Monday, 26 June 2017

ISUNYA ADALAH WANG RM90 JUTA, BUKAN ‘MENENTANG ISLAM’


Kesian dengan parti PAS. Pemimpinnya sering 'ketinggalan bas dan kereta api' malah ada yang memasuki lorong salah dalam menangani isu yang dihadapi parti mereka.

Semalam seorang pemimpinnya menganggap ‘kes mahkamah Sarawak Report dengan PAS’ sebagai pakatan moden peringkat antarabangsa mahu melawan PAS.

Ia berikutan kejayaan Sarawak Report berjaya mengumpul dana  sebagai biaya melawan saman PAS terhadapnya.

Malah PAS menganggap usaha itu sebagai usaha kumpulan yang bersatu mahu ‘memadam cahaya perjuangan PAS’.

Malah, dituduhnya apa yang dilakukan oleh Sarawak Report itu sebagai ‘dendam dan benci kepada PAS kerana PAS parti tegar dengan prinsip Islam.’

Amat jauh tersasar apa yang disebutkan oleh Naib Presiden PAS  Idris Ahmad mengenai perkara ini.

Isu sebenar apa?

Isu sebenar ialah Sarawak Report mahu mempertahankan drirnya kerana artikelnya yang ‘mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalurkan RM90 juta kepada PAS’

PAS menafikannya dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  pada 21 April lalu memfailkan saman fitnah terhadap Sarawak Report di Mahkamah Tinggi di London.


Apakah isu ini isu agama atau semata-mata  isu berkaitan ‘sumbangan wang oleh Perdana Menteri kepada PAS’ ?

Kerana sampai jauh sekali telahan pemimpin PAS yang seolah-oleh menganggap isu ini sebagai isu bencikan PAS kerana perjuangkan Islam.

Laporan FMT semalam menyebut, sehari selepas portal Sarawak Report mengutip £30,000 (RM160,000) hasil sumbangan orang ramai untuk membantu membela diri dari saman Presiden PAS itu, PAS juga meminta ahlinya supaya menyumbang kepada yuran guaman mereka.

Idris dipetik sebagai  berkata,  dalam masa tiga  hari sahaja Sarawak Report berjaya mengutip jumlah itu daripada 615 penyumbang.

“Mungkin akan dapat banyak lagi,” katanya dalam kenyataan di Harakahdaily semalam.

Tegasnya: “Pakatan moden peringkat antarabangsa akan melawan PAS.”

“Mereka akan bersatu untuk memadam cahaya perjuangan PAS. Mereka cukup dendam dan benci pada PAS kerana PAS parti tegar dengan prinsip Islam.”

Malah beliau menuduh mereka yang menyokong Sarawak Report akan berlumba-lumba untuk menderma kepada portal itu, dan PAS akan menghadap semua cabaran ini “dengan kekuatan ahli PAS”.

“PAS tidak tunduk kepada sesiapa. PAS tidak ada tuan yang memberi dedak sama ada tuan luar negara atau dalam negara. PAS adalah PAS.”

Dilaporkan kelamrin  Sarawak Report berjaya mengutp dana dalam masa sesingkat 3 hari sahaja melalui platform dana terbuka Crowd Justice. Setakat ini mereka berjaya mengutip £30,452 hasil sumbangan 615 penyumbang.

Sarawak Report berkata ia berdepan yuran guaman yang mahal apabila memfailkan pembelaan terhadap saman Hadi.

Sarawak Report pada 6 Ogos tahun lalu yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Datuk Seri Najib Razak “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan UMNO.


Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan PADA 27 April lau berkata, PAS menuntut ganti rugi “besar”, tetapi enggan mendedahkan jumlahnya.

Parti itu turut memohon injunksi terhadap artikel bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections – COMMENT”.

Takiyuddin berkata, artikel itu boleh membayangkan Hadi secara peribadi menerima suapan besar daripada perdana menteri sebagai pertukaran untuk PAS berkompromi dari segi pendirian politiknya. “Ini tuduhan tidak benar sama sekali.

“Dakwaan rasuah seperti ini jelas merosakkan reputasi presiden PAS yang menunjukkan komitmen kepada proses demokrasi untuk tempoh lama, di mana falsafah politik dan tindakannya jelas mencerminkan beliau berpegang teguh kepada prinsip serta ajaran Islam.”

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta setiap ahli menyumbang RM5.00 sementara setiap pemimpin RM100.00 untuk biaya tindakan undang-undang itu.

