Tuesday, 4 April 2017

MUNGKINKAH AKTA 164 TERUS GONCANGKAN ‘KEAKRABAN PAS-UMNO’?


"UMNO bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan Allah jika pindaan Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016, atau Akta 164 diluluskan."

Takut dan seram mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Katanya,  pindaan itu jelas mahu merosakkan akidah dan menyekat umat Islam mengamalkan hukum syariah.

“Umat Islam wajib bersatu menolak pindaan…” katanya.

Tidakkah ini membawa makna bahawa seluruh  umat Islam – tidak kira dalam PAS atau di luarnya, atas dasar Islam - berhak mempertahankan aqidah “tanpa gangguan daripada mana-mana pihak”?

Menariknya, kelmarin mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata cadangan pindaan itu akan menafikan hak seorang mualaf, serta mengkepikan kuasa mahkamah syariah.

Dengan pindaan Akta 164 ini, ia tidak akan membenarkan seseorang anak ditukar agamanya oleh salah seorang ibu bapa, seperti yang berlaku dalam beberapa kes merebut hak penjagaan di mana bapa yang memeluk Islam, menukar agama anak tanpa kebenaran ibunya.

Nik Abduh...umat Islam perlu bersatu menolaknya.
Pindaan termasuk Seksyen 88A yang baharu, iaitu “kedua-dua pihak” dalam perkahwinan sivil perlu bersetuju untuk menukarkan agama anak bawah umur kepada Islam.

Ia juga memberi kuasa kepada mahkamah sivil menentukan perkara membabitkan perkahwinan sivil, walaupun jika salah seorang daripada pasangan sudah memeluk Islam.

Rang undang-undang pindaan itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada November tahun lalu dan memasukkan klausa baru yang menyatakan bahawa agama kanak-kanak kekal sebagai agama bapa dan ibu semasa perkahwinan itu dan sebelum penukaran agama, sama ada oleh ibu mahupun bapa.

Pindaan juga menyebut penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Selain itu,  pindaan juga  untuk menangani isu-isu berkaitan penukaran agama secara unilateral bagi kanak-kanak bawah umur dalam situasi salah seorang ibu atau bapanya memeluk Islam selepas bercerai.

Di pihak kerajaan, semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa keputusan memminda Akta 164 adalah berdasarkan kepada kepentingan negara.

“Sebagai mana dimaklumkan (oleh) speaker Dewan Rakyat, kita akan melihat bahawa kepentingan negara mengatasi kepentingan lain. Kita harap apa juga keputusan yang dibuat kerajaan kita mesti berlapang dada. Kita menghormati semua agama, kita menghormati hak semua kaum.

“Dalam soal ini keputusan kerajaan adalah berdasarkan kepentingan negara keseluruhannya,” katanya.


Di sebalik menghormati pandangan mufti itu, Dr Ahmad Zahid mengesahkan bahawa dirinya akan membincangkan perkara berkenaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Said Othman yang ditugaskan untuk membentangkan pindaan tersebut.ngulas kenyataan yang mahu kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan Akta 164 itu.

Kerajaan dijangka membentangkan pindaan rang undang-undang itu pada sesi parlimen yang sedang bersidang ketika ini.

Berkaitan ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  mencadangkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula undang-undang menghalang salah satu daripada ibu bapa untuk menukar agama kanak-kanak bawah umur di bawah Akta 164  yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Katanya,  undang-undang tersebut, yang dilihat penyelesaian terhadap tuntutan hak penjagaan anak oleh bekas suami isteri yang berlainan agama, boleh memberikan kesan serius terhadap kebebasan umat Islam mengamalkan agama mereka.

Apakah perbahasan mengenai akta ini akan memperlihatkan ‘ketegangan’ antara ahli Dwan Rakyat PAS dan Barisan Nasional/UMNO serta sekutunya?

Saranan Hadi semalam selang seminggu selepas BN mengumumkan tidak akan mengambil alih rang undang-undang persendirian yang dibentangkan Hadi untuk memperkenalkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.

November lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan  meletakkan syarat tidak membantah pindaan Akta 164 dengan syarat ahli Parlimen bukan Islam tidak membantah RUU355 yang akan dibentangkan Hadi.

“Jika mereka (bukan Islam) mahu bantah undang-undang yang akan hanya memberi kesan kepada Muslim, maka kami (orang Islam) juga boleh menentang cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian),” katanya.

Wajarkah tawar menawar dilakukandi atas kepentingan Islam hanya kerana mahu menjamin RUU355 dibahas daan diluluskan?

Apakah permainan politik PAS dalam isu RUU355 dan Akta 164 ini?

Jika sebelum ini PAS boleh ‘bertolak ansur dalam Akta 164’ tetapi kenapa kini begitu bertegas mengenanya?

Menurut Hadi semalam  Akta 164  perlu “dikaji semula secara mendalam” oleh sebuah jawatankuasa untuk mencari “penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif”.

Jawatankuasa itu perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan sama ada daripada kalangan penganut Islam dan juga agama-agama lain.

Perlu sekali diaambil pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil, pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya yang merupakan pihak yang terkesan secara langsung dalam pindaan Akta 164 ini.

