‘PENGKHIANAT’, Raja Bahrin adalah tokoh yang disanjung oleh bekas ahli PAS dan sesetengah ahli PAS yang masih setia dengan parti Islam itu.

Di mana sahaja beliau pergi, termasuk ke majlis-majlis PAS, beliau tetap dihormati dan dipandang tinggi.

Berbanding dengan Azan, Raja Bahrin memperkatakan isu negeri dan nasional setiap minggu, malah bersifat ‘Anak Raja Berjiwa Rakyat’.

Kredibiliti Raja Bahrin terserlah, apa lagi ketika persidangan Parlimen, sedangkan Azan hanya wakil rakyat DUN Bandar yang tidak pun nampak kelebihannya, sama ada dalam berhujah, mahupun berceramah.

Kedudukan ini memberikan kelebihan kepada AMANAH yang disifatkan sebagai parti yang cepat berpengaruh di seluruh Terengganu.


Walaupun digelar sebagai ‘Parti Anak Budu’ atau ‘Parti Toyol’ apabila besar di kepala dan kecil di bahagian badan eakor, AMANAH kini sudah mempunyai lebih 300 cawangannya di seluruh negeri.

Sebagai rekod, ada 366 Posit Daerah Mengundi (PDM) di Terengganu.

Malah AMANAH layak untuk bertanding  di 32 kerusi negeri dan semua lapan kerusi Parlimen, termasuk mempertahankan kerusi Kuala Terengganu.

Awas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif kerana badai dan bahtera AMANAH ini terlalu kuat dan akan menenggelamkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO Negeri.

Kekuatannya diserlahkan apabila dua kali terakhir Presiden AMANAH, , Mohd Sabu turun ke Terengganu, lebih 5,000 orang hadir pada ceramahnya di Seberang Takir dan pada majlis Invoke anjuran PKR di Dungun baru-baru ini.

Menurut khabar, ia suatu kehadiran yang di luar jangkaan.

Mohamad Sabu sedang berceramah di Kuala Nerus.
Berdasarkan kedudukan ini, amat jelas AMANAH berpeluang besar menang di Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman selain di Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

Malah dikatakan juga, Terengganu akan mendapat menteri besar dari AMANAH selepas pilihan raya umum ke-14 nanti.

Wakil AMANAH  yang akan bertanding pula hebat semuanya apabila dikatakan akan mengetengahkan Dr Syed Azman Syed Nawawi (yang ketika ini masih ahli PAS) di DUN Batu Burok, Dr Sulaiman Abdullah di DUN Ladang dan juga Zubir Mohamed di Wakaf Mempelam.

Untuk rekod, Dr Sulaiman pernah menjadi ADUN Ladang mewakili PAS antara 1999-2004 dan pernah terpalit dengan isu tanah di Dungun.

Dr Syed Azman
Ini belum lagi di tiga DUN di Seberang Takir dan tiga DUN di Dungun, termasuk Ketua Pemudanya Hasbie Muda di Rantau Abang.

Dengan kedudukan ini bermakna akan ‘berputih matalah’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh Datuk Razali Idris.

Malah, AMANAH yang melihat PKR sebagai pesaing mereka dikatakan tidak akan membiarkan parti pembangkang paling lama dalam PH itu mendapat banyak kerusi.

Mereka mungkin hanya mengekalkan enam kerusi tradisi mereka di DUN Bandar serta lima DUN lain termasuk Seberang Takir, Kota Putera, Permaisuri dan dua yang lain.

Sementara PPBM akan hanya diberikan kerusi yang selebihnya selepas dicaturkan oleh AMANAH dan PKR dan tidak ada harapan untuk parti itu berkembang dengan cepat di Terengganu.

Hasbie...calon di Rantau Abang.
Berikutan kedudukan ini, PH Terengganu sewajarnya mempunyai Pengerusi daripada AMANAH – Raja Bahrin - bukan sekadar mempengerusikan  mesyuarat mesyuarat PH.

Dengan kedudukan ini pastinya PAS dan UMNO Terengganu tidak ‘senang duduk’ kerana kekuatan AMANAH ‘amat luar biasa’ dan pemimpin serta calonnya adalah ‘tokoh politik hebat’ yang memang sukar ditandingi oleh PKR dan AMANAH.

Malah AMANAH juga dikatakan sedang berusaha memperjuangan dua kerusi DUN untuk rakan DAP di Terengganu, iaitu DUN Bandar dan Chukai.

Dengan kedudukan AMANAH yang sangat berpengaruh menentukan pembahagian kerusi, calon yang bertanding serta manifestonya, tidaklah pelik jika AMANAH akan menjadi peneraju PH seperti juga di Kelantan.

Jika Kelantan hebat dengan Datuk Husam Musa, Terengganu juga hebat dengan Raja Bahrin dan Dr Syed Azman.

Jadi kepada rakyat Terengganu, berilah sokongan kepada AMANAH kerana ia memang parti sangat berpengaruh di negeri yang berjiran dengan Kelantan itu.

Yakinlah, AMANAH akan berjaya tumpaskan BN dan UMNO, selain memberikan saingan sengit kepada PAS, pada ketika PPBM dan PKR hanya sebagai penumpang!!!