Di muktamar PAS baru-baru ini, parti itu menubuhkan tabung khas untuk mengutip dana bagi membiayai perbelanjaan undang-undang yang mahal.


Parti itu dilaporkan berjaya mengutip RM200,000.

Saturday, 3 June 2017

KEBARANGKALIAN DALAM ISU ‘RM9.5 JUTA KEPADA 'PEGUAM NAJIB'...


Kerajaan pernah memberitahu Parlimen bahawa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah – peguam kerajaan dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim  dibayar hanya RM1,000.

Bayaran itu untuk tugasnya bertindak sebagai pendakwa utama dalam kes berkenaan.

Hakikatnya, seperti ditegaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini bahawa beliau sedniri tidak tahu jumlah bayaran kepada Shafee.

Bagaimanapun, selepas Sarawak Report  membuat dakwaan bahawa menerima RM9.5 juta daripada Najib dalam dua bayaran - pada 11 September 2013 dan pada 17 Februari 2014, banyak kebarangkalian timbul.

Kerana itu tidak hairanlah apabila Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara mahu Shafee Abdullah disiasat.

Shafie  adalah peguam kanan yang mengetuai pihak pendakwaan dalam kes liwat Anwar dan  berjaya mensabitkan tuduhan liwat terhadap bekas Ketua Pembangkang itu.

Pertanyaan asas ialah apakah tujuan dana besar ini disalur oleh Perdana Menteri  kepada akaun peribadi seorang peguam swasta yang dilantik oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak untuk mengendalikan pendakwaan terhadap beliau?

Jelas dan nyata perbuatan itu menggambarkan keberangkalian lain apakah ada lagi mereka yang turut menerima duit dari SRC International melalui akaun peribadi Najib berkaitan kes ini?


Keterlauankah kalau ditanya apakah Mohd Saiful Bukhari Azlan serta ayahnya juga turut menerima ‘habuan Najib’?

Ini bukan tuduhan, sekadar pertanyaan.

Yang nyata Putrajaya, dalam satu keputusan yang mengejutkan pada 22 Julai 2013, melantik Shafee untuk mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Anwar di Mahkamah Rayuan.

Tindakan ini bertentangan dengan amalan konvensional yang bergantung kepada khidmat pendakwa raya.

Bagi Anwar, dakwaan yang dibuat Sarawak Report bahawa dana berjumlah RM 9.5 juta dari syarikat SRC International telah disalur Perdana Menteri dari akaun peribadi beliau ke dalam akaun peribadi peguam UMNO itu sangat berat.

Kerana itu isu ini perlu disiasat dengan segera, apa lagi sudah ada asas kepada siasatan itu apabila Ketua ARMADA  Parti Bersatu Pribumi Malaysia (ppbm) Syed Saddiq Abdul Rahman awal pagi semalam sudah  membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.


Syed Saddiq dalam laporan itu dengan jelas menamakan Shafee Abdullah sebagai peguam yang menerima dana daripada Najib.

Tindakan Ketua ARMADA PPBM ini yang mendahului kumpulan lain membuat laporan polis membuktikan bahawa PPBM serius menentang amalan menggunakan wang untuk menjatuhkan musuh politik, apa lagi menyalahgunakan sistem kehakiman.

Syed Saddiq berkata walaupun kerajaan mempunyai kuasa untuk melantik seorang pendakwa raya luaran, namun bayaran hendaklah dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan bukan perdana menteri.

Susulan tindakan Syed Saddiq itu, peguam mantan Ketua Pembangkang itu N Surendran berkata pihaknya  akan membincangkan tindakan undang-undang seterusnya.

"Kami akan bertemu dengan Anwar dan segera melihat langkah seterusnya susulan dakwaan itu. Kami akan umumkan tindakan yang akan diambil tidak lama lagi," kata Surendran hari ini.

Perkara ini akan dibincangkan dengan Anwar awal minggu depan kerana perkara ini memberi kesan kepada ank gaumanya.

Nazri yang merupakan bekas menteri undang-undang hari ini menepis dakwaan yang berkisar mengenai bayaran sejumlah RM9.5 juta daripada Perdana Menteri  kepada Shafie itu.

"Saya tidak percaya. Mengapa Najib kena bayar? Kerajaan perlu bayar (Shafee) bukan Najib. Sarawak Report tiada kredibiliti," kata Nazri.