Melalui kenyataannya hari ini, Presiden PAS itu berkata umat Islam berhak mempertahankan aqidah “tanpa gangguan daripada mana-mana pihak”.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS pernah memberi isyarat parti itu tidak akan menyokong pindaan Akta 164.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan pernah berkata:  “Pindaan ini akan merobek aqidah anak kecil dan memberi kemenangan kepada perjuangan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) suatu masa dahulu yang kita sama-sama telah tolak dahulu secara keseluruhannya.”


Kenyataan pemimpin PAS ini menarik dan selepas ini kita saksikan pula ‘drama terbaru’ selepas Drama RUU355 yang menggoncangkan ‘hubungan akrab PAS-UMNO’ sebelum ini.

Saturday, 1 April 2017

1MDB - KENAPA MAHU MELINDUNGI PERDANA MENTERI???


Apakah perbuatan mencuri wang rakyat, menyeleweng dan melakukan penipuan bukan perbuatan jenayah?

Kenapa kerajaan tidak berusaha untuk melindungi harta dan khazanah rakyat Malaysia daripada kehilangan atau kerugian, sebaliknya menganggap perbuatan mencuri wang milik 1MDB sebagai perbuatan sivil?

Juga logikkah sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya menasihati rakyat Malaysia untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap penemuan oleh Peguam Negara dan pegawai tinggi Amerika Syarikat (AS) mengenai 1MDB?

Juga apakah tindakan perampasan aset milik mereka yang dinamakan hasil pemindahan wang haram yang dikatakan terbesar dalam sejarah AS, mungkin juga dunia diabaikan begitu sahaja?

Kenapa Najib mengatakan kes tersebut melibatkan mereka yang dinamakan sahaja dan proses perundangan masih berjalan?

Walaupun ia kes sivil yang bertujuan untuk merampas aset-aset, tetapi ia juga merupakan bukti penipuan oleh mereka yang dinamakan?

Berikutan itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mencabar Najib  sebagai Menteri Kewangan untuk mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.


“Saya akan tetap berdiri teguh dengan pendirian saya dan tidak akan sekali-kali berundur daripada kepercayaan dan keyakinan saya dalam perjuangan mempertahankan hak dan maruah seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Apakah yang perlu Najib lakukan?

1.      Jika 1MDB dan Kerajaan Malaysia secara tegas mahu melindungi harta pendedahan yang amat mengejutkan ini seharusnya mendorong mereka mengambil tindakan segera mengikut undang-undang Malaysia ke atas MALAYSIAN OFFICIAL 1, Reza Aziz, Jho Low dan nama-nama lain yang disenaraikan dalam laporan Peguam Negara AS;

2.      Ambil serius keputusan pihak Peguam Negara Amerika Syarikat dengan menghantar delegasi tertinggi kerajaan untuk mendapatkan butiran terperinci dari Amerika Syarikat;

3.      Tubuh sebuah tribunal bebas untuk menyiasat dan memulakan proses pendakwaan jenayah dengan kadar segera terhadap mereka didapati terlibat atau bersubahat dalam pemindahan wang haram berjumlah puluhan bilion ringgit yang amat memalukan negara. Ini kerana wang rakyat Malaysia dalam jumlah yang amat besar didapati hilang dan dilesapkan oleh mereka yang dinamakan.

4.      Sepatutnya sudah menghantar Peguam Negara Malaysia dan Ketua Polis Negara ke Amerika Syarikat dengan segera untuk mendapatkan kerjasama negara itu supaya tindakan undang-undang Malaysia yang sesuai boleh diambil terhadap mereka yang terbabit.

5.      Sewajarnya telah mengarahkan Peguam Negara dan 1MDB segera menuntut wang yang dilapor dicuri daripada syarikat milik negara.

Muhyiddin  amat kecewa dengan sikap penafian yang teruk yang dinyatakan oleh Najib  dan konco-konconya berkenaan kes penipuan terbesar yang ditemui oleh pihak kerajaan Amerika itu.

Nampak benar semua ini tidak dilakukan oleh Najib sebaliknya hanya berkata kes ini bukan kes jenayah tetapi kes sivil dan orang-orang yang dinamakan dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhak mendapat pembelaan yang sewajarnya.


Adakah ini sepatutnya respon seorang Perdana Menteri terhadap kes penemuan sejumlah besar wang yang dicuri daripada sebuah syarikat pelaburan strategik negara?

Adakah pembelaan terhadap individu yang dituduh terlibat dalam perompakan harta negara lebih penting berbanding pembelaan terhadap seluruh rakyat yang terpaksa menanggung beban kehilangan puluhan bilion ringgit wang negara?

Peguam Negara Malaysia juga tidak menjalankan amanah! Logikkah apabila dia berkata tindakan sivil di Amerika Syarikat itu tidak membabitkan Najib?

Siapakah MALAYSIAN OFFICIAL 1 yang difahami oleh Peguam Negara seperti yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan AS?

Jika dia tidak tahu, tidak bolehkah dia bertanya dengan rakan sejawatnya di Amerika Syarikat siapakah dia MALAYSIAN OFFICIAL 1?

Disebut dengan terang dalam laporan Jabatan Keadilan AS, orang ini memiliki sejumlah AS681 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya di Ambank Malaysia.