Apa yang akan terus berlaku selain perdebatan mengenai kebarangkalian ialah aka nada  lebih bandak desakan  melalui laporan polis.

Esok dilaporkan akan ada laporan polis daripada PKR umpamanya di Kangar dengan semangat kata-kata Anwar bahawa ‘Kalau Mahkamah bebas, Saya Bebas”.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Anwar dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas bekas timbalan perdana menteri itu.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan tuduhan liwat terhadap Anwar.


Tuesday, 30 May 2017

INVOKE UNTUK KEPENTINGAN RAFIZI, PERLEKEH SESAMA PEMBANGKANG?


Siapa menaja dan menggerakkan INVOKE Malaysia?

Ia bergerak dan mempunyai pejabat dibeberapa negeri dan dilihat mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Siapa tulang belakang sebenar INVOKE dan sejauh ini nampaknya jawapan daripada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sendiri bahawa beliau mengeluarkan belanjanya sendiri hasil simpanannya dalam Lembaga Tabung Haji sebanyak lebih RM 700 ribu untuk menubuhkan INVOKE,  masih banyak menjadi pertanyaan.

 Kenyataan ini agak mengelirukan kerana sehingga tahun lalu, jumlah simpanannya di dalam Tabung Haji adalah sekitar RM600 ribu dan dikatakan tidak terusik sehingga pertengahan Mei lalu.

Rafizi pernah mendakwa INVOKE memperolehi dana sebanyak RM1 juta daripada khidmat sukarela menerusi online dan melalui pindahan bank.

Bagaimanapun menurut sebuah blog, Rafizi gagal menjelaskan apakah khidmat sukarela online yang dibuat selain siapakah yang membuat pemnindahan dana ke bank milik INVOKE.

Persoalan juga apakah INVOKE ditubuhkan sebagai syarikat atau  sebagai sebuah NGO.

Ada pihak mengesyorkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat apa yang sebenarnya berlaku di dalam INVOKE.

Menjadi pertanyaan juga ialah INVOKE menyebut jumlah gaji kakitangannya yang seramai  80 orang berjumlah  RM888,487. Ini secara puratanya gaji kakitangan ialah RM11,106 seorang. Ini dalam tempoh 10 bulan sejak ditubuhkan.

Ia sebenarnya mula beroperasi pada  Ogos 2016 dan jika dikira hingga Mei 2017 sudah masuk bulan ke 10 INVOKE Malaysia beroperasi, bermakna ‘gaji sebenar’ adalah RM1,110.60 seorang.

INVOKE Malaysia kini ada 17 pejabat. Dilaporkan, sebanyak RM44,654 dibelanjakan untuk menyewa 17 pejabat, selama 10 bulan bagi tujuan operasi. Ini bermakna kos sewa satu pejabat sebulan adalah RM262 sahaja untuk sebulan.

Semurah itu gaji dan kos operasi INVOKE Malaysia?

Selain itu, apakah kesemua 17 pejabat ini mengumpul data untuk kajian?

Apakah data-data itu yang membolehkan INVOKE merumuskan siapa sewajarnya menjadi Perdana Menteri yang akhirnya membodek Rafizi sebagai sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan?

Persoalannya apakah Rafizi sebagai Naib Presiden PKR mahu daripada gerakan melalui INVOKE?

Apabila datang ke Terengganu beliau menonjolkan dirinya konon akan ‘menjadi Menteri Besar Terengganu’.

Pada kajian mengenai siapa Perdana Menteri, beliau memperlekehkan pula semua pihak, termasuk Presiden PKR sendiri, dengan meletakkan beliau pada kumpulan yang tercorot dari segi carta pilihan siapa bakal Perdana Menteri Malaysia.

Apakah kerana beberapa kemungkinan – beliau akan dipenjarakan dan tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) - menjadikan beliau gelisah, gundah gulan dan kini ;meroyan’?

Kajian INVOKE agak pelik apabila didapati kedudukan Rafizi lebih tinggi daripada bosnya (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) berdasarkan kajian itu.


Rafizi memperoleh 10.7 peratus sokongan sementara Wan Azizah sekadar mengutip 4.5 peratus manakala Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar masing-masing menerima sokongan 3.5 peratus dan 2.6 peratus.

Mereka yang menerima undian kecil berdasarkan kaji selidik Rafizi itu bagaimanapun tidaklah boleh berkecil hati kerana ” survey” itu dibuat secara rambang.

Walaupun Rafizi kononnya ”pakar ” dalam membuat sesuatu kaji selidik dan membuat berbagai ramalan termasuk mengenai  masa depan ekonomi Malaysia, hasil kajiannya masih banyak ruang untuk dipertikaikan.

Malah, Tun DR Mahathir Mohamad menganggap kajian INVOKE mengenai Perdana Menteri sebagai ‘kajian syok sendiri’ kerana ia dibuat sebelum parti pembangkang belum menguasai kerajaan.

Yang sering ditonjolkan Rafizi ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim  kekal di puncak carta untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan walaupun rundingan mengenai siapa sebenarnya wajar dipilih, jika PH menang pilihan raya, masih berjalan.

Dan apabila INVOKE Malaysia menamakan Rafizi sebagai Perdana Menteri, maka ada cakap-cakap bahawa “selepas Mat Sabu gila hendak jadi Perdana Menteri, datang Rafizi pula teringin hendak jadi PM.”

Adalah sesuatu yang boleh dianggap mereng apabila kajian INVOKE Malaysia menamakan Rafizi bakal Perdana Menteri ketiga popular selepas Anwar dan Dr Mahathir.

Apakah hasil kajian INVOKE bertujuan memberikan ruang kepada Rafizi untuk mencari dan mendedahkan populariti peribadinya semata-mata?

Berdasarkan keputusan kajian INVOKE itu, jelas Rafizi perlu dilantik sebagai Perdana Menteri “sementara” bukannya Wan Azizah.


Tidakkah kajian ini membuktikan ia sesuatu yang bekepentingan, berat sebelah dan bersifat ‘bodek’?

Monday, 15 May 2017

PENURUNAN PANGKAT SATIFUL MEMECAHBELAH PAS TERENGGANU???


Dalam PAS kalau ada krisis atau sikap bermasam muka antara pemimpin dapat ‘disorokkan di bawah permaidani’.

Itulah kebijaksanaan pemimpin PAS dan ketaatan kepada parti yang dibuktikan dengan tindakan sedemikian.

Namun, pada pilihan raya umum, apabila undi merosot atau kalah seseorang calon PAS, jika diselidiki, ia ada kena mengena dengan krisis yang berlaku di sesuatu kawasan atau juga ranting tertentu.

Jadi apaabila Pesuruhjaya PAS Negeri yan baru dilantik semalam menafikan berlakunya perpecahan atau pergolakan dalaman parti seperti yang didakwa sesetengah pihak, ia ada asas untuk mempercayai memang wujud pergolakan.

Malah sesuatu penafian dibuat ialah selepas ‘pokok bergoyang apabila ditiup angin’, apa lagi badai Pantai Timur.

Menghairankan, Pesuruhjayanya Datuk Husain Awang (gambar bawah) sendiri mengatakan beliau bersyukur kerana dilantik mengambil alih kepimpinan PAS Terengganu dalam organisasi yang kukuh.

Menururnya: “PAS Terengganu berjaya membentuk dan melantik Jawatankuasa PAS Terengganu terdiri dari kalangan ulama, professional dan tenaga-tenaga muda bagi memacu dalam keadaan yang kukuh dan kuat bagi melaksanakan amanah sebagaimana legasi yang ditinggalkan oleh Pesuruhjaya yang lalu.”


Jika sudah kuat, kenapa ditukarkan dengan pemimpin yang lebih tua daripada Satiful Bahri Mamat?

Apakah ini puncanya kenapa PAS Terengganu bergolak?

Ini kerana pada pengumuman sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Negeri sebelumnya Satiful digugurkan dan beliau dikatakan akan menyertai kepimpinan pusat sebagai.Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Walaupun ia penting untuk PAS Terengganu tetapi kedudukan Satiful di peringkat negeri belum teruji sepenuhnya.

Beliau mengambil alih kerusi itu selepas PAS menang dengan bergaya selepas PRU13 yang sebelumnya Pesuruhjaya PAS negeri diterajui oleh Abdul Wahid Endut.

Namun kini nama Satiful muncul semula tetapi diletakkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 (Satu).

Turun pangkatlah tu, walaupun diberikan jawatan di peringkat itu.

Apakah PAS tidak yakin dengan kepimpinan PAS negeri untuk sekurang-kurangnya mengekalkan 4 kerusi Parlimen dan 14 kerusi DUN?

Persoalan yang boleh diajukan ialah, kenapa sebelum ini Satiful seolah-olah mahu dilenyapkan tetapi ditimbulkan semula?