Yang kita tahu, tiada orang lain yang dilaporkan mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun peribadi di AmBank selain Najib!


Selain itu bagaimana boleh terjadi pasukan penyiasat negara kita tidak menemui sebarang bukti kehilangan wang 1MDB, sedangkan pasukan penyiasat negara asing menemuinya?

Bukankah ini sepatutnya memeranjatkan Peguam Negara?

Bukankah perkara ini yang harus diutamakan, bukan melindungi Perdana Menteri! Nampak benar rakyat Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan dia untuk melindungi kepentingan negara!

Apakah harapan kita untuk terus percaya dengan Perdana Menteri Malaysia?

Jelas dan nyata tindakan Najib selama ini  adalah untuk melindungi diri sendiri, bukan melindungi kepentingan rakyat Malaysia!

Dengan pendedahan yang tidak dapat lagi diselindungi oleh sesiapapun ini, maka kerajaan Malaysia pimpinan Najib telah mengkhianati Rakyat Malaysia dan sepatutnya menanggung akibat daripada perbuatan salahlaku yang amat serius ini!

Bukan sahaja ia merupakan kes jenayah dan sivil yang cukup memalukan, malahan dari segi moral pun Najib sebenarnya tiada pilihan lain selain meletak jawatan dengan serta merta!

Berikutan itu Presiden PPBM itu berharap rakyat SEDAR dan BANGKIT bersuara dengan berani menuntut mereka yang merompak harta negara dihukum.

Wednesday, 29 March 2017

ISU BERTAM – BAIK BERDIAM DIRI DARIPADA KEDUDUKAN TERGUGAT?

Azan Ismail...lengah-lengahkan tuntutan Bertam.
Bersilatlah selagi boleh wahai Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman!

Rakyat Terengganu sudah jemu dan muak dengan jawapan mengenai status pemilikan mutlak telaga minyak Bertam.

Tiada bukti jelas bahawa kerajaan negeri membawa perkara ini kepada pihak berkaitan.

Walaupun isu ini sudah dipersoalkan sejak dua ahun lalu, namun statusnya tetap sama. TIDAK ADA KATA PUTUS!!!.

Masih ingat bagaimana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said memperkatakan mengenai isu ini pada sidang DUN dua tahun lalu?

Sehingga kini belum ada jawapan yang memuaskan daripada Menteri Besar Terengganu seperti:

(a)    sikap kerajaan negeri  mengenai penemuan minyak Bertam 307 yang terletak 120 km dari Pantai Geliga, yang mana Perdana Menteri telah menyebut bahawa Bertam 307 adalah ditemui di Pahang. (Ahmad Said menafikan dakwaan Perdana Menteri  itu sambil menegaskan ia adalah hak Terengganu. Pahang ada sedikit 307 A dan B, Bertam A, B tapi sedikit sahaja);

(b)    meminta agar Menteri Besar memikul amanah rakyat Terengganu dengan mendapatkan kepastian daripada perdana menteri berkenaan status Bertam 307 itu.  (Ahmad Said memaklumkan kepada Dewan, ketika dia menjadi Menteri Besar, beliau pernah menulis surat kepada Petronas dan Petronas hanya mendiamkan diri).

Malah, pertubuhan bukan kerajaan, Royalti Terengganu (R) pernah menyelar kenyataan Ahmad Razif bahawa telaga minyak Bertam tidak berada dalam lingkungan tiga batu nautika yang membolehkan ia menjadi hak milik penuh kerajaan negeri.

Pengerusi R Terengganu Mohamad Fauzi Abdul Samah berkata, hasil selidikan R mendapati telaga minyak itu berada pada jarak 86 batu nautika atau 160 km dari perairan Pahang. 

Sedangkan katanya, dari perairan Terengganu, telaga tersebut hanya berada jarak 74.5 batu nautika atau kira-kira 120 km sahaja menunjukkan jarak telaga tersebut lebih dekat dengan Terengganu berbanding Pahang.


“Perkara yang lebih besar dari itu, Razif telah meletakkan Terengganu dalam krisis kedaulatan. Isu kesempadanan bukanlah perkara yang enteng kerana setiap negeri mempunyai autoriti tersendiri terhadap tanah air mereka sebagaimana yang dijamin dalam perlembagaan persekutuan,” katanya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam,  Dewan diberitahu bahawa status pemilikan mutlak telaga minyak Bertam sama ada menjadi hak negeri ini atau Pahang masih belum diputuskan.

Ahmad Razif menjelaskan, soal itu masih da­lam perbincangan dan kerajaan akan meneruskan tuntutan ro­yalti setelah mendapat pe­nge­sahan soal persempadanan bagi menentukan kedudukan sebenar telaga minyak itu.

“Persempadanan ini masih d­i­teliti oleh Jabatan Ukur dan Pe­me­taan Malaysia, apabila sudah tahu keputusan barulah boleh diteruskan tuntutan (royalti),” ka­tanya pada sidang DUN itu.

Ahmad Razif turut menafikan kerajaan melengah-lengahkan so­­al tuntutan royalti menjelaskan keadaan tersebut ketika menjawab soalan tambahan anggota pembangkang, Azan Ismail (PKR-Bandar).