Satiful yang mengambil alih daripada Wahid dilihat mungkin berjaya mengemudikan Terengganu untuk menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14, melalui sokongan pembangkang lain.

Namun kerana sikap ‘mesra beliau’ dengan pemimpin Parti Berstu Pribumi Malaysi (PPBM) dikatakan punca dikerat oleh kepimpinan pusat.

Satiful mengundang Pengerusi Badan Pimpinan PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris (kanan) ke ceramah bersamanya di Ketengah Jaya bulan lalu.

Tindakannya mengejutkan banyak pihak, bukan sahaja dalam PAS negeri tetapi juga PAS Pusat.

Tindakannya itu dikatakan membawa isyarat bahawa PAS Terengganu ‘lebih mesra’ dengan PPBM berbanding UMNO, apa lagi AMANAH Terengganu.

Ada pihak mengatakan risiko yang diambil Satiful berat dan menjejaskan kedudukannya.
Malah dia dikatakan sanggup ‘menongkah arus’ dengan pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu PAS ‘mesra dengan UMNO’.

Dikatakan Satiful melihat kerjasama dengan dengan PPBM akan mngukuhkan keyakinan untuk menawan Terengganu dan menjatuhkan BN.

Namun kini beliau yang jatuh apabila turut kecundang pada pmilihan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS.

Pesuruhjaya PAS Terengganu semalam menafikan wujud pergolakan dan kurang mesra anggota kepimpinan PAS negeri itu.


"Saya menafikan perkara itu sebab tiada sebarang krisis, tiada perpecahan dan perebutan jawatan yang berlaku dalam PAS berkaitan rombakan kepimpinan itu," katanya. 

Sebaliknya, ahli-ahli jawatankuasa PAS negeri yang baharu akan memantapkan lagi saf kepimpinan PAS negeri di samping meneruskan legasi pemimpin terdahulu, katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa PAS Terengganu belum menyenaraikan calon bagi semua kerusi yang bakal ditandingi pada PRU akan datang.

Husain, yang tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRU14, bagaimanapun tidak menyatakan apakah Satiful juga akan mempertahankan kerusinya di DUN Paka.

Berdasarkan makluman dalaman PAS, kecelaruan perlantikan AJK baru peringkat negeri akan menjejaskan gerakan PAS menawan Terengganu dan mainan UMNO untuk memecahbelahkan perpaduan PAS Terengganu semakin berjaya.
Laman UMNO tajaan Menteri Besar Terengganu meramalkan Satiful bakal ditukarkan,
Ternyata kepimpinan Pusat termakan dengan ‘bisikan tertantu’ agar menggantikan kepimpinan negeri yang ada.


Ironinya ia dibuat ketika hampir PRU14 berdasarkan ‘kemesraan beberapa pemimpin penting PAS Terengganu’ dengan kepemimpinan PPBM negeri diketuai oleh Razali Idris.

Sunday, 30 April 2017

RAMAI KECEWA, 4 ADUN PKR LOMPAT PARTI HANYA PROPAGANDA...


Namanya pun propaganda – berita propadganda.

Dan yang paling banyak bersuara dan viralkan berita malaysiapropagandanews ini adalah bekas orang kuat PKR tetapi sejak kesekian cari makan dalam UMNO tetapi tidak dilayan.

Namun kali ini mata kailnya mungkin mengena dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Apa lagi ‘melompat-lompat gilalah dia’.

Oleh kerana bekas PKR, seperti juga bekas Parti Semangat 46, maka kena tunjuklah ‘lebih kuat dari orang UMNO’.

Lagipun sudah pasti selepas meraung dan meminta dedak di mana-mana dan sudah ditolong, dia menjadi begitu taksub dengan propagandanya bahawa akan ada empat (4) Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Selangor akan lompat.

Selain menggunakan bahasa kesat dan bercita-cita sangat untuk mendapat jawatan di SUK Selangor, orang ini sanggup berbuat apa sahaja, walaupun fitnah dan propaganda jahat.

Yang nyatanya?

Yang nyatanya, “Dakwaan Empat Adun PKR Lompat Parti Hanya Propaganda” demikian lapor mStar hari ini.

mStar melaporkan, khabar angin tentang empat ADUN  PKR akan lompat parti bagi menubuhkan kerajaan campuran baru di Selangor disifatkan sebagai propaganda semata-mata.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, spekulasi tersebut mungkin berpunca daripada pihak yang ‘ingin kembali’.


“Itu hanya propaganda dan spekulasi semata-mata. Mungkin ada pihak yang kecewa kehilangan kedudukan satu ketika dahulu berharap untuk kembali.

"Sejak 2008 ramai Adun dikaitkan melompat sana sini namun ia tidak berlaku. Jika ada pun hanya satu kes terpencil di Selangor.

“Kita sedar ada sedikit usaha pihak tertentu ke arah itu sejak November 2014 lagi dan terbaru, mereka merisik khabar dengan beberapa Adun. Mungkin mereka terlibat dengan penyiaran propaganda itu,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah blog mengatakan empat Adun PKR akan meninggalkan parti itu dan menubuhkan kerajaan baharu.

Katanya, di sebalik khabar angin itu, kerjasama dengan semua Adun dari PAS, Amanah, DAP dan PKR berjalan dengan baik hingga kini.

“Malam ini pun beberapa Adun dari PKR dan PAS menyertai delegasi menteri besar ke Timur Tengah bagi meninjau keadaan pelajar-pelajar Selangor di sana.


“Maka tiada masalah besar atau apa-apa yang berlaku. Kerajaan negeri berjalan seperti biasa dan lancar. Pakatan Selangor akan teruskan pentadbiran seperti biasa dan kami kekal fokus dengan agenda Membangun Bangsa, Memakmur Negeri," katanya.

Tuesday, 4 April 2017

MUNGKINKAH AKTA 164 TERUS GONCANGKAN ‘KEAKRABAN PAS-UMNO’?


"UMNO bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan Allah jika pindaan Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016, atau Akta 164 diluluskan."

Takut dan seram mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Katanya,  pindaan itu jelas mahu merosakkan akidah dan menyekat umat Islam mengamalkan hukum syariah.

“Umat Islam wajib bersatu menolak pindaan…” katanya.

Tidakkah ini membawa makna bahawa seluruh  umat Islam – tidak kira dalam PAS atau di luarnya, atas dasar Islam - berhak mempertahankan aqidah “tanpa gangguan daripada mana-mana pihak”?

Menariknya, kelmarin mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata cadangan pindaan itu akan menafikan hak seorang mualaf, serta mengkepikan kuasa mahkamah syariah.

Dengan pindaan Akta 164 ini, ia tidak akan membenarkan seseorang anak ditukar agamanya oleh salah seorang ibu bapa, seperti yang berlaku dalam beberapa kes merebut hak penjagaan di mana bapa yang memeluk Islam, menukar agama anak tanpa kebenaran ibunya.

Nik Abduh...umat Islam perlu bersatu menolaknya.
Pindaan termasuk Seksyen 88A yang baharu, iaitu “kedua-dua pihak” dalam perkahwinan sivil perlu bersetuju untuk menukarkan agama anak bawah umur kepada Islam.

Ia juga memberi kuasa kepada mahkamah sivil menentukan perkara membabitkan perkahwinan sivil, walaupun jika salah seorang daripada pasangan sudah memeluk Islam.

Rang undang-undang pindaan itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada November tahun lalu dan memasukkan klausa baru yang menyatakan bahawa agama kanak-kanak kekal sebagai agama bapa dan ibu semasa perkahwinan itu dan sebelum penukaran agama, sama ada oleh ibu mahupun bapa.

Pindaan juga menyebut penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Selain itu,  pindaan juga  untuk menangani isu-isu berkaitan penukaran agama secara unilateral bagi kanak-kanak bawah umur dalam situasi salah seorang ibu atau bapanya memeluk Islam selepas bercerai.

Di pihak kerajaan, semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa keputusan memminda Akta 164 adalah berdasarkan kepada kepentingan negara.

“Sebagai mana dimaklumkan (oleh) speaker Dewan Rakyat, kita akan melihat bahawa kepentingan negara mengatasi kepentingan lain. Kita harap apa juga keputusan yang dibuat kerajaan kita mesti berlapang dada. Kita menghormati semua agama, kita menghormati hak semua kaum.

“Dalam soal ini keputusan kerajaan adalah berdasarkan kepentingan negara keseluruhannya,” katanya.


Di sebalik menghormati pandangan mufti itu, Dr Ahmad Zahid mengesahkan bahawa dirinya akan membincangkan perkara berkenaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Said Othman yang ditugaskan untuk membentangkan pindaan tersebut.ngulas kenyataan yang mahu kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan Akta 164 itu.