Beliau seterusnya mem­­be­ritahu, berdasarkan per­janjian asal, Te­rengganu se­patutnya akan tu­rut me­nerima ro­yalti daripada telaga minyak Bertam sebanyak lima peratus setahun atau antara RM9 juta hingga RM10 juta.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut, Menteri Besar mengubah kepada kenyataannya bahawa kera­ja­an negeri amat menghargai keprihatinan kerajaan Pusat yang menyalurkan wang royalti minyak daripada Petronas kepada kerajaan nege­ri me­lebihi daripada jumlah diminta.

“Sepatutnya tahun ini kita terima RM500 juta tetapi kerajaan Pusat telah bayar kepada kita sebanyak RM550 juta, terlebih RM50 juta.

“Inilah hasil perun­dingan ke­rajaan Pusat dengan kerajaan negeri (Terengganu) umpama hu­bungan anak dengan ayah, tidak ada masalah kerana darah yang mengalir adalah sama.

“Kalau tak sama, tentu payah dapat apatah lagi beri lebih daripada yang diminta,” katanya.

Ahmad Razif cuba mempengaruhi pendapat umum bahawa hanya dengan BN memerintah di negeri dan di Posit juga BN, maka semua urusan menjadi lebih mudah.

Namun jika demikian, kenapa isu status Bertam ini tetap payah dan kenapa pula mengambil masa begitu lama?

Atau apakah Ahmad Razif sebenarnya tidak berani memperkatakan perkara ini bimbang Najib berang dan beliau berdepan masalah dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Jawapan mengenai Bertam dan kedudukannya sebagai Menteri Besar ada pada beliau.

Namun rakyat Terengganu tahu apa keadaan dana pa sebenarnya yang berlaku pada Bertam!


Tuesday, 28 March 2017

SUDIKAH PAS BEKERJASAMA DENGAN UMNO PADA PRU14?


Pemimpin UMNO Terengganu meloncat-loncat gembira apabila empat kawasan PAS Terengganu mencadangkan agar diputuskan kerjasama dengan PKR.

Mereka merasakan keputusan PAS itu sudah muktamad dan akan memberikan  kelebihan kepada UMNO tanpa melihat wujudnya Pakatan Harapan (PH) yang juga gagah serta mampu mencabar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar begitu gembira dan mengajak supaya PAS bersama-sama UMNO.

Pebuatan ‘menangguk di air keruh’ yang dilakukan oleh Iskandar itu menmggambarkan betapa BN dan UMNO kini begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan PAS bagi menjamin UMNO terus berkuasa di Terengganu.

Atau setidak-tidaknya, UMNO mahu PAS menjadi rakan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti bagi menjamin UMNO kekal memerintah.

Untuk membentuk kerajaan, sesebuah parti atau pakatan parti perlu memiliki 17 kerusi di DUN Terengganu daripada 32 kerusi dipertandingkan.

Ketika ini PAS  memiliki 14 kerusi, UMNO dengan 17 kerusi sementra PKR hanya satu kerusi.

Iskandar...ajak PAS bekerjasama.
Pada pilihan raya lalu, PKR bertanding di enam kerusi DUN dan hanya memenangi kerusi DUN Bandar.

Ketika ini PKR adalah rakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta AMANAH dalam PH yang baharu dibentuk, termasuk DAP. Bagaimanapun, DAP tetap tidak bertanding di Terengganu walaupun ada pengundi Cina di beberapa DUN yang disifatkan sebagai ‘bandar’.

Usul  untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR bukanlah sesuatu yang baharu. Ini kerana usul itu pernah dikemukakan oleh Dewan Muslimat PAS pada muktamar tahun lalu.

Namun usul itu tidak mendapat respons ketika itu.

Bagaimanapun, kali ini mungkin ada reaksi sekiranya banyak kawasan yang sepakat untuk membawa usul tersebut.

Selain Terengganu, semalam 12 daripada 13 kawasan PAS di Pulau Pinang turut meluluskan usul menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Kini sebanyak empat kawasan PAS di Terengganu yang telah selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan, sebulat suara meluluskan usul agar parti itu memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.

Iskandar ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan kelima, DUN ke-13, di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu semalam, secara rasmi  mempelawa PAS menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan parti itu.

Ini  memandangkan kedua-duanya selari dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan agama Islam.

Tidak diketahui pelawaan itu dibuat atas kaPASiti peribadi atau memang mendapat mandate daripada Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Usul batal kerjasama dengan PKR
Menurut Iskandar,   kerjasama antara dua parti yang mendominasi politik Terengganu itu amat diharapkan bagi mengukuhkan perpaduan dan mewujudkan kerjasama dalam kalangan pemimpin di negeri itu.

 “Kalau di Pulau Pinang, PAS telah mengusulkan untuk memutuskan hubungan politik dengan parti komponennya sebelum ini (PKR), kita harap di Terengganu lapan bahagian PAS pun akan melakukan perkara sama, marilah bersama-sama dengan kita. Insya-ALLAH,” katanya.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS negeri Satiful Bahri Mamat berkata semalam empat kawasan itu ialah Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Itu adalah suara di peringkat akar umbi. Mereka berhak mencadangkan usul itu untuk perhatian pemimpin tertinggi parti pada Muktamar PAS nanti, seterusnya keputusan akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura.

"Bagi PAS Terengganu, kita buka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk akar umbi menyuarakan pendapat mereka pada mesyuarat agung tahunan... seterusnya mengusulkan perkara itu ketika Muktamar PAS berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah pada 28 April depan," katanya kepada pemberita di luar persidangan DUN Terengganu semalam.

Sementara empat lagi kawasan iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu, kawasan itu sudah selesai mengadakan mesyuarat agung sebelum isu tahaluf siyasi dengan PKR kembali hangat diperkatakan.

Ditanya adakah PAS akan terjejas pada pilihan raya umum ke-14 akan datang sekiranya Majlis Syura bersetuju untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR, Satiful berkata PAS Terengganu dijangka tidak mempunyai masalah besar dalam hal itu.

"Terengganu tak ada masalah sangat, tapi tak tahu di negeri lain macam Selangor.

Tapi ini perkara yang berbeza kerana sekarang adalah hubungan antara parti dengan parti, bukan PAS dalam kerajaan," katanya.

Di sebalik ajakan UMNO, PAS Terengganu masih berminat untuk berunding dengan PPBM ke arah kerjasama dalam PRU14.

Difahamkan ada beberapa pertemuan tidak rasmi antara pemimpin PAS Terengganu dengan pemimpin PPBM bagi tujuan tersebut.


Sikap PAS sama ada akan berunding dengan PPBM juga dijangka akan diputuskan pada Muktamar PAS pada April nanti.

Tuesday, 21 March 2017

PAS TETAP 'COOL', HANYA YANG KURANG CERDIK PERCAYAKAN UMNO


Oleh Mohd Nor Hamzah  (Ketua Penerangan PAS Terengganu)

KUALA TERENGGANU (21 Mac 2017) : Kelmarin 20 Mac 2017, disiarkan di dalam akhbar bahawa Datuk Seri Ahmad Said, mantan Menteri Besar Terengganu yang telah diturunkan dengan cara yang menimbulkan kemarahan dan kesedihan beliau oleh Perdana Menteri, menyatakan bahawa beliau akan menyerahkan sendiri senarai nama calon dari Kemaman bagi semakan atau kelulusan UMNO pusat.

Secara mudah kefahaman rakyat ialah, beliau tidak mahu memberikan senarai nama calon dari Kemaman itu kepada Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang mana ketuanya sekarang ialah Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Ketika ini, DS Ahmad Said, masih memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Tidak kisahlah apa yang beliau, DS Razif, DS Najib mahu perbalahkan. Itu hal UMNO, tiada kaitan dengan kita kecuali dalam hal menyeleweng wang rakyat. Tetapi apa yang mahu dicoretkan di sini ialah keboleh percayaan kepada UMNO.

Saya yakin, tentu rakyat masih ingat bagaimana DS Ahmad Said yang dengan sedihnya, hampir menangis apabila ditemuramah oleh stesen TV sejurus selepas pemecatan beliau ketika sangat hampir dengan majlis pernikahan anak kesayangan beliau. Sebegitu rupa beliau dimalukan.

Selang tidak beberapa lama, beliau dengan tegas telah menyatakan beliau telah keluar UMNO dengan disertai oleh sekurang-kurangnya dua lagi Adun UMNO. Ketika itu, secara teknikalnya, UMNO sudah tidak mempunyai majoriti sebagai kerajaan di Dewn Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

PAS dilibatkan oleh sebuah parti lain atau boleh kita gelarkan parti mengada-ngada, dengan mengatakan PAS tidak mengambil peluang untuk menjatuhkan kerajaan UMNO di Terengganu. PAS tetap ‘cool’, tidak melayan sebarang provokasi musuh samada dari UMNO, musuh utama PAS, mahupun juga dari parti yang baru cuba menjadi musuh PAS.

Hasilnya, dalam masa dua hari, kedua-dua ADUN  yang berpaling tadah itu turut kembali ke sarang lama mereka. Mereka menekan brek secara mengejut, kemudian membuat ‘U-turn’.


Kembali semula kerajaan UMNO menjadi 16-15-1. PAS tetap ‘cool’ kerana PAS tahu, di DUN Terengganu, Speaker Dun diberikan kuasa mengundi. Jadi kedudukan 17-15-1. Ketika DS Ahmad Said keluar UMNO, ada juga maklumat yang dikatakan sebagai tawaran datang dari ‘orang besar’ UMNO untuk memujuk PAS bersama. PAS tetap ‘cool’ tidak melayan sebarang tawaran ‘gelap’ yang diberikan.

Nyata betul tindakan PAS kerana apabila kembalinya DS Ahmad Said ke pangkuan UMNO, beliau tiba-tiba memaklumkan bahawa ada orang PAS yang datang menawarkan dia sesuatu. Cerita lucu yang direka beliau itu, tidak mendapat sambutan gelak tawa orang.

Mengamuk lagi DS Ahmad Said di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) membongkar segala perkara yang dikatakan sebagai penyelewengan UMNO di Terengganu. Namun, beliau sejuk beku kemudiannya setelah ‘dipujuk’.