Kerajaan dijangka membentangkan pindaan rang undang-undang itu pada sesi parlimen yang sedang bersidang ketika ini.

Berkaitan ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  mencadangkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula undang-undang menghalang salah satu daripada ibu bapa untuk menukar agama kanak-kanak bawah umur di bawah Akta 164  yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Katanya,  undang-undang tersebut, yang dilihat penyelesaian terhadap tuntutan hak penjagaan anak oleh bekas suami isteri yang berlainan agama, boleh memberikan kesan serius terhadap kebebasan umat Islam mengamalkan agama mereka.

Apakah perbahasan mengenai akta ini akan memperlihatkan ‘ketegangan’ antara ahli Dwan Rakyat PAS dan Barisan Nasional/UMNO serta sekutunya?

Saranan Hadi semalam selang seminggu selepas BN mengumumkan tidak akan mengambil alih rang undang-undang persendirian yang dibentangkan Hadi untuk memperkenalkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.

November lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan  meletakkan syarat tidak membantah pindaan Akta 164 dengan syarat ahli Parlimen bukan Islam tidak membantah RUU355 yang akan dibentangkan Hadi.

“Jika mereka (bukan Islam) mahu bantah undang-undang yang akan hanya memberi kesan kepada Muslim, maka kami (orang Islam) juga boleh menentang cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian),” katanya.

Wajarkah tawar menawar dilakukandi atas kepentingan Islam hanya kerana mahu menjamin RUU355 dibahas daan diluluskan?

Apakah permainan politik PAS dalam isu RUU355 dan Akta 164 ini?

Jika sebelum ini PAS boleh ‘bertolak ansur dalam Akta 164’ tetapi kenapa kini begitu bertegas mengenanya?

Menurut Hadi semalam  Akta 164  perlu “dikaji semula secara mendalam” oleh sebuah jawatankuasa untuk mencari “penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif”.

Jawatankuasa itu perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan sama ada daripada kalangan penganut Islam dan juga agama-agama lain.

Perlu sekali diaambil pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil, pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya yang merupakan pihak yang terkesan secara langsung dalam pindaan Akta 164 ini.

Melalui kenyataannya hari ini, Presiden PAS itu berkata umat Islam berhak mempertahankan aqidah “tanpa gangguan daripada mana-mana pihak”.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS pernah memberi isyarat parti itu tidak akan menyokong pindaan Akta 164.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan pernah berkata:  “Pindaan ini akan merobek aqidah anak kecil dan memberi kemenangan kepada perjuangan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) suatu masa dahulu yang kita sama-sama telah tolak dahulu secara keseluruhannya.”


Kenyataan pemimpin PAS ini menarik dan selepas ini kita saksikan pula ‘drama terbaru’ selepas Drama RUU355 yang menggoncangkan ‘hubungan akrab PAS-UMNO’ sebelum ini.

Saturday, 1 April 2017

1MDB - KENAPA MAHU MELINDUNGI PERDANA MENTERI???


Apakah perbuatan mencuri wang rakyat, menyeleweng dan melakukan penipuan bukan perbuatan jenayah?

Kenapa kerajaan tidak berusaha untuk melindungi harta dan khazanah rakyat Malaysia daripada kehilangan atau kerugian, sebaliknya menganggap perbuatan mencuri wang milik 1MDB sebagai perbuatan sivil?

Juga logikkah sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya menasihati rakyat Malaysia untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap penemuan oleh Peguam Negara dan pegawai tinggi Amerika Syarikat (AS) mengenai 1MDB?

Juga apakah tindakan perampasan aset milik mereka yang dinamakan hasil pemindahan wang haram yang dikatakan terbesar dalam sejarah AS, mungkin juga dunia diabaikan begitu sahaja?

Kenapa Najib mengatakan kes tersebut melibatkan mereka yang dinamakan sahaja dan proses perundangan masih berjalan?

Walaupun ia kes sivil yang bertujuan untuk merampas aset-aset, tetapi ia juga merupakan bukti penipuan oleh mereka yang dinamakan?

Berikutan itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mencabar Najib  sebagai Menteri Kewangan untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.


“Saya akan tetap berdiri teguh dengan pendirian saya dan tidak akan sekali-kali berundur daripada kepercayaan dan keyakinan saya dalam perjuangan mempertahankan hak dan maruah seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Apakah yang perlu Najib lakukan?