Mengamuk juga beliau di perasmian Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Kemaman, sehinggakan bersumpah.
Kemuncak kepada amukan beliau ialah ketika membentangkan usul tidak percaya kepada MB Terengganu tahun lalu yang telah ditolak oleh Speaker DUN.

Ketika inilah PAS bangun mengusik bagi meminta Speaker menimbang kembali penolakan usul itu, atas alasan DS Razif, mungkin tidak mendapat sokongan sepenuhnya. PAS tidak boleh berbuat apa-apa selain itu kerana kuasa mutlak penolakan, terletak kepada Speaker Dun. Paling lucu, Speaker secara tergesa-gesa menangguhkan persidangan dan meninggalkan Dun bagaikan UMNO pula yang memboikot Sidang DUN,

Namun sebuah parti mengada-ngada mencanangkan bahawa PAS tidak bertindak ketika itu. Naifnya kritikan itu. Usul ditolak speaker, jadi macamana mahu mengundi?

Sebelum semua peritiwa itu, DS Ahmad Said pernah beriringan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ke satu program soal jawab dengan DS Najib dan dimaklumkan DS Najib yang berdarah Bugis itu secara tiba-tiba membatalkan majlis itu.


DS Ahmad Said juga suatu ketika dilihat agak rapat dengan Perkasa yang dinaungi oleh Ibrahim Ali.

Begitulah tegarnya DS Ahmad Said melawan parti asal beliau, UMNO. Untuk semua amukan DS Ahmad Said ini, PAS tetap ‘cool’ kecuali mengambil peluang pendedahan yang beliau buat berkenaan penyelewengan UMNO.

Kemudian, terbongkarlah sebuah cerita ketika program Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) ataupun yang dikenali sebagai Bersatu, yang dinaungi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu oleh Datuk Mukhriz Mahathir. Program yang berlangsung di Marang, Terengganu itu telah dilaporkan oleh orang yang dekat dengan Bersatu.

Ia berkenaan janji sokongan DS Ahmad Said kepada Tan Sri Muhyiddin.

Dikatakan DS Ahmad Said Telah berjanji akan menyertai Bersatu, dan dipastikan oleh Tan Sri akan janji itu benar. Namun janji tinggal janji, sehingga kini, DS Ahmad Said diam membisu kata orang yang mendengar cerita dari mulut Tan Sri sendiri.

Lagikan sesama sendiri dikhianati, berjanji pula dengan orang sendiripun mereka memungkiri, inikan pula berjanji dengan PAS berkaitan dengan kuasa. Bayangkan jika PAS mengambil jalan sebaliknya.

PAS bersama bekas ADUN UMNO menubuhkan kerajaan Terengganu ketika itu, kemudiannya mereka berpaling balik kepada UMNO? Kelihatan hodoh dan bodohlah PAS ketika itu. Sebab itulah PAS tidak melayan pelawaan UMNO.

PAS telah lama mengenali watak-watak UMNO ini.

Tidak hairanlah PAS tidak cepat melatah dengan segala tindakan UMNO ini. Jadi mungkin parti yang mengada-ngada itu cuba menggali lubang, mengajak PAS menghampiri lubang dan bercadang untuk menolak PAS masuk ke dalamnya. Maaf, mungkin dilain kali mereka boleh mencubanya. Sehingga sekarang, PAS tetap ‘cool’ melayan karenah UMNO.

InsyaAllah, rakyat Terengganu terutamanya, tetap akan bersama PAS dalam perjuangan menentang penyelewengan UMNO. Janganlah dipercayai kepada parti yang kelihatan cara berpolitik mereka, menyamai UMNO.

Anda lihatlah sendiri bagaimana fitnah, makian, sengaja dicetuskan bagi memberikan gambaran buruk kepada PAS. InsyaAllah fitnah akan mati. Mati bersama mereka yang menciptakannya.

Maka tepatlah tindakan PAS dalam hal ini. PAS telah terbukti istiqamah menentang kezaliman UMNO dengan mengikut undang-undang negara. Maka sesiapa yang cuba menentang PAS, mereka adalah sebahagian daripada UMNO.

Cukup muda sifir ini.

(Daripada BuletinOnline)

Tuesday, 14 March 2017

PROGRAM BICARA NEGARAWAN DR MAHATHIR CUBA DISABOTAJ???

Ini banner BICARA NEGARAWAN yang asli.
Memang seperti dijangka...

Cumanya siapa melakukan kerja untuk mensabotaj program BICARA NEGARAWAN Tun Dr Mahathir Mohamad BERANI BERUBAH’ di Ajil malam esok (16 Mac 2017 di Ajil jam 8.30 malam)?

Kenapa ada pihak yang terlalu bimbang dengan kehadiran tiga serangkai – Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir – ke Terengganu sehingga sanggup memasang banner yang mengatakan majlis itu pada malam Jumaat (bukan hari Khamis malam Jumaat)?

Tarikh, masa dan tempat dikoyakkan

Malah banner program turut dikoyak di bahagian tempat, tarikh dan masa untuk menyekat orang ramai datang ke majlis itu.

Ada juga banner dinaikkan untuk mengelirukan orang ramai dengan mengubah tarikhnya kepada 17 Mac 2017.