1.      Jika 1MDB dan Kerajaan Malaysia secara tegas mahu melindungi harta pendedahan yang amat mengejutkan ini seharusnya mendorong mereka mengambil tindakan segera mengikut undang-undang Malaysia ke atas MALAYSIAN OFFICIAL 1, Reza Aziz, Jho Low dan nama-nama lain yang disenaraikan dalam laporan Peguam Negara AS;

2.      Ambil serius keputusan pihak Peguam Negara Amerika Syarikat dengan menghantar delegasi tertinggi kerajaan untuk mendapatkan butiran terperinci dari Amerika Syarikat;

3.      Tubuh sebuah tribunal bebas untuk menyiasat dan memulakan proses pendakwaan jenayah dengan kadar segera terhadap mereka didapati terlibat atau bersubahat dalam pemindahan wang haram berjumlah puluhan bilion ringgit yang amat memalukan negara. Ini kerana wang rakyat Malaysia dalam jumlah yang amat besar didapati hilang dan dilesapkan oleh mereka yang dinamakan.

4.      Sepatutnya sudah menghantar Peguam Negara Malaysia dan Ketua Polis Negara ke Amerika Syarikat dengan segera untuk mendapatkan kerjasama negara itu supaya tindakan undang-undang Malaysia yang sesuai boleh diambil terhadap mereka yang terbabit.

5.      Sewajarnya telah mengarahkan Peguam Negara dan 1MDB segera menuntut wang yang dilapor dicuri daripada syarikat milik negara.

Muhyiddin  amat kecewa dengan sikap penafian yang teruk yang dinyatakan oleh Najib  dan konco-konconya berkenaan kes penipuan terbesar yang ditemui oleh pihak kerajaan Amerika itu.

Nampak benar semua ini tidak dilakukan oleh Najib sebaliknya hanya berkata kes ini bukan kes jenayah tetapi kes sivil dan orang-orang yang dinamakan dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhak mendapat pembelaan yang sewajarnya.


Adakah ini sepatutnya respon seorang Perdana Menteri terhadap kes penemuan sejumlah besar wang yang dicuri daripada sebuah syarikat pelaburan strategik negara?

Adakah pembelaan terhadap individu yang dituduh terlibat dalam perompakan harta negara lebih penting berbanding pembelaan terhadap seluruh rakyat yang terpaksa menanggung beban kehilangan puluhan bilion ringgit wang negara?

Peguam Negara Malaysia juga tidak menjalankan amanah! Logikkah apabila dia berkata tindakan sivil di Amerika Syarikat itu tidak membabitkan Najib?

Siapakah MALAYSIAN OFFICIAL 1 yang difahami oleh Peguam Negara seperti yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan AS?

Jika dia tidak tahu, tidak bolehkah dia bertanya dengan rakan sejawatnya di Amerika Syarikat siapakah dia MALAYSIAN OFFICIAL 1?

Disebut dengan terang dalam laporan Jabatan Keadilan AS, orang ini memiliki sejumlah AS681 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya di Ambank Malaysia.

Yang kita tahu, tiada orang lain yang dilaporkan mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun peribadi di AmBank selain Najib!


Selain itu bagaimana boleh terjadi pasukan penyiasat negara kita tidak menemui sebarang bukti kehilangan wang 1MDB, sedangkan pasukan penyiasat negara asing menemuinya?

Bukankah ini sepatutnya memeranjatkan Peguam Negara?

Bukankah perkara ini yang harus diutamakan, bukan melindungi Perdana Menteri! Nampak benar rakyat Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan dia untuk melindungi kepentingan negara!

Apakah harapan kita untuk terus percaya dengan Perdana Menteri Malaysia?

Jelas dan nyata tindakan Najib selama ini  adalah untuk melindungi diri sendiri, bukan melindungi kepentingan rakyat Malaysia!

Dengan pendedahan yang tidak dapat lagi diselindungi oleh sesiapapun ini, maka kerajaan Malaysia pimpinan Najib telah mengkhianati Rakyat Malaysia dan sepatutnya menanggung akibat daripada perbuatan salahlaku yang amat serius ini!

Bukan sahaja ia merupakan kes jenayah dan sivil yang cukup memalukan, malahan dari segi moral pun Najib sebenarnya tiada pilihan lain selain meletak jawatan dengan serta merta!

Berikutan itu Presiden PPBM itu berharap rakyat SEDAR dan BANGKIT bersuara dengan berani menuntut mereka yang merompak harta negara dihukum.