Kerja PKR atau AMANAHkah ini? Kerja orang PAS? Atau sabotaj daripada penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri?

Tidak mungkin.

Hampir pasti kerja orang Terengganu sendiri. Kenapa bimbang sampai begini sekali????

Tarikh, masa dan tempat dikoyakkan
Apakah  kerana Tun Dr Mahathir akan memperkatakan mengenai isu 1MDB (termasuk TIA), isu royalti minyak Terengganu, pembaziran perbelanjaan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu serta kenapa rakyat Terengganu perlu mengundi pembangkang untuk jatuhkan BN pada PRU14.

Yang sangat risau kepada kehadiran mereka ini adalah sebilangan pemimpin UMNO yang sedang berdepan ancaman pembangkang, khususnya daripada tiga serangkai – PKR, AMANAH dan PPBM.

Dikatakan, Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bimbang dengan kehadiran tiga serangkai itu, lebih-lebih lagi Dr Mahathir.

Dengan kedudukan di mana PAS kini dikatakan berkemungkinan besar akan bekerjasama dengan UMNO, pastinya BN Terengganu kini sedaya usaha mungkin untuk menyekat kehadiran pemimpin tertinggi PPBM.


Banner palsu yang sengaja ubah tarikh
Malah dikatakan BN turut meminta pemimpin PAS tidak hadir di majlis yang dianjurkan PPBM itu.

PPBM Terengganu yang kini lengkap dengan pemimpin di peringkat bahagian memang digeruni oleh BN, juga mungkin PAS yang bernafsu besar untuk menawan Terengganu.

Ini yang betul
Namun dalam perbuatan sabotaj ini, rasanya pemimpin PAS tidak akan mengerahkan penyokongnya supaya melaku perbuatan terkutuk itu.

Sebelum ini UMNO/BN bertepuk tangan kerana majlis yang diadakan di Bukit Besi Dungun dengan tetamu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan dihadiri kurang 150 orang.

Majlis anjuran empat pemimpin PPBM negeri (sebelum penubuhan Bahagian Penaja PPBM Terengganu secara rasmi) gagal buka kerana disabotaj oleh pemimpin BN tetapi oleh cara kerahan penganjur, khususnya PPBM Dungun, Kuala Terengganu serta Kemaman.

Seorang pemimpin PPBM Bahagian Setiu juga dikatakan terlibat dalam penganjuran itu yang disifatkan ‘majlis syok sendiri’.

Kini, kedatangan secara rasmi pemimpin tertinggi PPBM ke Bahagian Marang, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu cuba disabotaj oleh pihak tertentu – ada kedengaran sabotaj turut dilakukan oleh pihak dalaman dengan cara mereka sendiri – disamping mungkin oleh BN sendiri.

Ia adalah ujian buat Ketua=Ketua Bahagian Penaja setidak-tidaknya di tiga bahagian terbabit dengan penganjuran ini.

Memang kedatangan tiga serangkai ini ditunggu-tunggu memandangkan  acara yang disusun begitu menarik.

Menurut laporan Teganuku, kedatangan mereka  bertujuan menggerakkan jentera pilihan raya parti berkenaan di Terengganu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ketua Penyelaras program Bicara Negarawan, Datuk Razali Idris, selain mengadakan pertemuan dengan semua jentera parti lapan bahagian, ketiga-tiga pemimpin tertinggi PPBM juga akan mengadakan pertemuan tertutup dengan lapan Ketua Bahagian Penaja.

Pertemuan itu akan memberi peluang kepada Tun DR Mahathir untuk menerangkan perkembangan terbaru mengenai kedudukan PPBM dalam menghadapi PRU14.

Ia juga dijadikan medan untuk bertukar pendapat dan pastinya Pengerusi PPBM akan diberikan maklumat lengkap mengenai kedudukan semasa di bahagian masing-masing.

Mereka juga dijangka akan menerangkan kekuatan dan kelemahan PPBM di lapan Bahagian Pilihan Raya di Terengganu hasil kajian dan penelitian ketua-ketua penaja.

Sehingga kini, tidak diumumkan di mana pertemuan itu diadakan bagimanapun difahamkan ia ada diadaka di Bahagian Marang.


Laporan menyebut, kini semua jentera PPBM di semua lapan bahagian di Terengganu sedang digerakkan apabila Ketua-Ketua Bahagian Penaja dilantik secara rasmi pada 14 Februari lalu.

Matlamat ialah menggerakkan pengundi muda selain menarik sokongan kepada pembangkang di Terengganu demi  mewujudkan kerajaan yang adil dan prihatin kepada rakyat, selain menolak pembaziran dan penyelewengan.

Razali selanjutnya berkata, kemuncak acara kepada lawatan tiga pemimpin PPBM itu ialah program di Ajil, Hulu Terengganu bermula 9 malam iaitu Ceramah ‘ Bicara Negarawan’ – membabitkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad.

Selari dengan tema ‘BERANI BERUBAH’, Tun Dr Mahathir dijangka akan memperkatakan kenapa rakyat Terengganu perlu berubah dan menolak BN pada PRU14.

Pada sebelah siangnya, selepas pertemuan dengan jentera PPBM itu, Mukhriz dan Munyiddin akan menyertai program Walkabout di Pasar Malam Pak Tuyu’ di Gong Badak.

Selain bertemu orang ramai, program itu juga diharapkan akan membuka ruang kepada pelajar dari universiti berhampiran – Universiti Malaysia Terengganu dan UniSZA – yang berpeluang ke pasar malam itu beramag mesra dengan Mukhriz dan Muhyiddin.

Kedatangan ketiga-tiga pemimpin itu juga diharapkan menjadi pembuka jalan kepada perundingan lanjut dengan rakan pembangkang di Terengganu bagi tujuan kerjasama dalam PRU14.

Ini termasuk dalam konteks 1 Calon, 1 Manifesto dan 1 Logo seperti yang diumumkan oleh Dr Mahathir semalam.


Dengan pengumuman Ketua Penaja Negeri yang dijangka diumumkan tidak lama lagi, penyertaan PPBM dalam rundingan dengan rakan pembangkang pada peringkat negeri dijangka menjadi lebih mudah.

Sunday, 12 March 2017

SENJATA KOREA UTARA - SOLAT HAJAT TUTUP 'KEBEJATAN KERAJAAN'???


“Kita sendiri yang membuka ruang untuk orang memasang jebak atau perangkap yang hari ini rakyat dan pegawai kita di Pyongyang menjadi taruhan. Rakyat pula diminta bersembahyang hajat untuk menutup segalanya?”

Kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan kepada rakyat tempatan dan masyarakat antarabangsa bahawa terdapatnya syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara (KU) di negara ini.

Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya membuat penjelasan terperinci dengan segera mengenai dakwaan itu.

Selain isu penjualan senjata KU di negara ini, tanda tanya turut membabitkan kemudahan Imigresen tanpa visa oleh rakyat KU ke negara ini.
  
Dakwaan Malaysia terlibat menjual senjata dari KU  ini adalah susulan kepada berita bahawa ada pemimpin veteran UMNO yang berurusniaga dengan kerajaan KU melalui anak syarikat negara itu -  Global Communications Company (Golcom)

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, Kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan kepada rakyat tempatan dan juga masyarakat antarabangsa bahawa terdapatnya syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara di negara ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, beliau berkata, Najib seharusnya memberikan penjelasan tentang keterlibatan penjualan senjata dari KU oleh Global Communications Company (Golcom) yang kemudiannya menukar identiti kepada International Golden Services (IGS).

“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri mana mungkin Najib boleh menafikan bahawa Malaysia telah menjadi destinasi penjualan senjata haram oleh negara KU yang bertentangan dengan sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).”

Ketua Polis Negara...dalam proses batal dua syarikat.
Tegasnya, perkembangan terbaru ini telah membawa masalah dan reputasi Malaysia di mata badan dunia tersebut.

Dalam erti kata lain, kata Salahuddin, “kita sendiri yang membuka ruang untuk orang memasang jebak atau perangkap yang hari ini rakyat dan pegawai kita di Pyongyang yang menjadi taruhan.”

“Rakyat pula diminta bersembahyang hajat untuk menutup segalanya?” kata beliau seperti dilaporkan FMT.

Salahuddin menambah, masyarakat antarabangsa umumnya sedia maklum bahawa KU adalah di antara negara penyangak di mana hubungan diplomatik dan hubungan dagang harus ditangani dengan teliti dan cermat sesuai dengan beberapa konvensyen dan peraturan antarabangsa.

Tambahnya, apabila berlaku krisis Kuala Lumpur-Pyongyang ketika ini akibat pembunuhan politik abang tiri pemimpin Korea Utara, ada pihak termasuk Reuters telah dapat menimbulkan beberapa penemuan menarik yang semacam tersembunyi daripada pegetahuan umum sebelum ini seperti kemudahan Imigresen tanpa visa oleh rakyat KU ke negara ini.

“Terdapat syarikat yang beroperasi menjual senjata buatan KU yang juga dimiliki oleh orang kuat sebuah parti politik di negara ini.

“Dikatakan KU dapat mewujudkan pusat penjualan senjata mereka di Kuala Lumpur,” katanya sambila perdana menteri seharusnya memberikan penjelasan tentang isu ini.

Akhir bulan lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak berkuasa dalam proses membatalkan pendaftaran dua syarikat Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi risikan KU.

Katanya,  dua syarikat itu adalah International Global System Sdn Bhd dan International Golden Services Sdn Bhd yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan Glocom.

Glocom ialah singkatan untuk Global Communications Co yang dikawal Biro Umum Peninjauan – agensi perisikan KU ditugaskan untuk operasi luar negara dan perolehan senjata yang dikenakan sekatan oleh PBB.

Reuters melaporkan Glocom yang menjual peralatan perang beroperasi dari pejabatnya di Brickfields, dikatakan menutup kegiatan intipan bagi pihak KU.

Glocom pernah menyertai pameran senjata dua tahun sekali di Malaysia, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia sekurang-kurangnya 3 kali sejak 2006, menurut laman web Glocom.

Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang mempunyai hubungan baik dengan Pyongyang.

Bagaimanapun, hubungan itu menjadi tegang selepas Kim Jong Nam, abang sebapa kepada diktator KU, Kim Jong Un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.